Wednesday, January 24, 2007

ASAARI DAN ‘KEAJAIBAN’NYA: PERJUANGAN YANG TAK SELESAI SELESAI!

Oleh: Putera Bani Adam (Majalah I, Januari 2007, Karangkraf Sdn. Bhd.)


Sudah serik. Sudah kecewa. Begitu penafian Asaari semasa ditanya apakah dia terlibat dalam usaha menghidupkan semula Al Arqam. Jika benar begitu, kenapa isu Arqam timbul lagi? Ya, semuanya bermula apabila JAIS mula melakukan tangkapan setelah melakukan proses intipan, siasatan dan pemantauan terhadap anggota Rufaqa di Shah Alam. Jika benar kata Asaari, satu tanda tanya mula timbul… Apakah JAIS rela mengorbankan kewibawaannya hanya kerana sesuatu yang tidak pasti? Apapun isu itu kemudiannya semakin berlarutan. Berbagai perkembangan terpampang di dada akhbar. Dan akhirnya, Pak Lah sendiri turut mengakui bahawa memang wujud usaha-usaha menghidupkan semula Al Arqam. Tentunya sebagai PM Pak Lah sudah mendapat maklumat.

Jika bukan Asaari, siapa yang mahu menghidupkan semula Al Arqam? Bagi Asaari, dia tidak lagi berminat. “Mungkin ada ‘bekas ahli yang berkepentingan,” dakwanya. Apa yang dilakukan oleh Asaari dakwanya, hanyalah menubuhkan Rufaqa, satu entiti perniagaan yang bergerak atas landasan ekonomi. Jadi, siapakah individu yang berkepentingan itu? Asaari tidak pula menjelaskan. Jika benar, mengapa JAIS tidak bertindak terhadap mereka, sebaliknya Asaari pula yang terbabit. Seolah-olah, orang lain yang makan nangka, orang lain terkena getahnya.

Tetapi lain pula halnya dengan pihak yang merasakan Asaari memang terlibat dalam menghidupkan Al Arqam. Bagi mereka Asaari memang tidak menghidupkan ‘nama’ Al Arqam, tetapi isi perjuangan Al Arqam itulah yang telah dipromosikan semula. Nama Al Arqam hanya umpama kulit (sama seperti jubah dan serban hijau mereka satu ketika dulu), yang boleh ditanggalkan atau ditukar sekelip mata. Itu hanya luaran. Namun isi sebenar perjuangan Al Arqam ialah yang merangkumi soal keyakinan, minda, ramalan, impian dan tindakan. Inilah ‘roh’ yang menghidupkan semula Al Arqam yang telah diharamkan.

Apakah petanda yang ‘roh’ itu telah diaktifkan semula? Mudah saja. Asaari dan konco-konconya telah melanggar lima ‘syarat’ keinsafannya sekaligus menjadi ikrar dan janjinya kepada kerajaan sejak mula ditahan dibawah AKDN pada tahun 1995. Lima syarat yang dilanggar oleh Asaari dan konco-konconya ialah:
Pengamalan Aurad Muhamadiah.
Ketaksuban kepada Asaari.
Pembentukan sub-culture di tengah masyarakat perdana.
Ramalan-ramalan politik.
Mencela sistem dan institusi agama dan kerajaan.

BUKTI PERTAMA:

Apakah bukti ke lima-lima syarat itu telah dilanggar oleh Asaari berselindung di sebalik Rufaqa? Ada dua bukti nyata. Satu, VCD – Mengenal Mursyid – yakni ceramah oleh orang kanan Rufaqa, Abu Zaharin Taharim. Keseluruhan isi ceramah tersebut terfokus sepenuhnya kepada pembinaan taksub kepada Asaari, pengamalan Aurad Muhamadiah, berdialog dengan Rasulullah, perundingan Asaari dengan Tuhan tentang ‘penangguhan’ dan ‘pemindahan’ saat kematian para pengikutnya. Dalam VCD ceramah itu jelas kelima-lima ‘syarat’ penghidupan semula Arqam telah dipropagandakan secara terang-terangan.

Cuba berdalih Abu Zaharin dalam satu sidang akhbar yang berakhir dengan penahanannya, telah menyatakan bahawa semua isi ceramah dalam VCD tersebut adalah hasil fikirannya sendiri bukan dari ajaran Ashaari. Mungkin masyarakat umum boleh ‘termakan’ oleh dalih Abu Zaharin itu. Namun, bagi bekas-bekas ahli Arqam (terutama yang telah menolak Asaari), pengakuan Abu Zaharin itu melucukan. Siapa yang berani bersyarah sesuatu yang bukan dari ‘minda Abuya’? Bukankah dalam VCD itu sendiri Abu Zaharin beria-ria memperjuangkan ‘minda Abuya’? Aneh, jika beliau mempromosikan minda Abuya bukan dengan minda Abuya (dengan fikiran sendiri?). Kelakar. Strategi Abu Zaharin, dapat ditebak dengan mudah oleh siapa yang mengenali Al Arqam dari dekat.

Abu Zaharin sebenarnya sanggup ‘dikambing hitamkan’ demi menyelamatkan Asaari. Korban ketaksuban. Namun, strategi itu tidak menjadi kerana Asaari hingga kini tidak pula mempersalahkan apalagi menghukum Abu Zaharin kerana ‘menghidupkan’ semula Al Arqam di luar pengetahuannya. Bukankah kandungan VCD Abu Zaharin itu telah disiarkan oleh TV3 beberapa bulan yang lalu sebelum isu ini meledak? VCD itu turut mendapat tempat di laman-laman web tertentu. Malah majalah Mastika turut menyiarkan kandungan VCD itu dengan tajuk sensasi – Abuya rasa hina macam taik ayam! Abu Zaharin bukan sahaja tidak dihukum kerana menyebabkan Asaari ‘difitnah’, bahkan dia dilantik pula sebagai jurucakap Asaari dalam sidang akhbar anjuran Rufaqa.


Pengakuan bersalah Abu Zaharin hanyalah satu taktik lama. Satu ulang tayang yang membosankan. Strategi yang mudah dibaca oleh sesiapa yang pernah bersama dengan Al Arqam. Taktik yang sama pernah dilaksanakan ketika para pemimpin Al Arqam ditahan di bawah ISA pada kebangkitan Al Arqam kali kedua pada tahun 1996. Penahanan itu sebenarnya memang telah dijangkakan. Para pemimpin yang ‘bakal’ ditangkap telah diarahkan supaya ‘memproses’ pihak Cawangan Khas yang kononnya sudah majoriti menyokong Al Arqam secara senyap-senyap dalam sessi soal-siasat semasa ditahan nanti.

Lucunya, ketika beberapa pemimpin Al Arqam ‘berhempas pulas’ mematuhi arahan Asaari ketika berdepan dengan SB semasa ‘di dalam’, Asaari yang berada di luar membuat sidang akhbar yang mendakwa dia tidak terlibat langsung dengan usaha menghidupkan Al Arqam. Manakala di dalam tahanan, sudah terbukti bukan sahaja SB tidak menyokong Al Arqam malah merekalah yang memainkan peranan menyedarkan para pemimpin Al Arqam tentang ‘mimpi-mimpi siang hari’ Asaari yang kononnya Daulah Islamiah sudah ‘hampir’.

Taktik yang sama cuba diulangi oleh Asaari pada tahun 2006. Kali ini siapa pula yang rela menjadi ‘galang ganti’ untuk dituduh menghidupkan Al Arqam? Siapa sahaja, yang sudah ‘tertangkap’ dengan bukti kukuh, akan menerima nasib yang sama. Yang lain, akan berkata… “oh, kami tidak tahu menahu…” “Oh, kami sudah insaf.”

Justeru, Abu Hasan Din Al Hafiz sendiri tidak percaya atas pengakuan insaf adiknya Khadijah Din yang sebelumnya bersungguh-sungguh mengakui mengamalkan ajaran Asaari khususnya Aurad Muhammadiah. Bagaimana individu yang begitu komited dengan keyakinannya walaupun telah berdepan dengan abang-abangnya (yang begitu tinggi ilmu agamanya) tiba-tiba insaf tanpa melalui proses muzakarah atau mujadalah yang bersifat ilmiah, terus-terang dan hati ke hati. Masyarakat ada alasan untuk meragui. Ini satu taktik dan strategi orang terdesak!

Inilah strategi kotor, pembohongan demi pembohongan yang dilakukan atas justifikasi ‘perang itu satu tipu-daya’. Padahal, itu hanya lantunan pembohongan yang jauh lebih besar atas nama Allah dan Rasul. Jika mereka sanggup berbohong besar atas nama Rasulullah yang didakwa ‘menziarahi’ dan ‘berkomunikasi’ dengan Asaari, apatah lagi berbohong ‘kecil’ dikalangan manusia biasa.

BUKTI KEDUA:

Bukti kedua pembohongan Asaari tentang usaha menghidupkan Al Arqam boleh dilihat melalui buku penulisan isterinya, Khadijah Aam. Buku bertajuk: Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di zamannya, itu lebih sarat padat dengan kelima-lima syarat penghidupan semula Al Arqam. Ayat pertama di dalam satu tajuk khusus ‘Aurad Muhammadiah’ pada muka surat 2002 secara terang-terangan menegaskan bahawa Asaari tidak dapat dipisahkan dengan Aurad Muhammadiah.

Akhbar Harian Metro edisi 7 haribulan Desimber 2006 telah menelanjangi pembohongan itu secara jelas. Adalah aneh, pengakuan Khadijah Aam yang begitu tegas, keras dan lantang dalam bukunya tiba-tiba bertukar lembik, lesu dan tidak bermaya apabila Asaari mengakui yang dia dan keluarganya (termasuk Khadijah Aam) tidak mengamalkan Aurad Muhamadiah. Sandiwara apakah ini? Siapa yang cuba ditipu oleh Asaari? Siapa yang cuba dipermainkan oleh Khadijah Aam? Daripada imej yang begitu ‘power’ dalam buku tulisan isterinya, Asaari tiba-tiba bertukar menjadi serik, kecewa dan sakit (?).

Mengapa Khadijah Aam tidak tampil untuk menjadi ‘kambing hitam’ kedua (selepas Abu Zaharin)? Mengapa Khadijah Aam tidak mengakui bahawa dia bertindak di luar pengetahuan suaminya (Asaari) untuk menulis buku tentang keyakinan Asaari terhadap Aurad Muhammadiah sekaligus menegaskan itulah ‘power’ yang menjadikannya layak menjadi Putera Bani Tamim? Mengapa strategi yang sama tidak dilakukan di sini? Mengapa khadijah Aam sehingga rencana ini ditulis terus mendiamkan diri? Kenapa dia tidak mengaku misalnya, yang dia memandai-mandai menulis tanpa ‘minda Abuya’ (fikiran sendiri) dan tanpa arahan suaminya? Dan kenapa pula Asaari tidak ‘menghukum’ Khadijah Aam yang menyebabkan dia terfitnah?

Implikasi penerbitan buku ‘ajaib’ ini ialah: Jika Khadijah Aam tidak tampil dengan pengakuan ‘bersalahnya’, ini bererti apa yang ditulisnya adalah sahih minda Abuya – yakni dengan pengetahuan, izin dan redha suaminya. Ini juga membawa erti bahawa elemen-elemen pengharaman Al Arqam – Aurad Muhammadiah, ketaksuban kepada Asaari, ramalan-ramalan politik, cemuhan terhadap ulama, pembentukkan ‘sub-culture’ atas ketidak percayaan kepada sistem-sistem yang ada (hanya pada sistem Asaari) – adalah satu keyakinan, pegangan dan amalan Asaari hingga buku itu ditulis.

Jika benar demikian, Khadijah Aam hanya merupakan ‘proxy’ sahaja kepada suaminya atas dakyah-dakyah yang dimuatkan dalam buku ‘ajaib’ itu. Cuma dia bernasib baik tidak terpaksa menanggung akibat menjadi ‘kambing hitam’ seperti yang dialami oleh Abu Zaharin.

Teknik ‘super impose’ pada seluar pendek Asaari yang dipanjangkan sewaktu kecil dan tudung kepala yang ‘ditenggekkan’ kepada kepala ibu tirinya pada gambar dalam buku ‘ajaib’ itu secara otomatik telah menjejaskan kreadibiliti penulis dan buku tersebut. Pendedahan yang dibuat oleh bekas Penasihat Undang-undang Al Arqam Zabidi Mohamed dalam TV 3, Berita Harian dan Harian Metro pada 6 dan 7 hb Desimber 2006 mungkin dianggap soal remeh oleh sesetengah pihak. Apalah ada pada ‘tudung’ dan ‘seluar panjang’…

Namun Khadijah Aam faham tentang sentimen para pengikut tegarnya dan pencinta Islam umumnya tentang implikasi pemakaian tudung dan seluar panjang. Kelebihan yang diharapkan oleh Khadijah Aam dengan penyiaran gambar ‘bohong’ itu ialah menambah keyakinan para pengikutnya tentang penjagaan Tuhan terhadap ‘orangnya’. Lihat, sejak kecil dia terpelihara Islamnya. Lihat, ibunya yang bertudung. (Pemakaian tudung dikalangan wanita pada era tahun gambar itu diambil adalah sesuatu yang ‘advance’ dari segi penghayatan Islam). Tetapi strategi itu akhirnya makan diri. Tanpa disedari, ada pihak lain yang memiliki gambar sebenar. Dan pembohongan Khadijah Aam terbongkar. Penutupan aurat bertukar menjadi ‘pendedahan’ pembohongan besar.

Ada beberapa persoalan yang timbul hasil penyiaran gambar bohong itu. Kenapa Khadijah Aam tidak dapat mengesan kemungkinan rahsia itu terbongkar? Jika soal zahir (jelas nyata) itupun Khadijah Aam sanggup berbohong, apalagi soal yang lebih maknawi dan rohaniah yang melibatkan Allah dan Rasul, Imam Mahdi dan Pemuda Bani Tamim, kebangkitan Islam di Timur dan segala yang berkaitan dengannya? Jika soal yang jelas itupun sanggup di‘superimpose’nya, apalagi soal kerohanian yang begitu abstrak tafsirannya.

Al hasil, dalam soal pembohongan gambar ini Khadijah Aam hanya ada dua pilihan – pertama, mengakui ia tidak tahu ada gambar sebenar (yang mana Asaari berseluar pendek). Kedua, dia tahu tetapi masih sanggup berbohong demi strategi… Akibat pilihan itu ialah samada dia tidak jujur atau tidak bijak, atau kedua-duanya sekali!

Kita perlu belajar dari sejarah keikhlasan, kejujuran, ketaqwaan dan sifat warak rijalulhadis (perawi-perawi hadis) yang tidak boleh dipertikaikan soal kreadibilitinya. Bukan sahaja ilmu, malah akhlak seseorang menjadi penentu samada hadis yang diriwayatkannya boleh diterima atau ditolak. Sejarah memaparkan betapa jika ternyata seseorang itu menipu (sekalipun yang ditipunya haiwan) maka hadis yang dibawa tertolak. Hakikat ini sepatutnya mula menyedarkan pengikut-pengikut tegar ajaran Al Arqam yang kononnya terus mendapat mesej-mesej kerohanian. Tolong ihat sumbernya, kaji kesannya, timbang benar atau batilnya!

Sebenarnya, kesesatan ajaran Asaari melalui usaha menghidupkan semula Al Arqam sudah terlalu jelas. Fatwa, undang-undang serta buktinya sudah ada. Sekadar dua bukti terkini (buku ‘ajaib’ Khadijah Aam dan VCD Abu Zaharin) itu sudah cukup untuk dijadikan hujjah dan sandaran. Itu bukti yang telah nyata, belum lagi dari sumber siasatan, intipan dan pemantauan oleh pihak berkuasa.

Jika pengikut Asaari bernasib baik, mereka mungkin diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Tetapi jika sebaliknya, mereka akan terus dibiarkan dalam kesesatan yang nyata. Mereka terus khayal dan hanyut dengan berita-berita kerohanian melalui sumber dan dalil yang kabur. Soal akidah akan terus menjadi taruhan kerana kesesatan ini bukan ‘sesat amalan’ tetapi ‘sesat keyakinan’. Mereka perlu ingat takwilan mereka sudah melampau batas hak Allah dan Rasulnya.

Mengapa dikatakan pengikut tegar Asaari dikira bernasib baik jika kerajaan bertindak ke atasnya? Ini kerana itu sahaja, Insya-Allah cara untuk menyelamatkan mereka. Hanya dengan tindakan tegas dan tuntas seperti yang pernah dilakukan terhadap Asaari dan para pemimpin kanan Al Arqam pada tahun 1995 sahaja masalah ini akan selesai. Mungkin tindakan kali ini perlu lebih tegas sekaligus perlukan beberapa ‘nilai tambah’ justeru kesesatan ‘neo-Arqam’ era terkini ini jauh lebih ‘advance’ dari segi keyakinan, gerakan dan tentu sahaja dari segi bahayanya. Itupun jika kerajaan masih melihat bahaya ajaran Al Arqam masih relevan dan signifikan.

Sebaliknya, malang benar bagi Asaari dan pengikut tegarnya sekiranya mereka tidak diambil tindakan. Mungkin mereka berbangga dengan keyakinan bahawa itu adalah petanda mereka dalam kebenaran (kerana menurut mereka tanda kebenaran itu mereka tidak berjaya dimusnahkan musuh. Mereka lupa Komunis, Nazi dan Majusi yang batil itupun kekal hingga kini). Namun hakikatnya, mereka akan terus dibelenggu dengan ‘tafsiran’ demi ‘tafsiran’ atas ramalan kerohanian yang batil dan tidak menjadi. Satu pembohongan terbongkar, timbul satu pembohongan lain untuk menutupnya.

Sikap ‘wait and see’ yang disebut oleh Khadijah Aam dalam bukunya akan terus berlarutan. Begitulah tahun demi tahun. Wait and see… tetapi bila sudah ‘see’ lain pula tafsirannya dan kena ‘wait’ lagi… Jika dulu dalam buku ‘Siapa Mujaddid kurun ke 15’ karya Asaari sepuluh tahun yang lalu sudah ada sikap tunggu dan lihat serta ‘date-line’nya. Namun, apabila date-line itu tidak ditepati, Khadijah masih menagih ‘wait and see’ dalam buku terbarunya. Dan pengikut tegar Asaari akan terus dibuai dengan ramalan demi ramalan hasil eksploitasi dan manupulasi tentang hadis akhir zaman. Inilah ‘nature’ ajaran Al Arqam, satu perjuangan yang tidak selesai selesai!

Malang sungguh bagi pengikut tegar ajaran Al Arqam sekiranya kerajaan mempunyai komitmen yang jauh lebih penting daripada menangani perjuangan mereka yang tak selesai selesai itu. Kita akur dan faham bahawa kerajaan punya prioriti yang begitu banyak dan kompleks. Justeru, pemasalahan ajaran Al Arqam tidak mustahil akan terpendam secara perlahan-lahan dan akan mula dilupakan. Operasi ‘menyelamat’ pengikut tegar ajaran Al Arqam yang menyangka diri mereka ‘penyelamat’ mungkin diberhentikan. Tidak ada harapan ‘hidup’! Dan mungkin kita terpaksa mendengar, melihat dan membaca berita kesesatan yang lebih ‘canggih’ daripada benih dan akar yang sama menjelang tahun 2020 nanti.

Mungkin ketika itu bukan atas nama Rufaqa, Sohibuz Zaman, Power, Ayah Pin, Kerajaan langit dan istilah-istilah lain yang seumpamanya. Mungkin ada cerita dan istilah lain yang lebih canggih dan sensasi… siapa tahu. Wait and see. Mari kita terus memantau….


1 Comments:

At 1:22 AM, Anonymous samiyussuf said...

ajaran al-arqam diceduk dari ajaran syiah.antaranya taqiah..menyembunyikan akidah yang sebenar...

 

Post a Comment

<< Home