Wednesday, July 26, 2006

Islam Hadhari: Asaari Syok Sendiri

Pada kali ini, kami ingin menyentuh berkaitan Islam Hadhari dan Rufaqa. Rufaqa mendakwa bahawa mereka kini berada di ‘jalan yang benar’ dan Kerajaan sudah tidak bertindak ke atas mereka kerana Rufaqa berjuang bersama-sama Kerajaan untuk memahamkan masyarakat tentang Islam Hadhari. Hujah mereka lagi, Kerajaan sudah menerima Rufaqa dan tidak lagi menganggap Rufaqa sebagai satu ‘masalah’ kerana mereka kini sudah ‘Islam Hadhari’.

Lebih mengaibkan lagi, laman web Rufaqa (
www.rufaqadaily.com dan www.rufaqa.com) secara giat mempromosikan bahawa web mereka menjadi sumber rujukan Islam Hadhari. Sebelum itu lagi, Asaari tanpa segan dan malunya telah menulis satu buku yang menerangkan konsep Islam Hadhari mengikut kefahamannya. Lalu, Asaari mendakwa kini perjuangan mereka bukan lagi untuk mendapatkan Daulah Islamiah, tetapi hendak mempromosikan Islam Hadhari pula. Ini sekadar taqiyah mereka sahaja.

Sehingga kini, Asaari dan para pengikutnya masih ‘syok’ dengan Islam Hadharinya dan menyangka pihak kerajaan ‘sayang’ pada mereka berikutan sokongan mereka itu. Paling pelik, Asaari telah menamakan kedai runcitnya dengan ‘Suq Islam Hadhari’ dan menerbitkan album maksiat Mawaddah yang menyanyikan lagu-lagu dan sajak Islam Hadhari. Lebih menjijikkan, cover CD itu kelihatan gambar superimpose Mawaddah dan YDP Agong, (Sultan Darul Sunnah).

Kami mendapati, Asaari ‘syok’ sendiri dalam sokongannya terhadap Islam Hadhari. Sebaliknya, Perdana Menteri dan para Menteri sepakat menolak Islam Hadhari versi Asaari. Kesesatan Akidah mereka menjadi dasar utama penolakan tersebut.

Lihat petikan berita berikut :

Berita Harian, 1 Julai 2005, Pandangan Islam Hadhari Ashaari Menyeleweng.

Kerajaan mengesan empat penyelewengan yang jelas dalam sebuah buku bertajuk Islam Hadhari berdasarkan pandangan bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, berkata buku Islam Hadhari itu ditulis dan diolah secara baik sehingga penyelewengan daripada prinsip Islam Hadhari itu dilakukan secara halus.

Harian Metro, 1 Julai 2005, 4 Penyelewengan Buku Ashaari.

KERAJAAN mengesan sekurang-kurangnya empat penyelewengan terkandung dalam buku bertajuk `Islam Hadhari' setebal 175 muka surat yang ditulis berdasarkan pandangan bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad. Empat penyelewengan itu ialah mendakwa konsep taqwa 90 peratus berada dalam diri dan selebihnya di luar, sistem pendidikan negara sekular, Ashaari menganggap dirinya daripada keturunan Bani Tamin (wakil untuk menemui Imam Mahadi) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dianggap kejam dan zalim.

Metro Ahad, 3 Julai 2005, Apa Sudah Jadi Pusat Pulih Akidah.

USAHA memesrakan diri dengan kerajaan oleh bekas pemimpin tertinggi Al-Arqam, Ashaari Muhammad nampaknya bukan sesuatu yang mudah, malah dia sekali lagi dikaitkan dengan penyelewengan. Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Abdullah Md Zin, ketika sidang akhbar di lobi Parlimen berkata kerajaan mengesan sekurang-kurangnya empat penyelewengan terkandung dalam buku bertajuk 'Islam Hadhari' setebal 175 muka surat, terbitan Rufaqa' Corporation Sdn Bhd (Rufaqa'), yang ditulis Ashaari.

____________________________________________

Sebenarnya, terdapat banyak lagi kesalahan dan penyelwengan dalam buku tersebut. Bukan empat. Sesiapa yang membacanya, pasti akan melihat kecetekan ilmu seorang yang mendakwa dirinya ‘pembantu Imam Mahdi’.

Sehubungan itu, kami mengingatkan Asaari agar tidak lagi menjadi 'umang-umang' yang menumpang perjuangan Islam Hadhari. Kalian telah tersesat Akidah, maka kembalilah kepada manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah. Selagi mana tidak bertaubat, semua ulama' dan umara' akan tetap menentang kalian.