Wednesday, June 07, 2006

MAWADDAH: PRODUK MAKSIAT DARI RUFAQA.

Ramai yang pernah mendengar lagu-lagu kumpulan ini di IKIM.fm. Tetapi, setelah IKIM menerima surat arahan dari JAKIM, lagu-lagu mawaddah yang pelik-pelik itu, sudah tidak lagi kedengaran di corong-corong radio. Mawaddah juga mendakwa mereka telah banyak membuat persembahan di merata tempat dan kononnya mereka sudah diterima ramai. Kekarutan ini ditambah lagi dengan penghasilan poster, phamplet dan laman web.

Mawaddah, asalnya dianggotai oleh anak-anak perempuan Asaari ketika di awal penubuhan. Mereka ditubuhkan atas beberapa sebab:

a. Untuk mengelakkan masyarakat awam mengetahui bahawa mereka adalah Rufaqa @ Arqam.
b. Kumpulan lelaki mereka Qatrunnada di Indonesia menghadapi masalah kerana Hawariyun mengalami masalah kepimpinan di sana.
c. Untuk memudahkan penyebaran ajaran dan minda Asaari ke negara lain memandangkan peristiwa 11 september baru sahaja berlaku. Ini bermakna, setiap artis yang dihantar ke negara tertentu akan turut sama membawa mesej dari Asaari dan akan mengutip duit (bai'ah) di negara terbabit. Pemergian Mawaddah diiringi dengan pemimpin muslimat Rufaqa.

Bagaimanapun, ahli-ahli Rufaqa dan orang awam diberi alasan yang berbeza. Alasan mereka ialah UNTUK MEMBERI SAINGAN KEPADA SITI NORHALIZA DENGAN MENAWARKAN MUZIK YANG LEBIH HALAL. Persoalannya, HALALKAH SUARA WANITA YANG MENYANYI DIDENGARI?

Bukankah ini satu produk maksiat? Produk Mawaddah menjadi maksiat kerana:

a. Suara wanita itu telah baligh.
b. Suara wanita itu menyanyi dan membaca sajak dengan manja dan mengada-ngada.
c. Suara wanita itu menyanyi dengan mendayu-dayu.
d. Tubuh badan mereka ditutupi dengan pakaian yang melampau perhiasannya. Tabarruj yang berlebihan. Pakaian melekap dengan ketat di badan dan solekan melebihi kadar normal.
e. Percampuran lelaki dan perempuan dalam persembahan. Dalam beberapa keadaan, lelaki turut menjadi percusionist bagi kumpulan wanita terbabit.


Sehubungan itu, para ulama telah banyak membincangkan tentang hukum suara wanita. Tidak ada mana-mana ulama yang mengharuskannya memandangkan banyak dalil yang menegahnya. Sebahagian ulama memberi keharusan kepada wanita yang bertaraf HAMBA dan juga kanak-kanak perempuan untuk menyanyi kepada tuannya (pemiliknya) bukan kepada orang lain atau lelaki ajnabi.

Dari ‘Imran Hushain ia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Akan terjadi pada umatku, lemparan batu, perubahan bentuk, dan tenggelam ke dalam bumi.” Dikatakan: “Ya Rasulullah, bilakah perkara itu akan terjadi?” Baginda menjawab: “Jika telah kelihatan alat-alat muzik, banyaknya penyanyi wanita, dan khamr-khamr banyak diminum.” (Takhrij oleh Tirmidzi, Ibnu Abiddunya, dan lain-lain, lihat al-Albani, Tahrim ‘alath Tharb, hlm. 63-64)

Sheikh Fauzan menyatakan: Dianjurkan bagi wanita memukul rebana @ duff ketika majlis walimah untuk menyebarkan majlis pernikahan dan ini hanya khusus untuk wanita sahaja dan tidak boleh diiringi dengan alat muzik yang lain atau suara para penyanyi dan boleh bagi wanita menyuarakan nasyid dengan syarat tidak didengar kaum lelaki.

Rasulullah bersabda: “Sesuatu yang menjadi pemisah antara halal dan haram adalah rebana dan suara dalam pernikahan.”

Tetapi, Mawaddah mendendangkan lagunya bukan untuk pendengar muslimah. Ia untuk semua lelaki dan perempuan. Ia menjadi racun kepada umat kerana melanggar syariat Allah. Apatah lagi angan-angan mereka hendak mengalahkan Siti Nurhaliza adalah cita-cita yang tidak syar`ie.



HUKUM SEMBELIHAN AHLI RUFAQA DAN SOLAT BERIMAMKAN MEREKA

Berikut adalah petikan arkib akhbar Berita Harian yang menukilkan fatwa dari ulama besar di Malaysia seperti Dato' Ishak Baharom dan ahli-ahli Majlis Fatwa Kebangsaan.
Ini bermakna kita haram untuk memakan sembelihan pengamal Aurad Muhammadiah (Rufaqa kini). Kita juga tidak boleh solat berimamkan mereka.

Berita Harian, 23/08/1994

Pengikut al-Arqam sesat, fasik: Mufti SHAH ALAM, Isnin - Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, menasihatkan umat lslam supaya mengelak sembahyang berimamkan pengikut al-Arqam dan makan ternakan sembelihan mereka. Katanya, pengikut al-Arqam tergolong dalam kumpulan yang sesat pada peringkat fasik kerana akidah mereka terkeluar daripada iktikad Ahli Sunnah Wal-Jammah.


Berita Harian, 06/08/1994

Solat berimamkan ahli Arqam tidak sah KUALA LUMPUR, Jumaat - Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan mendapati banyak amalan yang dilakukan ahli kumpulan al-Arqam tidak sah kerana mereka berpegang kepada ajaran yang menyeleweng daripada Islam. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdul Hamid Othman, berkata fatwa yang dikeluarkan turut memberi kesan terhadap segala amalan pengikut kumpulan itu.

Berita ini boleh dibaca secara detail sekiranya saudara membeli berita tersebut dalam http://www.emedia.com.my/a/archive.htm.

Kesimpulannya, pengharaman tersebut dibuat oleh Ulama di Malaysia kerana:

a. Pengamal Aurad Muhammadiah adalah fasiq.
b. Pengamal Aurad Muhammadiah telah rosak akidahnya dan telah terkeluar dari ahli Sunnah wal Jamaah.

BOIKOT SEMUA PRODUK DAN RESTOREN RUFAQA!
PASTIKAN ANDA TIDAK SOLAT BERIMAMKAN PENGIKUT RUFAQA!

Perlu ditegaskan bahawa Fatwa ulama ini TIDAK MENGHUKUMKAN MEREKA MENJADI KAFIR. FASIQ DAN KAFIR ADALAH ENTITI YANG BERBEZA. Pengamal Aurad Muhammadiah masih Islam tetapi telah terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah (satu-satunya jalan yang diterima oleh Allah dan Rasulullah).

Sehubungan itu, kita berserah kepada Allah untuk sama ada menerima atau menolak akidah dan iman mereka. Tetapi, dari segi timbangan ilmu, mereka telah FASIQ.

Tabaruk: Penyelewengan dalam Rufaqa

Asaari sering mendakwa bahawa dirinya adalah faktor barakah. Ini bermaksud dia adalah menjadi penyebab kepada seseorang untuk mudah beribadah, meningkatnya iman, murah rezeki, dipermudahkan urusan, diselesaikan masalah, disembuhkan penyakit dan sebagainya. Sehubungan itu, saluran-saluran barakah pun diwujudkan. Maksudnya, bagaimanakah cara untuk pengikut dan orang bawahan mendapat atau akses barakah tersebut. Maka, Asaari akan melantik pemimpin-pemimpinnya untuk menyebarkan barakahnya melalui beberapa cara.

Cara yang paling popular ialah dengan menggunakan:

a. Barang peribadi Asaari seperti kain pelikat, tasbih, baju, serban yang telah digunakan.
b. Bahan-bahan atau anggota badan Asaari seperti kuku, rambut, janggut. (Setakat ini, bulu ari-ari atau ketiak tidak diketahui lagi). Air yang telah direndam dengan gigi Asaari yang telah tercabut juga dijadikan barakah.
c. Barang dan perkara yang telah digunakan Asaari seperti tisu yang lap mulutnya, air basuhan tangan dan sisa makanan Asaari.
d. Gambar Asaari (foto / potret / lukisan)

Semua perkara di atas akan diperdagangkan dan dijual dengan harga tertentu bergantung kepada keadaan. Sebagai contoh, tasbih Asaari pernah dijual dengan harga RM3000. Juga serbannya mencecah RM1000. Kain pelikat biasanya berharga RM100. Ini bagi menjana kewangan jemaah.

Selain itu, rambut dan kuku akan dilekatkan di tempat tertentu seperti komputer agar tidak rosak. Juga di pintu rumah agar keselamatan rumah terpelihara. Kereta akan ditampal dengan gambar Asaari. Mereka membawa gambar Asaari ke mana sahaja agar mereka dilindungi ‘Tuhan’. Air gigi abuya akan diminum dan dibuat mandi sekiranya sakit atau ada hajat tertentu.

Pengikut Asaari akan memanfaatkan semua barang-barang tabaruk itu dengan beberapa keyakinan berikut:

a. Menjadi penyebab doa mereka dikabulkan Allah.
b. Menjadi perantara antara mereka dengan Allah kerana mereka banyak dosa dan kurang ibadah.
c. Menjadi pembantu ketika kesusahan.
d. Memilikinya akan menjadikan hidup diredhai dan diberkati Allah.

Mari kita lihat dari perspektif Islam, tentang konsep tabaruk yang benar dan sahih.


Makna Dan Konsep Tabaruk

Al Laits menafsirkan kata tabarakallah adalah pemuliaan dan pengagungan.

Az Zajaj mengatakan tentang firman Allah :
“Inilah kitab yang Kami turunkan yang diberkahi.”

Al Mubarak berpandangan ‘yang diberkahi’ bermakna ‘apa-apa yang mendatangkan kebaikan yang banyak.’

Ar Raghib berkata: “Barakah bererti tetapnya kebaikan Allah terhadap sesuatu.”Ibnul Qayim berkata: “Barakah bererti kenikmatan dan tambahan. Sedangkan hakikat barakah adalah kebaikan yang banyak dan terus menerus. Tidak berhak memiliki sifat tersebut kecuali Allah tabaraka wa ta’ala.”

Muhammad bin Shalih Al Utsaimin berkata: “Barakah bererti kebaikan yang banyak dan tetap. Diambil dari kata al birkah yang berarti tempat terkumpulnya air (kolam). Dan tabaruk bererti mencari barakah.”

Untuk lebih jelas, perlu diketahui beberapa perkara berikut:

1. Barakah datang dari Allah, sama ada dalam konteks rezeki, pertolongan, kesembuhan, dan lain-lain. Maka tidak boleh meminta barakah kecuali kepada Allah kerana Dia-lah Pemberi Barakah. Dalilnya, hadith yang diriwayatkan oleh Al Bukhari dalam Shahihnya dari Ibnu Mas’ud r.a., dia berkata:

Kami bersama Rasulullah s.a.w. dalam suatu perjalanan. Ketika itu, persediaan air sedikit. Maka baginda bersabda : “Carilah sisa air!” Para shahabat pun membawa bekas yang berisi sedikit air. Lalu Rasulullah s.a.w. memasukkan tangan baginda ke dalam bekas tersebut sambil bersabda : “Marilah kamu semua menuju air yang diberkati dan barakah itu dari Allah.” Sungguh aku (Ibnu Mas’ud) melihat air terpancar di antara jari-jemari Rasulullah s.a.w. (Hadith Riwayat Bukhari dengan Fathul Bari 6/433)

Kalau sudah jelas bahawa barakah itu dari Allah, maka meminta kepada selain Allah adalah perbuatan syirik seperti meminta rezeki, mendatangkan manfaat serta menolak mudharat kepada selain Allah. Tidak diragukan lagi bahawa barakah itu termasuk kebaikan, sedang kebaikan itu semuanya dari Allah seperti sabda Rasululah s.a.w:
“Dan kebaikan itu semuanya di tangan-Mu.” (Hadith Riwayat Muslim dengan syarah An Nawawi 6/57)

2. Sesuatu yang digunakan untuk bertabaruk seperti benda-benda, ucapan, ataupun perbuatan yang telah jelas ketetapannya dalam syariat, kedudukannya hanya sebagai sebab, bukan yang mendatangkan barakah. Contohnya, ubat-ubatan hanya sebagai sebab untuk sembuh dari penyakit, bukan yang menyembuhkan. Yang menyembuhkan adalah Allah. Oleh kerana itu kita hanya mengharapkan kesembuhan kepada Allah. Malahan, kadangkala ubat tersebut tidak bermanfaat melainkan dengan izin Allah.

Penyandaran barakah kepadanya termasuk penyandaran sesuatu kepada sebabnya. Sebagaimana ucapan Aisyah r.ha. tentang Juwairiah bintul Harits r.ha.:
“Aku tidak mengetahui seorang perempuan yang lebih banyak barakahnya daripada dia di kalangan kaumnya.” (Hadith Riwayat Ahmad, Musnad 6/277)

Ertinya dialah sebagai sebab datangnya barakah dan bukan dia pemberi barakah.3. Mencari barakah harus melalui sebab-sebab yang diperintahkan oleh syariat. Yang menentukan ada atau tidaknya barakah pada sesuatu hanyalah dalil syar’i. Kerana perkara agama mestilah berasaskan dalil, berbeza dengan perkara dunia yang dapat diketahui dengan akal melalui pengalaman dan bukti.

4. Bertabaruk dapat dilakukan dengan perkara yang dapat dicapai dengan deria seperti ilmu, doa, dan lain-lain. Seseorang mendapatkan kebaikan yang banyak dengan barakah ilmunya yang dia amalkan dan dia ajarkan.Dari penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa bertabaruk adalah mencari barakah dalam hal tambahan kebaikan dan pahala serta semua yang diperlukankan oleh seseorang hamba dalam urusan agama dan dunianya melalui sebab-sebab dan cara yang telah ditetapkan dalam syariat.

Tabaruk Yang Disyariatkan

A. Bertabaruk Dengan Ucapan Dan Perbuatan.

Banyak ucapan, perbuatan, serta keadaan yang diberkahi jika seorang hamba yang Muslim melakukannya untuk mencari kebaikan dan barakah melalui sebab tersebut dengan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. Dia akan mendapatkan kebaikan dan barakah itu sesuai dengan niat dan kesungguhannya, jika tidak ada penghalang syar’ie yang menghalanginya.

Di antara ucapan-ucapan yang mengandungi barakah adalah zikir kepada Allah dan membaca al-Qur’an. Tidak perlu dibuktikan lagi bagi seorang Muslim bahawa dengan zikir dan membaca al-Qur’an seorang hamba dapat memperoleh kebaikan serta barakah yang banyak. Hal ini dijelaskan dalam hadits yang diriwayatkan oleh Bukhari dalam Shahih-nya dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesungguhnya Allah memiliki para Malaikat yang biasa berkeliling di jalan mencari orang-orang yang berzikir. Jika mereka mendapatkan suatu kaum yang berzikir kepada Allah, mereka pun saling memanggil: “Kemarilah pada apa yang kalian cari (hajat kalian).” Maka para Malaikat pun menaungi mereka dengan sayap mereka sampai ke langit dunia. Lalu Allah bertanya kepada para Malaikat itu, sedangkan Allah Maha Tahu: “Apa yang diucapkan para hamba-Ku?” Para Malaikat menjawab: “Mereka bertasbih, bertakbir, bertahmid, dan memuji Engkau.” Allah bertanya: “Apakah mereka melihat Aku?” Para Malaikat tersebut menjawab: “Tidak, demi Allah, mereka tidak melihat Engkau.” Allah bertanya lagi: “Bagaimana sekiranya jika mereka melihat Aku?” Para Malaikat menjawab: “Sekiranya mereka melihat Engkau, niscaya mereka tambah bersemangat beribadah kepada-Mu dan lebih banyak memuji serta bertasbih kepada-Mu.” Allah bertanya: “Apa yang mereka minta?” Para Malaikat menjawab : “Mereka minta Syurga kepada-Mu.” Allah bertanya: “Apakah mereka pernah melihat Syurga?” Para Malaikat menjawab: “Sekiranya mereka pernah melihatnya, niscaya mereka lebih sangat ingin untuk mendapatkannya dan lebih bersungguh-sungguh memintanya serta sangat besar keinginan padanya.” Allah bertanya: “Dari apa mereka minta perlindungan?” Para Malaikat menjawab: “Dari neraka.” Allah bertanya: “Apakah mereka pernah melihatnya?” Para Malaikat menjawab: “Tidak, demi Allah, mereka belum pernah melihatnya.” Allah bertanya: “Bagaimana kalau mereka melihatnya?” Para Malaikat menjawab: “Seandainya mereka melihatnya, niscaya mereka tambah menjauh dan takut darinya.” Allah berfirman: “Aku persaksikan kepada kalian bahawa Aku telah mengampuni mereka.” Seorang di antara Malaikat berkata: “Di antara mereka ada si Fulan yang tidak termasuk dari mereka (orang-orang yang berzikir), dia hanya datang kerana ada keperluan.” Allah berfirman : “Tidak akan celaka orang yang duduk semajlis dengan mereka (majlis zikir).” (Hadith Riwayat Bukhari)

Dari hadits ini diketahui betapa agung barakah zikir tersebut. Ia mengandungi pengampunan dosa-dosa dan jaminan masuk Syurga. Bukan hanya bagi orang-orang yang berzikir saja, tetapi juga mencakupi orang yang duduk bersama mereka. Sedangkan membaca al-Qur’an termasuk jenis zikir yang paling agung. Di dalamnya terdapat barakah dunia dan akhirat yang tidak ada yang mampu menghitungnya kecuali Allah ‘azza wa jalla. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bacalah al-Qur’an kerana sesungguhnya dia akan datang di akhirat nanti memberi syafaat kepada orang-orang yang membacanya.” (Hadith Riwayat Muslim)

Di samping ucapan-ucapan, ada pula perbuatan yang mengandungi barakah jika seorang Muslim beriltizam dengannya dalam rangka ber-ittiba’ (mengikuti) Rasulullah s.a.w. Dia akan mendapat barakah yang agung dengan izin Allah. Antaranya Thalabul ‘Ilmi (menuntut ilmu) serta mengajarkannya dan juga solat berjemaah. Demikian pula berperang di medan perang untuk meraih keutamaan mati syahid di jalan Allah. Hal ini merupakan amal yang mengandung barakah yang tidak ada yang lebih agung daripadanya kecuali barakah iman dan barakah kenabian dan kerasulan. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Orang yang mati syahid memiliki enam keutamaan di sisi Allah iaitu: Dia diampuni pada awal penyerangannya, diperlihatkan tempat duduknya di Syurga, dilindungi dari azab kubur, merasa aman dari ketakutan yang dahsyat, diletakkan di atas kepalanya mahkota kehormatan yang permatanya lebih baik daripada dunia berserta isinya, dinikahkan dengan tujuh puluh dua bidadari dan (diberi izin) memberi syafaat kepada tujuh puluh orang dari keluarganya.” (Hadith Riwayat Tirmidzi dari Miqdam bin Ma’dikarib, dishahihkan oleh Al-Albani dalam Shahih At Tirmidzi 2/132)

Di samping ucapan dan perbuatan, keadaan-keadaan yang diberkati seperti:

Makan bersama dan dimulai dari yang paling hampir, serta menjilat jari (setelah makan), dan makan secukupnya. Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Berkumpullah kamu semua menikmati makanan dan sebutlah nama Allah, kalian akan diberkati padanya.” (Hadith Riwayat Abu Dawud, Ahmad, dan Ibnu Majah, dihasankan oleh al-Albani dalam Shahih Abi Dawud)

Juga baginda bersabda:
“Barakah itu akan turun di tengah-tengah makanan, maka makanlah dari pinggir dan jangan dari tengah.” (Hadith Riwayat Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah, dan dishahihkan oleh Al Albani dalam Shahih Abu Dawud)

Semua ucapan atau perbuatan yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya, kemudian dilakukan seorang hamba dengan ikhlas dan mutaba’ah (mengikuti Sunnah), maka akan menjadi penyebab turunnya barakah.

ADAKAH ASAARI SEORANG WALI DAN MEMPUNYAI KARAMAH?

Asaari banyak kali mendakwa yang dirinya bertaraf wali dan jawatannya di alam ghaib ialah ketua wali. Kutub Auliya’. Sesiapa sahaja di kalangan masyarakat awam yang bergaul dengan pengikut Rufaqa, pasti akan tahu perkara ini. IA ADALAH KEYAKINAN (AQIDAH) AHLI RUFAQA YANG MUTAWATIR DIKETAHUI OLEH RAMAI ANGGOTA MASYARAKAT. Asaari mendakwa semua wali berbai’ah kepada dirinya dan dirinya mempunyai karamah tertentu.

Pada tahun awal 1990-an, semua 'karamah' itu direkodkan dalam majalah terbitan Al-Arqam. Tetapi, selepas 1994 sehingga kini, semua 'karamah' dan 'sifat-sifat kewalian' Asaari hanya didedahkan dalam sesi kuliahnya sahaja untuk mengelakkan tindakan pihak berkuasa.

Artikel kali ini akan mengupas serba ringkas tentang ‘kewalian’ daripada al-Quran dan Sunnah sebagai menangkis fahaman Rufaqa. Adakah Asaari itu seorang wali? Mungkinkah Asaari seorang wali syaitan?


WALI MENURUT AL QUR’AN DAN AS SUNNAH

Allah telah menetapkan bahawa wali itu ada dua jenis iaitu:
a. wali Allah
b. wali syaitan

Di kalangan masyarakat awam, wali-wali hanya dikenali sebagai orang-orang soleh yang dibantu Allah. Tetapi, sebenarnya terdapat juga wali-wali syaitan yang merosakkan umat Islam.

Allah berfirman:

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
- (Yunus:62-63)

Allah berfirman tentang wali syaitan:

Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah Syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) wali-walinya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang-orang yang beriman.
- (Ali Imran:175)

Dari kedua-dua ayat ini, jelaslah bahwa wali Allah itu adalah siapa saja yang beriman dan bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya. Sedangkan wali syaitan itu adalah mereka yang bertentangan dengan mereka.

Al Hafizh Ibnu Katsir r.a. mengatakan: “Wali-wali Allah adalah mereka yang beriman dan bertakwa sebagaimana telah dijelaskan oleh Allah tentang mereka, sehingga setiap orang yang bertakwa adalah wali-Nya.” (Tafsir Ibnu Katsir 2/422).

Al Hafizh Ibnu Hajar r.a. mengatakan: “Wali Allah adalah orang yang berilmu tentang Allah dan dia terus-menerus berada dalam ketaatan kepada-Nya dengan penuh keikhlasan.” (Fathul Bari 11/ 342).

Di dalam ayat yang lainnya Allah menyatakan bahwa wali Allah itu tidak mesti ma’shum (terpelihara dari kesalahan). Allah berfirman: “Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan membenarkannya, maka mereka itulah orang-orang yang bertakwa. Mereka memperoleh apa yang mereka kehendaki di sisi Rabb mereka. Itulah balasan bagi orang-orang yang berbuat baik. Agar Allah akan mengampuni bagi mereka perbuatan paling buruk yang mereka kerjakan kemudian membalas mereka dengan ganjaran yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan.” (Az Zumar: 33-35)

Sedangkan, dalam kes Rufaqa, Asaari mendakwa dirinya sebagai seorang yang terpelihara daripada dosa dan tidak melakukan sebarang kesalahan. Dia menggelar dirinya sebagai ‘mahfuz’ yang sama maksud literalnya dengan ‘ma’shum. Akibat daripada doktrin ini, semua pengikut Rufaqa akan terus memberi taat setia kepada Asaari kerana dia adalah manusia suci yang bertaraf wali dan juga seorang ‘orang tuhan’ (wakil Tuhan).

Asaari juga mendakwa dirinya adalah orang yang paling bertaqwa pada zaman ini. Kononnya, Ketaqwaannya melebihi mana-mana individu pun sama orang itu ulama ataupun shiekh tarikat yang lain. Sedangkan, nilaian taqwa itu tidak boleh dinilai dengan pengakuan seseorang apatah lagi mengaku diri sendiri. Allah lah yang mengetahui tahap dan nilai ketaqwaan seseorang hamba-Nya.


KARAMAH MENURUT AL QUR’AN DAN AS SUNNAH


Allah dan Rasul-Nya menerangkan bahawa karamah itu memang ada pada sebahagian manusia yang bertakwa, baik pada masa dahulu mahupun pada masa yang akan datang sehinggalah hari kiamat. Di antaranya apa yang Allah kisahkan tentang Maryam dalam surah Ali Imran: 37 ataupun Ashhabul Kahfi dalam surah Al Kahfi dan kisah pemuda mukmin yang dibunuh Dajjal di akhir zaman (Lihat Hadith Riwayat Al Bukhari no. 7132 dan Muslim no. 2938).

Definisi karamah: kejadian luar kebiasaan (khawariqul Adah) yang Allah anugerahkan kepada seorang hamba tanpa disertai pengakuan (pemiliknya) sebagai seorang nabi, tidak memiliki pendahuluan tertentu berupa doa, bacaan, ataupun zikir khusus, yang terjadi pada seorang hamba yang soleh, baik dia mengetahui terjadinya (karamah tersebut) ataupun tidak, dalam rangka mengukuhkan hamba tersebut dan agamanya. (Syarhu Ushulil I’tiqad 9/15 dan Syarhu Al Aqidah Al Wasithiyah 2/298: karya Asy Syaikh Ibnu Utsaimin).

Ini bermakna karamah adalah pemberian Allah kepada bukan Nabi, yang dibantu Allah secara spontan kerana ketaqwaannya untuk mengukuhkan iman hamba tersebut dan agamanya.


APAKAH WALI ALLAH ITU MEMILIKI SIFAT-SIFAT TERTENTU?

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah r.a. menyatakan bahawa wali-wali Allah itu tidak memiliki sesuatu yang membezakan mereka dengan manusia lain dari perkara-perkara zahir yang hukumnya mubah seperti pakaian, potongan rambut atau kuku. Dan merekapun terkadang dijumpai sebagai ahli Al Qur’an, ulama, pejuang jihad, peniaga, pekerja atau para petani. (Dipetik dari Majmu’ Fatawa 11/194)

APAKAH WALI ALLAH ITU HARUS MEMILIKI KARAMAH? LEBIH UTAMA MANAKAH ANTARA WALI YANG MEMILIKINYA DENGAN YANG TIDAK?

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah r.a. menyatakan bahwa tidak setiap wali itu harus memiliki karamah. Bahkan, wali Allah yang tidak memiliki karamah mungkin lebih utama daripada yang memilikinya. Oleh kerana itu, karamah yang terjadi di kalangan para tabi’in lebih banyak daripada di kalangan para sahabat, padahal para sahabat lebih tinggi darjatnya daripada para tabi’in. (Dipetik dari Majmu’ Fatawa 11/283)

APAKAH SETIAP YANG DILUAR KEBIASAAN DINAMAKAN DENGAN ‘KARAMAH’?


Asy Syaikh Abdul Aziz bin Nashir Ar Rasyid rahimahullah memberi kesimpulan bahwa sesuatu yang di luar kebiasaan (Khawariqul Adah) itu ada tiga jenis:
a. Mu’jizat yang terjadi pada para rasul dan nabi
b. Karamah yang terjadi pada para wali Allah
c. Tipuan syaitan yang terjadi pada wali-wali syaitan
(Dipetik dari At Tanbihaatus Saniyyah hal. 312-313).


Untuk mengetahui sama ada sesuatu itu karamah atau tipu daya syaitan, kita boleh menentukannya dengan kita mengenal sejauh mana keimanan dan ketakwaan ‘wali’ tersebut. Al Imam Asy Syafi’i r.a. berkata: “Apabila kalian melihat seseorang berjalan di atas air atau terbang di udara, maka janganlah mempercayainya dan tertipu dengannya sampai kalian mengetahui bagaimana dia dalam mengikuti Rasulullah .” (A’lamus Sunnah Al Manshurah hal. 193)

Daripada pendapat Imam Asy Syafi’i ini, jelaslah bahawa kita perlu menilai Asaari ‘dalam aspek ‘bagaimana dia mengikuti Rasulullah.’ Kita tidak akan melihat kepada Sunnah Jibiliyyah seperti serban, jubah, pakaian dan lain-lain kerana ia tidak memberi kredit besar dalam konsep ittiba’ sunnah. Tetapi, kita melihat bagaimana ibadah khususnya. Adakah dia solat mengikut Nabi sedangkan sujud orang Rufaqa sangat PELIK? Begitu juga, adakah Asaari menguasai ilmu mustalah Hadith? Berapa banyak Sunnah YANG SAHIH yang diamalkan oleh Asaari? Malah dalam hampir semua karya dan buku Asaari, banyak hadith-hadith palsu yang disebarkan dan tak terkecuali dengan hadith dhaif… Soalan terakhir, berapa banyak pendustaan atas nama Rasulullah yang telah Asaari buat?

Ahli Rufaqa akan berhujah sebagaimana berikut:

1. Abuya itu wali, lihatlah buktinya pada perniagaan dan empayar yang dibangunkan.
Jawapan: Perniagaan bukan Islam lebih besar dan hebat. Ia tidak boleh menjadi bukti kebenaran seseorang. Apatah lagi kalau semua perniagaan itu sekadar enterprise.

2. Abuya ibadahnya hebat. Siapa kita nak banding dengan ibadah Abuya.
Jawapan: Allah tidak pernah menilai seseorang dengan Ibadah yang banyak. Tetapi Allah meihat kepada yang paling bertaqwa dan ibadah yang paling baik amalannya dari segi kualiti. Dahi yang hitam kerana banyak bersolat tidak menjadikan seseorang itu dipandang benar. Tetapi, akidah yang sahih amat perlu untuk menjadikan ibadah kita sah. Sekiranya seseorang itu tidak ittiba’ Rasulullah, malah berdusta atas nama Rasulullah, sudah pasti ibadahnya tertolak.

3. Abuya ada karamah. Dah ramai yang mengalaminya.
Jawapan: Ia bukan karamah. Ini kerana karamah hanya terjadi apabila seseorang itu bertaqwa. Taqwa adalah buah iman. Iman mestilah dari Aqidah yang benar-benar sahih. Ini bermakna, semua kejadian khawariqul Adah itu adalah dari bantuan syaitan.

Lagi Bukti Kesesatan Rufaqa

Nak Bukti lagi, Mari tonton VCD ini:
http://rufaqa.multiply.com/

Pada 5 Ogos 1994, Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa Ajaran al-Arqam atau Aurad Muhammadiah adalah sesat lagi menyesatkan dan terkeluar dari akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Bagaimanapun, ajaran sesat ini terus berkembang dan merosakkan akidah masyarakat Islam dan boleh menjejaskan keharmonian hidup beragama dan keselamatan negara.

Berikut adalah sedutan daripada VCD Kuliah Minda yang bertajuk Hubungan Dengan Mursyid (Asaari) yang disampaikan oleh Mejar (B) Abu Zar yang merupakan salah seorang pemimpin Rufaqa.


Kesalahan
1. Boleh berbincang dengan Allah untuk menentukan siapa yang boleh dikenakan penyakit dan setakat mana kesakitannya. Ini salah kerana mencampuri urusan Allah ke atas makhluk-Nya seumpama Allah tidak tahu tentang makhluk-Nya.
Petikan daripada VCD Kuliah Rufaqa:

…"katakan kita dah ditakdir jatuh sakit, mula mula yang tahu dulu abuya. Kalau murid abuyalah, abuya boleh tanya pula, itu sakit berat ke tak? Kemudian abuya tengok kita punya iman. Oh, iman dia ni boleh tahan. Ok, sakit. Kalau sakit berat, abuya tengok orang ni tak tahan, dia kata, ‘ya allah Kau bagi separuh saja separuh lagi bagi aku, iman dia tak cukup kuat untuk menanggung kesakitan tersebut nanti dia akan melatah dan bersangka buruk pada Allah"
__________________________________________________________
Kesalahan:

2.1 Mendakwa Asaari mendapat ilham dan wahyu.

2.2 Tafsiran menyeleweng ayat 282 Surah al-Baqarah. Mereka mendakwa ayat itu adalah dalil adanya ilmu laduni. Ilmu ini tiada dalam Islam dan seluruh ulama muktabar menolaknya.

2.3 Ayat 282, Surah al-Baqarah adalah ayat yang menerangkan tetang hutang piutang dan urusan muamalat antara manusia. Tiada kaitan dengan ilmu laduni Asaari.

Petikan daripada VCD Kuliah Rufaqa:

"Apa tu MINDA? Istilah MINDA digunakan untuk mengaburi orang awam & pihak musuh.. maksud sebenar MINDA adalah ILHAM = WAHYU.. bezanya ilham dah ditapis & diringankan/ditawarkan 46 kali berbanding wahyu.

Mengapa Allah tak beri wahyu, hanya beri ilham pada abuya? Jawapannya sebab jiwa abuya tak tahan & tak cukup kental untuk terima wahyu (dibezakan dengan jiwa para anbiya' yang menerima didikan langsung daripada Allah, sedangkan jiwa manusia biasa sudah bercampur aduk dengan didikan manusia lain pada peringkat awal).

Sampai satu tahap di mana tahap ketaqwaan manusia (dalam kuliah ni dimaksudkan Asaari) melebihi tahap ketaqwaan umat manusia semuanya, maka Allah pula ambil peranan untuk didik manusia (Asaari) tu.. dari situlah datangnya ilham.. kemudian disebutkan firman Allah: "jika kamu benar2 taqwa, Akulah yang mengajar kamu ilmu.."
- Surah al-Baqarah: Ayat 282.

_________________________________________________________

Kesalahan:

3. Asaari mendakwa ada kuasa untuk berbincang dengan Allah dan Malaikat Maut untuk menentukan tarikh kematian seseorang. Selain itu, Asaari juga mendakwa ada keupayaan untuk menangguh dan menukarkan ajal seseorang kepada orang lain yang dikehendakinya.

Petikan dari VCD:

"Sampai masa nak mati, ajal abuya tahu dulu. Orang ni akan temui ajal sekian sekian masa. Abuya akan tanya; kita ni mati agak agak baik ke jahat?

Kata mati baik. Tak pe, silalah ambik anak buah aku tu dulu. Tapi kalau jahat abuya minta tangguh dulu. Habis tu macam mana? Gantilah dengan siapa siapapun yang dah ‘siap’. Pengikut-pengikut, anak-anak ke, isteri ke. Ustaz Nizam tu (anak kedua Asaari) patutnya dah lama wafat, tapi abuya bertolak ansur dengan Allah, "Ya Allah bukan senang nak latih orang macam ni. Habis tu ganti? Ambillah Walidah (isteri Asaari yang mandul), lagipun dia tiada anak, bertakwa, Orang rohani. Lagipun kalau dia mati, dia ada peranan di alam Roh. Ganti Wahida. Ganti Ustaz Nizam.

Ha, benda-benda macam tu berlaku. Jadi macam tu berlaku. Kita tak perasan. Mati kitapun ditangguh. Mati kita boleh ditangguhkan. Abuya boleh runding dengan Tuhan supaya mati kita tu selamat.

______________________________________________________

Kesalahan:

4.1 Asaari akan membantu secara roh ketika pengikutnya mati sama ada semasa sakaratulmaut atau semasa dalam kubur.

4.2 Pembelaan Asaari menyebabkan Malaikat takut hendak bertanya atau bertindak ke atas si mati.

4.3 Asaari mendakwa dia adalah ‘orang Tuhan’ yang bererti wakil Tuhan.

Petikan dari VCD:

…"bila pengikut abuya sampai pada sakaratul maut, abuya akan duduk di sebelah kanan.. maka syaitan tak berani datang dekat sebab abuya (orang Tuhan) ada kat situ dalam kubur, ada lembaga putih (disebutkan 'ruh muqaddas abuya') duduk sebelah mayat pengikut abuya… Bila malaikat Munkar & Nakir datang nak tanya soalan, lembaga tu akan kata: "Ya Munkar, Nakir. Ini anak murid saya. Kalau ada apa-apa tanyalah saya." Jadi malaikat Munkar & Nakir tak dapat buat apa-apa pada mayat tersebut sebab abuya tu orang Tuhan."

______________________________________________________

Kesalahan:

5. Asaari boleh memberi syafaat kepada pengikutnya ketika di padang Mahsyar.

Petikan dari VCD:

…"Pada hari kiamat, abuya tunggu murid-muridnya yang setia untuk bagi syafaat.. Imam mahdi berdiri sebelah abuya & turut bagi syafaat. Sebelah Imam Mahdi adalah Rasulullah yang turut memberikan syafaat pada pengikut-pengikut abuya…"
_______________________________________________________

Kesalahan:
6. Asaari menjadi perantaraan antara Allah dan pengikut-pengikut Rufaqa.

‘Ayat Quran’ yang dijadikan hujah di bawah bukannya ayat Quran atau hadith.

Petikan dari VCD:

"Pengikat hati dengan mursyid (abuya) adalah melalui wirid. nak bersama dengan Tuhan tu susah, maka relate dengan abuya (mursyid). Kemudian disebutkan firman Allah: "Jika kamu tak boleh bersama-Ku, dan ia pasti susah bagimu, hendaklah kamu bersama2 dengan orang yang hatinya bersama Aku". Mula mula dengan mursyid, lama lama relate dengan Tuhan"

______________________________________________________

Kesalahan:

7.1 Masih mengamalkan wirid Aurad Muhammadiah sedangkan ia telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994.

7.2 Menganggap membaca Quran juga boleh menjadi sihir.

Petikan Dari VCD:

"Siapa apa yang amal wirid muhammadiyyah akan mendapat lindungan abuya. Jika wirid terputus, wirid tersebut jadi sihir, sebab syaitan dah masuk, sama juga kalau baca Quran pun ia jadi sihir sebab abuya dah tak boleh pantau.."

_______________________________________________________

Kesalahan:

8.1 Tawasul atau menyeru nama Sheikh Suhaimi dan nama Asaari untuk mendapat bantuan secara ghaib ketika dalam kesusahan.

8.2 Percaya kepada kuasa Jin sebagai bantuan.


Petikan dari VCD:

"Jika masuk hutan seru nama syeikh (Syeikh Suhaimi) & nama abuya. Nanti abuya akan hantar jin atau karamah untuk membantu jika berhadapan dengan kesukaran. Jemaah (Rufaqa') adalah jemaah kebenaran. Ciri-ciri jemaah kebenaran adalah adanya bantuan ghaib. Jika tiada, maka ia bukan jemaah yang benar."

_______________________________________________________

Kesalahan:


9.1 Mendakwa ulama mempunyai dua jenis. Pertama: Ulama berwatak Rasul dan kedua; Ulama berwatak Nabi.
Asaari adalah Ulama berwatak Rasul. Maksudnya, dia memiliki semua sifat, keistimewaan dan ciri seorang Rasul.
9.2 Mendakwa ilmu al-Quran dan hadith sahaja tidak cukup dan tidak lengkap untuk kehidupan sekarang. Perlu ada MINDA Asaari sebagai pelengkap.

Petikan dari VCD:

"Jikalau tak ada mujaddid, atau tak ada ulama' berwatak rasul, (kerana setiap mujaddid tu ulama' berwatak rasul), kalau tak ada mujaddid atau ulama' berwatak rasul ini, maka Allah tak suruh kita berjuang.

Kalau hanya ada ulama' berwatak nabi, jangan berjuang! Kita boleh ikut dia tapi hanya untuk beribadah dan untuk menjaga akhlak. Boleh ikut, tapi untuk diri kita sendiri, keluarga kita keliling-keliling kampung itu saja, untuk kita beribadah dan untuk kita bina akhlak, berjuang-berjuang tak boleh. Sebab kalau berjuang juga, lebih banyak rosak daripada baik.

Kalau ulama' berwatak nabi berjuang, dia akan menimbulkan lebih banyak kerosakan daripada kebaikan. Sebab apa? Dia tak ada MINDA! Mana boleh berjuang setakat Ilmu Quran, Ilmu hadith sahaja belum cukup untuk berjuang sebab dia tak ada MINDA. Nanti kita cerita kenapa dikatakan begitu."

P/S: APAKAH INI TIDAK CUKUP UNTUK MEMBUKTIKAN BAHAWA RUFAQA TELAH TERKELUAR DARI MANHAJ DAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH? PENGAMAL AURAD MUHAMMADIAH TELAH SESAT DAN MENYESATKAN.