Friday, June 02, 2006

KEPUTUSAN MAJLIS FATWA KEBANGSAAN PERLU DITAMBAH LAGI

Pada 5 Ogos 1994, Majlis Fatwa Kebangsaan, di bawah Pengerusinya; Mufti Diraja Ahmad Tajuddin Abdul Rahman, telah mengeluarkan fatwa mengharamkan Darul Arqam pimpinan Haji Asaari Muhammad, setelah didapati oleh pihak jawatankuasa Majlis tanpa keraguan bahawa Darul Arqam adalah sesat lagi menyesatkan. Terdapat sepuluh aspek ajaran al-Arqam yang dinilai oleh Majlis sebagai menyeleweng daripada akidah Islam:

1. Kepercayaan bahawa Sheikh Muhammad As-Suhaimi, pengasas Aurad Muhammadiah akan lahir semula menjadi Imam Mahadi.

2. Kepercayaan bahawa Sheikh Muhammad As-Suhaimi telah bertemu Rasulullah secara jaga di dalam Kaabah dan menerima Aurad Muhammadiah daripadanya.

3. Menambah kalimah Syahadah dengan menyebut Sheikh Suhaimi sebagai Imam Mahadi dan menyamakan statusnya dengan empat Khalifah Rasyidin; Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali.

4. Salah tafsir akan maksud ayat 3, Surah An-Nisa' dengan mendakwa hukum asal perkahwinan ialah dimulakan dengan dua isteri dan diikuti dengan tiga dan empat. Ini bercanggah dengan ijma' ulama' muktabar tentang hukum perkahwinan.

5. Dakwaan Asaari Muhammad; pemimpin al-Arqam bahawa dirinya bertemu dan berdialog dengan Rasulullah secara jaga.

6. Ahli al-Arqam terlalu taksub dengan pemimpin mereka dan mendewakan Asaari Muhammad dan pengikutnya percaya dirinya mempunyai karamah, seorang wali dan pembela.

7. Asaari juga mendakwa Rasulullah merestui perjuangan dan ajaran al-Arqam.

8. Dakwaan yang Asaari Muhammad mempunyai sifat 'Kun-Fayakun' (Jadi; maka jadilah) yang dimiliki oleh Allah SWT. Dakwaan ini dikhuatiri menimbulkan syirik, untuk dengan menyamakan Allah dan makhluk-Nya.

9. al-Arqam gagal untuk mematuhi undang-undang Islam Negeri dan enakmen dan undang-undang bertulis berkaitan, enggan mematuhi fatwa dan hukum yang dikeluarkan oleh ulama' Ahli Sunnah wal Jamaah yang muktabar serta mengabaikan nasihat dan arahan ulama' dan mufti Negeri.

10. Asaari mendakwa dirinya adalah berketurunan Arab Bani Tamim, sedangkan menurut fakta dia adalah keturunan Melayu-Bawean.


Fatwa ini mengharamkan ajaran al-Arqam, material dan aktiviti. Secara khusus, fatwa ini mengharamkan orang awam daripada:

1. Mengamalkan ideologi al-Arqam, falsafah dan pengamalan yang bercanggah dengan ajaran dan amalan Islam.

2. a. Menggunakan bahan publisiti al-Arqam seperti fotograf, poster, graf, filem slaid dan iklan surat kbabar.
b. Memiliki buku al-Arqam, majalah, pamplet, filem, kaset audio, cakera liut, fonograf, cakera laser dan semua bahan rakaman.
c. Mempamerkan simbol, logo, diagram atau isyarat yang dapat menunjukkan identiti kumpulan al-Arqam melalui harta alih atau tidak alih.

3. Menjadi ahli atau pemimpin, menganjurkan ceramah, mengadakan kelas, atau terlibat dalam ekonomi, sosial, kebudayaan, seni atau apa-apa aktiviti dengan tujuan untuk pertubuhan.


ULASAN:
Majlis Fatwa Kebangsaan perlu menilai semula ajaran Aurad Muhammadiah yang kian berkembang dengan penambahan pelbagai elemen baru dan direncahi dengan unsur yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah wa al-Jamaah.

SAJAK ASAARI: PEMUDA BANI TAMIM

Orang Kanan Imam Mahdi

Lepas Asar
16.9.99


Imamul Mahdi adalah misteri
Walaupun banyak Hadis yang bercerita
Hendak dihuraikan secara nyata amat sulitnya
Hendak ditolak payah juga
Hadis mengenainya terlalu banyak, bahkan ada yang bertaraf masyhur
Siapa pun di kalangan ulama ditanya tidak akan puas
Bahkan akan berlaku ikhtilaf di kalangan mereka
Siapa sahaja yang boleh menerangkan tentang Imamul Mahdi secara puas
Dialah orang pentingnya dan orang kanannya
Kerana dia menghurai dibantu dengan ilham dan berita-berita ghaib
Siapa yang bukan orang kanannya, hanya boleh menghurai di sekitar Hadis sahaja
Siapa orang kanannya dia menghurai dibantu oleh ilham atau berita ghaib menguatkannya
Orang kanannyalah lebih tahu tentang Imamul Mahdi Al Muntazar
Selainnya hanya boleh menghurai secara rambang sahaja
Bahkan orang kanannya boleh berhubung dengan Imamul Mahdi di waktu-waktu tertentu
Dapat panduan, dapat bimbingan, dapat berita ghaib akhir zaman
Kerana itulah dia boleh menceritakan tentang Al Mahdi dengan tepat dan puas
Walaupun begitu bukan semua orang boleh menerimanya
Lebih-lebih lagi para ulamanya, bukan senang hendak percaya
Bahkan setelah lahirnya pun para ulama ada yang menentangnya
Di waktu itu mereka akan nahas
Mereka akan menerima padahnya, hasil penentangannya


__________________________________

Mujaddid Bongsu

Lepas Asar
27.9.99


Mujaddid yang akhir di dalam Hadis disebut Al Fata At Tamimi
Ia merupakan Mujaddid yang menjadi pembantu Mujaddid nombor satu
Ibarat anak kepada dua orang ibu bapa ia adalah anak bongsu
Walaupun ia ada mempunyai kekurangan
Tapi perlu diingat ia adalah anak bongsu
Anak bongsu nakal-nakal pun ia diberi perhatian oleh ibu bapanya
Nakal-nakal pun dia diberi lebih daripada abang-abang dan kakak-kakaknya
Anak bongsu sentiasa sahaja di dalam jagaan ibu bapanya
Ia disayangi, dibenarkan bermanja-manja
Begitulah kelebihan anak bongsu
Begitulah juga mujaddid Tuhan yang bongsu
Di dalam serba kekurangan ia tetap di dalam perhatian Tuhan
Di dalam serba kelemahan namun makan minum, tempat tinggalnya, kendaraannya tetap dibantu
Bahkan kerana ia Mujaddid yang bongsu, orang lain juga turut terbantu
Macam anak bongsu tadi
Kerana anak bongsu, ibu bapanya mengutamakan sesuatu untuknya
Tapi abang-abangnya dan kakak-kakaknya pun dapat merasa bersama
Begitu yang Tuhan lakukan kepada Mujaddid yang bongsu ini
Bantuan Tuhan kepadanya, pengikut-pengikutnya juga dapat merasa bersama
Bantuan yang diberikan kepadanya
Pengikut-pengikutnya juga ikut terbantu
Nakal-nakal anak bongsu pun
Jangan abang-abangnya dan kakak-kakaknya menghinanya
Ibu bapanya tetap menyebelahi anak bongsunya
Hal ini perlu diketahui oleh pengikut-pengikut Mujaddid Bongsu ini
Mujaddid Bongsu ini di dalam kelemahannya ia tetap dibantu
Di dalam kelemahan ia tetap di dalam perhatian Tuhannya
Jangan cuba Mujaddid yang bongsu ini dihina
Orang yang menghina akan dihina oleh Tuhannya
Siapa yang membantu akan dibantu oleh Tuhannya pula
Begitulah yang telah menjadi ketentuan Tuhan kepada Mujaddid Bongsu ini


______________________________________

Peristiwa Yang Besar Akan Berlaku

Menjelang tidur
10.10.99


Tidak lama lagi peristiwa karamah yang besar akan berlaku
Sebagai memuliakan Pemuda Bani Tamim yang dijanjikan
Apabila Pemuda ini berkuasa di dalam Daulah
Khawariqul ‘adah berlaku sangat terserlah
Dengan didikan minda, rakyat mudah berubah
Taat setia mereka kepada pemimpin luar biasa
Lahirnya para-para pemimpin yang selama ini belum ternama
Hasil didikan Pemuda Bani Tamim dengan minda yang luar biasa
Iman setiap orang yang sedia ada dinaikkan 40% lagi
Pemimpin-pemimpin politik makin lama makin dilupakan
Rakyat pun tidak hormat kepada mereka kerana terlalu berbeza dengan pemimpin yang ada
Lebih-lebih lagi ulama terlalu malu berhadapan dengan suasana yang ada
Usaha dan perjuangan mereka gagal
Yang berjaya, pemimpin yang telah dilupa
Adakalanya mereka malu untuk membuat ceramah dan forum di dalam negara
Mereka menghilangkan diri, tidak muncul lagi di tengah masyarakatnya
Akhirnya mereka dilupakan oleh masyarakatnya dan rakyatnya
Di masa yang sama berbondong-bondong pengunjung-pengunjung yang datang dari pelosok dunia
Datang ke Malaysia mengucapkan tahniah atau melihat Daulah yang tidak diduga
Bahkan orang-orang kafir pun ikut serta melancong ke Malaysia melihat Daulah
Mereka juga turut bergembira berada di negara yang aman makmur, tenang dan harmoni
Kedatangan orang ke Malaysia macam kedatangan orang ke Mekah
Ke Mekah orang buat haji dan umrah
Ke Malaysia manusia datang melihat Daulah dan Pemimpin yang disayangi
Kemudian pengaruh Pemuda ini melebar luas terutama di kawasan Timur dan Khurasan yang dijanji
Sekitar 2 tahun pemerintahannya, Imamul Mahdi pun muncul
Pemuda ini pun menyerahkan kuasanya kepada Imam Al Muntazar
Pemuda ini pun dilantik salah seorang Wazir di bawah pemerintahannya


Dahulu ketika zaman al-Arqam, Asaari dan media Arqam sibuk menjaja 'sebuah hadith' yang kononnya Nabi dah mensifatkan 15 ciri-ciri pemuda bani Tamim. Antaranya, memakai serban hijau, bergigi sulah (rongak), tinggi sederhana tetapi tidak rendah, pengikutnya seperti seibu sebapa dan banyak lagi. 'Hadith' tersebut kononnya ditemui oleh Latifah Kahar dalam sebuah kitab karangan Imam al-Suyuti bernama Jami'us Sshagir.

Selama bertahun-tahun mereka menjaja 'hadith' itu, meyakininya serta menjadi sebahagian daripada aqidah dan keyakinan mereka. Tetapi, setelah ISA kedua berlaku, akhirnya seorang editor Arqam bernama Ahmad Baie Jaafar telah membuat pengakuan. Dia mengatakan bahawa 'hadith' yang menyatakan 15 ciri pemuda bani Tamim itu tidak ditemui olehnya setelah 3 hari menelaah dalam kitab tersebut. Lalu, dia (Ahmad Baie) telah mereka-reka matannya dan Asaari menyebarkannya dalam karyanya. Asaari sangat suka kerana semua ciri itu ada pada dirinya.

Hakikatnya, 'hadith' itu dicipta secara sengaja oleh Asaari dan pengikutnya. Asaari turut serta dalam komplot perekaan hadith palsu tersebut. Bagaimanapun, kini khabarnya Ahmad Baie tergolong di kalangan orang-orang yang bertaubat.
Nabi bersabda: "Sesiapa yang sengaja berdusta di atas namaku, maka bersiap sedialah tempat duduknya di api neraka." - Hadith Sahiih



SAJAK ASAARI: DAULAH YANG DIRINDU

Menjelang Maghrib
5.2.2000 (30 Syawal 1420)

Kebangkitan Islam kali kedua bertaraf dunia sifat atau wataknya akan sama seperti yang pertama
Pemimpin yang pertama dan utamanya, Rasulullah SAW dari Bani Hasyim
Orang kananya yang utama dari Bani Tamim, Sayidina Abu Bakar
Selepas itu ada Sahabat yang empat kemudian yang sepuluh yang dijanjikan Syurga oleh Nabi
Kemudian Sahabat-Sahabat pilihan bilangan 25 dan 40
Selepas itu bilangan 313 juga mereka yang masyhur berjasa
Sesudah itu Sahabat-Sahabat Muhajirin dan Ansar secara umum amat ramai
Begitu jugalah kebangkitan Islam kali kedua
Pemimpin pertama dan utama adalah Imamul Mahdi dari Bani Hasyim
Orang kanannya seorang yang dikatakan Pemuda Dari Bani Tamim
Sesudah itu ada golongan Rufaqa’ dan Hawari seolah-olahnya Muhajirin dan Ansar di zaman Nabi
Ada golongan empat, ada golongan sepuluh seterusnya ada bilangan 25 dan empat puluh
Selepas itu ada golongan 313 seperti di zaman Nabi
Kemudian golongan Asoib yang terlalu ramai bilangannya
Seolah-olah mereka umum para Sahabat di zaman kebangkitan yang pertama
Yang berbeza di zaman Nabi tidak disebut 7 orang wazir
Tapi di zaman Imam Mahdi disebut ada 7 wazir orang kanannya
Bersedialah membaiki diri dengan sesungguhnya
Agar Tuhan Taala mensenaraikan nama kita di dalam catatan
Kalau tidak boleh menjadi empat ada golongan sepuluh
Tidak boleh menjadi golongan yang sepuluh termasuk bilangan 313 yang berjasa
Paling tidak menjadi Asoib yang juga dikira berjasa kepada agama
Selain itu hanya awamul Muslimin manusia biasa
Masih ada peluang buat kita semua merebutnya
Bersunguh-sungguhlah dari sekarang merebut peluang ini
Paling tidak termasuk golongan Asoib yang dijamin Syurga pun boleh tahan juga
Berjuanglah bersungguh-sungguh jangan putus asa


___________________________________


Menjelang Maghrib
5.2.2000 (30 Syawal 1420)


Di antara rahmat dan nikmat Tuhan kepada kita di akhir zaman ini dikenalkan kita kebangkitan kali kedua
Dikenalkan-Nya kepada kita siapa pemimpinnya
Di mana dia berjuang, bagaimana dia berjuang dan apa amalan khususnya
Apa keistimewaannya dan siapa pengikut-pengikutnya
Padahal orang lain tidak pun mengambil tahu walaupun masa sudah tiba danp emimpin sudah ada
Setengahnya masih mencari-cari di mana kebangkitan itu, siapa pemimpinnya
Mereka baru hendak menilai-nilai siapa Pemuda Bani Tamim itu
Mereka hanya menilai secara teori dan ilmu bukan realiti yang berlaku
Ia menunjukkan besar nilainya, bukan semua orang boleh berjumpaOleh itu bersyukurlah banyak-banyak kepada Tuhan kita yang sudah berjumpa ini
Berjuanglah bersungguh-sungguh membaiki diri setiap masa
Rahmat dan nikmat ini jangan kita sia-siakan
Sedangkan orang lain masih meraba-raba mencari-carinya
Masih hendak menilai dan mengkaji
Kebenaran di hadapan mata mereka tidak nampak
Seolah-olah mata mereka buta
Rupa-rupanya bukan senang hendak menilai rahmat dan nikmat Tuhan
Walaupun sudah berada di hadapan mata
Rahmat dan nikmat yang saudara-saudara sudah jumpa jangan lepaskan
Sekalipun terasa macam menggenggam bara api
Sabarlah buat seketika, sebelum kemenangan tiba


__________________________________


Menjelang tidur
2.1.2000 (25 Ramadhan)



Alaf 2000 telah bermula
Ia tiba di dalam keberkatan Ramadhan Mubarak
Bertemu awal kurun Hijriyyah dengan awal kurun Masehi
Di awal kurun ini Islam dijanjikan akan gemilang kali kedua
Tapaknya di Malaysia yang tercinta
Insya-Allah selepas hari ini bantuan bertambah laju
Kejatuhan musuh juga bertambah laju menuju kehancuran
Musuh-musuh Islam sama ada secara individu mahupun secara jemaah makin menuju kejatuhan
Makin bertambah penentangan mereka semakin cepat jatuhnya
Terutama pejuang-pejuang politik Tuhan tidak akan membiarkan lagi mereka membuat semahu-mahunya atau sewenang-wenangnya
Puak Alternatif menekan Mahathir, Mahathir bertambah berang dan sombong
Pengikut-pengikut Mahathir tidak lagi backing Mahathir, membiarkan Mahathir keseorangan
Krisis dan perbalahan mereka bertambah tajam
Di samping ada hal-hal lain yang terjadi, menambahkan lagi kusutnya keadaan
Golongan kita tidak terlibat, hanya memerhati dan melihat
Siapa yang menyokong Islam bertambah laju diberi bantuan
Golongan utama adalah jemaah Ikhwan
Selepas itu mereka orang-orang masjid yang hendakkan Islam
Golongan politik selepas itu kecundang
Kedua-duanya dilonggokkan sekali oleh Tuhan menerima hukuman
Seolah-olah lepas hari raya, kita memakan buah hasil tanaman
Sekali ini Tuhan tidak akan membiarkan mereka
Tuhan akan terus menghukum dan menghukum mereka hingga terhina
Alaf baru ini adalah giliran Islam
Insya-Allah kita diselamatkan Tuhan
Kerana itulah Tuhan kumpulkan kita disatu tempat selamat
Sebagai tapak Daulah
Selepas Ramadhan ini kejatuhan bertambah terserlah
Kemenangan kita bertambah mudah
Sama-samalah nanti kita memerhati dan melihatnya
Ia akan berlaku bertambah rancak

____________________________

Lepas Asar
16.1.2000 (9 Syawal 1420)



Alaf ini seolah-olahnya kedatangan seorang Rasul
Kerana kalau kerasulan masih wujud di waktu inilah rasul diutuskan
Tapi oleh kerana rasul sudah ditutup, pemimpin yang berwatak rasul akan Tuhan tabalkan
Dia tidak membawa ajaran baru, tapi membawa metod yang baru
Hingga ajaran yang lama itu dengan cara yang baru orang amalkan semula Islam itu
Dia membangunkan semula kesedaran beragama
Iman subur semula, Islam kembang meriah sebagai syiar kehidupan
Akhlak yang mulia bersemarak semula bak bunga di taman
Fakir miskin dan orang yang terzalim terbela
Kasih sayang dan perpaduan terjalin semula
Para pemimpin dikasihi, para pengikut disayangi
Para penzalim, orang yang mementingkan diri tersisih dengan sendiri
Pemimpin dan pejuang-pejuang yang pura-pura, takut muncul di tengah ramai
Masing-masing mengutamakan orang lain
Bekerjasama jadi budaya, bertolong bantu sangat ketara
Wanita-wanitanya sifat malunya kembali semula
Tuhan dibesarkan dan disembah di mana-mana
Bahkan Tuhan adalah cinta agung mereka
Di alaf ini benar-benar satu bangsa baru menjelma
Mencorak dunia baru dengan ajaran yang lama dengan stail yang baru
Maha Besar Tuhan yang menganugerahkan ini semuanya
Di awal alaf ini kita telah mula merasakan
Ini adalah nikmat Tuhan yang Maha Berkuasa
Marilah kita mensyukuri nikmat ini


Asaari sangat yakin dengan apa yang diperjuangkannya walaupun terang-terang banyak yang bercanggah dengan manhaj Ahli Sunnah wa al-Jamaah. Kenapa? Kerana dia tidak berilmu dan enggan menimba ilmu daripada orang lain. Dia juga mengharamkan pengikutnya menimba ilmu daripada ulama atau ustaz yang tidak mahu mengiktiraf jemaahnya. Kerana kejahilannya, dia tidak dapat memandu pengikutnya ke jalan yang lurus.

SAJAK ASAARI: Pemimpin Pilihan Tuhan

Tujuh ratus tahun umat Islam menjadi empayar
Selama itu kerajaan yang berkuasa bertukar ganti atau silih berganti
Disandarkan kerajaannya mengikut bani masing-masing
Daerah bertambah luas
Ilmu pengetahuan pesat berkembang dengan berbagai-bagai cabangnya
Rakyat ramai berbagai-bagai bangsa memeluk Islam
Tetapi kerajaan atau pemerintahan yang adil boleh dibilang
Rasulullah SAW dan Khulafa-khulafaur Rasyidin
Ditambah lagi Umar Ibnu Aziz, Salahuddin Al Ayubi, Muhammad Al Fateh
Ini menunjukkan keadilan itu sangat mahal
Hanya pemimpin pilihan Tuhan atau yang ada isyarat dari Tuhan sahaja yang boleh melakukan keadilan
Selain itu sekalipun ada, yang boleh banyak beribadah
Namun untuk menegakkan keadilan sangat susah
Kerana keadilan itu sangat mahal
Satu sifat ini sahaja sudah mendekati taqwa
Pemimpin yang adil itu termasuk orang yang dapat perlindungan Tuhan di Padang Mahsyar
Di setiap zaman kita tahu bahawa pemimpin yang adil itu datang sekali-sekala
Yang ramai itu adalah pemimpin yang zalim
Yang melakukan sewenang-wenangnya di dalam pemerintahannya
Yang beraja di nafsu dan beraja di mata
Yang bertindak mengikut rasa
Tidak kira dosa dan pahala, Tuhan redha atau Tuhan murkaItu semuanya sudah tidak diambil kira



_________

Menuju Tuhan Perlu Pemimpin Pilihan Tuhan


Jalan kepada Tuhan adalah bersifat maknawi dan rohani
Mata tidak dapat melihatnya
Yang melihat dan menilai adalah akal dan hati
Sedangkan jalan raya yang bersifat maddi
Boleh dilihat oleh mata, ramai orang yang terjatuh
Atau tersasar ke kiri atau ke kanan
Oleh itu jalan kepada Tuhan tidak semua orang boleh memimpin ke arahnya
Sekalipun dia seorang yang dikatakan ulama
Mungkin yang bersifat maknawi akal boleh menyuluhnya
Tapi apabila yang bersifat rohani ia lebih tersembunyi
Dan ia adalah peranan hati
Jalan kepada Tuhan itu terlalu seninya
Kalau seseorang itu bukan pemimpin yang hatinya bersih
Yang dia dipimpin oleh Tuhan dan diberi ilham
Tidak mungkin dia boleh memimpin manusia menuju Tuhannya
Sekalipun ulama
Kerana kebanyakan ulama, pakar di dalam memahami lafaz dan ayat yang lahir
Memahami yang batin itu adalah ulama pilihan Tuhan
Ia merupakan pilihan di kalangan ulama
Ia adalah ‘rasul yang bukan rasul’ atau ‘nabi yang bukan nabi’
Kalau ulama yang bukan bersifat rasul atau nabi
Mereka juga perlukan pimpinan
Betapalah orang awam lebih perlu lagi adanya pemimpin
Janganlah anggap jalan kepada Tuhan itu boleh baca sendiri
Boleh pimpin diri sendiri tanpa pemimpin
Kita akan tersesat jalan Kenalah ambil perhatian tentang ini



- Asaari Muhammad


Asaari mendakwa dirinya dilantik dan dipilih sebagai wakil Tuhan di akhir zaman. Allahu 'Aala wa Ajal! Maha Suci Allah dari apa yang disyirikkan manusia.
Allah hanya melantik Nabi dan Rasul sahaja. Selain mereka Allah tidak lantik. Tidak ada pelantikan 'wakil' kepada Allah. Rufaqa telah menjadikan Asaari seorang pemimpin, sedangkan dia seorang yang sangat jahil. Lalu hadith berikut akan menjadi penerangnya:
Hadis Abdullah bin Amru bin Al-As r.a katanya: Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t tidak mengambil ilmu Islam itu dengan cara mencabutnya dari manusia. Sebaliknya Allah s.w.t mengambilnya dengan mengambil para ulama sehingga tidak tertinggal walaupun seorang. Manusia melantik orang jahil menjadi pemimpin, menyebabkan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa tanpa berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula.
BENARLAH, RUFAQA SESAT LAGI MENYESATKAN...

SAJAK ASAARI: Kehidupan ‘Orang Tuhan’

Orang-orang Tuhan biasanya hidup di dalam penderitaan dan sengsara
Dizalim, dianiaya itu adalah perkara biasa
Tersingkir, terbuang, dipenjara basahan hidup mereka
Dikejar-kejar dan diburu hingga melarikan diri jadi budaya
Miskin, papa, dihina, didusta menimpa mereka
Lihat sahajalah para-para rasul dan para-para nabi
Sahabat-Sahabat dan Tabi’in dan para solihin
Tapi tidak pernah menukar keyakinan
Sikap mereka tidak pernah berubah
Ibadah dan taqwanya kepada Tuhan Taala sentiasa bertambah
Mereka itu adalah orang luar biasa
Ujian dan keadaan tidak merubah keyakinan dan sikapnya
Kalau mereka susah, sabarnya terserlah
Jika mereka senang, syukurnya terserlah ibadahnya bertambah
Begitulah kehidupan ‘orang-orang Tuhan’ sepanjang sejarah
Sibuk dengan perjuangan dan khidmat kepada manusia
Penuh di dalam penderitaan dan kesengsaraan
Namun Tuhan tidak pernah ditinggalkanBahkan Tuhan adalah kawan setianya



_______



Membaiki Diri Untuk Menjadi Rijalullah



Membaiki diri ialah untuk menjadi Rijalullah
Menjadi orang Tuhan lebih tajam daripada pedang yang paling tajam
Menjadi Rijalullah lebih berkesan daripada senjata yang amat canggih
Rezekinya dijamin Tuhan sekalipun kurang berusaha
Doanya boleh menggoncangkan dunia
Ke mana pergi di mana sahaja berada, Tuhanlah yang menjaga dan memelihara
Walaupun ada ujian tapi rahmat dan bantuan Tuhan lebih lagi berlipat-lipat ganda
Walaupun bilangannya sedikit tapi terasa kuat dan hebat
Di dalam perjuangan diberi jaminan dengan kemenangan
Kalau ditakdirkan Tuhan mematikannya di dalam perjuangan dipastikan oleh Tuhan mendapat syahid
Dosa-dosanya diampunkan Tuhan
Darjatnya ditinggikan Tuhan, bahkan boleh diizinkan memberi syafaat siapa yang dia suka
Kepada mereka diberi berkat
Keberkatannya orang lain dapat sama merasa
Sekalipun orang kafir pun dapat berkatnya
Begitulah istimewanya ‘orang Tuhan’
Oleh itu di dalam perjuangan, membaiki diri lebih utama
Itulah strategi yang paling ampuh
Kemudian barulah susun strategi yang boleh difikirkan
Untuk lebih sempurna dan berkesan


- Asaari Muhammad, BCH.

Asaari menggelar dirinya 'orang tuhan'. Ini memberikan kesan kepada pemikiran pengikutnya yang berkeyakinan bahawa Asaari adalah 'wakil Tuhan' pada zaman ini. Sehubungan itu, mereka perlu attach dengan 'orang Tuhan' agar lebih mudah mereka mendekati tuhan. Inilah akidah dan keyakinan mereka. Mereka sangat bergantung pada Asaari kerana menganggap Asaari adalah sumber bantuan Tuhan, faktor barakah, mendapat ilmu secara direct dari Tuhan dan sebagainya. Malahan, dalam beribadah mereka akan bertawasul kepada Asaari untuk Asaari mempersembahkan ibadah tersebut kepada Tuhan. Mereka berperantaraan dengan Allah dan Asaari adalah perantara mereka.
Ayat berikut memberi amaran:
Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih Ibni Mariam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.
- Taubah: 31.
Ayat ini menceritakan tentang orang-orang ahli kitab telah menjadikan pemimpin agama mereka sebagai 'tuhan'. Sehubungan itu, seorang ahli Kitab bernama Adi bin Hatim yang tidak berpuas hati datang berjumpa dengan Nabi. Ketika jumpa Rasulullah, dia memakai salib emas. Kemudian, dia berkata; Sesungguhnya ayat itu telah salah. Ahlikitab tak menyembah paderi." Mendengar itu, Nabi menjawab. "Ya, bahkan! Ini kerana mereka telah menghalalkan apa yang diharamkan dan mengharamkan apa yang dihalalkan. Maka mereka ikut kata-kata paderi tersebut. Maka itulah sembahan mereka kepada paderi. - Tafsir Ibn kathir.
AHLI RUFAQA AKAN MENGATAKAN BAHAWA "KAMI TIDAK PERNAH MENJADIKAN ASAARI SEBAGAI TUHAN."
Tetapi, kalian lupa. Bahawa kalian ikut sepenuhnya MINDA ABUYA. Apa yang Asaari kata, fikiran, perbuatan, tulisan dan sebagainya, KALIAN MEMBENARKAN. WALAUPUN KALIAN TAHU ADA PERKARA YANG DI'MINDA'KAN OLEH ASAARI ITU ADALAH SUATU YANG BERCANGGAH DAN HARAM DI SISI SYARAK.

SAJAK ASAARI: Super Zalim Vs Super Soleh

Para super zalim dan penzalim martabat tinggi tidak akan jatuh
Atau mereka tidak akan dapat dikalahkan oleh sesiapa juga
Terutama para-para pemimpin dan pembesar-pembesarnya
Kecuali mereka akan jatuh atau dikalahkan di waktu yang sama adanya super soleh atau orang–orang yang sangat soleh
Terutama di waktu itu ada pemimpin kebenaran yang bertaraf super soleh
Kerana di waktu itu berhadapan dua golongan, satu mempunyai istidraj dan quwwah dan satu lagi mempunyai taqwa
Golongan bertaqwa mengikut janji Tuhan pasti menang
Super zalim dan penzalim martabat tinggi ini tidak akan dapat dikalahkan oleh golongan yang peribadinya di antara kedua puak ini
Kalau setakat baik sedikit sahaja dari super zalim, super zalim tidak akan jatuh terhina
Pencabar pemimpin super zalim mestilah pemimpin yang super soleh pula
Super zalim kepunyaan syaitan, super soleh kepunyaan Tuhan
Orang Tuhan pasti menang, orang syaitan pasti kecundang
Oleh itu di sini kita ingatkan kepada para pejuang kebenaran
Menentang penzalim terutama penzalim martabat tinggi, kenalah serius membaiki diri
Kenalah sungguh-sungguh mujahadatunnafsi
Bersihkan sungguh-sungguh hati nurani, hingga murni
Pejuang-pejuang Islam kalau secara umum peribadi mereka 'separuh orang Tuhan separuh orang syaitan'
Sedangkan musuh-musuhnya adalah 'total orang syaitan'
Maka pejuang-pejuang yang 'separuh orang Tuhan separuh orang syaitan' pasti kecundang
Syaitan pun tidak menolong, Tuhan pun tidak menolong
Tuhan berkecuali, syaitan pun berlepas diri
Bagaimanalah hendak menang
Untuk menang berhadapan dengan 'total orang syaitan' kenalah kita jadi total pula orang Tuhan

Maka para–para pejuang kebenaran hendaklah faham!


_________________


Kejatuhan Mahathir

Lepas Asar
15.9.99


Sama ada berlaku pilihan raya atau tidak Mahathir pasti jatuh
Kejatuhan Mahathir telah dijadualkan
Kejatuhannya tidak dapat dielakkan, bahkan jatuhnya terhina
Lepas itu berlaku huru-hara, tapi tidak sampai terkorban nyawa
BN masih berkuasa, tapi anggota-anggotanya ramai di kalangan India dan Cina
Yang Melayunya menyokong Alternatif
Kekecohan ini di antaranya hendak menentukan siapa PM Malaysia
Di waktu itulah kaum India dan Cina meminta Tun Ghafar Baba
Di masa yang sama orang yang hendakkan Islam bertambah ramai
Kebangkitan Islam merata-rata makin terserlah dan nyata
Terutama cerdik pandai dan golongan profesional
Laksana air bah yang mengalir merata-rata
Tun Ghafar melihat ini semuanya
Ia merasakan dia bukan orangnya untuk menjadi ketua negara
Di waktu itu sama ada Tun atau orang ramai telah merasakan
Siapa sahaja di antara pemimpin yang ada
Sama ada dari pemerintah mahupun di kalangan Alternatif, kalau dilantik akan kecoh
Rakyat tidak suka dan akan menolaknya
Kerana kesedaran Islam di waktu ini bertambah menyala-nyala
Di masa itulah Allah Taala akan melahirkan sebabnya
Tuhan melihatkan kebesaran dan kekuasaan
Satu khawariqul 'adah akan berlaku
Tun Ghafar akan menunjukkan seorang pemimpin yang telah dilupa
Orang ramai ikut menerimanya
Di kalangan Pas pecah sama sendiri
Peringkat awal ada juga yang hendak menentang
Akhirnya kerana sokongan rakyat dan perpecahan, mereka terus senyap
Insya-Allah peristiwa ini akan berlaku, tunggulah
Ia bermula tahun 2000 iaitu alaf baru



- Asaari Muhammad, Country Homes.

Asaari menggelar dirinya SUPER SOLEH. Hebat.... Tapi, ibadah yang banyak tidak akan diterima Allah apabila aqidah yang dipegang telah rosak dan salah. Sebagai lawannya, Asaari telah menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad (mantan PM Malaysia) sebagai SUPER ZALIM. Tun dinamakan sedemikian rupa kerana Tun pernah bertindak mengharamkan al-Arqam dan menahan Asaari dalam ISA.

Sehubungan itu, Asaari telah mengarahkan pengikutnya agar berusaha untuk menjatuhkan dan mengalahkan SUPER ZALIM. Dia telah mewacanakan perkara ini dalam banyak kuliah dan sajaknya. Antara yang ditekankan ialah Tun Dr. Mahathir akan JATUH TERHINA.

Benarkah begitu? Hakikat yang berlaku sebaliknya. Asaari malu dan tutup muka. Tun dihormati atas jasa dan kebaikannya yang pasti mendapat nilaian Allah. Ketika beliau tamat perkhidmatan, seluruh negara meraikannya. TIDAK PUN JATUH TERHINA.

Sebulan sebelum perletakan jawatan tersebut, Asaari telah membaca senario politik di Malaysia. Lalu dia pun menukar pandangannya terhadap Dr. M. Dia berkata bahawa Dr. M sekarang sudah bertaubat, sudah banyak bangun sembahyang malam. Sebab itu, Allah tidak jadi nak hukum Dr. M. Maka, Dr. M bukan lagi seorang SUPER ZALIM. Sudah bertukar... Dr. M seperti Abu Sufyan di zaman Futuh Makkah. Dr. M sudah naik pangkat kerana sudah bertaubat dan Dr. M akan menyokong perjuangannya.

SAJAK ASAARI: Panduan Mencari Pemimpin

Di antara rahmat dan kasih sayang Tuhan ke atas hamba-hamba-Nya sepanjang zaman sejak Nabi Adam Alaihissalam
Diutus para rasul dan para nabi
Para rasul adalah pemimpin umum di zamannya pada umatnya
Para nabi pemimpin khusus di bidang ibadah dan akhlak di zamannya
Walaupun para nabi tidak wajib menyampaikan
Tidak salah pula dia menyampaikan dan umat di masa itu menteladaninya
Selepas Muhammad Rasul SAW, para rasul dan nabi sudah tiada lagi
Yang ada hanya rasul yang bukan rasul dan nabi yang bukan nabi
Iaitu ulama yang berwatak dan bersifat rasul dan ulama yang berwatak dan bersifat nabi
Ulama yang berwatak nabi ia datang di setiap zaman
Ulama yang berwatak rasul ia datang di setiap awal kurun
Ulama yang berwatak rasul ada diberitakan oleh Nabi itulah dia mujaddid
Begitulah di antara jadual dan ketentuan Tuhan buat umat Nabi Muhammad
Siapa yang boleh memahami jadual ini dan bertindak mengikut jadual, dia selamat
Siapa sahaja tidak faham jadual atau faham tapi tidak mengikutnya pasti rosak
Kita sekarang sudah berada di awal kurun
Pasti sudah lahir dan berperanan seorang rasul yang bukan rasul iaitu mujaddid
Yang lebih mudah dicari Hadis membawa berita ia lahir di sebelah Timur
Bagi orang yang ingin pimpinan mudah sahaja mencari
Moga-moga kita sudah bertemu dengan orangnya
Siapa yang bertemu wajib memberi taat setia
Siapa yang taat setia insya-Allah selamat di dua negara



________

Ulama Berwatak Rasul


Ulama yang berwatak rasul, tugasnya memimpin secara umum
Ulama yang berwatak nabi, kepimpinannya secara khusus
Iaitu yang lebih tertonjol adalah ibadahnya
Rasul yang bukan rasul, penumpuan ibadahnya 30 peratus
Kepimpinannya untuk manusia 20 peratus itulah yang utama
Tapi boleh juga untuk Tuhan dan untuk manusia 50-50
Ini adalah yang sederhana
Ulama yang berwatak nabi, untuk ibadah 70 peratus
Untuk kepimpinannya 30 peratus itulah yang utama
Di sini baru kita faham
Rasul yang bukan rasul, pimpinannya yang lebih menonjol
Nabi yang bukan nabi, ibadahnya yang lebih menonjol
Di antara dua golongan ini jangan ditukar watak dan peranannya
Rasul yang bukan rasul jangan bertukar berwatak nabi yang bukan nabi
Begitu juga nabi yang bukan nabi jangan pula bertukar berwatak rasul yang bukan rasul
Masing-masing berperananlah mengikut watak yang Tuhan anugerahkan
Nabi yang bukan nabi abidnya yang ketara
Rasul yang bukan rasul kepimpinannya yang lebih nyata
Kalau dua golongan ini faham kedudukan diri
Kemudian masing-masing boleh berperanan mengikut watak semulajadi
Alangkah indah dan cantiknya
Manusia umum terpimpin dengan penuh disiplinnya
Mereka selamat dan menyelamatkan

_______________

Pemimpin Bersifat Rasul Atau Nabi


Rasul atau nabi, dan juga ulama yang bersifat rasul atau bersifat nabi
Adalah pemimpin
Pemimpin yang membawa manusia kepada Tuhan
Kalau begitu bukan semua orang yang boleh jadi pemimpin
Jika dia bukan rasul atau nabi atau ulama yang bersifat rasul atau nabi
Ramai para pemimpin bukan membawa orang kepada Tuhan tapi kepada syaitan
Tapi mereka tidak sedar
Kerana mungkin niatnya baik tapi dia bukan orangnya
Betapalah kalau dia niatnya tidak baik
Sudah tentu dia membawa manusia kepada syaitan
Membawa kepada Tuhan bukan satu yang mudah atau senang
Kerana jalan kepada Tuhan itu adalah bersifat maknawi dan rohani
Ia memerlukan akal yang terpimpin
Dan hati yang bersih dari mazmumah
Yang dapat memikirkannya dan yang dapat merasakannya
Kalau ilmunya sahaja yang banyak
Sedangkan hatinya penuh dengan mazmumah
Dia tidak akan nampak jalan kepada Tuhan
Diri sendiri dia tidak boleh memimpinnya
Betapalah orang lain
Tapi hari ini ramai orang berebut-rebut hendak jadi pemimpin
Diri rosak dan merosakkan orang banyak
Kerana itulah ramai orang tidak kenal Tuhan
Kerana pemimpin sendiri pun tidak kenal Tuhan
Bagaimana hendak mengenal rakyat atau pengikut-pengikutnya
Pemimpin yang dapat mengenalkan Tuhan tidak banyak
Menjadikan orang kebanyakan susah mencari Tuhan



- Asaari Muhammad, Bandar Country Homes.



Sajak di atas menzahirkan NIAT ASAARI sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk memiliki sifat, taraf dan tanggungjawab seorang Rasul. Sangat kurang ajar...

“Akan tiba di akhir zaman nanti, para dajal pendusta seramai 30 orang yang semuanya mengaku nabi. Mereka menyampaikan hadith (dariku) yang tidak pernah kamu dan bapa kamu dengar sebelum itu. Berhati-hatilah jangan sampai engkau difitnah atau disesatkan mereka.” – Sahih Muslim.

SAJAK ASAARI: Pemimpin Alaf Baru Yang Ditunggu-Tunggu

Dunia sedang berhadapan dengan alaf baru
Tahun dua ribu yang ditunggu-tunggu
Setiap bangsa menunggu alaf itu
Terutama Islam, Kristian, Yahudi, Buddha dan Hindu
Zaman itu dikatakan zaman cemerlang, gemilang, hidup senang dan harmoni
Setiap bangsa atau agama menganggap masa itu bangsanyalah yang meneraju dunia
Seorang tokoh di kalangan mereka punya kuasa membela mereka
Ada juga orang yang berkata alaf itu pemimpin yang baik akan berkuasa
Mereka tidak menetapkan orangnya sama ada sesiapa atau dari mereka
Tidak kurang juga di kalangan bukan Islam meramalkan ini giliran Islam
Seorang tokoh bukan ahli politik tapi ahli agama meneraju dunia
Mereka tidak prejudis, bahkan sama-sama menunggu dengan gembira
Sebahagian kecil umat Islam memang percaya seorang ulama akan berkuasa
Membawa kasih sayang, keamanan, kemakmuran dan keharmonian
Tapi malangnya ramai di kalangan umat Islam alaf yang akan datang mereka tidak mempedulikannya
Mereka sibuk berjuang melalui politik, memacak bendera memeriahkan suasana
Mereka yakin di tangan merekalah akan berlaku perubahan itu
Padahal kepada umat Islam ada panduan
Nabi melalui sabdanya ada membawa berita
Bahawa di awal kurun Hijriyah ini Islam bangkit dari sebelah Timur
Yang diteroka oleh seorang mujaddid Pemuda Bani Tamim gelarannya
Selepas ini akan disambung oleh Imamul Mahdi buat menyempurnakan
Sepatutnya di waktu ini umat Islam telah mencari Pemuda itu dan jemaahnya
Ini bukan jemaah politik, tapi jemaah membawa pembaharuan yang sesuai di zamannya
- Asaari Muhammad, Bandar Country Homes.
Asaari telah meyakini dan memaksa pengikutnya meyakini bahawa Islam akan bangkit di sebelah Timur dunia, iaitu dengan lebih khusus lagi di Malaysia. Sedangkan tidak ada hadith dan keterangan nas yang sahih tentang kebangkitan Islam dari timur. Pendustaan Asaari ini disambung lagi dengan menyatakan bahawa di abad ke 21 ini, Imam Mahdi akan muncul dan dirinya sebagai pembantu.
Asaari bermula pada tahun 1987, telah menyatakan bahawa Imam Mahdi (sheikh Suhaimi) akan muncul dan keluar dari tabir alam ghaib selewat-lewatnya pada 1425H. Ini kerana, Asaari membuat perkiraan (calculation) bahawa daulah Islamiah akan dirasmikan oleh Imam Mahdi pada awal kurun. Apa kaitannya dengan awal kurun? Dakwaaan Asaari ini telah dibuat kerana ada terdapat hadith yang menyatakan bahawa, "Akan zahir Mujaddid yang memperbaharui urusan agama ini pada setiap awal kurun." Hadith ini sahih.
Sehubungan itu, Asaari berpendapat awal kurun bermula dari 1400H - 1425H (1979 - 2004). Ini bermakna Imam Mahdi akan zahir pada waktu tersebut. Asaari telah menulis perkara ini dalam banyak tulisannya dan menjadikan ini satu agenda perjuangan Asaari dalam organisasi yang dipimpinnya. Lebih dahsyat lagi, Asaari terus memberi janji kepada pengikutnya bahawa dirinya tetap akan jadi Perdana Menteri dengan menetapkan tarikh tertentu kejatuhan dan penggulingan kerajaan Malaysia.
Asaari meyakinkan pengikutnya dengan satu ayat yang menyebabkan mereka percaya dan taksub. "INI JANJI RASULULLAH. ANA DAPAT MESEJ DARI RASULULLAH."
Tetapi, sehingga ke hari ini, Asaari sudah tidak lagi menggunakan modal tersebut. Sebab 14 Febuari 2004 adalah tarikh akhir (dateline - deadline) untuk daulah islamiyah yang dijaja oleh Asaari sepatutnya berlaku. Tetapi tidak berlaku. Tempoh awal kurun sudah tamat. Tetapi, Asaari tetap terus menipu pengikutnya dan orang ramai dengan mengatakan bahawa daulah tetap berlaku - walaupun period awal kurun dah expired.
Asaari terus berdusta dengan menggunakan nama Rasulullah.