Wednesday, November 08, 2006

Penyelewengan Asaari Dalam Konsep Ke-Ummiy-an Rasulullah s.a.w.

Atas dasar kecintaan kami kepada Rasulullah s.a.w., kami tetap terus berjuang mempertahankan baginda (nama dan peribadi) daripada diperkotak-katikkan dan dipermainkan oleh golongan pengikut hawa nafsu dalam beragama. Kerana Rasulullah s.a.w., kami akan terus melancarkan serangan dan perang pemikiran terhadap golongan yang berdusta atas nama Rasul. Nama junjungan yang mulia tetap kami bersihkan daripada dieksploitasi oleh individu mahupun kelompok yang berkepentingan serta mereka yang tidak pernah takut dengan ancaman azab Allah kerana berdusta menggunakan nama Rasulullah.

Asaari baru sahaja menerbitkan buku terbarunya iaitu BUAH FIKIRAN USTAZ HJ ASHAARI MUHAMMAD SIRI 2. Buku tersebut adalah siri sambungan daripada buku yang telah diharamkan sebelum ini. Buku ini juga sedang menunggu untuk diharamkan setaraf dengan buku pornografi yang lain.

Dalam buku terbaru ini, Asaari ada menulis satu tajuk kecil yang berjudul APAKAH MAKSUD UMMIY RASULULLAH S.A.W.? Bagi tujuan artikel ini, kami akan menghuraikan penyelewengan pemikiran Asaari tentang konsep ummiy yang sangat bercanggah dengan Ahli Sunnah wa al-Jamaah.

Asaari memulakan penulisannya dengan teks berikut:

Semoga Allah mengampunkan kita di atas salah tanggapan dan salah tafsir terhadap status baginda Rasulullah s.a.w. sebagai seorang rasul yang ummiy. Selama ini kita difahamkan bahawa ummiy bereerti orang yang tidak tahu membaca dan menulis, atau dalam istilah lain buta huruf. Jika begitu fahaman kita ertinya kita menganggap baginda orang yang tidak belajar atau seorang yang bodoh. (hlm. 107)

Sebenarnya yang dimaksudkan ummiy itu ialah orang yang belajar secara luar biasa, bukan mengikut kaedah biasa atau belajar secara proses biasa. (hlm. 108)


Daripada penulisan Asaari ini, dapatlah difahami beberapa perkara berikut:
1. Asaari menolak tafsiran yang dibuat oleh Rasulullah sendiri dan ijmak para ulama tentang definisi UMMIY.
2. Asaari tidak memahami maksud sebenar UMMIY menurut al-Quran dan Sunnah.
3. Asaari membuat andaian bahawa semua umat Islam ‘memperbodohkan’ Rasulullah hanya kerana baginda tidak pandai membaca dan menulis.
4. Asaari mempunyai hidden agenda (niat tersembunyi) dalam artikel itu kerana ingin mengutamakan perkara ‘BELAJAR SECARA LUAR BIASA’.


Para ulama telah membincangkan definisi dan konsep ummiy ini sebelum Asaari lagi. Lebih jahat, Asaari menuduh bahawa para ulama mengambil tafsiran yang dibuat oleh Yahudi dan orientalis tentang konsep ummiy. Ini dapat dilihat dalam petikan perenggan berikut:

“Musuh-musuh Islam terutama Yahudi dan puak orientalis sebenanrnya sangat kenal siapa Rasulullah. Kehebatan dan kemuliaanya ada dalam pengatahuan dan kajian mereka. Lalu mereka cuba mengelirukan dan megnelabukan pemikiran umat Islam dengan mengatakan bahawa, “Rasulullah itu ummiy yakni tidak tahu membaca dan menulis untuk membuktikan bahawa al-Quran itu bukan dari tulisan Rasulullah.” Nampaknya macam logik dan rasional hujah tersebut. Tapi, sebenarnya mereka menutup maksud ummiy yang sebenar yang memperlihatkan kehebatan Rasulullah.” (hlm. 110)

Mari kita lihat pandangan ijmak ulama’ tentang definisi Ummiy. Kemudian, kita bandingkan. Adakah benar definisi Ummiy itu berasal dari Yahudi atau dari lidah Rasulullah s.a.w. sendiri?

Ummiy telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam dua ayat berikut:

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأُمِّيِّينَ رَسُولا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ )
[ الجمعة: 2]

Maksud: Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang Arab yang Ummiyyin, seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mreka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mreka, serta mengajarkan mereka Kitab Allah dan Hikmah…

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الأمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ
]الأعراف[ 157
Maksud: “iaitu orang-orang yang mengikut Rasul, nabi yang ummiy yang mereka dapati tertulis (nama dan sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka…”

Imam Abu Jaafar Muhammad bin Jarir al-Tabari, ulama tafsir terawal telah menulis maksud ummiy dalam tafsirnya; Tafsir al-Tabari. Beliau sudah pasti bukan seorang Yahudi. Beliau menyatakan:

قال أبو جعفر: يعني بـ "الأميين" ، الذين لا يكتبون ولا يقرءون

Beliau mentafsirkan Ummiy sebagai orang yang tidak tahu membaca dan menulis. Beliau telah merujuk kepada tafsiran yang dibuat oleh al-Sunnah iaitu kata-kata Rasulullah sendiri. Mari kita lihat hadith-hadith tersebut:

Terdapat juga hadith sahih yang menerangkan sifat UMMIY Rasulullah s.a.w. dengan maksud tidak boleh membaca, menulis dan mengira. Mari kita lihat:

حدثنا يحيى بن بكير قال حدثنا الليث عن عقيل عن ابن شهاب عن عروة بن الزبير عن عائشة أم المؤمنين أنها قالت
أول ما بدئ به رسول الله صلى الله عليه وسلم من الوحي الرؤيا الصالحة في النوم فكان لا يرى رؤيا إلا جاءت مثل فلق الصبح ثم حبب إليه الخلاء وكان يخلو بغار حراء فيتحنث فيه وهو التعبد الليالي ذوات العدد قبل أن ينزع إلى أهله ويتزود لذلك ثم يرجع إلى خديجة فيتزود لمثلها حتى جاءه الحق وهو في غار حراء فجاءه الملك فقال اقرأ قال ما أنا بقارئ قال فأخذني فغطني حتى بلغ مني الجهد ثم أرسلني فقال اقرأ قلت ما أنا بقارئ فأخذني فغطني الثانية حتى بلغ مني الجهد ثم أرسلني فقال اقرأ فقلت ما أنا بقارئ فأخذني فغطني الثالثة ثم أرسلني فقال
{ اقرأ باسم ربك الذي خلق خلق الإنسان من علق اقرأ وربك الأكرم }

Maksud Hadith:

Hadis riwayat Aisyah ra., isteri Nabi saw. dia berkata:
Wahyu pertama yang diterima Rasulullah adalah mimpi yang benar. Setiap kali baginda bermimpi, mimpi itu datang bagaikan terangnya Subuh. Kemudian baginda sering menyendiri. Biasanya baginda menyepi di gua Hira'. Di sana, baginda beribadah beberapa malam, sebelum kembali kepada keluarganya (isterinya) dan mempersiapkan bekalan untuk itu. Kemudian baginda pulang ke Khadijah, mengambil bekal lagi untuk beberapa malam. Hal itu terus baginda lakukan sampai tiba-tiba wahyu datang ketika baginda sedang berada di gua Hira'. Malaikat (Jibril as.) datang dan berkata: Bacalah. Baginda menjawab: Aku tidak boleh membaca. Rasulullah saw. bersabda: Malaikat itu menarik dan mendakapku, hingga aku merasa kepayahan. Lalu ia melepaskanku seraya berkata: Bacalah. Aku menjawab: Aku tidak boleh membaca. Dia menarik dan mendakapku lagi, hingga aku merasa kepayahan. Kemudian ia melepaskan sambil berkata: Bacalah. Aku menjawab: Aku tidak boleh membaca. Dan untuk yang ketiga kalinya ia menarik dan mendakapku sehingga aku merasa kepayahan, lalu ia melepaskanku dan berkata: Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang paling Pemurah, yang mengajarkan manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak ia ketahui. … (sehingga akhir hadith)

Sahih Bukhari : 3 / Sahih Muslim: 231

Jelas dalam hadith di atas bahawa Rasulullah s.a.w. mengaku bahawa dirinya tidak tahu membaca. Adakah Rasulullah memperbodohkan dirinya atau mengalami inferiority complex (rasa rendah diri)? SAMA SEKALI TIDAK. Tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis bukan bererti BODOH sebagaimana yang didakwa oleh Asaari.

Kita perlu menyedari bahawa semua bangsa Arab memang tidak mempunyai kemahiran membaca dan menulis. Tamadun mereka begitu ketika itu tetapi masih tetap ada individu yang boleh membaca dan menulis. Malah Rasulullah s.a.w. sendiri mengarahkan Zaid bin Thabit belajar membaca dan menulis daripada orang Yahudi. Malah, Rasulullah mengarahkan semua tawanan Badar mengajar anak-anak Muslimin membaca dan menulis. MEREKA TIDAK PERNAH MERASA BODOH KERANA TIDAK TAHU MEMBACA DAN MENULIS. MALAH, MEREKA LEBIH HEBAT LAGI KERANA KAEDAH PENGEMBANGAN ILMU DIBUAT MELALUI LISAN. MEREKA MENGHAFAL DARI LISAN KE LISAN.

Satu lagi hadith yang penting ialah:

قول النبي صلى الله عليه وسلم:"إنا أمة أمية لا نكتب ولا نحسب"
Maksudnya: Kami adalah kaum yang buta huruf iaitu tidak boleh menulis dan tidak boleh mengira.

Hadith ini sahih terdapat dalam Kitab Sahih Bukhari, diriwayatkan juga oleh Imam Muslim, Imam Abu Daud, Imam al-Nasa’i dan Imam al-Suyuti.

Para ulama hadith yang hebat dan BUKAN YAHUDI seperti Imam Nawawi, Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dan lain-lain berijmak bahawa maksud Ummiy ialah tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis. Itu adalah tafsiran sebenar. Ini tidak pernah membawa maksud kita menghina Nabi, kerana Nabi sendiri yang menerangkan apakah maksud ummiy tersebut.

Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa perkataan Ummiy dinisbahkan kepada bangsa Arab sebagai masyarakat yang Ummiy kerana penulisan sukar didapati pada zaman itu. Walaupun begitu terdapat juga orang yang boleh membaca dan menulis. Apa yang dimaksudkan sebagai pengiraan dalam hadith di atas ialah kiraan bintang-bintang dan perjalanannya yang orang mengetahuinya terlalu sedikit. (Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar al-Asqalani, Jilid 6, hlm. 156)

Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim pula berkata, ummiy itu bermaksud mereka yang kekal dalam keadaan mereka ketika dilahirkan iaitu tidak tahu membaca, menulis dan mengira. Dan di antara mereka ialah Nabi Muhammad al-Ummiy. Selain itu, ummiy juga dinisbahkan kepada IBU kerana kebanyakan wanita ketika itu tidak tahu membaca dan menulis. (Syarah Sahih Muslim, Jilid 4, hlm. 50)

Dalam Kitab Syarah Hadith Imam Tirmizi, Tuhfah al-Ahwazi, juga menyatakan bahawa Ummiy ialah mereka yang tidak tahu membaca dan tidak tahu menulis.

Adakah semua Imam Ahli Sunnah ini menghina Rasulullah?

Sebenarnya, setelah kami meneliti, Asaari menulis artikel itu atas tujuan berikut:

a. Untuk membuat analogi (perumpamaan). Dia kononnya mencontohi keadaan Rasulullah yang tidak tahu membaca dan menulis, boleh mendidik manusia, bijaksana dan memiliki ilmu-ilmu tanpa perlu belajar menerusi proses persekolahan. Maka, dirinya juga sama. Dia tidak pernah menerima sistem pengajian Islam secara formal sehingga tamat, tidak pandai membaca dan menulis Arab, tidak tahu isi kandungan kitab turath dan muktabar, tetapi dia telah diberi ilmu direct daripada Allah sebagaimana proses yang dialami oleh Nabi s.a.w. Sehubungan itu, kalau Rasulullah boleh sedemikian kerana dipilih oleh Allah, maka Asaari juga berkeadaan sedemikian kerana dipilih oleh Allah.

Ini dapat difahami menerusi petikan perenggan berikut:

"Oleh kerana Rasulullah itu orangnya luar biasa, Allah pandaikan baginda tanpa mengikut proses biasa. Demikianlah Maha Besarnya Tuhan, Rasulullah dipandaikan melalui proses luar biasa. Jadi Rasulullah sebenarnya seorang yang belajar tidak secara biasa tapi secara luar biasa. Rasulullah belajar tetapi tidak perlu menulis, membaca, berguru atau belajar di sekolah. (hlm. 108)
“Rupa-rupanya begitu hebat Allah memproses hamba-hamba yang dikehendaki–Nya dengan cara dipandaikan tanpa melalui proses belajar secara biasa. (hlm. 109)
“Begitu jugalah bagi seseorang yang ingin memperolehi ilmu luar biasa dari Tuhan sepertimana Rasulullah mendapat wahyu. Tidak cukup sekadar melalui proses biasa dengan menggunakan pancaindera. (hlm. 111)


b. Untuk menafikan keilmuan para ulama muktabar dengan mendakwa ilmu mereka berasal daripada Yahudi. Sungguh dahsyat fitnah Asaari terhadap para ulama. Tujuannya hanya satu. Untuk mengelakkan para pengikutnya meninggalkannya kerana para Ulama tetap berjihad mendedahkan kepalsuan dan pendustaannya.

Asaari lupa bahawa para ulama itu mewarisi ilmu dari Nabi bukannya mendakwa mendapat ilmu direct dari Allah tanpa perantaraan. Rasulullah s.a.w. bersabda:

وإن العلماء ورثة الأنبياء وإن الأنبياء لم يورثوا دينارا ولا درهما ورثوا العلم فمن أخذه أخذ بحظ وافر

Sesungguhnya ulama itu pewaris para nabi. Dan sesungguhnya para nabi itu tidak meninggalkan dinar atau dirham tetapi mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambil ilmu tersebut sesungguhnya dia mendapat keuntungan yang besar.

Hadith SAHIH: Riwayat Abu Daud: 3157

Ini bermakna, para ulama mewariskan ilmu yang datangnya dari Nabi. Kalau seseorang menolak ilmu yang datangnya daripada ulama terdahulu, maka dia merosakkan agamanya. Lebih-lebih lagi jika orang itu mendakwa dia mendapat ilmu direct dari Tuhan. Dia sedang mengingkari hadith di atas.


Asaari, marilah bertaubat kepada Allah. Apakah tafsiran Imam al-Tabari, Imam Nawawi, Ibn Hajar dan semua ulama Ahli Sunnah itu menghina Rasulullah? Sama sekali tidak... ENGKAULAH YANG SEDANG BERDUSTA ATAS NAMA RASULULLAH...

1 Comments:

At 5:29 PM, Blogger ayus said...

Ulama membicarakan ada sunnah-sunnah baginda Rasulullah s.a.w yang tidak boleh ditiru oleh oleh kita, iaitu perkara yang dikhususkan untuk baginda sahaja.

Al-Imam Abu Sa’ad an-Naisaburi rh menyatakan di dalam "Kitab Syarf al-Mustofa" bahawa ianya berjumlah 60 perkara. Al-Imam an-Nawawi rh di dalam "Muqaddimah Syarh Sohih al-Imam Muslim rh" menyatakan bahawa ianya berjumlah 1200 perkara. Al-Imam al-Baihaqi rh pula menyatakan di dalam "Al-Madkhal" bahawa ianya berjumlah 1000 perkara.

Ada ulama’ rh yang menyatakan ianya mencapai 3000 perkara selain daripada Al-Quranul Karim, dan ada pula yang mengatakan ianya lebih-kurang mencapai 60,000 perkara (termasuklah mukjizatnya s.a.w).

Oleh itu, bagi pihak yang teringin sangat nak mengaku "nabi yang bukan nabi", sila semak2 balik kitab2 yang telah dikarang oleh para ulama. Jika tidak boleh menerima ulama zaman sekarang sebab dikatakan "ulama akal", maka bacalah karangan ulama terdahulu seperti Imam Nawawi, Imam Baihaqi dan lain2. Mereka semua tidak mungkin akan anda katakan sebagai "ulama akal".

Menyentuh sedikit berkenaan dengan Ummiyah ar-Rasul s.a.w, "Ummiy" itu sebenarnya bermakna seseorang yang tidak tahu membaca dan tidak pula tahu menulis. Dan kedua-dua sifat tidak tahu membaca dan menulis itu pula digelar sebagai "Ummiyah".

Ulama memperkuatkan maksud ini dengan memetik ayat Al-Qurannul Karim (juga telah dinyatakan oleh Webmaster). Ciri-ciri ummiy ini telah disifatkan oleh Allah s.w.t pada surah:

"Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang Arab yang Ummiyyin..."
(Al Jumu'ah: 2)

"(Iaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang 'ummiy'..."
(al-A’araf: 157)

Sifat tidak tahu membaca dan menulis itu sudah tentulah sifat yang terlalu buruk bagi kita, namun ianya tidaklah pula dianggap sebagai sifat yang buruk bagi Baginda Rasulullah s.a.w lantaran kedua-dua sifat itulah di antara bukti dan mukjizat kenabian dan kerasulan Baginda s.a.w.

Ia adalah bukti bahawa Al-Quranul Karim adalah bersumber 100% daripada Allah Ta’ala, asli dan tulin!

Kedua-dua sifat ini jugalah merupakan bukti-bukti yang kukuh yang boleh menepis segala dakwaan palsu dan tohmahan liar daripada golongan Orientalis Yahudi dan Kristian, yang selalu menuduh bahawa Baginda Rasulullah s.a.w telah menulis Al-Quranul Karim berdasarkan pembacaannya terhadap kitab Taurat dan Injil.

Bagaimanakah mungkin Baginda Rasulullah s.a.w membaca kitab Taurat dan Injil walhal Baginda Rasulullah s.a.w tidak tahu membaca dan menulis?

Maka inilah dia bukti yang kukuh yang menyatakan bahawa Al-Quranul Karim itu benar-benar bersumber daripada Allah Ta’ala 100 % dan ia bukanlah ciptaan Baginda s.a.w.

"Dan kamu tidak pernah membaca sebelumnya (Al Qur'an) sesuatu Kitabpun dan kamu tidak (pernah) menulis suatu Kitab dengan tangan kananmu; andaikata (kamu pernah membaca dan menulis), benar-benar ragulah orang yang mengingkari(mu)".
(al-‘Ankabut: 48)

" Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Qur'an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman "
(Yusuf: 111)

Oleh itu, dakwaan Asaari mengatakan Yahudi dan orientalis menuduh nabi menulis sendiri Al-Quran telah lama dijawab oleh Allah di dalam Al-Quran sendiri. Maka, tidak perlulah kepada jawapan yang lain (yang bertujuan untuk kepentingan peribadi). Apakah tidak cukup Allah dan Rasul sebagai jawapan apabila nyata ia telah jelas?

Adapun orang yang berhujah bahawa dia sendiri tidak mahu belajar membaca dan menulis kerana mengikuti sunnah Baginda Rasulullah s.a.w, orang itu adalah orang yang bodoh dan dangkal ilmunya mengenai Islam (khasnya mengenai pembahagian sunnah).

Bukankah di dalam Surah al-‘Alaq, ayat 1 - 5 mengandungi perintah dan gesaan menuntut ilmu dimulai dengan kalimah IQRA’? Bahkan terdapat hadis baginda yang tidak asing lagi bagi kita, yang menyuruh umatnya menuntut ilmu.

Bagaimanakah umat Islam boleh memajukan diri mereka sendiri dan mampu menggerunkan musuh-musuh Islam jika mereka sendiri tidak mengetahui ilmu agama dan ilmu sains teknologi yang hanya boleh didapati dengan pandai membaca dan menulis?

Orang seperti ini, patut sedar, kalau masih merasakan diri itu pandai tanpa belajar (kononnya dialah sorang2nya manusia yang mengikut sunnah dengan tidak belajar), sesungguhnya dia tidak akan menjadi Rasul akhir zaman yang bersifat "ummiy" itu.

 

Post a Comment

<< Home