Wednesday, June 21, 2006

Imam Shafie: Penentang Ajaran Sesat

Antara hujah dan 'kubu terakhir' pengamal Aurad Muhammadiah (Rufaqa) ialah mereka mendakwa yang mereka adalah bermazhab Shafie. Mereka menisbahkan bahawa amalan, akidah dan keyakinan mereka itu bersesuaian dengan mazhab Shafie. Mereka berhujah sedemikian untuk mengatakan bahawa akidah dan tindakan mereka itu benar dan tindakan ulama-ulama menghukum mereka sebagai sesat adalah salah.

Kebiasaannya, pengikut Rufaqa akan berhujah bahawa mereka masih Islam dan mereka masih bersolat lima waktu. Sehubungan itu, mereka berhujah adalah tidak wajar untuk menghukum mereka sesat atau mendekati kekufuran. Kenyataan ini dapat dilihat dalam buku Asaari yang bertajuk Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam.

Asaari telah menukilkan pandangan Imam Shafie yang mengatakan bahawa seorang Islam yang meninggalkan solat perlu diperincikan dahulu keadaannya sebelum diberi hukum ke atasnya. Asaari menukilkan bahawa Imam Shafie berpandangan sekiranya orang itu meninggalkan secara tidak sengaja dan tidak menolak kewajipan solat tersebut, maka orang itu masih kekal Islam. Sekiranya, seseorang itu meninggalkan solatnya secara sengaja dengan menyatakan solat itu tidak wajib, maka dia telah terkeluar dari Islam.

Sehubungan itu, Asaari berhujah bahawa para ulama yang menghukum dirinya sesat perlulah berhati-hati sebagaimana Imam Shafie melakukannya. Hujah keduanya ialah pengamal Aurad Muhammadiah masih bersembahyang maka mereka tidak boleh dihukum sesat atau kafir.

Inilah gambaran betapa cetek dan dangkalnya pemikiran Asaari. Artikel ini akan membidas hujah tersebut dalam dua aspek sebagaimana berikut:

a. Apakah yang menjadi dasar para ulama menghukum pengamal Aurad Muhammadiah (Rufaqa) sebagai sesat lagi menyesatkan?
b. Apakah sikap Imam Shafie terhadap pengikut dan pengamal ajaran sesat di zamannya?


Jawapan Soalan A.


Para ulama Ahli Sunnah sepakat menghukum pengamal Aurad Muhammadiah sebagai sesat lagi menyesatkan atas perkara akidah yang menyimpang yang wujud dalam ajaran tersebut. Mereka menghukum bukan kerana Asaari atau pengikutnya tidak sembahyang. Perlu ditegaskan, hukum yang dikeluarkan oleh Imam Shafie itu khusus untuk pesalah yang mencuaikan sembahyang. Imam Shafie membincangkannya dalam bab hukuman untuk pesalah dosa-dosa besar yang tidak termasuk syirik atau tidak berkaitan dengan akidah. Sebaliknya, para ulama telah menghukum Asaari berdasarkan isu akidah dan bukannya kesalahan ibadah mahupun syariat. Inilah dua perbezaan yang perlu diperhatikan.

Asaari telah tersalah dalam berhujah dan menyelewengkan fakta tersebut untuk membuktikan dirinya benar dan para ulama tersalah. Asaari tidak boleh menyamakan illat dalam kes tersebut untuk kes jemaahnya. Ini kerana kesalahan Asaari dan Aurad Muhammadiah adalah kesalahan Aqidah bukannya kesalahan syariat dan ibadah.

Jawapan Soalan Kedua:

Imam Shafie sangat keras dalam menentang ajaran sesat yang ada pada zamannya. Beliau adalah seorang ansar al-Sunnah (pembela sunnah) yang sangat tegas dalam perkara akidah.

Al-Buwaithi berkata: "Aku bertanya kepada Imam Shafie; “Bolehkah aku solat di belakang penganut ajaran Rafidhah (Syiah)?” jawabnya: "Jangan kamu solat di belakang seorang yang berpegang dengan ajaran Rafidhah, atau di belakang Qadariah ataupun di belakang seorang Murji`ah.(Manaqib al-Baihaqi (1/413).

Ini bermakna, tindakan para ulama menghukum haram dan melarang seseorang dari solat berimamkan pengikut Aurad Muhammadiah adalah bersesuaian dengan tindakan Imam Shafie.

Al-Rabi’ berkata: Imam al-Syafie telah turun dari tangga (rumahnya) ke arah kami, sedang beberapa orang sedang berdebat tentang masalah taqdir. Tiba-tiba dia berkata; "Kalian boleh pergi dari sisi kami atau kalian ingin berdampingan dengan kami secara baik-baik. Seorang hamba menemui Allah S.W.T dengan segenap dosanya selain syirik lebih baik daripada dia menemui-Nya dengan membawa sesuatu dari sikap yang mengikuti hawa nafsu." (Manaqib al-Baihaqi (1/407, 456).

Sewaktu beliau hampir wafat, Imam Shafie sesekali jatuh pengsan. Kemudian ketika sedar, seorang demi seorang telah datang bertanya kepadanya: Siapa saya? Dia pun menjawab dengan lancar, "Anda ialah fulan bin fulan.” Tiba-tiba Hafs al-Fard (seorang Muktazilah) berkata kepadanya, "Siapa saya?” "Kamu ialah Hafh al-Fard, semoga dirimu tidak dijaga oleh Allah S.W.T kecuali jika engkau bertaubat.” (Manaqib al-Baihaqi (1/470).

Sebelum dari itu, Hafs pernah berbicara dengan Imam Shafie dengan berkata; "al-Quran itu makhluk." Imam Shafie menegaskan, "Engkau telah menjadi kafir terhadap Allah S.W.T yang Maha Agung.”

Ini bermakna Imam Shafie akan menghukum kafir kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan jenayah akidah. Dia menzahirkan kenyataan tersebut dalam banyak keadaan yang lain. Sekiranya Imam Shafie mendengar kata-kata dan keyakinan pengamal Aurad Muhammadiah (Rufaqa) masakini yang mengatakan al-Quran hanya tinggal nashkah dan tidak ada ’roh’ lagi atau mendengar mereka berkata tidak perlu merujuk al-Quran untuk mencari nas kerana Minda Abuya adalah intisari al-Quran, sudah pasti Imam Shafie akan memberi hukum yang sama seperti para ulama pada zaman ini menghukum mereka.

Sikap keras Imam Shafie ini menjelaskan kepada kita bahawa perlunya ulama menzahirkan penentangan terhadap pesalah jenayah Akidah. Imam Shafie bukan sekadar memarahi mereka, malah mencela dan menentang mereka secara terang-terangan.

Imam Shafie juga menegaskan perkara berikut sebagai tanda sikap kerasnya terhadap Syiah:
"Aku tidak pernah melihat seorang pun yang aku akui pendustaannya selain daripada golongan Rafidhah (Syiah).” (Adab al-Shafie, hlm. 187)

Malah, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Imam shafie cenderung kepada Syiah Rafidhah adalah satu fitnah yang besar. Ibn Kathir menegaskan; Imam Shafie terlalu mulia kedudukannya dan terlalu tinggi kehormatannya untuk sependapat dengan kaum Syiah, suatu kelompok kecil dan golongan terpinggir. Ini kerana beliau memiliki pemahaman yang sempurna, hafalan yang luar biasa, pemikiran yang cemerlang dan daya teliti yang cermat.

Imam al-Zahabi menambah, "Sesiapa yang mengatakan bahawa Imam Shafie cenderung kepada mazhab Syiah, bererti dia telah berdusta dan tidak mengerti apa yang dikatakannya. ... kalaulah Imam Shafie seorang Shiah, pasti dia tidak mengatakan Khulafa’ Rashidin itu lima yang dimulai dengan Abu Bakar dan ditutup dengan Umar Abdul Aziz. (Siyar Alaam Nubala, hlm. 58-59)

Selain itu, al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanadnya dari Yunus bin Abdul A’la, dia berkata: "Aku mendengar Imam Shafie mengatakan: "Seandainya seseorang menjadi sufi sejak permulaan siang, pasti tidak sampai tengahari melainkan aku mendapatinya sebagai seorang yang bodoh." (Manaqib Baihaqi 2/207)

Imam Shafie juga menegaskan; "Tidak menjadi sufi seseorang sufi sebelum dirinya mempunyai empat sifat; pemalas, banyak makan, mudah putus asa dan berlebihan di luar keperluan." (Manaqib Baihaqi 2/207)

Imam Shafie juga menyatakan; "Aku tinggalkan di Iraq sesuatu yang dibuat oleh kaum zindiq, yang mereka namakan taghbir (lagu puisi diiringi dengan alat percussion), yang mereka kira itu dapat melunakkan hati, padahal ia menjauhkan orang dari al-Quran.” (Manaqib Baihaqi 2/173)

Kata-kata Imam Shafie ini sangat bertepatan dengan keadaan Mawaddah (Artis Rufaqa) yang menyanyikan lagu puisi ciptaan Asaari dan dinyanyikan dengan iringan percusion. Tambahan lagi, pengikut Rufaqa sememangnya lebih banyak mendengar lagu Mawaddah berbanding mendengar dan mentadabur al-Quran dalam sehari.

Imam Shafie berkata: "Nyanyian adalah hiburan yang makruh dan menyerupai kebatilan. Sesiapa yang terlalu banyak melantunkannya, dia adalah seorang yang bodoh dan tidak diterima kesaksiannya.”

Ketegasan Imam Shafie membuktikan kepada kita bahawa para ulama sangat bersungguh-sungguh dalam memelihara kejernihan akidah ummah. Kekerasan mereka dalam menghukum bertujuan untuk mengelakkan orang awam terus terpedaya daripada menyertai golongan yang mengamalkan ajaran sesat.

Sehubungan itu, hujah Jemaah Aurad Muhammadiah adalah tertolak dan tidak diterima kerana sangat bercanggah dengan nas yang sahih dan disiplin ilmu Islam.