Thursday, November 23, 2006

BENARKAH AJAL BOLEH DITANGGUH?

Kami sangat perlu menjawab isu ini kerana para pemimpin Rufaqa sangat mempertahankan kebolehan Asaari menangguhkan ajal seseorang setelah berbincang dengan Allah terutamanya jika ‘seseorang’ itu penting bagi perjuangan Asaari.

Walaupun isu ini telah kecoh diperkatakan oleh Umat Islam di Malaysia, Asaari dan para pengikutnya tetap mempertahankan keyakinan mereka. Malah mereka berhujah dengan perkara berikut:

a. Ajal boleh ditangguh kerana kita boleh berdoa agar umur panjang. Bagi mereka, umur panjang itu bermaksud, Tuhan (baca; ALLAH) memanjangkan umur setelah ajal ditentukan. Ajal dan detik kematian ditangguhkan pada waktu yang lain.
b. Asaari membuat analogi sebagaimana doktor boleh berusaha menyembuhkan penyakit sehingga boleh mengelakkan kematian terhadap pesakit.

Hujah-hujah mereka ini disampaikan kepada orang ramai dalam program ‘Sembang-sembang Minda Bersama Simpati’ dan Kuliah kepada Ahli Rufaqa di seluruh negara untuk menerangkan kandungan VCD Kuliah Minda yang dibuat oleh Mejar (B) Abu Zar yang pernah disiarkan dalam TV3. Berikut adalah petikan VCD tersebut:

"Sampai masa nak mati, ajal- abuya tahu dulu. Orang ni akan temui ajal sekian sekian masa. Abuya akan tanya; kita ni mati agak agak baik ke jahat?
Kata; mati baik. Tak pe, silalah ambik anak buah aku tu dulu. Tapi kalau jahat abuya minta tangguh dulu. Habis tu macam mana? Gantilah dengan siapa siapapun yang dah ‘siap’. Pengikut-pengikut, anak-anak ke, isteri ke. Ustaz Nizam tu (anak kedua Asaari) patutnya dah lama wafat, tapi abuya bertolak ansur dengan Allah, "Ya Allah bukan senang nak latih orang macam ni. Habis tu ganti? Ambillah Walidah (isteri Asaari yang mandul), lagipun dia tiada anak, bertakwa, Orang rohani. Lagipun kalau dia mati, dia ada peranan di alam Roh. Ganti Walidah. Ganti Ustaz Nizam.
Ha, benda-benda macam tu berlaku. Jadi macam tu berlaku. Kita tak perasan. Mati kitapun ditangguh. Mati kita boleh ditangguhkan. Abuya boleh runding dengan Tuhan supaya mati kita tu selamat.

Sehubungan itu, kami sangat perlu membidas, membantah dan meruntuhkan ajaran Asaari ini yang sangat menakutkan dan menjejaskan akidah.

Kami melihat isu ini dalam tiga perkara:

a. Dakwaan Asaari yang dirinya boleh menangguhkan kematian seseorang malah menukarnya kepada orang lain.
b. Dakwaan Asaari yang dirinya berbincang dengan Allah dalam urusan kematian para pengikutnya.
c. Dakwaan Asaari itu secara langsung menganggap dirinya sangat penting dalam urusan tadbir Allah terhadap makhluk.


Apakah Ajal boleh ditangguhkan?

Ajal adalah satu ketetapan yang telah ditentukan oleh Allah. Tarikh, tempat, detik waktu, dan bagaimana cara adalah hak mutlak urusan Allah. Setiap orang telah ditulis tempoh ajalnya secara tepat pada pengetahuan Allah, tidak boleh dikemudiankan dan didahulukan walaupun sesaat. Penentuan dan ketetapan itu adalah hak mutlak milik Allah dan tidak ada seorang pun boleh melarikan diri dari ketentuan kematiannya apatah lagi mengelak atau menukarkan kepada orang lain. Allah berfirman:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً وَلا يَسْتَقْدِمُونَ (٣٤)

Dan bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang ajalnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.
Al-A’raf : 34

نَحْنُ قَدَّرْنَا بَيْنَكُمُ الْمَوْتَ وَمَا نَحْنُ بِمَسْبُوقِينَ (٦٠)

Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan;
Al-Waqi’ah : 60

Daripada dua ayat ini, Imam Ibn Kathir rhm.a. (bukan Yahudi) dalam Tafsir al-Azhim menyatakan; urusan ajal seseorang itu tidak mungkin akan berubah daripada ketetapan yang Allah tetapkan. Setiap orang sudah ditentukan ajalnya dan tidak akan diawalkan atau dilewatkan daripada detik yang Allah tetapkan. Ini bermakna tiada sesiapa boleh mengalahkan Allah atau mencampuri urusan Allah dalam perkara kematian makhluknya.

Apakah Asaari dan para pengikutnya mengingkari ayat dan keterangan nas yang jelas di atas? Kami sangat berharap agar Allah memberi hidayah pada mereka dan menyedari kesalahan tersebut kerana ia sangat memberi kesan besar terhadap akidah mereka.

Kami ingin membidas hujah Asaari dalam aspek ‘panjang umur’. Ini kerana Asaari berhujah ajal boleh ditangguh kerana kita juga berdoa untuk dipanjangkan umur. Adakah ini benar dan tepat mengikut akidah Ahli Sunnah wa al-Jamaah?

Mari kita lihat satu hadith dari Nabi s.a.w. yang menerangkan tentang konsep ‘panjang umur’.

حدثني إبراهيم بن المنذر حدثنا محمد بن معن قال حدثني أبي عن سعيد ابن أبي سعيد عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: "سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول ( من سره أن يبسط له في رزقه وأن ينسأ له في أثره فليصل رحمه".

5639 صحيح البخاري [ جزء 5 - صفحة 2232 ]

Maksud: Sesiapa yang suka untuk diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim (hubungan kekeluargaan). - Sahih Bukhari.

Hadith ini menjadi hujah Asaari bahawa seseorang itu boleh dipanjangkan umur atau ditangguhkan ajalnya oleh Allah. Bagaimanapun, kaedah pendalilan (istidlal) yang dibuat oleh Asaari ini sangat menyimpang dan menyesatkan. Malah ia sangat bertentangan dengan nas-nas yang qat’ie dan jelas serta keterangan yang dibuat oleh seluruh ulama Ahli Sunnah. Asaari telah tersalah tafsir dan menyesatkan para pengikutnya dengan ajaran tersebut.

Mari kita lihat apa tafsiran sebenar hadith baginda di atas. Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, seorang muhaddtih bermazhab Shafie (bukan seorang yahudi) menyatakan konsep ‘panjang umur’ dalam hadith ini bermaksud ”seseorang itu diberi keberkatan dalam umurnya dengan diberikan taufik untuk melakukan ketaatan dan mengisi waktu dengan apa yang diberi manfaat kepadanya pada hari akhirat. "

Hadith ini BUKAN BERMAKSUD ajal itu boleh ditangguhkan. Ini kerana apa yang ditentukan oleh Allah tidak akan berubah.

Al-Hafiz Ibn Hajar membuat contoh ‘keberkatan umur’ yang dimaksudkan ialah sepertimana Allah SWT memberikan malam Lailatul Qadar kepada umat ini bagi menyamai ibadah umat terdahulu yang panjang umurnya. Maka, samalah sebagaimana orang yang menyambung silaturahim, mereka diberi taufik untuk melakukan ketaatan kepada Allah dan dijaga oleh Allah daripada melakukan maksiat dan dikekalkan ingatan orang terhadapnya selepas kematiannya kerana silaturahim tadi. Di antara taufik yang diberikan kepada orang yang menyambung silaturrahim itu seperti ilmu yang dimanfaatkan selepas kematiannya, sedekah jariah dan zuriat yang soleh yang sentiasa mendoakannya. (Fathul Bari; Juzuk 10: hlm. 416)

Ibn Hajar juga menyatakan terdapat satu hadith yang bertaraf dhaif yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani (bukan yahudi) dalam kitabnya ‘al-Shagir’; ketika mana disebut hadith di atas di hadapan Rasulullah s.a.w., maka Rasulullah s.a.w. bersabda; “Ia bukan bermaksud dilewatkan ajal, tetapi ia bermaksud seseorang lelaki diberikan zuriat yang soleh yang sentiasa berdoa untuknya selepas kematiannya.” Imam al-Tabrani meriwayatkan hadith yang marfu’ dalam kitabnya ‘al-Kabir’ yang bermaksud; “Sesungguhnya Allah tidak akan melewatkan ajal seseorang apabila ia telah sampai.”

Ibn Faurak (bukan Yahudi) secara pasti (jazam) menyatakan maksud panjang umur itu ialah menghilangkan penyakit atau kecacatan pada orang yang menyambung silaturrahim pada aspek minda dan akalnya. Maksudnya ia tidak terkena nyanyuk atau mental disorder.

Pendapat ini semuanya dipegang oleh pengarang kitab Umdah al-Qari yang turut mensyarahkan hadith Bukhari. (Lihat Umdah al-Qari, Jilid 22, hlm 91). Inilah pendapat ijmak seluruh ulama Ahli Sunnah wal Jamaah. Mengingkarinya akan mengeluarkan kita dari Ahli Sunnah kerana terkeluar dari tafsiran yang dibuat oleh Nabi s.a.w., para sahabat dan salafussoleh.

Kesimpulan:

a. Tiada kaitan langsung antara konsep ‘panjang umur’ mengikut ulama’ Ahli Sunnah (bukan yahudi) dengan penangguhan ajal yang dibawa oleh Asaari. Asaari telah tersalah dalam hujahnya dan ia sangat menyesatkan. Ajal sememangnya tidak boleh ditangguh apatah lagi ditukarkan kepada orang lain.

b. Meyakini bahawa ajal boleh ditangguh bermakna mengingkari nas dari al-Quran dan hadith bahawa ajal itu adalah hak mutlak urusan Allah. Para nabi dan rasul sendiri tidak pernah mencampuri urusan tersebut, apatah lagi berbincang-berbincang dengan Allah.

c. Panjang umur bermaksud keberkatan usia, tidak sakit dan diberi kekuatan untuk beribadah. Bukannya ajal dilewatkan atau ditukarkan kepada orang lain.



Adakah Allah perlukan pandangan makhluk (seperti Asaari) untuk urusan pentadbiran-Nya?

Maha Suci Allah dari dakwaan Asaari tersebut. Allah sendiri dan menyendiri dalam semua urusan-Nya tanpa melibatkan sesiapapun daripada makhluknya. Mari kita lihat satu firman Allah yang sangat memudahkan akal yang sihat untuk memahaminya:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ (٣٠)

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Al-Baqarah : 30

Allah sudah menetapkan semua perkara dalam pengetahuannya dan tidak pernah dikongsikan dengan orang lain. Tiada sesiapa boleh meminta tangguh ajal seseorang, apatah lagi berbincang dengan Allah untuk ditukarkan kepada orang lain.

Mari kita lihat kisah Nabi Nuh a.s., yang melihat anaknya terkapai-kapai kerana ditelan ombak besar. Kasihan baginda, tidak boleh berbuat apa-apa sama ada untuk meminta ditangguhkan ajal anaknya atau meminta diberi hidayah kepada anaknya:

قَالَ يَا نُوحُ إِنَّهُ لَيْسَ مِنْ أَهْلِكَ إِنَّهُ عَمَلٌ غَيْرُ صَالِحٍ فَلا تَسْأَلْنِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنِّي أَعِظُكَ أَنْ تَكُونَ مِنَ الْجَاهِلِينَ (٤٦)

Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); Sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah Engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".
Surah Hud: 46.

Ayat di atas, Allah menyatakan; maka janganlah Engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Allah menegur Nabi Nuh a.s. agar tidak memohon perkara yang dia tidak ada pengetahuan iaitu berkenaan hidayah dan berdoa keselamatan untuk anaknya. Itu semua adalah urusan Allah. Apatah lagi dalam perkara ajal yang menjadi rahsia Allah. Adakah Asaari lebih mulia daripada Nabi Nuh a.s.?

Begitu juga kisah Nabi Ibrahim yang didatangi para Malaikat yang menjadi tetamunya. Para malaikat itu sedang dalam perjalanan ke negeri Nabi Lut untuk menghantar azab kepada penduduk negeri itu. Nabi Ibrahim telah merayu kepada Malaikat itu bahawa ada Nabi Lut dalam negeri tersebut. Baginda sangat khuatir ada azab yang menimpa nabi Lut dan keluarganya. Bagaimanapun, azab itu sudah lama ditentukan oleh Allah. Allah menentukan azab itu tanpa perlu berbincang dengan Nabi Ibrahim atau Nabi Lut. Azab itu terkena pada semua penduduk negeri tersebut termasuklah isteri Nabi Lut. Mengapakah Nabi Lut tidak berbincang dengan Malaikat dan Allah untuk menukarkan ajal isterinya kepada orang lain?

قَالَ إِنَّ فِيهَا لُوطًا قَالُوا نَحْنُ أَعْلَمُ بِمَنْ فِيهَا لَنُنَجِّيَنَّهُ وَأَهْلَهُ إِلا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ (٣٢) وَلَمَّا أَنْ جَاءَتْ رُسُلُنَا لُوطًا سِيءَ بِهِمْ وَضَاقَ بِهِمْ ذَرْعًا وَقَالُوا لا تَخَفْ وَلا تَحْزَنْ إِنَّا مُنَجُّوكَ وَأَهْلَكَ إِلا امْرَأَتَكَ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ (٣٣)

Nabi Ibrahim berkata: "Sebenarnya Lut ada di bandar itu". mereka menjawab: "Kami mengetahui akan orang-orang yang tinggal di situ. Sesungguhnya Kami akan menyelamatkan Dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) - kecuali isterinya, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan". Dan ketika datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Lut, ia merasa dukacita dengan kedatangan mereka, dan merasa tidak terdaya untuk mengawal mereka (dari gangguan kaumnya); dan (setelah melihatkan halnya yang demikian), utusan-utusan itu berkata: "Janganlah Engkau takut dan janganlah berdukacita, Sesungguhnya Kami akan menyelamatkanmu dan keluargamu (serta pengikut-pengikutmu) - kecuali isterimu, ia adalah dari orang-orang yang dibinasakan.
Surah al-Ankabut: 32 – 33.

Maka, tidak cukupkah dalil al-Quran ini menjadi cahaya terang untuk membantah pemikiran dan ajaran sesat Asaari? Sedangkan para Nabi dan para Malaikat langsung tidak berhak memberi nasihat atau meminta kepada Allah tentang URUSAN ALLAH, apatah lagi Asaari; sekadar seorang manusia yang sepakat para ulama menentangnya.

Perlukah Berdoa Panjang Umur?

Kita perlu berdoa untuk diberkati umur sejajar dengan maksud dan syarah hadith yang berkaitan. Berdoalah agar umur kita diberkati dan diberi tubuh badan dan minda yang sihat agar mudah membuat ketaatan dan ibadah. Bukannya meminta dilewatkan kematian kita kerana kematian kita sangat tepat mengikut detik ajal yang telah ditetapkan oleh Allah.

Asaari, bertaubatlah selagi usiamu masih ada. Wahai para pengikut Rufaqa! Bertaubatlah. Ambillah ilmu dari para ulama pewaris nabi...

7 Comments:

At 10:27 PM, Blogger omarshamsuddin said...

satu kupasan yang lengkap.cuma ayat quran kalau boleh tulis nama surah ngan ayat je.sbb yg keluar dlm blog tak bersambung huruf2.nnt takut org terkeliru.

 
At 9:13 PM, Blogger zubaidahabidin said...

Kesian asaari...
Sudah tua pun macam ini jugak perangainya, masih mempertahankan kebatilan yang rakyat malaysia tak terima pun kecuali pengikut2 setianya sahaja, termasuk anak pinak mereka yang beribu jumlahnya yang di brainwash dari kecil- kasihan mereka.

 
At 8:06 PM, Anonymous Anonymous said...

saya ingin bertanya...maafkan saya andainya soalan ini soalan bodoh...andainya setiap orang telah ditetapkan ajal mautnya dari alam azali... adakah orang yang membunuh diri sendiri juga dikira sebagai ajal.. sekiranya tidak dikira sebagai ajal.. sudah tentu percubaannya untuk menamatkan riwayatnya tidak akan berjaya... bagaimana dengan yg berjaya menamatkan riwayatnya sendiri.. adakah itu dikira sebagai ajal juga.. sekadar bertanya...

 
At 12:17 PM, Blogger Tawel Sensei said...

Assalamualaikum. Saya tak tahu camne nak kontek saudara. Jadi saya bagitau di sini sahajalah.

Dalam pseudo-profile Asaari tu, saudara ada meletakkan Ihya Ulumuddin sebagai kitab favourite beliau. Kitab Ihya sudah muktabar dalam masyarakat Islam seluruh dunia. Tapi saya yakin, masih ada umat Islam yang tidak tahu hujung pangkal kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali itu.

Oleh itu, ada baiknya jika saudara mengedit semula profile tersebut dengan membuang nama kitab Ihya Ulumuddin itu. Saya takut nanti ada orang salah faham dan anggap tentang kitab tersebut, dan yang lagi parah, mereka menyangka kitab Ihya itu ada hubungkait dengan ajaran al-Arqam.

Sekian adanya. Mohon dipertimbangkan teguran saya ini. Mekasih.

 
At 11:26 PM, Anonymous antiextremists said...

you islamic fanatics can all go fuck yourselves..it's your extremism that is destroying this country..and please dont even dream of turning this country into another taliban like hell.i wont let thathappen,at all costs,even if it means my life.

 
At 7:25 PM, Anonymous Anonymous said...

Kepada yang bertanya soal bunuh diri, kalau dia berjaya bunuh diri sememangnya itulah kesalahannya yang amat besar dan itulah ajalnya yang sudah ditetapkan Allah ke atas kesalahannya yang amat besar. Allah telah mengetahui apa yang akan berlaku dari ilmu-Nya yang mutlak, tetapi beri pilihan kita untuk pilih jalan syukur atau kufur, dan sesungguhnya Allah Mengetahui yang mana kita akan pilih setelah kita diberi pilihan.

 
At 11:37 AM, Anonymous shamsol bahari said...

boleh tambah lagi cerita ttg pengenalan assaari dan arqam. menarik juga. banyak yang tak tahu tentang kejahilan dia orang tentang agama

 

Post a Comment

<< Home