Tuesday, June 13, 2006

Mengapa Asaari Membenci Ulama

Ketika saya berbincang secara ilmiah dengan pengikut-pengikut Rufaqa @ Aurad Muhammadiah, mereka telah memberikan statement berikut:

a. Siapa yang beri title muktabar kepada mereka (ulama)? (Nadanya sambil mengejek.)
b. Siapalah para ulama ni. Nak sesatkan orang. Entah-entah ibadah mereka pun tak buat. Takde seorang pun ulama kat dunia yang setanding ilmu dan ibadahnya dengan abuya.
c. Enta jangan sesatkan abuya. Biarlah ulama tu sahaja yg kata. Enta tau tak? Kalau enta sesatkan orang macam ulama tu, 7 keturunan akan dilaknat Allah.
d. Eleh, ulama tu buat buku berapa je… tengok abuya. Dah 72 buah buku.
e. Ulama ni wahabi. Diaorang ni bencikan tasawuf dan tak suka orang sufi. (mereka lupa – tokoh Alim yang keras menentang mereka seperti al-Ustaz Dr. Uthman Muhammadi bukannya seorang ‘wahabi’.)

Asaari banyak menulis dalam bukunya dan memberi kuliah yang menzahirkan penentangannya kepada ulama Ahli Sunnah dalam dunia Islam mahupun di dalam Malaysia. Kebencian ini timbul setelah seluruh ulama di Malasyia telah menghukumnya sesat. Asaari bukan sahaja membenci, malahan mempertikaikan kewibawaan para ulama, memperlekehkan ketinggian ilmu mereka dan menolak semua teguran dan nasihat para ulama. Buku-bukunya banyak menjadi saksi terutamanya seperti Berhati-hati membuat tuduhan, Assalamualaikum Dato’ Seri, Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam dan banyak lagi.

Antara tujuan penentangan Asaari ialah:

a. Dia ingin menyuntik racun ini untuk memastikan para pengikutnya tidak merujuk atau belajar dengan ulama atau guru agama yang berada di luar dari jemaahnya. Akibatnya, pengikutnya hanya akan belajar Islam dan ilmu agama dari Asaari sahaja. Acuan agama mereka sama dengan acuan yang sudah dicorak oleh Asaari. Maka, mudahlah mereka berasa taksub dan berterima kasih pada Asaari.
b. Supaya pengikutnya terus dalam keadaan jahil dan mudahlah Asaari membuat pembohongan dan pengajaran salah.

Antara tindakan yang berkaitan seperti:

a. Tidak membenarkan pengikutnya membaca buku-buku karangan ulama muktabar atau belajar dari ulama semasa.
b. Mengecam ulama dengan tuduhan yang melampau. Sebagai contoh, al-Ustaz Dr. Haron Din pernah difitnah oleh al-Arqam mempunyai skandal seks. Memfitnah bekas mufti Wilayah Persekutuan KL Dato’ Abdul Kadir dan sebagainya.
c. Mendoktrinkan pengikutnya bahawa ilmunya (Asaari) datang direct dari Allah. Tidak ada campurtangan manusia.
d. Asaari menghina ulama yang ada phd dengan mengatakan mereka hanya baca beberapa buku tetapi sudah tunjuk alim.

Sehubungan itu, dalam buku 25 tahun Perjuangan Al-Arqam, dinyatakan bahawa sasaran dakwah al-Arqam tertumpu kepada mereka yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama. Ini kerana ia akan memudahkan proses indotrinasi dan menjauhkan mereka daripada sumber ilmu Islam. Maka ramailah yang terpengaruh masuk dalam jaring Rufaqa.

Assari lupa bahawa Allah berfirman:

“Pasti Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang berilmu beberapa darjat.” (Al-Mujadilah: 11)

Ayat ini membezakan siapa Asaari kalau hendak dibandingkan dengan para ulama dari segi ilmu, ibadah dan ketaqwaan.

Sehubungan itu, Sheikh Shalih bin Fauzan Al-Fauzan berkata: “Selagi para ulama masih ada, umat masih berada dalam kebaikan. Para syaitan dari kalangan jin dan manusia tidak akan berleluasa untuk menyesatkan mereka. Kerana para ulama tidak akan mendiamkan diri untuk menerangkan jalan kebaikan dan kebenaran sebagaimana mereka selalu memperingatkan umat agar menjauhi jalan kebinasaan.” (Ma Yajibu Fit Ta’amuli Ma’al Ulama, hal. 7)

Inilah yang ditakuti oleh Asaari. Dia menolak ulama agar mudah dia menyesatkan para pengikutnya dan masyarakat Islam. Sikap melecehkan ulama sunnah merupakan ciri utama ahli ajaran sesat (ahli bid`ah) di setiap generasi dan kurun.

Imam Ahmad bin Sinan Al-Qaththan berkata: “Tidak ada seorang pun dari ahli bid’ah di dunia ini yang tidak membenci ulama hadits (Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah)”. (Syaraf Ash-habil Hadits, karya Al-Khathib Al-Baghdadi r.a., hlm. 73)

Imam Isma’il bin Abdurrahman Ash-Shabuni r.a. berkata: “Tanda dan ciri mereka yang utama adalah permusuhan, penghinaan dan perlecehan yang luar biasa terhadap pembawa hadits Nabi s.a.w. (ulama)”. (Aqidatus Salaf Ash-habil Hadits, hlm.116)

Imam Abu Hatim Ar-Razi r.a berkata: “Ciri-ciri ahli bid’ah adalah melecehkan ahli atsar (Ahlus Sunnah wal Jamaah).” (Syarh Ushul I’tiqad Ahlis Sunnah Wal Jama’ah, karya Al-Lalikai r.a., 1/200).

Mengapa Asaari Membenci dan Melecehkan Ulama?

Sheikh Shalih bin Fauzan Al-Fauzan ada menjawab persoalan ini. Beliau berkata: “Keadaan itu terjadi kerana mereka hendak memisahkan umat Islam dari ulamanya. Sehingga (apabila berhasil) akan mudah bagi mereka (Ahlul Bid’ah) untuk memasukkan berbagai-bagai kecelaruan pemikiran dan kesesatan yang dapat menyesatkan umat dan memecah belah kekuatan mereka. Itulah misi yang mereka inginkan, maka hendaklah kita berwaspada.” (Ma Yajibu Fit Ta’amuli Ma’al Ulama, hal. 17)

Lebih dari itu, melecehkan ulama merupakan ghibah dan namimah yang paling berat (termasuk dosa besar). Sheikh Shalih bin Fauzan Al-Fauzan berkata: “Menggejek ulama, melecehkan, dan mengutuk mereka merupakan jenis ghibah dan namimah yang paling berat, kerana dapat memisahkan umat dari ulama dan terkikisnya kepercayaan umat kepada mereka. Jika ini terjadi, akan muncul keburukan yang besar.” (Ma Yajibu Fit Ta’amuli Ma’al Ulama, hal. 17)

Sheikhul Islam Ibnu Taimiyyah berkata: “Maka wajib bagi seluruh kaum muslimin (setelah mencintai Allah dan Rasul-Nya) untuk mencintai orang-orang yang beriman sebagaimana yang telah disebutkan di dalam al-Qur’an, khususnya para ulama pewaris para Nabi, yang diletakkan oleh Allah sebagai bintang-bintang di angkasa yang menjadi petunjuk arah di tengah kegelapan daratan mahupun lautan. Kaum muslimin sememangnya bersepakat bahawa para ulama merupakan orang-orang yang berilmu dan dapat membimbing ke jalan yang lurus.” (Raf’ul Malam ‘Anil Aimmatil A’lam, hal. 3)

Apabila kita membuka catatan sejarah, nescaya akan kita dapati kehidupan golongan salafussoleh diwarnai dengan akhlak mulia. Memuliakan dan menjunjung tinggi ulama merupakan sebahagian dari prinsip kehidupan mereka.

Perhatikanlah:
a. Sahabat Abdullah bin Abbas r.a., suatu hari menuntun haiwan tunggangan yang dinaiki sahabat; Zaid bin Tsabit r.a., sambil beliau berkata: “Seperti inilah kita diperintah dalam memuliakan ulama.”

b. Ketika Imam Auza’i r.a. menunaikan ibadah haji dan masuk ke kota Makkah, maka Imam Sufyan Ats-Tsauri r.a. menuntun tali untanya sambil mengatakan: “Berilah laluan untuk Sheikh!”. Sedangkan Imam Malik bin Anas r.a. mengiringi unta tersebut (dari belakang) hingga mereka mempersilakan Al-Auza’i duduk di sekitar Kaabah. Kemudian mereka berdua duduk di hadapan Imam Al-Auza’i r.a. untuk menimba ilmu darinya.

c. Imam Asy-Syafi’i r.a. berkata: “Dahulu aku membuka lembaran-lembaran kitab di hadapan Imam Malik dengan perlahan-lahan agar beliau tidak terdengar (terganggu), kerana rasa hormatku pada beliau yang sangat tinggi.” (Dinukil dari Kitab Ad-Diin Wal ‘Ilm, hal. 27)