Thursday, August 10, 2006

Asaari Tidak Mempunyai Syafaat

Antara ‘kehebatan’ Asaari yang sering dijaja olehnya atau para pengikutnya ialah "Abuya akan memberi syafaat kepada kita di hari akhirat." Berikut adalah petikan dalam VCD Kuliah Hubungan Dengan Mursyid:
…"Pada hari kiamat, abuya tunggu murid-muridnya yang setia untuk bagi syafaat.. Imam mahdi berdiri sebelah abuya & turut bagi syafaat. Sebelah Imam Mahdi adalah Rasulullah yang turut memberikan syafaat pada pengikut-pengikut abuya…"


Kenyataan di atas adalah PENDUSTAAN BESAR kerana bercanggah dengan nas yang sahih tentang konsep Syafaat menurut Ahli Sunnah wal Jamaah. Bagi kami Asaari tidak boleh memberi syafaat kerana tidak ada satu nas dari al-Quran dan Hadith yang sahih yang menyatakan bahawa Allah S.W.T memberikan kuasa syafaat kepada Asaari.

Berikut adalah dalil-dalil dari al-Quran yang menerangkan tentang Syafaat:

Firman Allah 'Azza wa Jalla:

وَأَنْذِرْ بِهِ الَّذِينَ يَخَافُونَ أَنْ يُحْشَرُوا إِلَى رَبِّهِمْ لَيْسَ لَهُمْ مِنْ دُونِهِ وَلِيٌّ وَلا شَفِيعٌ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ

Dan berilah amaran dengan Al-Quran itu kepada orang-orang yang merasa takut bahawa mereka akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), (padahal) tiadalah bagi mereka pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah, supaya mereka bertaqwa.
(Al-An'am: 51)



قُلْ لِلَّهِ الشَّفَاعَةُ جَمِيعًا لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ
Katakanlah (Wahai Muhammad): "Syafaat itu semuanya hak kepunyaan Allah; Dia-lah yang menguasai segala urusan langit dan bumi; kemudian kamu akan dikembalikan kepadanya (untuk menerima balasan)." (Az-Zumar: 44)


اللَّهُ لا إِلَهَ إِلا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ لا تَأْخُذُهُ سِنَةٌ وَلا نَوْمٌ لَهُ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأرْضِ مَنْ ذَا الَّذِي يَشْفَعُ عِنْدَهُ إِلا بِإِذْنِهِ يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلا يُحِيطُونَ بِشَيْءٍ مِنْ عِلْمِهِ إِلا بِمَا شَاءَ وَسِعَ كُرْسِيُّهُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَلا يَئُودُهُ حِفْظُهُمَا وَهُوَ الْعَلِيُّ الْعَظِيمُ
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang tetap hidup, yang kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhluk-Nya). Yang tidak mengantuk, usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya. Yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. dan Dia-lah yang Maha Tinggi (darjat kemuliaan-Nya), lagi Maha Besar (kekuasaan-Nya) (Al-Baqarah: 255)

وَكَمْ مِنْ مَلَكٍ فِي السَّمَاوَاتِ لا تُغْنِي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا إِلا مِنْ بَعْدِ أَنْ يَأْذَنَ اللَّهُ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَرْضَى
Dan berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka tidak dapat mendatangkan sebarang faedah, kecuali sesudah Allah mengizinkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan diredhai-Nya. (An-Najm: 26)


قُلِ ادْعُوا الَّذِينَ زَعَمْتُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ لا يَمْلِكُونَ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ فِي السَّمَاوَاتِ وَلا فِي الأرْضِ وَمَا لَهُمْ فِيهِمَا مِنْ شِرْكٍ وَمَا لَهُ مِنْهُمْ مِنْ ظَهِيرٍ (٢٢) وَلا تَنْفَعُ الشَّفَاعَةُ عِنْدَهُ إِلا لِمَنْ أَذِنَ لَهُ حَتَّى إِذَا فُزِّعَ عَنْ قُلُوبِهِمْ قَالُوا مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ قَالُوا الْحَقَّ وَهُوَ الْعَلِيُّ الْكَبِيرُ
Katakanlah (Wahai Muhammad kepada kaum musyrik): "Serukanlah makhluk-makhluk Yang kamu dakwakan sebagai Tuhan selain dari Allah; mereka tidak memiliki kuasa seberat debu pun di langit dan di bumi, dan mereka tiada sebarang bahagian perkongsian (dengan Allah) Dalam (mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi, dan Allah pula tidak mendapat sebarang pertolongan dari mereka". Dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah, (maka orang-orang yang hendak memohon syafaat terpaksa menunggu izin itu dengan penuh perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu) bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: "Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu?" sebahagian di antara mereka menjawab: "Tuhan telah menitahkan kebenaran"; dan Dia-lah jua yang Maha Tinggi keadaannya, lagi Maha besar kekuasaan-Nya. (Sabba': 22-23)


Ulasan ayat:
Ayat pertama dan kedua menunjukkan bahawa syafaat seluruhnya adalah hak khusus bagi Allah. Ayat ketiga menunjukkan bahawa syafa'at tidak diberikan kepada seseorang tanpa izin dari Allah. Ayat keempat menunjukkan bahawa syafa'at diberikan oleh orang yang diredhai Allah dengan izin dari-Nya, dengan demikian syafa'at adalah hak mutlak Allah, tidak dapat diminta kecuali dari-Nya; dan menunjukkan pula kebatilan syirik yang dilakukan oleh kaum musyrikin dengan mendekatkan diri kepada malaikat, atau nabi dan orang-orang shaleh, untuk meminta syafa'at mereka. Ayat kelima mengandungi bantahan terhadap kaum musyrikin yang menyatakan mereka itu menyeru selain Allah, seperti malaikat dan makhluk-makhluk lainnya, kerana menganggap bahawa makhluk-makhluk itu mendatangkan manfaat atau menolak mudharat; dan menunjukkan bahawa syafa'at tidak berguna bagi mereka, kerana syirik yang mereka lakukan, tetapi hanya berguna bagi orang yang mengamalkan tauhid dan itu pun dengan izin Allah.


Seterusnya, dalam beberapa hadith dinyatakan:

Hadith 1:

‏حدثني ‏ ‏يونس بن عبد الأعلى ‏ ‏أخبرنا ‏ ‏عبد الله بن وهب ‏ ‏قال أخبرني ‏ ‏مالك بن أنس ‏ ‏عن ‏ ‏ابن شهاب ‏ ‏عن ‏ ‏أبي سلمة بن عبد الرحمن ‏ ‏عن ‏ ‏أبي هريرة: ‏ ‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏لكل نبي دعوة ‏ ‏يدعوها فأريد أن أختبئ دعوتي شفاعة لأمتي يوم القيامة


Dari
Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap Nabi mempunyai doa yang mudah dimakbulkan. Aku ingin menyimpan doaku tersebut, untuk memberi syafaat kepada umatku pada Hari Kiamat nanti.
Hadis Sahih Muslim: 293


Hadith 2:
‏حدثنا ‏ ‏يحيى بن يحيى ‏ ‏أخبرنا ‏ ‏هشيم ‏ ‏عن ‏ ‏سيار ‏ ‏عن ‏ ‏يزيد الفقير ‏ ‏عن ‏ ‏جابر بن عبد الله الأنصاري ‏ ‏قال:
‏ ‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أعطيت خمسا لم يعطهن أحد قبلي كان كل نبي يبعث إلى قومه خاصة وبعثت إلى كل أحمر وأسود وأحلت ‏ ‏لي الغنائم ولم تحل لأحد قبلي وجعلت ‏ ‏لي الأرض طيبة طهورا ومسجدا فأيما رجل أدركته الصلاة صلى حيث كان ونصرت بالرعب بين يدي مسيرة شهر وأعطيت الشفاعة

Hadis
Jabir bin Abdullah Al-Ansariy r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Aku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku. Semua Nabi sebelumku hanya diutuskan khusus kepada kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan kepada manusia yang berkulit merah dan hitam iaitu seluruh manusia. Dihalalkan untukku harta rampasan perang, sedangkan ianya tidak pernah dihalalkan kepada seorang Nabi pun sebelumku. Disediakan untukku bumi yang subur lagi suci sebagai tempat untuk sujud iaitu sembahyang. Maka sesiapa pun apabila tiba waktu sembahyang walau di mana saja dia berada hendaklah dia mendirikan sembahyang. Aku juga diberikan pertolongan secara dapat menakutkan musuh dari jarak perjalanan selama satu bulan. Aku juga diberikan hak untuk memberi syafaat.
Hadis Sahih Muslim: 810


Daripada semua dalil-dalil ini, tidak wujud satu buktipun manusia biasa seperti Asaari mampu memberi syafaat kepada manusia di hari Akhirat. Ini kerana nas dengan jelas menyatakan bahawa perlindungan dan syafaat hanya datang dari Allah S.W.T dan Allah S.W.T hanya mengizinkan sesiapa yang dikehendaki untuk memberikan syafaat. Ini diterangkan dengan nas-nas yang lain bahawa hanya Nabi Muhammad sahaja yang berhak memohon syafaat daripada Allah S.W.T untuk umat manusia. Malah, dalam hadith di atas dengan jelas membuktikan bahawa para Nabi lain tidak dapat menyelamatkan umatnya dan tidak mampu memberi syafaat sebagaimana Nabi Muhammad. PERSOALANNYA, ADAKAH ASAARI LEBIH HEBAT DAN TINGGI MARTABATNYA KERANA BOLEH MEMBERI SYAFAAT BERBANDING PARA NABI DAN RASUL SEBELUM NABI MUHAMMAD S.A.W.?


Syaikh Al-Islam (m. 728 H/1328M) mengatakan:
"Allah telah menyangkal segala hal yang menjadi tumpuan kaum musyrikin, selain Diri-nya sendiri, dengan menyatakan bahawa tak seorang pun selain Allah mempunyai kekuasaan, atau sebahagiannya, atau menjadi pembantu Allah. Berkenaan syafa'at, maka telah ditegaskan Allah bahawa syafa'at ini tidak berguna kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah untuk memperolehnya, sebagaimana firman-Nya:

يَعْلَمُ مَا بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَلا يَشْفَعُونَ إِلا لِمَنِ ارْتَضَى وَهُمْ مِنْ خَشْيَتِهِ مُشْفِقُونَ

Allah mengetahui apa yang di hadapan mereka (yang telah mereka lakukan), dan apa yang di belakang mereka (yang akan mereka lakukan); dan mereka tidak memohon syafaat melainkan bagi sesiapa yang diredhai Allah; dan mereka pula sentiasa cemas takut daripada ditimpa azab-Nya. (Al-Anbiya': 28)

Abu Hurairah telah bertanya kepada Nabi: "Siapakah orang paling beruntung dengan syafa'atmu?" Baginda menjawab: "Mereka ialah orang yang mengucapkan "Laa ilaha illa Allah" dengan ikhlas dari dalam hatinya." (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan Al-Bukhari)


Syafa'at yang ditetapkan ini adalah syafa'at untuk Ahlul Ikhlas wa Tauhid (orang-orang yang mentauhidkan Allah dengan memurnikan ibadah kepada-Nya), dengan izin Allah; bukan untuk mereka yang mensyirikkan-Nya. Dan hakikatnya, bahawa Allah-lah yang melimpahkan kurnia-Nya kepada Ahlul Ikhlas wa Tauhid dengan memberikan maghfirah kepada mereka melalui do'a orang yang diizinkan Allah untuk memperoleh syafa'at, untuk memuliakan orang ini dan menerimakan kepadanya Al-Maqam Al-Mahmud (kedudukan terpuji). Sehubungan itu, syafaat yang tidak diiktiraf oleh Al-Qur'an adalah syafaat yang ada unsur syirik di dalamnya. Kerana itulah Al-Qur'an telah menetapkan dalam beberapa ayat bahawa syafa'at mesti dengan izin dari Allah; dan Nabi s.a.w. sudah menjelaskan bahawa syafa'at hanyalah untuk Ahlul Tauhid wal Ikhlas.

Sehubungan itu, kami memohon bukti dari nas al-Quran dan Sunnah yang sahih bahawa Asaari boleh memberikan syafaat kepada umat di hari akhirat. Apa yang pasti, kami mendapati bahawa dalil-dalil yang ada menjelaskan bahawa Shafaat itu adalah milik Allah S.W.T dan akan didoakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk umatnya dan bukannya Asaari Muhammad.

Jelaslah bahawa Asaari adalah pendusta besar...