Monday, October 02, 2006

Asaari Dajjal: Pendusta atas Nama Nabi s.a.w.

Kami sangat menghargai sokongan pembaca dan sanggup berjuang bersama kami berdakwah dan menegakkan panji Tauhid dan membantu menerangkan akidah yang benar agar masyarakat Islam tidak ditipu oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Kesibukan tugas team kami pada Ramadhan kali ini, menyebabkan artikel baru terlewat daripada jadual yang asal. Kami memohon maaf dengan sangat atas keuzuran ini. Namun, komitmen kami dalam dakwah ini tetap kami teruskan dan perjuangkan sehinggalah Allah menghancurkan kelompok (firqah) yang batil lagi sesat.

Setelah beberapa artikel membongkar penyelewengan yaqazah yang didakwa Asaari, pada kali ini kami ingin membawa pembaca berfikir dengan lebih mendalam lagi. Siapakah Asaari sebenarnya? Benarkah Asaari adalah orang yang dijanjikan Nabi?

Pembaca budiman! Setelah kami menelusuri hadith-hadith sahih, kami menemui hadith berikut.

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a.:

حدثني ‏ ‏زهير بن حرب ‏ ‏وإسحق بن منصور ‏ ‏قال ‏ ‏إسحق ‏ ‏أخبرنا ‏ ‏و قال ‏ ‏زهير ‏ ‏حدثنا ‏ ‏عبد الرحمن وهو ابن مهدي ‏ ‏عن ‏ ‏مالك ‏ ‏عن ‏ ‏أبي الزناد ‏ ‏عن ‏ ‏الأعرج ‏ ‏عن ‏ ‏أبي هريرة ‏
‏عن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏لا تقوم الساعة حتى يبعث دجالون كذابون قريب من ثلاثين كلهم يزعم أنه رسول الله ‏

Dari Nabi s.a.w., baginda bersabda: Kiamat tidak akan terjadi sebelum dibangkitkan dajjal-dajjal pendusta yang berjumlah sekitar tiga puluh orang, semuanya mengaku bahawa dia adalah utusan (wakil) Allah.

Hadith Sahih Muslim: 5205

Sekiranya Asaari mendakwa dirinya adalah orang yang dijanjikan, maka kami bersetuju! Dia bukanlah seorang Pemuda Bani Tamim atau Pembantu Imam Mahdi yang dijanjikan! Sebaliknya, dia adalah pendusta yang dijanjikan oleh Rasulullah s.a.w. akan kemunculannya pada akhir zaman ini. Pendusta yang menggunakan nama Allah dan Rasul. Juga pendusta yang menggelarkan dirinya wakil Tuhan pada zaman ini dengan pelbagai gelaran seperti ‘Orang Tuhan’, ‘Rasul yang bukan Rasul’ dan ‘Sohibuzzaman’.

Kami akan menghuraikan hujah kami dan bagaimana Asaari menepati ciri-ciri dalam hadith-hadith sahih tentang Dajjal pendusta.

Imam Nawawi rahimahullah mengulas hadith di atas, sebagaimana berikut:
مَعْنَى ( يُبْعَث ) يَخْرُج وَيَظْهَر , وَسَبَقَ فِي أَوَّل الْكِتَاب تَفْسِير الدَّجَّال , وَأَنَّهُ مِنْ الدَّجْل , وَهُوَ التَّمْوِيه , وَقَدْ قِيلَ غَيْر ذَلِكَ , وَقَدْ وُجِدَ مِنْ هَؤُلَاءِ خَلْق كَثِيرُونَ فِي الْأَعْصَار , وَأَهْلَكَهُمْ اللَّه تَعَالَى , وَقَلَعَ آثَارهمْ , وَكَذَلِكَ يُفْعَل بِمَنْ بَقِيَ مِنْهُمْ .

“Maksud “yub’athu” ialah keluar atau zahir. Dan telah dinyatakan pada awal kitab mengenai tafsiran dajjal. Dajjal daripada perkataan al-dajl iaitu mengelirukan. Dan dikatakan dengan makna lain. Dan telah muncul mereka ini dengan bilangan yang ramai sepanjang zaman, dan mereka telah dihancurkan oleh Allah, dan telah dihilangkan kesan mereka, dan begitulah akan dilakukan terhadap mereka yang masih belum muncul.”

Daripada tafsiran Imam Nawawi ini, kita mendapat dua ciri utama dajjal pendusta, iaitu:
a. Dajjal bersikap mengelirukan.
b. Dajjal mempunyai bilangan yang ramai dan kuat.


Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fathu al-Bari yang mensyarahkan Sahih al-Bukhari dalam Bab Alamatun Nubuwah fi al-Islam, juz 10, hlm. 410:

“Dajjal ialah menutup (menyembunyikan kebenaran dan mengelirukan, dan digunakan juga untuk penipuan. Bukanlah bermaksud hadith ini sesiapa sahaja yang mengaku menjadi nabi, kerana bilangan mereka terlalu banyak, kerana sebahagian besar mereka disebabkan penyakit mental tetapi maksud hadith ini ialah siapa yang mendakwa dirinya nabi dan mempunyai kekuatan dan menyebabkan keraguan kekeliruan masyarakat Islam. Dan Allah taala telah menghancurkan mereka itu dan mereka yan belum lagi muncul yang mana akan diakhiri dengan Dajjal al-Masih.”


Daripada tafsiran Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani ini, kita mendapat tiga ciri utama dajjal pendusta, iaitu:
a. Dajjal pendusta bukanlah mengisytiharkan dirinya sebagai nabi secara rasmi atau terang-terangan.
b. Dajjal pendusta mempunyai bilangan pengikut yang ramai.
c. Dajjal pendusta menimbulkan keraguan dan menggoncang keyakinan masyarakat dengan kuat.


Imam Muslim juga meriwayatkan matan hadith yang lain:

Nabi bersabda:

(maksudnya): Pada akhir zaman akan ada para dajjal lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadith-hadith yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu (menipu kamu sehingga yang batil disangkakan benar). - Riwayat Muslim dalam muqaddimah sahihnya.

Kandungan hadith yang sama juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hambal dalam Musnadnya:

حدثنا ‏ ‏حسن بن موسى ‏ ‏حدثنا ‏ ‏ابن لهيعة ‏ ‏حدثنا ‏ ‏سلامان بن عامر ‏ ‏عن ‏ ‏أبي عثمان الأصبحي ‏ ‏قال سمعت ‏ ‏أبا هريرة ‏ ‏يقول :‏
إن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال ‏ ‏سيكون في أمتي دجالون كذابون يحدثونكم ببدع من الحديث بما لم تسمعوا أنتم ولا آباؤكم فإياكم وإياهم لا يفتنونكم

Musnad Ahmad; No. Hadith 8241: Hasan Sahih

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. bersabda: Akan datang pada umatku, para Dajjal pendusta, mereka memberitahu hadith yang direka yang tidak pernah kamu dengar dan bapa-bapa kamu dengar, maka berhati-hatilah kamu akan diri mereka jangan sampai mereka memfitnah (memperdaya dan menipu) kamu.

Daripada hadith riwayat Imam Muslim dan Imam Ahmad ini, kita mendapat tiga ciri utama dajjal pendusta, iaitu:
a. Kedatangan Dajjal pendusta adalah sahih dan pasti.
b. Para Dajjal berdusta atas nama Nabi dengan mencipta ‘kata-kata Nabi’, ‘mesej dari Nabi’ atau ‘pengkhabaran dari Nabi’ sedangkan tidak pernah didengar oleh semua generasi umat Islam daripada masa dahulu sehingga kini.
c. Rasulullah meminta kita semua berhati-hati dengan fitnah mereka.


Mari kita nilai, ciri DAJJAL pendusta yang terdapat pada diri Asaari:

A. MENGISYTIHARKAN DIRINYA SEBAGAI SEORANG UTUSAN ATAU WAKIL TUHAN.

Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa tidak semestinya seseorang itu membuat pengakuan yang jelas atau mutlak. Ini termasuklah dalam bentuk tidak langsung. Kami pasti bahawa Asaari tidak pernah mengisytiharkan dirinya sebagai seorang Nabi atau Rasul. Tetapi, kami mendapati bahawa dia telah mengisytiharkan dirinya memiliki sifat khusus yang ada hanya pada Rasul atau Nabi. Ini bermakna, Asaari secara sedar atau tidak telah mengisytiharkan dirinya memiliki Khasha’is al-Nubuwah (Ciri istimewa Kenabian). Contohnya:

a. Asaari mengisytihar diri sebagai wakil Tuhan atau ‘orang Tuhan’. Ini bermaksud, dia mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Allah sehingga boleh berkomunikasi dan berbincang. Sebagai contohnya, isu pertukaran ajal yang pernah kami sentuh sebelum ini dan kadar dan bentuk penyakit yang dinyatakan dalam VCD Kuliah Hubungan Dengan Mursyid. Malah, Asaari mendakwa dirinya adalah orang yang paling bertaqwa di dunia ini dan mencintainya menjadi prasyarat mencintai Allah.

b. Asaari mendakwa mendapat ’wahyu’ (yang sebenarnya ilham) secara direct (langsung) dari Tuhan tanpa perlu belajar atau perantaraan.

c. Asaari mendakwa dirinya Rasul yang bukan Rasul. Iaitu dirinya memiliki tanggungjawab dan peranan setaraf dengan Rasul. Tetapi, katanya lagi, kerana tidak ada lagi Rasul pada masakini, dia adalah ’rasul yang bukan Rasul’.

d. Asaari mendakwa dirinya mahfuz iaitu terpelihara daripada dosa dan kesalahan.

e. Asaari mewajibkan semua pengikutnya mengikuti dan menguasai ilmu MINDA. Apakah itu MINDA? Minda ialah perkataan, tulisan, perbuatan, amalan, pengakuan yang dibuat oleh Asaari. Minda adalah penerang kepada al-Quran dan Hadith. Maka, tidak lagi perlu merujuk kepada al-Quran dan hadith apabila sudah menguasai MINDA. Bukankah konsep MINDA Asaari ini, sama dengan konsep SUNNAH Rasulullah s.a.w.? Lebih dahsyat lagi, MINDA ini datangnya direct dari Allah terus kepada Asaari tanpa perlu perantaraan lagi.

B. BERDUSTA DENGAN MENCIPTA HADITH ATAU PERKHABARAN DARI RASULULLAH.

Ciri seterusnya ialah Asaari telah berdusta menerusi agenda yaqazahnya dengan mengkhabarkan berita ghaib dari Rasulullah s.a.w. kepada pengikutnya. Kononnya itu adalah mesej daripada Rasulullah yang diperolehi hasil dialog bersemuka (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w.

Kami ingin menegaskan bahawa yaqazah Asaari dan ’Rasulullah’ adalah satu bentuk dan kaedah baru dalam mencipta ’kata-kata yang datangnya daripada Rasulullah’. Kalau dahulu, para pereka hadith lebih menumpukan kepada hadith targhib wa al-tarhib, tetapi Asaari berdusta dengan menkhususkan perkara ghaib dan berita masa akan datang.

Perlu ditegaskan juga bahawa semua kata-kata Nabi adalah termasuk dalam definisi hadith. Ini bermakna, Asaari telah secara sengaja telah membuat pendustaan terhadap Rasulullah kerana dia tidak pernah berjumpa secara jaga walau sesaat dengan Rasulullah. Jika semua perantaranya sudah pernah membuat pengakuan bahawa yaqazah itu satu penipuan, mengapa Asaari terus berjuang dengan modal perjuangan yang datang dari yaqazah? Ini bermakna dia ada kepentingan. Ini kerana yaqazah telah meningkatkan ketaksuban pengikutnya terhadap dirinya.

C. MEMPUNYAI PENGIKUT YANG RAMAI DAN ADA KEKUATAN.

Benarlah kata-kata Rasulullah s.a.w.! Apa yang baginda beritakan memang benar. Para pengikut Asaari Dajjal ini memang semakin berkembang. Asaari pandai memikat mangsanya! Asaari menggunakan kekuatan bahasa yang dimiliki untuk mensihir telinga orang awam dengan ‘keindahan ilmu rasa’. Akibatnya, ramai yang terpesona. Tetapi pelik, tidak ada ulama yang mengikutinya kerana ilmu Asaari sangat banyak yang bercanggah dengan ilmu Allah yang sebenar.

Pengikut yang ramai juga bermaksud kekuatan. Asaari mempunyai jentera yang kuat untuk memperdaya umat Islam menerusi media, kebudayaan, perniagaan dan penulisan.

D. MEMBAWA FITNAH YANG BESAR.

Asaari dan ajarannya memang banyak mengelirukan umat Islam khususnya di alam Melayu. Kami melihat berapa ramai orang menjadi mangsa sehingga akidah dan sistem hidup mereka musnah dan rosak. Ramai orang yang terkeliru dengan pelbagai taktik dan strategi Asaari yang sangat mempesoanakan. Masyarakat melihat Asaari dan jemaahnya dengan penuh keindahan, tetapi tidak tahu di dalamnya ada nanah yang sedang membusuk dan membesar.

Fitnah yang disabdakan oleh baginda itu adalah fitnah terhadap iman dan akidah! Fitnah yang mengakibatkan ramai orang terkeliru dan mengikuti ajaran sesat yang dibawa oleh Asaari. Bagaimanapun, pesan baginda sangat perlu kita pegang. Iaitu berhati-hati dan berwaspada dengan kejahatan para Dajjal dan pengikutnya.

Daripada keempat-empat huraian di atas, kami mendapati bahawa Asaari memang benar-benar menepati ciri seorang Dajjal pendusta = Dajjal al-Kazzab. Selama ini, mungkin orang awam hanya mengetahui tentang al-Masih Dajjal yang menjadi lawan kepada Nabi Isa a.s. sebelum Kiamat berlaku. Itu memang wujud, tetapi al-Masih Dajjal tidak sama dengan Dajjal al-Kazzab. Kini, kami perkenalkan pula satu lagi wajah dajjal yang sangat menakutkan kita dengan bahaya dan fitnah yang sangat besar!


Menurut jumhur ulama, pembohong dan pendusta yang menggunakan nama Nabi ini telah melakukan dosa besar tetapi tidaklah menjadi kafir kecuali dia telah menghalalkan perbuatan dusta itu. Dan kami mengambil dan berdiri dengan pendapat jumhur ini. Bagaimanapun, seorang ulama dalam mazhab al-Syafie, iaitu al-Imam Abu Muhammad al-Juwaini bapa kepada Imam al-Haramain mengkafirkan orang yang sengaja berdusta terhadap Rasulullah s.a.w. walaupun dia tidak menghalalkan perbuatan dusta itu.

Pendapat Imam al-Juwaini ini disandarkan kepada firman Allah:

إِنَّمَا يَفْتَرِي الْكَذِبَ الَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْكَاذِبُونَ (١٠٥)
Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang berdusta.
Surah al-Nahl: ayat 105

Ayat ini dengan tegas menafikan iman orang-orang yang membuat dusta terhadap Allah, dan berdusta terhadap Rasulullah s.a.w. bererti berdusta terhadap Allah. Pendapat al-Juwaini ini disepakati oleh Imam Nashiruddin Ahmad bin Muhammad bin al-Munair al-Maliki dan ulama-ulama lain dari mazhab Hambali dan disepakati juga oleh Imam al-Zahabi jika pendustaan itu dibuat dalam perkara-perkara yang bersangkutan dengan syariat.

Imam al-Zahabi menyatakan firman Allah berikut:

وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ تَرَى الَّذِينَ كَذَبُوا عَلَى اللَّهِ وُجُوهُهُمْ مُسْوَدَّةٌ ...
Dan pada hari kiamat, Engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah (dan yang menyatakan kesedihan itu) - muka mereka hitam legam...
(Surah al-Zumar: ayat 60)

Beliau kemudiannya menyebutkan pula pendapat al-Imam al-Hafiz Ibn al-Jauzi yang berkata dalam tafsirnya: Sebahagian para ulama berpendapat bahawa berdusta kepada Allah dan Rasul-Nya adalah kufur yang mengeluarkan seseorang daripada agama (murtad).

Ini adalah pendapat sebilangan ulama hadith yang sangat cinta pada Allah dan Rasul serta ingin membersihkan agama daripada penyelewengan. Bagaimanapun, kami tetap tidak menghukum kafir kepada Asaari dan para pengikutnya yang telah terang-terang berdusta atas nama Rasulullah s.a.w. Kami memegang pendapat jumhur ulama yang tidak menghukumkan kafir atas kesalahan sebegini. Ini bermakna mereka telah melakukan dosa besar yang maha besar! Kami masih mengharap Asaari dan para pengikutnya kembali kepada Allah dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat!

Sikap para ulama dalam menentang orang yang mereka-reka kata-kata atau perkhabaran dari Rasulullah sangat keras. Sikap mereka ini sangat bertepatan dengan ’kekerasan’ amaran Nabi s.a.w. sendiri melalui sabdanya:

(Maksudnya): “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka”.
- Riwayat al-Bukhari dalam kitab al-Janaiz dan Muslim dalam muqaddimah sahihnya. Hadith ini adalah mutawatir sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn al-Salah,`Ulum al-Hadith, m.s. 239, cetakan: Beirut, Dar al-Fikr al-Mu`asarah, m.s. 239.

Dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut:

“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.”
- Riwayat al-Bukhari dalam kitab al-`ilm dan Muslim dalam muqaddimah sahihnya.

Kata al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam mengulas hadith ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda. Maksudnya: Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku). (Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, cetakan: Beirut, Dar al-Fikr, 1/270.)

Daripada kata-kata Ibn Hajar ini, tindakan Asaari beryaqazah dengan Rasulullah juga termasuk dalam pendustaan ke atas baginda.

Sehubungan itu, kami menyeru semua lapisan masyarakat, agar berwaspada dengan DAJJAL AL-KAZZAB yang ada di Malaysia ini. Berhati-hatilah…

Kalau benarlah Asaari salah seorang Dajjal al-Kazzab, maka tidaklah kami hairan mengapa ramai yang mengikutinya… Pembaca sekalian, berfikirlah. Benarkah analisa kami ini?

Haji Asaari Mohamad! Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat… Sebelum itu, kami ingin bertanya, “Engkau Dajjal yang ke berapa?”