Tuesday, September 05, 2006

PETIKAN DARI PENGALAMAN: LAGI KISAH YAQAZAH...

Pada entri kali ini, kami menukilkan kisah dari buku ARQAM: TERSUNGKUR DI PINTU SYURGA bagi menggambarkan bagaimana Arqam dan Asaari Muhammad membuat pendustaan terhadap nama Rasulullah. Lihatlah aspek berikut:

a. Pemimpin lapisan pertama dan kedua al-Arqam tidak tahu kaedah dan bagaimana Asaari beryaqazah.
b. Asaari sentiasa menggunakan yaqazah sebagai 'mesej dari Rasulullah' yang sangat wajib dipatuhi dalam kerangka perjuangannya. Semua tindak tanduk mereka adalah dari 'mesej dari Rasulullah'.
c. Asaari sudah berkali-kali membuat pengakuan. Tetapi, ia sekadar taqiyah dan untuk meneruskan pembohongannya menggunakan nama agama.

Berikut adalah petikan dari buku tersebut:



DI BALAI Polis Jalan Travers, Kuala Lumpur inilah saya buat kali pertama, selepas hampir dua bulan ditahan di bawah ISA, dapat melihat 'planet bumi' yang cantik menghijau ini. Terasa nikmat dapat menghirupkan udara kebebasan.

Kami kemudian dibawa ke sebuah motel tepi tasik di Rawang sementara menunggu masa untuk diberi arahan masuk ke Sungai Penchala bagi memulakan road show pertama kami. Sepanjang perjalanan saya bagaikan pelancong asing yang tidak pernah melihat wajah Malaysia, asyik melihat pemandangan di kiri kanan, walaupun jerebu yang melanda negara ketika itu masih belum pulih sepenuhnya.

Inilah yang dikatakan nikmat kebebasan yang tidak semua orang dapat merasainya. Pernah seorang ahli al-Arqam bertanya kepada saya bagaimana rasanya duduk dalam sel dan saya katakan padanya: "Anta masuk dalam bilik air, tutup semua ruang cahaya dan duduk situ tak keluar-keluar selama dua bulan.''

Ustaz Asaari Mohamad juga dibebaskan.

Sehari kemudiannya pada 28 Oktober 1994 kami telah dibawa masuk ke perkampungan al-Arqam Sungai Penchala untuk bertemu dengan ahli-ahli al-Arqam. Sepanjang perjalanan masuk ke Sungai Penchala saya dapat melihat sekatan jalan raya diadakan di luar perkampungan dan kelihatan juga berpuluh-puluh anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) sedang berjalan kaki bergerak masuk ke perkampungan al-Arqam.

Di kawasan perkampungan iaitu di tapak surau sementara di hadapan bangunan pentadbiran Majlis Syukukh, kelihatan ribuan ahli al-Arqam telah sedia menunggu kedatangan kami. Suasana mereka agak pilu seolah-olah menanti kedatangan satu jenazah yang bakal disembahyang dan dikebumikan. Apabila Ustaz Asaari keluar dari kereta yang membawanya, saya dapat lihat ramai ahli al-Arqam yang mengalirkan air mata.

Ustaz Asaari tenang saja memberi taklimat kepada ahli-ahlinya agar membuat perubahan kepada amalan akidah Sunah Wal Jamaah dan mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan serta akur dengan setiap tindakan kerajaan ke atas jemaah mereka. Saya sebak menahan kesedihan ketika itu kerana sudah dapat merasakan ahli-ahli al-Arqam ini akan mengharungi zaman penuh ujian selepas ini. Semua ahli al-Arqam mendengar penuh teliti setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut Ustaz Asaari.

Namun saya yakin mereka juga percaya ada makna dalam setiap perkataan Ustaz Asaari itu. Ada seorang bekas pemimpin al-Arqam yang tidak ditahan membisikkan ke telinga saya ketika kami mula beredar untuk meninggalkan majlis tersebut. "Jangan bimbang kami semua faham!''
Memang benar selepas habis semua road show kami seluruh Malaysia selama 4 bulan kemudian, ahli-ahli al-Arqam ini tetap tidak berubah keyakinan mereka pada Ustaz Asaari malah makin kuat. Yang mereka ubah hanyalah warna jubah dan serban mereka.

"Semua yang berlaku ini semuanya adalah dalam jadual Allah, kita ditahan di bawah ISA agar minda kita boleh direct kita sampaikan kepada puak-puak SB ini, hasilnya sekarang menurut 'Rasulullah' telah 85 peratus SB menyokong kita. Inilah yang dikatakan Daulah akan berlaku secara khawariqul 'adah,'' kata Ustaz Asaari kepada pemimpin-pemimpinnya yang selalu ditemuinya selepas subuh di beberapa buah restoran sekitar Daerah Gombak, walaupun beliau dihalang bertemu dengan bekas-bekas al-Arqam.

Malah ketika kursus Pemurnian Akidah anjuran Pusat Islam di Port Dickson pada 22 Disember 1994, Ustaz Asaari telah menggunakan peluang itu untuk memberi 'arahan-arahan baru' kepada semua peserta kursus yang kebetulan adalah bekas-bekas pemimpin al-Arqam dari seluruh Malaysia.

Selepas tamat program road show kami, Ustaz Asaari telah memberi arahan kepada semua barisan pimpinannya untuk menghilangkan nama al-Arqam yang telah diharamkan oleh kerajaan. Ini semua dilakukan bertujuan bagi mengabui mata Bukit Aman. Untuk mengabui mata Bukit Aman, Ustaz Asaari juga telah mengadakan program kuliah fardu ain selepas subuh, yang dikatakannya hanya dihadiri oleh kaum keluarganya sahaja.

Tetapi hakikatnya, ramai bekas pemimpin al-Arqam juga telah dijemput untuk hadir dalam majlis fardu ain ini. Dan pemimpin-pemimpin ini kemudiannya akan mengkuliahkan semula fardu ain ini kepada anak-anak buahnya dalam program-program motivasi dalam syarikat mereka. Di samping fardu ain, minda Ustaz Asaari dan arahan-arahan semasa daripadanya juga disampaikan secara sembunyi-sembunyi. Malah banyak arahan yang keluar daripada Ustaz Asaari dikatakan adalah hasil daripada yaqazah Ustaz Asaari dengan 'Rasulullah'.

Hidden agenda Ustaz Asaari untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia masih berjalan seperti biasa. Malah be-liau semakin yakin Daulah Islamiah akan berlaku. Ustaz Asaari juga secara berani telah merestui tindakan pemimpin-pemimpin al-Arqam mengatur perkahwinan bekas-bekas ahlinya secara beramai-ramai di tempat terbuka bagi mempamerkan 'kekuatan' kepada Pusat Islam dan Bukit Aman. Seluruh ahli al-Arqam dari seluruh Malaysia akan dijemput beramai-ramai menghadiri majlis-majlis perkahwinan ini.

"Kita berkumpul ni cara legal, jadi Pusat Islam tak boleh kata apa-apa. Lagipun SB dah sokong kita, cuma mereka tak tunjuk pada kita. Daulah kita dah dekat. Kita mesti cepat pertingkatkan minda, jangan jauh ketinggalan. Sekarang perkembangan terlalu laju. Beberapa orang politik dalam UMNO sedang bekerja 24 jam untuk jatuhkan Dr. Mahathir dan naikkan Abuya. Daulah dah dekat!''

Pernah Ustaz Asaari menyebut pada saya dalam satu perjumpaan sulit saya dengannya di sebuah restoran di Kepong selepas subuh. Ustaz Asaari masih kental dengan hidden agendanya lagi. Semua ahli al-Arqam mempercayai kata-kata Ustaz Asaari tanpa sebarang keraguan kerana Ustaz Asaari mendakwa dia masih mendapat mesej-mesej daripada 'Rasulullah'.

Ustaz Asaari kemudiannya telah mengarahkan agar semua ahli al-Arqam ini di 'ijazahkan' semula dengan wirid Aurad Muhammadiah. Beberapa orang pemimpin al-Arqam telah diwakilkan oleh Ustaz Asaari untuk melakukan majlis pengijazahan wirid itu.

Hatta ada di antara mereka yang telah pergi ke Jordan untuk mengijazahkan kembali hampir 120 orang pelajar tajaan al-Arqam yang masih menyambung pengajian mereka di sana. Pada 7 Mei 1996 ISA kali kedua telah dilakukan ke atas beberapa orang lagi pemimpin al-Arqam.

Tangkapan ini dibuat di atas dakwaan mereka cuba menghidupkan kembali pertubuhan al-Arqam yang telah diharamkan. Ibrahim Mohammad, Khatijah Aam dan Sobri Abd Rani ditahan sekali lagi buat kali kedua, berserta 16 pemimpin al-Arqam yang lain. Saya sendiri tidak dapat tidur malam ketika operasi kedua itu dijalankan kerana bimbang kalau-kalau 'burung masuk sangkar' untuk kali kedua.

Namun yang menjadi tanda tanya kepada saya ketika itu dan juga kepada beberapa pemimpin al-Arqam yang lain ialah kenapa ada seorang muslimah al-Arqam, isteri kepada Setiausaha Peribadi Ustaz Asaari bernama Azura ditangkap sama?

"Kenapa dia ditangkap? Dia bukan pemimpin dalam muslimah al-Arqam, penting ke dia ditangkap?'' Pernah saya bertanya kepada salah seorang pemimpin al-Arqam yang tidak ditangkap ketika itu. Dia juga sebenarnya menanyakan soalan yang sama.

Faktor Azura terus menjadi teka-teki kepada kami bekas pemimpin-pemimpin al-Arqam hinggalah pada Ogos 1996 majalah Al Islam menyiarkan pembohongan Azura yang telah mendakwa menjadi orang perantaraan yaqazah Ustaz Asaari dengan 'Rasulullah'. Walaupun cerita mengenai Azura di dalam majalah Al Islam ini dikeluarkan semasa rakan-rakan saya termasuk Azura masih berada di dalam tahanan untuk disoal-siasat, saya mudah mempercayainya kerana Azura secara peribadi pernah memberitahu saya dia boleh mengembara ke 'alam kerohanian'.

'Ekspedisi kerohanian' ini selalu dilakukan bersama timbalan Ustaz Asaari, Haji Abdul Halim Abbas. Tetapi ketika itu saya masih reserve komen saya itu, kerana mahu mendengar sendiri daripada mulut Azura. Selepas tamat tempoh 60 hari soal-siasat selesai kesemua pemimpin al-Arqam yang ditahan ISA kali kedua itu telah ditahan selanjutnya di Kem Tahanan Kamunting di Taiping, kecuali Sobri Abdul Rani, Khatijah Aam dan Ibrahim Mohammad.

Sobri Abdul Rani sejurus selepas dibebaskan telah datang menemui saya memberitahu tentang buku pengakuan Ustaz Asaari yang dibacanya. Buku pengakuan Ustaz Asaari ini dibuat ketika beliau ditahan dalam ISA kali pertama dulu. Di dalam buku itu Ustaz Asaari telah mengaku tidak pernah walaupun sesaat beryaqazah dengan Rasulullah. Saya terperanjat dengan kenyataan itu tapi masih reserve lagi komen saya kerana mahu mendengar sendiri daripada mulut Azura.

Buku pengakuan Ustaz Asaari ini tidak diberi kesempatan kepada kami yang ditahan di bawah ISA kali pertama dahulu membacanya. Ini kerana pihak Bukit Aman menyangkakan kami tahu bagaimana yaqazah Ustaz Asaari itu dilakukan dan mereka terperanjat bila mendapat tahu hampir 98 peratus pemimpin al-Arqam juga tidak mengetahuinya. Malah anak-anak Ustaz Asaari juga tidak mengetahuinya.

Pada November 1996, semua pemimpin al-Arqam yang pernah ditahan di bawah ISA kali pertama dan kedua, kecuali Ustaz Asaari (yang sudah mula uzur, sakit mulut tidak boleh bercakap dengan baik/jelas) telah dipanggil berkursus selama 16 hari di Kem Tahanan Kamunting, Taiping. Timbalan Ustaz Asaari, Haji Abdul Halim Abbas telah melarikan diri ke Indonesia kerana enggan menghadiri kursus tersebut.

Semasa kursus di Kamunting saya telah dimaklumkan oleh rakan-rakan yang lain bahawa mereka juga telah diberi peluang membaca buku pengakuan Ustaz Asaari setebal 800 muka surat itu. Di dalam buku itu Ustaz Asaari mengaku tidak pernah beryaqazah dengan 'Rasulullah' malah dia hanya menggunakan orang perantaraan dalam ekspedisi kerohaniannya. Orang perantaraan itulah yang mendakwa dapat bertemu dan berbual dengan 'Rasulullah'.

Paling memeranjatkan serta mengecewakan saya dan paling tidak masuk akal dalam buku pengakuan Haji Abdul Halim Abbas pula yang setebal 600 muka surat, Haji Abdul Halim juga mengaku dia telah menggunakan seorang ahli al-Arqam berbangsa Moro dari Sabah untuk menjadi perantara yaqazah dengan 'Rasulullah'. Pada hal kebanyakan para pemimpin al-Arqam mengetahui orang perantaraan ini adalah bekas seorang penyanyi kelab malam, malah pernah terlibat dalam kes homoseksual.

Bagi saya tidak munasabah Rasulullah s.a.w melantik seorang yang homoseksual untuk berhubung dengan Ustaz Asaari. Kalau Asaari mulia atau bertaraf wali Allah seperti yang didakwa oleh semua pengikutnya, kenapa tidak Rasulullah terus berhubung dengan Ustaz Asaari?

Paling memeranjatkan saya, hingga gugur jantung hati saya bagaikan kondominium Highland Tower yang runtuh meredum, ialah apabila dalam buku pengakuan itu Ustaz Asaari juga mengaku 'yaqazah perantaraan' itu memang tidak ada dalam syariat Islam.

Cara bagaimana dia beryaqazah itu sengaja disembunyikan daripada pengetahuan para pemimpin dan pengikut-pengikutnya, demi untuk menjaga kepentingan dan kredibiliti kepimpinannya.

Saat yang paling saya tunggu-tunggu untuk mendengar pengakuan daripada mulut Azura sendiri, akhirnya tiba juga iaitu semasa kursus ini diadakan. Azura telah mengaku bahawa dia mempunyai sejarah kehidupan rumah tangga yang hancur sejak dari kecil. Kemudian selepas berkahwin dengan seorang pemuda Arab, secara sengaja dan sedar beliau telah menipu Ustaz Asaari dengan mengaku mampu bertemu dengan 'Rasulullah' . Ini semua dilakukan kerana dia mahu terus kekal hidup rapat dengan Ustaz Asaari agar dia tidak kembali kepada kehidupan lamanya dan agar dipandang mulia oleh semua pengikut al-Arqam.

Peluang dapat dikahwinkan dengan Setiausaha Peribadi Ustaz Asaari selepas perceraian dengan suami Arabnya adalah 'rezeki terpijak' yang memang ditunggu-tunggunya. Lagi pun katanya lagi, bila rapat dengan Ustaz Asaari dia dapat ikut melancong ke luar negara. Dan dia juga berani mengatakan telah dijadikan perantaraan oleh Ustaz Asaari untuk beryaqazah dengan 'Rasulullah' lebih daripada 99 kali.

"Saya tahu Ustaz Asaari bukan wali, sebab itu saya berani tipu dia,'' ayat yang keluar daripada mulut Azura di hadapan lebih kurang 200 orang peserta Kursus Pemurnian Akidah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di Bangunan Tabung Haji, Kelana Jaya pada 7 Jun 1997.

Dalam kursus itu juga seorang guru agama yang juga editor khas bahagian al-Quran dan al-Hadis kepada bahagian penerbitan buku-buku Ustaz Asaari telah membuat pengakuan bahawa ciri-ciri Pemuda Bani Tamin yang didakwa dipetik dari hadis-hadis dalam sebuah kitab tua (Jamius Saghir) tidak pernah ditemuinya.

Ciri-ciri yang kononnya dipetik daripada kitab tua tersebut sebenarnya diperoleh daripada seorang menantu perempuan Ustaz Asaari berasal dari Indonesia yang didakwanya didengar dari guru pesantrennya. Menantu ini tidak pasti sama ada ciri-ciri tersebut benar-benar ada di dalam kitab tua itu. Dia hanya mengagak sahaja.

Dalam nada seperti orang yang menjerit-jerit dan separuh gila saya 'memuntahkan' semua isi perut saya di hadapan para pemimpin al-Arqam yang turut serta dalam kursus di Kem Kamunting sehingga terpaksa disejukkan kemudiannya oleh pegawai-pegawai KDN dan Bukit Aman.

"Kenapa Ustaz Asaari sanggup gadaikan iman pengikut-pengikutnya demi perjuangannya yang tidak terpijak di bumi nyata ini? Kenapa? Mereka anak-anak buah kita nun di perkampungan telah berkorban segala-galanya, harta, wang ringgit, tenaga dan segala-galanya yang ada pada mereka, hanya kerana cinta mereka pada Ustaz Asaari dan kerana menanti dan mengharap kedatangan Daulah Islamiah.

"Sekarang ni mereka hidup miskin papa kedana mengharap janji dari jadual Allah yang selalu diperkatakan oleh Ustaz Asaari. Dan kita, para pemimpin ini, pula kerana taksub kita juga, telah menanamkan lagi rasa taksub ini dalam diri mereka."


Hancur punah hati kami mendengar jawapan Asaari. Tetapi kali ini air mata saya telah terlalu kering untuk menangis lagi.

_____________________________________________________

Maka, kami menyeru kepada Asaari agar bertaubatlah atas taubat yang dimungkiri. Ingatlah kembali pengakuan yang telah dibuat, berhentilah berdusta atas nama Rasulullah s.a.w.

Tidak cukupkah peringatan berikut yang sangat keras dari Rasulullah s.a.w. untuk kita:

‏و حدثنا ‏ ‏أبو بكر بن أبي شيبة ‏ ‏حدثنا ‏ ‏غندر ‏ ‏عن ‏ ‏شعبة ‏ ‏ح ‏ ‏و حدثنا ‏ ‏محمد بن المثنى ‏ ‏وابن بشار ‏ ‏قالا حدثنا ‏ ‏محمد بن جعفر ‏ ‏حدثنا ‏ ‏شعبة ‏ ‏عن ‏ ‏منصور ‏ ‏عن ‏ ‏ربعي بن حراش ‏ ‏أنه سمع ‏ ‏عليا ‏ ‏رضي الله عنه ‏ ‏يخطب ‏ ‏قال ‏ ‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم:
‏لا تكذبوا علي فإنه من يكذب علي ‏ ‏يلج ‏ ‏النار

Dari Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu cuba mendustakan aku kerana sesungguhnya orang yang mendustakan aku akan dimasukkan ke dalam api Neraka.