Friday, August 18, 2006

PENDEDAHAN EKSKLUSIF: Evolusi Yaqazah Asaari dan ‘Rasulullah’

Pendedahan eksklusif ini dibuat setelah seminggu kami mengumpul maklumat dan mentahqiqkan (mengesahkan) kandungannya. Maklumat ini kami perolehi daripada seorang pemimpin Rufaqa’ yang masih bersama-sama Asaari, tetapi sudah ingin mahu bertaubat, dan akan keluar dari Rufaqa tidak lama lagi. Mr. X ini ingin bertaubat dan mencuci dosanya dan membuat pendedahan ini sebagai langkah islah (perbaikan) yang pertama. Kemudian, kami telah mentahqiqkan maklumat ini menerusi beberapa research yang dibuat. Sehubungan itu, ia adalah yang benar dan tepat.

Apabila membincangkan yaqazah, kami akan mendedahkan peringkat demi peringkat yang berlaku dalam Jemaah pimpinan Asaari ini. Perkembangan yaqazah Asaari dengan ‘Rasulullah’ sangat membuktikan bahawa dia telah, sedang dan berterusan berdusta atas nama Rasulullah s.a.w.

Kami akan membincangkan persoalan yaqazah menurut kacamata Islam dalam entri yang akan datang. Sehubungan itu, kami akan hanya mendedahkan maklumat ini secara fakta terlebih dahulu.

Apakah Asas Bagi Yaqazah?

Yaqazah wujud kerana hasil keyakinan Asaari dan pengikutnya terhadap ajaran Aurad Muhammadiah. Ini kerana dalam Aurad Muhammadiah terdapat fakta yang menyatakan tentang asal usul pengambilan Aurad itu yang diambil oleh Sheikh Suhaimi daripada Rasulullah secara jaga (secara yaqazah) dalam kaabah pada abad ke 20 iaitu setelah beribu tahun Rasulullah s.a.w. wafat dan menyempurnakan Islam. Sila lihat buku Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam yang menerangkan aspek ini.

Sehubungan itu, peperangan al-Arqam dan Pusat Islam (JAKIM) banyak menyentuh aspek ini. Asaari dan pengikutnya mendakwa bahawa yaqazah boleh berlaku dan telah berlaku di kalangan ulama sufi sepanjang sejarah Islam. Bagaimanapun, kata-katanya itu tidak pernah dibuktikan. Seterusnya, Asaari juga melabelkan bahawa semua ulama Malaysia yang menolak yaqazah adalah ‘ulama Wahabi’. Sehubungan itu, konfrontasi al-Arqam dan Pusat Islam (JAKIM) dilihat sebagai pertentangan antara ‘Ahli Sunnah’ dan Wahabi. Asaari mendakwa diri dan jemaahnya adalah proksi ‘Ahli Sunnah’ yang mengatakan yaqazah boleh berlaku, dan Pusat Islam (JAKIM) adalah proksi Wahabi yang menafikan yaqazah. Itulah tahap pemikiran Asaari. Dia tidak mampu berhujah dengan al-Quran dan Sunnah, tetapi sekadar meracun pemikiran pengikutnya dengan ‘isu wahabi’ yang konon-kononnya telah terkeluar dari Ahli Sunnah. Ini menunjukkan bahawa Asaari tidak pernah belajar Tauhid yang sebenar sehingga tidak mengenali apakah ciri-ciri Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar.

Semua hujah Asaari akan kami tangkis pada entri akan datang agar masyarakat Islam memahami sejauh mana pendustaan Asaari terhadap agama Allah ini dan terhadap Rasulullah s.a.w.

Mari kita telusuri kisah panjang evolusi yaqazah antara Asaari dan ‘Rasulullah’ yang diringkaskan:

ERA MUJAHID:

Teknologi yaqazah ini mula diperkenalkan oleh timbalan Asaari iaitu Abdul Halim Abbas. Dia berpendapat bahawa kalaulah Sheikh Suhaimi boleh berjumpa dengan Nabi secara jaga, maka kita juga boleh bertemu Nabi secara jaga. Sehubungan itu, pada peringkat awal, Halim Abbas telah beryaqazah terlebih dahulu dengan Sheikh Suhaimi. Pada peringkat ini, nama Rasulullah belum muncul lagi dalam drama tipu daya syaitan ini. Halim Abbas akan menulis soalan di atas kertas, dan kemudian menunggu jawapan dari Sheikh Suhaimi. Bagaimanapun, Sheikh Suhaimi memang tidak wujud secara jaga di hadapannya, tetapi membisikkan jawapan tersebut ke dalam hati Halim Abbas. Kemudian, Halim Abbas akan menulis jawapannya dan berkata inilah hasil yaqazah dengan Sheikh Suhaimi. Hakikatnya, Halim Abbaslah yang menulis soalan, dan dialah yang menulis sendiri jawapannya. Semua usaha Halim Abbas beryaqazah dengan Sheikh Suhaimi ini sangat direstui oleh Asaari sendiri. Era ini berlaku pada hujung 1980-an.

Kemudian, bermulalah era yaqazah dengan Rasulullah dengan menggunakan individu perantara. Ketika itu, al-Arqam sedang giat mencari individu ‘kasyaf’ yang boleh melihat Rasulullah atau mendatangkan baginda untuk beryaqazah dengan Asaari. Pelbagai usaha dibuat untuk membolehkan seseorang menjadi ‘kasyaf’ dan mampu beryaqazah. Antaranya ialah pemandu peribadi Asaari ketika itu yang bernama xxxxxx dan juga isteri-isteri Asaari sendiri iaitu Ummu Jah dan Ummi Nor. Kemudian, setelah mereka gagal dan tidak berjaya, maka Halim Abbas telah membawa seorang lagi bernama Mujahid dari Sabah untuk dipersembahkan kepada Asaari. Mujahid telah membuat dakwaan bahawa dirinya boleh bertemu Rasulullah secara jaga.

Pada era ini, yaqazah dengan Rasulullah berlaku di hadapan ramai orang. Satu majlis akan diadakan dan dihadiri oleh para simpati, pengikut al-Arqam, para Amir (pemimpin) dan ada juga yang disertai oleh Asaari. Majlis ini bertujuan untuk mencuci dosa dan memohon ampun kepada Tuhan (ALLAH). Mujahid akan memberitahu bahawa ‘Rasulullah’, beberapa orang Sahabat dan Sheikh Suhaimi telah datang ke majlis mereka. Hanya Mujahid seorang yang nampak ‘Rasulullah’ hadir dalam majlis tersebut.

Dalam majlis tersebut, Mujahid bertindak sebagai ‘scanner’. Dia menilai setiap individu yang hadir dan akan menyatakan apakah dosa yang dibuat oleh seseorang di hadapan khalayak ramai. Dia juga telah menentukan seseorang itu berkepala binatang kerana dosa-dosa yang dilakukan. Selain itu, Mujahid juga menentukan seseorang itu ahli syurga atau neraka. Akibat program yaqazah ini, setiap orang telah meraung dan menjerit seperti histeria. Fenomena ini sungguh menakutkan kerana Mujahid dilihat seorang yang ‘suci’ dan boleh membawa Rasulullah datang dan menilai dosa seseorang. Sehubungan itu, ramailah pengikut dan pemimpin al-Arqam ketika itu berbai’ah dengan menyerahkan semua harta yang dimiliki untuk menebus dosanya. Ada juga kes yang menyerahkan isterinya.

Ketika itu, ‘Rasulullah’ tidak pernah bercakap apa-apa walau sepatah dalam majlis tersebut. ‘Rasulullah’ sekadar pemerhati. Bagaimanapun, keberadaan ‘Rasulullah’ dalam majlis tersebut sangat memberi kesan ke dalam hati Asaari dan pengikutnya. Ini kerana Mujahid yang ‘kasyaf’ itu mendapat maklumat tentang sejarah dosa mereka daripada Rasulullah. Perlu ditegaskan di sini, ada ketikanya Mujahid pernah berkata, “Ismi Rasulullah…”. Ini bermakna, Rasulullah s.a.w. kononnya telah memasuki badan Mujahid. Dan apa yang dikatakan oleh Mujahid ketika itu, adalah datangnya dari Rasulullah s.a.w.

Persoalannya, mengapa Asaari menerima perkara ini boleh berlaku dalam jemaahnya? Mengapa dia turut terlibat sama? Asaari merestui yaqazah pada era Mujahid kerana majlis yaqazah yang dibuat oleh Mujahid telah memperkukuh kepimpinan Asaari dan Jemaah Aurad Muhammadiah. Ini kerana, isu-isu seperti dosa, hijab bantuan Allah, pengikut tidak taat, dan pemimpin zalim telah diekslpoitasi sebaik mungkin oleh Mujahid. Mujahid telah berjaya menimbulkan ketakutan pengikut al-Arqam kepada Asaari dan menjadi lebih taksub kepada dirinya. Justeru, yaqazah telah menjadi mekanisme atau cara paling ampuh untuk menanam sikap taksub pengikutnya.

Dengan demikian, Al-Arqam sendiri telah mengalami beberapa perubahan. Nama jemaah mereka telah ditukar kepada Jemaah Aurad Muhammadiah. Asaari sendiri sudah menukar gelarannya daripada Sheikhul Arqam kepada Amir Jemaah Aurad Muhammadiah. Apa yang pasti, Asaari telah melakukan ‘re-branding’ Aurad Muhammadiah. Dia telah mencetak rompak Aurad Muhammadiah di Singapura, lalu membuat penambahan yang banyak dalam amalannya dan ajarannya. Sebagai contoh, dalam bacaan sebelum sedekah al-Fatihah, Asaari dan pengikutnya menambah “…fata al-Tamimi (Asaari), lebai Ibrahim (pakciknya)…”. Secara tidak langsung, Asaari telah menjadikan Aurad Muhammadiah sebagai milik peribadinya. Inilah antara punca utama, mengapa Jemaah Aurad Muhammadiah Singapura menolak Asaari dan Rufaqa sehingga ke hari ini.

Selain itu, dalam era Mujahid ini, Asaari telah membenarkan apa yang dikatakan oleh Mujahid. Ini bermaksud Asaari merestui dan mengesahkan lisan Mujahid. Sehubungan itu, ada Amir yang dihukum oleh Asaari setelah Mujahid mendedahkan ‘dosa’ Amir tersebut.

Bagaimanapun, kareer Mujahid tidaklah cerah sehingga ke hujung hari. Dia telah ditangkap kerana cubaan ‘muqaddimah liwat’ semasa sedang mengurut seorang ‘anak emas’ jemaah al-Arqam. Mujahid telah dibuang daripada jemaah dan berakhirlah majlis yaqazah secara beramai-ramai. Fakta ini tidak ramai yang mengetahuinya. Asaari telah melenyapkan kewujudan Mujahid dan mula mencari-cari siapa lagi yang boleh beryaqazah dengan Rasulullah.

ERA SHAARI KECIK.

Setelah Mujahid tiada, Halim Abbas telah menemui seorang lagi yang bernama ‘Shaari Kecik’ yang berupaya beryaqazah dengan Rasulullah dan dipersembahkan kepada Asaari Muhammad. Shaari Kecik telah dibawa ke Thailand dan duduk dengan Asaari dan mengikutnya dalam mana-mana ekspidisi.

Bermula era inilah, yaqazah dengan Rasulullah mula mempengaruhi perjuangan Asaari dan jemaahnya. Pada kali ini, majlis yaqazah dibuat dalam bentuk majlis kecil yang disertai oleh beberapa orang seperti isteri Asaari dan Amir-amir tertentu. Pada kali ini pula, Shaari Kecik menjadi perantara antara ‘Rasulullah’ dan Asaari Muhammad. Ini bermakna, berlaku komunikasi secara langsung antara Asaari Muhammad dan ‘Rasulullah’. Komunikasi berlaku dalam bentuk soal jawab yang kemudiannya dirakam dan ditulis.

Hasil penelitian kami, pada era inilah pendustaan atas nama Rasulullah giat bermula. Asaari akan bertanya soalan berbentuk ‘leading question’ kepada ‘Rasulullah’ yang berada dalam badan Shaari Kecik. Soalan ‘leading question’ dari Asaari ini akan dibenarkan atau diiyakan oleh ‘Rasulullah’. Sebagai contoh, “Wahai Rasulullah, Benarkah Ghafar Baba akan menjadi PM Malaysia?” Maka, ‘Rasulullah’ menjawab, “Ya. Benar. Ghafar Baba akan memerintah selama.....”

Ketika era inilah ‘Rasulullah’ memberi pelbagai mesej terutamanya yang berkaitan dengan Daulah, perkara ghaib dan berita masa akan datang. Hasil yaqazah pada era inilah Asaari mengisytiharkan dirinya sebagai Pemuda Bani Tamim, mengetahui perkara-perkara yang berkaitan Daulah dan sebagainya. Sehubungan itu, ketika era ini, Asaari dan jemaahnya sangat bergantung kepada ‘mesej dari Rasulullah’. Ia menjadi doktrin yang mengikat semua ahli al-Arqam. Semua perkara perlu dirujuk kepada ‘Rasulullah’ terlebih dahulu sehinggalah dalam perkara-perkara kecil seperti nikah cerai dan kewangan. Mesej dari Rasulullah begitu signifikan dalam jemaah mereka terutamanya yang berkaitan dengan peristiwa-peristiwa sebelum dan selepas Daulah berlaku.

Asaari Muhammad benar-benar percaya bahawa Rasulullah benar-benar hadir dan beryaqazah dengannya. Tetapi, dia merahsiakan dari para pengikutnya tentang siapa perantara yaqazah tersebut. Asaari memberitahu bahawa memang dirinya secara personal telah beryaqazah dengan Rasulullah. Sehubungan itu, para pengikut Asaari beranggapan bahawa Asaari beryaqazah secara direct dengan Rasulullah.

Apa yang mengejutkan, rakaman kaset yaqazah Asaari dan ‘Rasulullah’ telah jatuh ke tangan SB Thailand dan mereka menyerahkan ke SB Malaysia. Rakaman itu telah didedahkan oleh Pusat Islam pada Ogos 1994 menerusi media (TV3) dan sangat mengejutkan ramai pihak. Asaari sendiri sangat terkejut kerana tidak menyangka rahsianya boleh terdedah.

Berikutan itu, Asaari telah ditahan ISA dan perkhidmatan Shaari Kecik sebagai perantara yaqazah Asaari dan Rasulullah telah tamat. Selepas Asaari dibebaskan dari soal siasat ISA dan ditahan kediaman terhad di Rawang, Asaari telah memanggil semula Shaari Kecik kerana hendak berkomunikasi dengan Rasulullah. Bagaimanapun, Shaari Kecik enggan pulang ke Malaysia dan ingin terus menetap di Thailand kerana sudah berkahwin di sana. Shaari kecik juga tidak lagi mahu terlibat dalam pendustaan tersebut. Maka, Asaari telah pun menamatkan ‘kontrak perkhidmatan’ Shaari Kecik dan terpaksa mencari orang lain sebagai perantara dia dan Rasulullah.

ERA AZURA YUSOF

Era Azura bermula setelah ISA pertama iaitu ketika Asaari dalam tahanan kediaman terhad. Yaqazah Asaari dan ‘Rasulullah’ kini sudah berubah. Kehadiran ‘Rasulullah’ boleh diprogramkan untuk datang pada bila-bila masa sahaja tetapi dalam kenderaan Pajero Asaari. Asaari beryaqazah dalam kenderaan untuk mengelakkan dari dikesan oleh pihak berkuasa.

Azura menjadi perantara antara ‘Rasulullah’ dan Asaari selama lebih kurang dua tahun iaitu sebelum ISA kedua dikenakan. Sehubungan itu, era ini adalah era pemulihan semangat dan pengukuhan semula. Antara kandungan yaqazah lebih menyentuh aspek seperti SB sudah menyokong perjuangan, 80% SB memahami minda Abuya, Orang Cina sudah menyokong jemaah, Ghafar Baba tetap naik menjadi PM, Mahathir akan jatuh terhina, tujuan ISA sebagai penyaring dan penguat jiwa dan pelabagai lagi.

Era Azura dilihat sebagai penerus era Shaari Kecik kerana kandungannya tetap sama. Ia tetap berkaitan dengan perkara ghaib, kronologi Daulah dan apa-apa yang berkaitan dengan Pemuda bani Tamim dan Imam Mahdi. Pada kali ini, Asaari masih tetap memberitahu pengikut dan pemimpinnya bahawa dirinya beryaqazah secara direct dengan Rasulullah. Semua mesej dari Rasulullah itu memang diperolehinya secara personal. Ini bermakna, Asaari masih hendak merahsiakan siapa perantara yaqazah tersebut. Ini kerana, jika perantara itu diketahui, sudah pasti Asaari akan dilabel penipu dan agenda perjuangannya akan berkubur begitu sahaja. Paling tidak, akan ada anak buah yang mempersoalkan siapa yang lebih tinggi tarafnya. Ini kerana, kalau Asaari seorang wali, mengapa tidak dia sendiri yang beryaqazah dengan Rasulullah? Mengapa masih memerlukan perantaraan?

Setelah ISA kedua dikenakan, jemaah ini senyap selama 8 bulan kerana ‘perantara yaqazah’ turut ditahan. Dalam ISA, Azura mendedahkan mengapa dia berani menipu Asaari dengan agenda yaqazah tersebut. Asaari sangat terkejut kerana Azura mengaku bahawa apa yang didakwa dicakapkan oleh Rasulullah itu adalah dusta. Azura sendiri yang mereka-rekanya. Pada ISA kedua ini, tembelang Asaari telah pecah dan pendustaannya atas nama Rasulullah telah diketahui oleh para pemimpin dan pengikut al-Arqam. Lalu terjadilah kemusnahan besar-besaran dan tenggelamnya kapal Aurad Muhammadiah.

Bagaimanapun, episod yaqazah belum berakhir.

ERA YAQAZAH SECARA PERSONAL

Memandangkan semua perantara bermasalah, akhirnya Asaari pun mendakwa dirinya boleh bertemu Rasulullah secara jaga dengan dirinya sendiri tanpa perlu perantaraan. Inilah keyakinan Asaari dan pengikutnya pada masa kini. Era ini bermula setelah penubuhan Rufaqa Corp. Asaari bukan sekadar boleh berkomunikasi direct dengan Rasulullah, tetapi juga boleh berbincang dengan Allah S.W.T dan Malaikat sebagaimana yang dinyatakan dalam beberapa artikel sebelum ini.

Ini menunjukkan makam Asaari sudah semakin meningkat. Pelbagai mesej dari ‘Rasulullah’ telah dicanang yang menyentuh pelbagai isu. ‘Rasulullah’ umpama hidup untuk membantu perjuangan Asaari dan memberikan minda-minda terbaru.

Kini, setelah beberapa tahun, banyak peristiwa yang kononnya dianggap JADUAL ALLAH, tidak pernah berlaku. Kronologi Daulah yang dikatakan datangnya dari Rasulullah tidak pernah berlaku. Paling menyedihkan, Tun Ghafar Baba telah mati sebelum sempat menjadi PM dan sebelum daulah berlaku.

Tiba-tiba, bagi menyelesaikan kekusutan ini, Asaari berhujah bahawa itu adalah sekadar RAMALAN peribadi Asaari. Kalau ramalan berkemungkinan jadi dan mungkin tak jadi. Bagi kami, INI ADALAH PENDUSTAAN BESAR. INI KERANA SELAMA INI, ASAARI BERHUJAH BAHAWA SEMUA PERISTIWA BERKAITAN DAULAH, ADALAH PERKARA YANG DATANG DARI ‘RASULULLAH’ MELALUI YAQAZAH. PERSOALANNYA, ADAKAH RASULULLAH BERDUSTA KERANA SEMUANYA TIDAK PERNAH BERLAKU? KALAU IA BUKAN HASIL YAQAZAH, MENGAPA IA SATU HAL YANG SANGAT DIPERJUANGKAN? MENGAPA WAJIB DIIMANI DAN DIYAKINI? MENGAPA DIBUANG DAN DIHUKUM ORANG-ORANG YANG MEMPERTIKAIKAN YAQAZAH DAN BERITA-BERITA GHAIB ITU?

BENARLAH, ASAARI PENDUSTA... ASAARI AL-KAZZAB. Kami sangat merayu agar Asaari kembali bertaubat kepada Allah S.W.T. Buatlah buku pengisyitharan taubat dan edarkanlah ke seluruh dunia.

Kami akan mengulas topik ini, dan mengebom akidah mereka dan setiap tiang hujah mereka yang rapuh. Marilah bersama kami membanteras kesesatan Akidah Asaari dan mengelakkan orang ramai daripada terjebak ke kancah kesesatan. Mari kita doakan agar Allah S.W.T memberi kekuatan kepada beberapa individu termasuk pemimpin Rufaqa yang hendak kembali semula ke pangkal jalan. Ke jalan yang benar. Mari doakan mereka agar kuat dan terus meninggalkan Asaari.

Pada artikel akan datang, kami akan mengulas secara ilmiah tentang pendapat ulama Ahli Sunnah wal Jamaah tentang yaqazah. Kami mengucapkan terima kasih atas maklumat yang diberikan.