Wednesday, September 13, 2006

Dialog Bersama Asaari

Pada kali ini, kami ingin memaparkan satu petikan dialog Asaari Muhammad dan para pemimpin al-Arqam yang sudah bertaubat. Dalam sesi ini Asaari telah ditanya banyak perkara yang berkaitan dengan akidah tetapi lebih menjurus kepada persoalan yaqazah. Di hujung petikan, kami membuat SEDIKIT ULASAN. Harap sudi membaca sehingga ke hujung kalimah.
Berikut adalah sedutan artikel Al Islam, Jun, 1998:

Asaari, selain membuat sesi-sesi pengakuan terbuka seperti di Sungai Pencala, Masjid Negara dan sebagainya, turut diminta mengikuti beberapa siri kursus pemulihan bersama bekas-bekas ahli yang lain. Atas alasan keuzuran fizikal yang dialami, Asaari tidak begitu kerap membantu kerajaan dalam usaha-usaha pemulihan tersebut.

Maka dialog ini akhirnya berlangsung bersama bekas-bekas pengikut yang terdiri daripada kalangan pemimpin atasan, yang dahulunya banyak membantu Asaari mengembangkan dan menjayakan perjuangan ‘dakwah’, membentuk komuniti, perkampungan-perkampungan ‘sempadan’ yang begitu kompleks, ‘hubungan diplomatik’ antarabangsa sehinggalah kepada ingin membentuk ‘negara Islam’nya atau Daulah Islamiyahnya sendiri.

Bertempat di Bilik Mesyuarat Jabatan Agama Islam, Wilayah Persekutuan (JAWI) pada September tahun lalu, Asaari terlebih dahulu diperdenarkan dengan pelbagai luahan perasaan isi hati, imbasan kembali, kedudukan, keadaan kehidupan dan persoalan-persoalan yang menyentuh peribadi, sosial, ekonomi dan sebagainya oleh kalangan anak-anak buah yang dahulu begitu rapat dengannya.

Namun, dua perkara pokok lebih disentuh dalam pertemuan tersebut. Asaari diminta bertanggungjawab untuk menjelaskan mengenai segala penyelewengan yang berlaku, terutama soal kedudukan aset-aset (tanah, wang dan sebagainya) milik al-Arqam dan akidah, iaitu membabitkan yaqazah.

Berikut sebahagian sedutan penuh sesi soal jawab tersebut yang tidak disungting.

S 1: Kami ingin dengar komen ustaz (Asaari) mengenai dua perkara iaitu; 1. Mengenai Yaqazah, dirahsiakan di kalangan pemimpin kecuali orang-orang tertentu sahaja. Mengapa waktu itu dirahsiakan yaqazah? 2. Penyelewengan yang berlaku di kalangan keluarga (isteri dan anak-anak)?

J 1: Terlebih dahulu saya minta maaf, kerana cakap saya tidak berapa jelas kerana rahang saya tidak berapa baik dan saya juga minta maaf, kerana apa yang saya buat, kerana apa yang saya pegang selama ini banyak menyusahkan kerajaan, Pusat Islam dan boleh mendatangkan masalah kepada masyarakat Islam.

Saya juga meminta maaf kepada bekas anggota Darul Arqam terutamanya bekas-bekas pemimpin yang ada di hadapan ini kerana perjuangan saya telah menyebabkan saudara-saudara mendapat kesusahan kerana ditangkap ataupun saya terseleweng daripada hakikat Islam yang sebenar dan tidak munasabah, yang ditokok tambah.

Macam saudara-saudara katakan tadi (mengenai penyelewengan di kalangan keluarga) keluarga saya, adik-adik saya… mana saya tahu! Kerana saya tidak duduk sama mereka. Duduk jauh-jauh. Jadi, setengah-setengah mereka mungkin ambil kesempatan untuk pergi kepada mereka dan mengaitkan nama saya. Jadi pada pagi ini saya dapat penjelasan semua.

Kemudian (mengenai yaqazah), saya bukan buat sendiri, tidak! Ini dibuat oleh Halim Abbas dan direstui oleh pemimpin-pemimpin yang lain, saya terima sahaja.

Mungkin saudara pun tahu, yaqazah ini bermula dari Abdul Halim Abbas di luar negeri, kemudian ada orang lain lagi, yang mereka itu seperti isteri tua Tuan Sheikh Rahim, Azura dan Mujahid.

Kebanyakan yaqazah ini berlaku ketika saya di luar negeri dan yaqazah ini terang-terangan waktu mula di Sungai Pencala berlaku di hadapan saudara-saudara semua, jadi saya tidak boleh tolak.

Tetapi malangnya tuan-tuan takut nak cakap pada saya, jadi kesilapan saya itu berlarut-larutlah. Sebab saya tidak dapat nafikan kadang-kadang kesilapan saya itu, kesalahan saya sendiri. Kadang-kadang kesilapan itu berlaku disebabkan orang lain, ini memang tidak dapat dinafikan. Jai kalau ada… (sakit)… minta maaf… (sakit)!

Selain daripada itu saya hendak mintalah, maklumlah saya ada cita-cita perjuangan sejak 28 tahun lalu. Saya rasa bukan saya sahaja, sesiapa pun sesetengah menganut sesuatu ideologi sesuatu perjuangan yang berpuluh-puluh tahun tentulah hingga ke akar umbi.

Kadang-kadan sudah tidak dapat hendak dibezakan mana yang hak dan yang tidak hak. Dia nak buang bukan senang. Jadi kalau begitu, saya hendak minta bantuan dari tuan-tuan hari ini, program rasmi macam ini.

Saya sudah sakit-sakit, dah hampir tua dan nak mati (nada ketawa). Hal-hal luar sudah kurang, sekarang sudah tidak tahu hal lagi.

Jadi hari ini, pertemuan hari ini saya rasa sangat berharga pada saya, tapi malangnya saya tidak dapat bercakap begitu jelas. Ini pun berjalan macam nak jatuh, sakit sangat, tolong doakan saya supaya jangan jatuh. Begitulah saya minta.

Tetapi walau bagaimanapun apakah cakap saya ini boleh diterima, saya tak tahulah kerana cakap saya sekarang ini bukan mudah orang boleh terima. Mungkin ada mengatakan saya berlakon, saya pura-pura, itu boleh berlaku.

Itupun saya tidak berkecil hati kerana saya telah 28 tahun mungkin ada beberapa perkara lagi yang tidak sedar boleh disedarkan melalui perjumpaan tak rasmi, mungkin ini lagi cepat selesai, saya rasa itu saja yang dapat jawab.

Harap maafkan saya. Tuan-tuan menyedarkan saya. Terima kasih banyak-banyak.


S 2: Saya di antara orang yang termasuk dengan Abu Hasan Yusof, Ustaz Saleh Adam bertemu fan baertanya bagaimana ustaz mendapat mesej ini dari Rasulullah? Ustaz menyatakan pada waktu itu, apa yang saya (Asaari) dapat ini seperti ‘Hasan Iraqi’, seperti ‘Imam Sya’rani’. Ertinya mereka beryaqazah terus dengan Rasulullah. Persoalan yang hendak saya tanya sekarang. Mengapa ustaz berbohong dengan kami?

J 2: Payah nak sebut.

S 3: Sewaktu sampainya Khadijah Aam di Kamunting, ada kaitan dengan soalan pertama. Beliau (Ummu Jah) berkata kepada saya, waktu itu Shuib ada, Haji Hasan ada bahawa ustza meminta Azura berlakon membuat pengakuan demi menyelamatkan ustaz.

J 3: Itulah benda-benda macam ini kalau nak terima, teruklah saya, benda yang tidak boleh dibuktikan. Cuma ada orang yang ambil kesempatan macam adik-adik saya, isteri-isteri saya, saya tidak pernah inikan, buktikan mungkin saudara-saudara boleh buktikan macam orang lain. Seperti Azura, mungkin (dia) hendak kedudukan, barangkali da tipu saya.

S 4: Dulu pada 24 Oktober 1994, ustaz menyatakan yaqazah itu karut dan sebagainya. Itu kita terima dulu, okeylah. Saya pun terlibat sama, tetapi selepas itu, adakah ustaz terima balik (beryaqazah lagi) dengan tujuan untuk ciri-ciri jemaah al-Arqam? Jadi bila ada itu, ada ciri-cirinya. Jadi adakah ustaz sedar ke, terlupa ke atau apa-apa? Itu maksud saya.

J 4: itulah saya kata tadi, benda itu dia timbulkan kepada saya, sedangkan saya seorang, tidak ada kawan, mungkin syaitan masuk balik. Macam kata Azura, Nasir kerja dengan saya, dia yang membawa cerita saya. Saya fikir balik, eeh ya ke, munasabah juga. Sebab saya tidak ada kawan untuk membincangkan. Saya… eeh.. ehh… itu masalahnya.

S 5: Satu lagi, di kalangan bekas-bekas ahli Arqam hingga ke saat ini, pada mereka pa yang berlaku, atau apa sahaja pengakuan yang dikeluarkan oleh ustaz, mereka berpegang kepada empat perkara:
1. Faham isu semasa.
2. Faham yang tersirat.
3. Faham cara bertindak.
4. Faham Khawariqul Addah
Maksudnya, kalau bekas ahli –ahli al-Arqam lihat program ini, mereka tetap berpegang kepada empat perkara ini. Maksudnya mereka masih lagi meyakini bahawa pada Ustaz Asaari dan ‘jadual Allah’nya masih berjalan. Jadi saya minta ustaz jelaskan empat perkara ini.

J 5: Itulah saya hendak jelaskan susah, tak jelaskan susah. Kalau saya kata ya, tentu semua setuju… (ehem-ehem). Kalau saya kata tak, tuan tak setuju. Mak Enon itu sudah banyak kali saya kata, jangan datang ke rumah saya, dia datang juga, dua hari sudah pun dia datang lagi. Bila dia balik, dia buat cakap lain, sedangkan saya tak suruh datang, tak benarkan dia datang. Cuma saya pernah marah dengannya, jangan datang menyusahkan saya, dia datang juga.

S 6: Empat perkara ini yang ustaz sebut semasa baru keluar dari tahanan ISA kali pertama dan yang ini kami dapat buktikan. Jadi, ada nasihat ustaz kepada bekas-bekas ahli Arqam terhadap empat perkara sekarang ini?

J 6: Itulah saya katakan tadi, selama 28 tahun dalam perjuangan ini, walaupun kita sudah insaf, bukan senang nak buang semua. Kadang-kadang ada benda terlupa, tidak tahu, terselit yang tidak sedar. Sebab itu kita buat satu cara bagaimana saya boleh dapat didikan, tapi kalau sekali-sekala macam ini, payahlah.

________________________________

ULASAN KAMI:

Petikan di atas sengaja kami uploadkan untuk menggambarkan temubual antara Asaari dan para pemimpin al-Arqam yang sudah bertaubat selepas ISA kedua pada tahun 1997. Petikan ini dipaparkan dengan tujuan untuk memaklumkan kepada pembaca tentang senario selepas pembubaran al-Arqam.

Apabila meneliti transkrip dialog di atas, kita akan dapati perkara berikut:

a. Asaari terlalu lemah dalam memberikan jawapan. Asaari tidak dapat menjawab soalan secara fokus dan tepat. Soalan lain yang ditanya, respon lain yang diberi. Ingatannya juga lemah, kerana gagal mengingat fakta dan peristiwa dalam sejarah al-Arqam.

b. Asaari enggan bertanggungjawab atas penyelewengan akidah dalam Arqam. Sikap ‘ekskapisme’ atau ‘sikap melarikan diri’ menjadi perisai dirinya agar tidak dipersalahkan. Hakikatnya, semua orang mengetahui dia terlibat sepenuhnya dalam penyelewengan tersebut.

c. Asaari enggan membicarakan yaqazah perantaraan secara khusus.

d. Asaari kerap menggunakan istilah ‘tidak tahu’ dan meletakkan beban kesalahan pada orang lain. Sedangkan, Asaari sendiri yang terlibat dengan semua perkara yang dipersoalkan. Yang pasti DIA TAHU.

e. Jawapan Asaari tidak berstruktur dan berterabur sekaligus menggambarkan bentuk pemikirannya yang sangat berserabut.

Sidang pembaca! Sudah menjadi lumrah sikap Asaari, setiap kali ditangkap dan disoal siasat, dia akan membuat pengakuan salah dan mengaku telah menyeleweng sebagaimana pengakuan di atas dan pengakuan-pengakuan yang lain pada tahun 1994, 1979 dan 1981. Persoalannya, benarkah Asaari sudah bertaubat?

Kami telah membuktikan bahawa Asaari sebenarnya masih belum bertaubat secara sempurna. Dia mengingkari taubat yang telah banyak kali dibuat di hadapan para ulama dan bekas pemimpinnya. Asaari hanya insaf sebentar kemudian bertaqiyah dan menipu Kerajaan Malaysia, para ulama dan umat Islam seluruhnya. Inilah strategi perjuangannya.

Sila baca artikel kami berkenaan taqiyah sebelum ini.
http://rufaqa-sesat.blogspot.com/2006/06/asaari-dan-taqiyyah.html


Kisah dialog di atas, berlaku pada tahun 1997. Kini, hampir sepuluh tahun, Asaari telah melupakan taubatnya. Pelbagai pendustaan terus bermaharajalela atas nama Rasulullah s.a.w. dan agama.

Sehubungan itu, tujuan kami meng’upload’ artikel ini ialah untuk menyedarkan Asaari tentang pengakuan taubatnya. Agar dia sedar kembali dan insaf dengan sebenar-benar taubat.

Kami mencadangkan beberapa perkara berikut untuk memastikan Asaari terus bertaubat:

a. Asaari perlu ditahan di Pusat Pemulihan Akidah. Asingkan dirinya daripada para pengikutnya. Ini kerana, Asaari mula memperjuangkan ajarannya semula setelah ISA kedua, kerana ada pengikut yang mendokongnya. Sekiranya dia keseorangan, ‘hubungan mursyid dengan anak muridnya’ akan terputus.
b. Asaari perlu diasingkan dari isteri-isteri dan anak-anaknya. Ini kerana, gabungan mereka menyebabkan ‘MINDA’ dan ajaran Asaari terus berkembang dan dikuliahkan. Selain itu, MINDA adalah nadi penggerak Rufaqa. Apabila MINDA terputus, maka anak buah akan menjauhkan diri satu persatu kerana tidak lagi mendapat ‘kepuasan spritual’.
c. Isteri-isteri Asaari dan anak-anak lelaki Asaari perlu ditahan di bawah Akta yang relevan seperti ISA bagi menjamin keharmonian masyarakat Islam di Malaysia hidup beragama. Ini kerana merekalah yang mencatur agenda perjuangan Rufaqa dan turut menyumbang dalam kesesatan mereka.
d. Muzakarah intensif antara Asaari dan para ulama dengan pembelajaran berbentuk talaqqi perlu dijalankan seperti yang dibuat ketika ISA pertama. Asaari perlu dididik dan diajar membaca kitab turath dan kitab muktabar agar dia mengetahui pegangan dan akidahnya telah tersalah secara ilmiah.
e. Merekodkan video setiap pengakuan taubat Asaari bagi setiap topik kesesatan yang dia lakukan. Kemudian, Asaari juga perlu membuat kuliah yang berasaskan ilmu Islam sebenar dan direkodkan dalam video dengan pemantauan ulama. Setiap video itu, perlu ditayangkan di setiap kursus pemulihan akidah para pengikutnya. Ini penting kerana pengikutnya sudah ada halangan mental dan menolak semua ulama Islam. Maka, lebih mudah dengan kita membetulkan suis utama (Asaari). Apabila suis utama ini telah pulih, ia akan menjana elektrik yang betul dan baik kepada semua para pengikutnya.
f. Anjurkan kursus intensif pemulihan Akidah yang melibatkan semua pengikut Rufaqa’ dengan silibus untuk tempoh masa yang panjang. Kursus pula perlulah mempunyai kesan dari segi perundangan. Kewajipan menghadirinya boleh dibuat menerusi perintah mahkamah.

Apapun yang penting, petikan dialog di atas mungkin kini menjadi sekadar ‘kenangan’ bagi pihak Asaari dan pengikutnya. INI KERANA AKIDAH MEREKA MASIH TIDAK BERTEPATAN DENGAN AKIDAH AHLI SUNNAH WAL JAMAAH DAN MASIH MENOLAK UNTUK BERTAUBAT DAN KEMBALI KE JALAN YANG BENAR.

Allah adalah sebaik-baik pemberi petunjuk. Ya Allah, berilah petunjuk kepada mereka…