Monday, July 03, 2006

Mengapa Kami Mendedahkan Kesalahan Asaari dan Jemaah Aurad Muhammadiah (Rufaqa)?

Kami mendapati ramai orang yang ingin tahu tentang kepentingan web ini dibuat.

Sebelum membincangkannya, kami ingin menyorot semula mengapa Jemaah Aurad Muhammadiah yang telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaa Malaysia boleh dihidupkan semula. Kajian kami mendapati; penghidupan semula ini berpunca daripada kegagalan program pemulihan akidah selepas pengharaman al-Arqam kali kedua pada 1996. Puncanya:

a. Program pemulihan tidak menerangkan kepada bekas pengikut Arqam tentang kesalahan Akidah Asaari dan al-Arqam secara detail.

b. Program pemulihan tidak melibatkan sepenuhnya tenaga para ulama. Kajian para ulama tidak disampaikan kepada para pengikut. Hanya beberapa kursus siri awal sahaja yang melibatkan para ulama. Selepas itu, ia dikendalikan oleh bekas para pemimpin al-Arqam yang telah insaf dan bertaubat. Tindakan ini dilihat tidak berjaya membunuh sepenuhnya kesesatan akidah Jemaah Aurad Muhammadiah.

c. Masyarakat awam tidak diberi penerangan secara jelas dan detail tentang apakah itu Aurad Muhammadiah dan mengapa ia dihukum menyeleweng, sesat dan terkeluar dari landasan Ahli Sunnah wal Jamaah. Ini kerana media tidak memberi ruang kepada penerangan para ulama, tetapi lebih mensensasikannya dengan isu pinggiran yang lain. Pihak berkuasa agama juga telah banyak memberi penerangan dalam bentuk ceramah dan khutbah, namun tidak menggunakan media untuk menerangkannya secara detail. Kesannya, ramai orang awam tidak mengetahui kandungan ajaran Aurad Muhammadiah dan tidak mengetahui pandangan Islam tentang ajaran tersebut. Kesan jangka panjang, orang awam mudah tertarik dengan dakyah Rufaqa masa kini yang bertopeng agama untuk menyebarkan ajaran dan fahaman sesat mereka.

Sehubungan itu, kami tetap berjuang untuk menerangkan:

a. Setiap kesalahan dan penyelewengan Akidah Aurad Muhammadiah agar masyarakat Islam mengetahui kesesatan mereka dan tidak mengorbankan akidah dengan memberi sokongan atau mengikuti ajaran sesat.

b. Memberi hujah ilmiah berasaskan nas yang sahih kepada pengikut ajaran Aurad Muhammadiah agar mereka boleh menggunakan akal yang dikurniakan Allah S.W.T. untuk berfikir tentang kesalahan mereka.

c. Mengajak Asaari dan para pengikutnya bertaubat dengan sebenar-benar taubat, memperbaiki keadaan, menarik balik semua buku dan kenyataan, memberi penerangan semula, menginsafi kesalahan, belajar dari para ulama dan kembali berpegang dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang sahih.


Ketegasan Para Ulama Dalam Menentang Ajaran Sesat

Al-Qaradhawi dalam bukunya al-Sohwah al-Islamiyah baina al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafriq al-Mazmum telah menukilkan satu formula untuk umat Islam yang dibuat oleh Imam Ibn Taimiyah. Ibn Taimiyah menulis dalam kitabnya Raf`ul Malam an Aimmatil A’lam:

“Kaum muslimin, setelah memberikan wala’ kepada Allah dan Rasul-Nya, wajib memberikan wala’ kepada orang mukmin sebagaimana ditegaskan dalam al-Quran, terutamanya para ulama yang menjadi pewaris para Nabi dan dijadikan oleh Allah SWT sebagai ‘bintang-bintang’ petunjuk jalan di dalam kegelapan laut dan darat serta telah disepakati oleh kaum Muslimin akan kejujuran mereka. …Sesungguhnya para ulama adalah para Khalifah (pengganti) Rasulullah s.a.w. di dalam umatnya dan penghidup Sunnahnya yang telah mati. Dengan mereka al-Quran tegak dan dengan mereka al-Quran bangkit. Dengan mereka al-Quran berbicara dan dengan al-Quran mereka berbicara. Hendaklah diketahui bahawa tiada seorang pun dari para Imam yang telah diterima oleh umat secara meluas, sengaja menentang Sunnah Rasulullah s.a.w., baik dalam masalah kecil atau besar. Mereka semuanya sepakat tentang kewajipan mengikuti Rasulullah. Setiap orang boleh diambil atau ditinggalkan perkataannya kecuali Rasulullah s.a.w.”

Formula ini memberikan kita panduan bahawa apa yang telah disepakati ulama adalah sesuatu yang mengikut manhaj (jalan) dan sunnah Rasulullah s.a.w. Para ulama menjunjung dalil dan hujah dari al-Quran dan sunnah apabila mengeluarkan sesuatu hukum. Begitulah dengan masalah Jemaah Aurad Muhammadiah ini. Para ulama Ahli Sunnah di Malaysia sepakat berfatwa bahawa ajaran Aurad Muhammadiah adalah menyeleweng dari Islam, terkeluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah dan sesat. Sehubungan itu, jika ’bintang-bintang’ pewaris Nabi sudah menunjukkan jalan yang benar, mengapa orang yang tersesat jalan di gurun masih enggan mengikut petunjuk? Satu kehairanan...

Abdul Malik bin Ahmad Ramadhani dalam bukunya Sittu Durar min Ushuuli Ahli Atsar menjelaskan sikap para ulama yang keras dalam menentang kelompok ajaran sesat. Beliau memetik satu fatwa yang dikeluarkan Sheikh Muhammad al-Basyir dari Majlis Ulama al-Jazair. Soalan yang ditanyakan ialah mengapa para ulama sibuk menentang kesesatan kelompok ajaran sesat dan kelompok ahli bid`ah sedangkan Jazirah Arab banyak menghadapi serangan penjajahan Perancis?

Sheikh Muhammad al-Basyir menegaskan bahawa para kelompok tarekat sesat ini berbahaya kerana mereka berada dalam barisan kaum muslimin. Ini dikhuatiri akan mengakibatkan golongan yang kurang pemahaman agama akan menganggap bahawa ajaran-ajaran tarekat sesat itu adalah sebahagian daripada agama Islam.

Sehubungan itu, Abdul Malik bin Ahmad Ramadhani juga menjelaskan berjihad melawan orang-orang munafik dan kelompok tarekat sesat ini adalah lebih sukar berbanding melawan orang-orang kafir. Ini kerana mereka menyusup masuk ke dalam barisan kaum muslimin, maka kadangkala urusan mereka mengelirukan umat Islam. Oleh sebab itu, menjadi tanggungjawab para ulama untuk menerangkan kepada kaum muslimin tentang keadaan mereka. Ini sejajar dengan firman Allah S.W.T:

لَوْ خَرَجُوا فِيكُمْ مَا زَادُوكُمْ إِلا خَبَالا وَلأوْضَعُوا خِلالَكُمْ يَبْغُونَكُمُ الْفِتْنَةَ وَفِيكُمْ سَمَّاعُونَ لَهُمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ (٤٧

Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, pastilah mereka tidak menambah bagimu selain kerosakan belaka, dan tentu mereka akan bergegas menuju ke hadapan di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan di antaramu, sedangkan di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. (Surah al-Taubah: ayat 47)

Ayat ini sangat memberi panduan dalam tindakan memerangi ajaran sesat. Daripada ayat di atas, sangat perlu kita memberikan peringatan kepada masyarakat Islam tentang bahaya kelompok munafik dan ajaran sesat kerana mereka sedang melakukan kerosakan pada agama. Maka, segala ajaran sesat mereka perlu diperjelaskan dan nama-nama mereka perlu disebutkan. Ini untuk mengelakkan masyarakat terpengaruh dengan perkataan kelompok ini (mendengar perkataan mereka) sebagaimana yang diingatkan dalam ayat di atas.

Sehubungan itu, Yahya bin Yahya, guru kepada Imam Bukhari dan Muslim menyatakan:

"Membela sunnah (Rasulullah s.a.w.) lebih utama daripada berjihad (berperang senjata)." (Majmu’ al-Fatawa IV/13)

`Ashim bin Syumaikh berkata: "Aku melihat Abu Said al-Khudri setelah beliau tua sementara kedua tangannya menggeletar, dia berkata;
"Memerangi mereka (Khawarij – kelompok sesat) lebih mulia menurut pandanganku daripada memerangi sejumlah mereka daripada orang-orang Kafir.” (Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah XV/303)

Ibn Hajar al-Asqalani menyifatkan kata-kata di atas sebagai berikut:
"Dalam hadith ini, terkandung pengertian bahawa memerangi kaum Khawarij (kelompok sesat) lebih utama daripada memerangi orang-orang musyrikin, hikmahnya kerana memerangi mereka bererti memelihara modal insan Islam, sedangkan memerangi orang-orang musyrikin mengandungi keinginan untuk mencari keuntungan, dan memelihara modal insan Islam lebih diutamakan.” (Fathul Bari XII/301)

Bayangkanlah sekiranya web ini tidak menerangkan kesesatan akidah Rufaqa. Betapa banyak Islam dan negara kerugian modal insan? Mereka bukan lagi menjadi pejuang Islam untuk menegakkan kalimah tauhid, tetapi menjadi hamba Asaari dan kuli-kuli untuk anak-anak Asaari pada masa depan. Mereka tersesat akidah dan berterusan dari generasi ke generasi...

Sikap keras para ulama ini sangat berpandukan dalil-dalil sahih. Lihatlah bagaimana Nabi Musa a.s. memarahi Nabi Harun a.s. setelah Nabi Musa mengetahui kaumnya tersesat akidah sepeninggalannya. Nabi Musa digambar sebagai berikut:

وَلَمَّا رَجَعَ مُوسَى إِلَى قَوْمِهِ غَضْبَانَ أَسِفًا قَالَ بِئْسَمَا خَلَفْتُمُونِي مِنْ بَعْدِي أَعَجِلْتُمْ أَمْرَ رَبِّكُمْ وَأَلْقَى الألْوَاحَ وَأَخَذَ بِرَأْسِ أَخِيهِ يَجُرُّهُ إِلَيْهِ قَالَ ابْنَ أُمَّ إِنَّ الْقَوْمَ اسْتَضْعَفُونِي وَكَادُوا يَقْتُلُونَنِي فَلا تُشْمِتْ بِيَ الأعْدَاءَ وَلا تَجْعَلْنِي مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan marah dan dukacita, berkatalah ia: "Amatlah buruknya apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku; mengapa kamu terburu-buru (tidak menunggu) perintah Tuhan kamu?" dan ia meletakkan Lauh-lauh (yang mengandungi tulisan Taurat) itu serta ia memegang (rambut) kepala saudaranya (Nabi Harun) sambil menariknya kepadanya. Nabi Harun berkata: "Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum (Bani Israil) memandangku lemah dan nyaris-nyaris mereka membunuhku (ketika Aku melarang mereka); oleh itu, janganlah Engkau menjadikan musuh bergembira melihat (tempelakmu) terhadapku, dan janganlah Engkau jadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim". (al-A`raf: 150)

Sikap tegas Nabi Musa untuk menentang ajaran sesat sangat tergambar dalam ayat di atas.

Bahkan, Rasulullah s.a.w. sekalipun pernah bertegas dengan para ulama di kalangan Sahabat dengan kata-kata yang lebih keras berbanding kata-kata baginda terhadap sahabat lain (yang bukan ulama) apabila mereka melakukan kesalahan. Sebagai contoh, ucapan baginda kepada Muaz bin Jabal r.a., apabila Muaz memanjangkan tempoh solat ketika menjadi Imam, memimpin kaumnya solat berjemaah, Nabi bersabda:

"Apakah engkau hendak menimbulkan fitnah wahai Muaz?” (Hadith Riwayat Bukhari, no. 6126)

Demikian juga sabda baginda kepada Usamah bin Zaid, ketika baginda cuba membunuh seorang musyrik dalam peperangan setelah orang itu mengucapkan kalimah tauhid. Baginda bersabda:

"Wahai Usamah! Apakah engkau membunuhnya setelah dia mengucapkan La ilaha illa Allah? Usamah berkata; Baginda terus mengulang-ngulang ucapan itu, sehingga aku berangan-angan (seandainya) aku belum memeluk Islam sebelum hari itu.” (Hadith Riwayat Bukhari No. 4269)

Sebaliknya, dalam banyak hadith, diriwayatkan yang Rasulullah sangat berlemah lembut dalam dakwahnya terhadap orang musyrikin dan mereka yang jahil.

Daripada dalil-dalil hadith di atas, menggambarkan keharusan bersikap tegas bagi mengawal sebarang masalah dalam beragama. Ini kerana ketegasan juga adalah salah satu kaedah daripada pelbagai kaedah dalam menentang sikap melampaui batas dan ajaran yang menyeleweng.

Bagaimanapun, para ulama memberi panduan agar ketegasan yang dibuat tidak sampai menghukum seseorang itu kafir kecuali kelompok itu mengakuinya secara zahir. Sehubungan itu, kami menegur perkara dan perbuatan yang bercanggah dengan Islam dan akidah yang sahih. Pendedahan kami ini untuk menzahirkan hakikat sebenar ajaran mereka agar masyarakat Islam terus terpelihara daripada ancaman akidah dan ajaran sesat. Dan manfaat besar kepada Rufaqa ialah mereka mengetahui setiap pandangan ulama tentang ajaran mereka dan para ulama telah lama menyeru agar mereka bertaubat dengan sebenar-benar taubat.

Selain itu, Dr. Yusuf al-Qaradhawi bersetuju dengan pandangan Imam Ibn Qayyim al-Jauziyah dalam hal memfasiqkan kelompok pengikut ajaran sesat atau golongan bid’ah dalam aqidah:

"Bid’ah akidah adalah sesuatu yang berat tetapi tidak sampai membuat pelakunya termasuk ke dalam kekufuran tetapi hanya sampai kepada kefasiqan. Iaitu kefasiqan dalam bidang akidah dan bukan kefasiqan dalam perilaku mereka. Pelaku bid’ah akidah ini kadang-kadang solatnya paling lama dibanding dengan orang lain. Mereka paling banyak berpuasa dan membaca al-Quran seperti yang dilakukan oleh golongan khawarij. Solat mereka dipergunakan oleh mereka untuk memperhinakan solat kamu, puasa mereka dipergunakan untuk memperhinakan puasa kamu, dan bacaan al-Quran mereka dipergunakan untuk memperhinakan bacaan kamu. Keburukan mereka terletak bukan pada perasaan mereka, tetapi pada akal fikiran mereka yang enggan dan keras (dalam menerima kebenaran)"...(Madarij al-Salikin, j. 1, hlm. 362)

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Haqiqat al-Tauhid menjelaskan;
"Tauhid yang dibawa para Rasul dan yang ditekankan oleh Islam supaya menetapkan pegangan, mengukuhkannya serta memeliharanya, ia tidak akan tercapai dan tidak akan mencengkam kukuh akarnya serta tidak akan menjulur cabang-cabangnya kecuali syarat-syarat berikut:

a. Keikhlasan Ubudiyyah kepada Allah yang Esa.

b. Mengkufurkan setiap taghut, membersihkan dan menjauhi dari orang yang menyembahnya atau turut memberi kerjasama kepadanya selain Allah.

c. Memelihara dari apa-apa jenis dan tingkatan syirik serta menutup pintu yang terdedah kepadanya.

Jelaslah, daripada apa yang ditegaskan oleh al-Qaradhawi ini, para ulama dan umat Islam sangat perlu memelihara diri dan masyarakat Islam daripada apa-apa jenis dan tingkatan syirik (besar atau kecil) dan berjuang untuk menutup pintu yang membawa kepada kesyirikan. Inilah perjuangan kami. Kami menerangkan perkara-perkara dalam Jemaah Aurad Muhammadiah yang bercanggah dengan Akidah Islamiyah yang sahih agar seluruh masyarakat Islam mengetahui pendustaan mereka dalam beragama serta dapat melakukan kerja secara kolektif dalam memulihkan mereka agar kembali ke jalan dan aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah.