Monday, September 11, 2006

Usaha Kami Ini, Suatu Dakwah…

Alhamdulillah, setelah lebih 3 bulan web blog ini menyusur alam siber, banyak respon dan sikap yang kami hadapi. Pelbagai ombak yang datang kepada kami, adakalanya ganas dan adakalanya merimaskan. Ada yang mengugut dengan ugutan yang ‘menakutkan’ menerusi email dan mesej pendek. Kami merasa ‘amat takut’, apabila kami diugut dengan perkara berikut:
a. Zaman daulah nanti, kami semua akan dihukum.
b. Kehidupan kami akan dirundung malang dan tidak berkat.
c. Anak cucu kami sepanjang tujuh keturunan akan menderita dan ditimpa musibah.
d. Kami akan tersesat…

Selain itu, kami melihat gaya berfikir pengikut Asaari sangat lemah dalam memahami dalil. Malah, mereka berhujah secara pelik dengan mencabar kami agar menubuhkan sebuah jemaah yang lebih hebat dari mereka. Ketahuilah, kalian tidak hebat mana untuk dilawan dalam kapasiti jemaah. Ratusan jemaah Islam seluruh dunia yang tidak pernah kenal siapa Asaari Muhammad, sedang hebat menggerakkan dakwah. Malah, kami bersedia memberi senarai jemaah-jemaah yang hebat dari segi ekonomi dan dakwah yang wujud di seluruh dunia Islam dan di Eropah yang menyebarkan perkara makruf dan menentang kemungkaran. Penilaian kami adalah mudah. Timbangan kami berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Kalau dasar sesuatu jemaah itu bercanggah dengan ahli sunnah wal Jamaah, maka kehebatan mereka tidak ada nilai di sisi Allah.

Selain itu, pengikut dan para simpati Asaari asyik berhujah bahawa kita tidak boleh mencaci, menghina, memburuk-burukkan dan mengutuk Asaari. Dia ulama besar, hebat dan ada kuasa. Sesiapa yang menghinanya akan terhina. Ajaran tasawuf tidak membenarkan kita menghina sesiapa. Maka, mereka berhujah, kandungan web ini perlu ditolak kerana penuh dengan perkara mazmumah yang dilemparkan terhadap abuya mereka. Sehubungan itu, pada entri kali ini, kami akan membidas hujah mereka ini.

Kami tersenyum pada setiap email yang mengandungi marah-marah pengikut Abuya dan para simpati mereka. Pada entri kali ini, kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa usaha ini adalah usaha dakwah yang menjelaskan kesesatan Rufaqa agar mereka tidak lagi boleh mempengaruhi orang ramai.

Tindakan kami ini boleh dikategorikan sebagai ghibah, iaitu menceritakan perihal Asaari Muhammad. Bukan itu sahaja, ada pihak yang mengatakan kami ini suka mencerca, kesat dalam bahasa dan menghina Asaari Muhammad walaupun dakwaan itu boleh dinilai semula. Tindakan kami ini tidak pernah bercanggah dengan kaedah fiqh dan dalam mana-mana ajaran tasawuf. Ini kerana, para ulama sepakat membenarkan umat Islam mendedahkan kejahatan seseorang lebih-lebih lagi kejahatan itu berkaitan dengan agama. Sehubungan itu, kami nyatakan di sini, pendapat para ulama yang membenarkan tindakan kami ini.

Ghibah secara asasnya adalah satu perbuatan yang tergolong dalam sifat mazmumah. Pada asalnya kita tidak dibenarkan bersikap sedemikian terutamanya pada muslim yang lain. Namun, para ulama telah membenarkan seseorang melakukan ghibah dalam aspek membanteras ajaran sesat. Mari kita lihat apa pendapat para ulama:

Hasan al-Basri berkata, “Tidak dianggap ghibah dalam membicarakan ahli ajaran sesat.” Beliau menambah, “Tidak diharamkan tiga jenis orang yang mengutuk, di antara mereka adalah ahli bid’ah yang berlebihan dalam kebid’ahannya.” Dalam riwayat lain, “Tidak ada ghibah bagi ahli bid’ah dan orang fasik yang menampakkan kesesatan mereka.” (Syarah Ushul I’tiqad Ahli Sunnah, jld. 1, hlm. 140)

Imam Abu Hamid al-Ghazali menjelaskan tentang alasan diperbolehkan ghibah dalam kitab Ihya’, “Ketahuilah bahawa alasan yang membolehkan menyebut keburukan orang lain hanya setakat untuk mewujudkan tujuan syarie yang tidak mungkin tercapai kecuali dengan jalan ghibah, sehingga boleh menggugurkan dosa ghibah.” (Ihya' Ulumuddin, jld. 3, hlm. 152)

Imam al-Qarafi berkata; “Aib ahli bid’ah (ahli ajaran sesat) dan kesesatan buku-buku mereka perlu dijelaskan kepada semua orang. Agar orang-orang yang lemah iman dan ilmu tidak terjerat dengan kesesatan mereka.” (al-Furuq, jld. 4, hlm. 207-208)

Imam al-Syatibi juga menjelaskan masalah hukum membicarakan keburukan ahli bid’ah dan ajaran sesat. Beliau menghukumkan boleh menyebut-nyebut keburukan ahli ajaran sesat dan menjelaskan kesesatan mereka agar semua orang terhindar dari fitnah ucapan mereka dan bahayanya, sebagaimana yang dilakukan oleh ulama salaf. (al-I’tisham, jld. 1, hlm. 176)

Selain itu, Imam al-Syatibi menambah; “Tidak boleh membicarakan ahli ajaran sesat secara khusus kecuali dalam dua keadaan, dan saya cukup menyebutkan yang kedua sahaja iaitu: JIKA KUMPULAN TERSEBUT MENGAJAK KEPADA KESESATAN DAN MEMBUATKAN ORANG AWAM DAN ORANG YANG TIDAK BERILMU TERPEDAYA DENGAN KESESATAN MEREKA. Bahaya mereka terhadap umat seperti bahayanya iblis, mereka adalah syaitan di kalangan manusia. Oleh kerana itu, perlu disampaikan secara tegas, bahawa mereka ahli bid’ah, penyebar kesesatan.” (al-I’tisham, jld. 2, hlm. 228-229)

Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah dalam Zadd al-Maad menyebutkan: “Seseorang Muslim boleh menilai buruk (negatif) kepada ahli bid’ah, apabila dalam rangka membela Allah dan Rasul-Nya. Seperti Ahli Hadith menilai buruk (dhaif) kepada para perawi hadith yang lemah atau ahli Sunnah menilai buruk ahli bid’ah, namun ia bukan untuk tujuan kepuasan peribadi.” (Zaad al-Maad, jld. 3, hlm. 18)

Imam Nawawi berkata; “Ghibah diperbolehkan dengan tujuan syarie yang tidak mungkin dicapai kecuali dengan cara ghibah dan ada enam faktor. Faktor kelima iaitu seorang yang menampakkan secara terang-terangan kefasiqan atau kebid`ahan. Boleh menyebutkan keburukan yang mereka lakukan secara terang-terangan, dan diharamkan menyebutkan selain itu kecuali ada sebab syar’ie lain.” (Riyadh al-Solihin, hlm. 529)

Ibnu Salah berkata; “Boleh mengutuk ahli bid`ah bahkan menyebutkan kesesatan mereka, baik di hadapan atau di belakang mereka, dengan syarat maksud utama adalah untuk menjelaskan kepada khalayak tentang kesesatan mereka. Itulah yang dilakukan oleh ulama salaf, baik ghibah tersebut untuk menjawab pertanyaan atau tidak.”

Apa yang kami paparkan ini hanya sedikit sahaja. Bagi kami ia sudah mencukupi kerana merangkumi pendapat pelbagai ulama dari pelbagai aliran dalam Ahli Sunnah wal Jamaah. Sehubungan itu, apa yang kami usahakan ini sangat mendekati kebenaran dan untuk menjaga kemaslahatan umat. Sekiranya kaedah dan approach kami ini salah, maka salah dan tersesatlah semua ulama yang kami rujuk di atas. Jadi, mengapa tidak dihalakan kemarahan kepada para ulama yang membenarkan kami melakukan perkara ini iaitu menjelaskan kesesatan Asaari dan jemaahnya?

Perjuangan kami ini mengambil aspirasi dari hadith berikut. Dari Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi s.a.w. bersabda;

“Tiada seorang Nabi yang diutus Allah kepada umatnya sebelumku, melainkan ada di antara umatnya yang menjadi pembela baginya dan sahabat yang mengambil sunnahnya, mengikuti perintahnya. Kemudian setelah mereka, datang generasi yang mengucapkan sesuatu yang tidak mereka kerjakan dan mengerjakan sesuatu yang tidak diperinthakn. Maka siapa yang memerangi mereka dengan tangannya, ia seorang yang mukmin, siapa yang memerangi mereka dengan lisannya, dia seorang mukmin dan siapa yang memerangi mereka dengan hatinya, dia seorang mukmin. Dan selain itu, tidak memiliki keimanan sebiji sawi pun.”
(Hadith SAHIH riwayat Imam Muslim.)

Imam Nawawi dalam membicarakan hadith tersebut menyatakan, “Antara al-Quran, al-Sunnah dan ijma; telah selaras dalam menyatakan kewajipan amar makruf dan nahi mungkar. Ini kerana ia sebahagian dari nasihat dalam agama dan tidak ada yang menyangkal kaedah tersebut, kecuali sebahagian Rafidhah (Syiah).”

Dengan itu, dakwah kami ialah dakwah tauhid. Mengajak manusia membersihkan akidah mereka dan menjauhi daripada mereka yang telah tersesat. Apa yang kami paparkan ini adalah satu usaha yang sangat kecil dalam memelihara aqidah umat Islam khususnya di Malaysia.

Malah, usaha kami ini sangat sejajar dengan Firman Allah berikut:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (١٠٤)

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

(Ali Imran: 104)

Jelaslah, kami sedang melakukan amar makruf dan nahi mungkar dengan mengkhususkan aspek akidah! Isu-isu lain memang banyak. Tetapi, kita berkerja perlulah FOKUS untuk lebih berjaya!