Wednesday, July 05, 2006

Asaari Dakwa Mengetahui Perkara Ghaib

Asaari sering mendakwa bahawa manusia (termasuk dirinya) berupaya untuk mengetahui tentang perkara ghaib. Dakwaan ini dapat dilihat dalam VCD kuliah Hubungan Dengan Mursyid yang disampaikan oleh Mejar (B) Abu Zar, salah seorang pemimpin kanannya. Selain itu, Asaari juga ada menulis perkara ini dalam buku terbarunya; Pendidikan Rapat Dengan Rohaniah Manusia.

Berikut adalah beberapa petikan daripada buku tersebut:

a. Manakala roh tamyiz pula, kalau ia keluar dari badan manusia, manusia tidak akan mati. Sebaliknya ia akan pergi ke alam-alam lain. Mungkin dapat melihat alam malakut, dapat melihat alam roh, dapat melihat alam ghaib, dapat melihat alam kubur, dapat melihat alam akhirat, dapat melihat alam jin, dapat melihat alam malaikat, alam yang seni-seni (alam mawaraa-ul maddah) iaitu daapt melihat alat di luar material (kebendaan) ini dengan izin Allah. [para. 5; hlm. 14]

b. Mata batin ini berkemampuan melihat benda-benda yang batin atau benda-benda yang ghaib atau benda-benda maknawiyah seperti alam roh, alam malakut, alam jin, alam barzakh, alam akhirat, loh Mahfuz, mampu menampung ilmu wahyu, ilmu laduni atau ilmu ilham hatta mampu tajalli terus dengan Allah secara laisakamislihi syaik… [para 1; hlm. 55]

c. … bagi hati yang terlalu bersih seperti hati para rasul dan nabi-nabi itu, kekuatan mata hati mereka itu mampu melihat atau menangkap gambaran (objek maknawiyah atau rohaniah) yang ada di Loh mahfuz dengan izin Allah S.W.T. Hatta mereka dapat terus tajalli dengan Allah al-Khalik dengan secara ‘laisakamislihi syaik’. [para 1; hlm. 57]

d. …Mungkin dapat melihat alam roh atau alam jin atau alam malaikat, alam barzakh atau dapat membaca hati manusia atau diperlihatkan hal-hal masa depan yang akan berlaku dengan izin Allah. Itulah yang dikatakan kasyaf. [para. 2; hlm. 57]

e. Sehingga dapat melihat alam yag selama ini bukan alamnya iaitu alam ghaib atau alam rohaniah. Maka tersingkaplah alam ghaib yang penuh rahsia. [para 3; hlm. 58]

f. Tahap hati ini mungkin sekali sekala Allah perlihatkan juga alam ghaib. Atau mungkin dapat menangkap objek-objek (benda-benda) yang bersifat rohaniah atau maknawiyah iaitu ilmu yang bersifat ilham atau ilmu laduni. Yakni ilmu yang terus jatih ke hati, yang datang terus daripada Allah secara wahbiah. Mendapat ilmu tanpa usaha ikhtiar, tanpa belajar dan tanpa berguru. Atau juga diberi rasa hati atau gerakan hati yang tepat dan benar, yang disebut juga ilmu firasat. [para 1; hlm. 60]

g. …bilamana hal-hal hakikat tadi dapat dialami secara kekal (istiqamah) berterusan, bahkan makin menebal dan subur, maka akan terbukalah nanti rahsia-rahsia ghaib atau rahsia Allah. Ini sangat sulit untuk digambarkan kecuali dirasai oleh orang-orang yang mengalami dan merasainya. [para 1; hlm. 128]

Daripada petikan-petikan di atas, Asaari cuba hendak menggunakan konsep ilmu laduni, kasyaf, firasat sebagai satu dalihan bahawa manusia boleh mengetahui perkara ghaib. Tindakan Asaari ini sangat mengelirukan dan bercanggah dengan dalil-dalil yang sahih.

Elemen ’perkara Ghaib’ ini sangat signifikan dalam akidah Jemaah Aurad Muhammadiah. Ini dapat dilihat dalam perkara berikut:

a. Asaari mendakwa perjuangannya ini dibantu secara ghaib oleh Allah S.W.T dengan bantuan daripada Rijalul Ghaib dan Ruh Muqaddasah.
b. Asaari juga beryaqazah dengan insan yang telah wafat dan mati (Rasulullah dan Sheikh Suhaimi)
c. Asaari mendakwa pelbagai perkara ghaib yang berlaku ke atasnya.
d. Asaari juga mendakwa dirinya mengetahui perkara ghaib berbentuk ’berita-berita tentang peristiwa akan datang’ yang akan berlaku sehingga Asaari sangat berani merangka JADUAL ALLAH atau SKRIP TUHAN. Maka, Asaari pun menisbahkan perjuangannya dengan mengikut Jadual Allah itu yang diperolehinya secara ghaib iaitu melalui yaqazah, kasyaf dan bisikan hatif.
e. Asaari juga mendakwa dia mendapat ilmu secara ghaib, datang terus secara direct dari Allah S.W.T tanpa perlu dia mempelajarinya.
f. Asaari mengetahui masa dan tarikh bilakah seseorang itu mati dan berbincang dengan malaikat Maut untuk menggantikannya dengan orang lain.
g. Asaari mengetahui tentang nasib seseorang di alam barzakh.
h. Asaari mengetahui tahap taqwa seseorang dan mengetahui sejarah dosa seseorang.

Persoalannya; adakah benar manusia boleh mengetahui perkara ghaib? Adakah benar manusia boleh disingkapkan tabir untuk mengetahui apa yang ada di alam ghaib? Bolehkah roh manusia mengembara dalam alam ghaib?

Kami memulakan perbincangan ini dengan mengemukakan dalil bahawa para Rasul tidak mengetahui tentang sesuatu yang bersifat ghaib melainkan apa yang diberitahu oleh Allah S.W.T. Ini bermakna, manusia biasa seperti Asaari lebih-lebih lagi tidak boleh menandingi keistimewaan para Rasul.

Para Nabi, Rasul dan Malaikat Tidak Mengetahui yang Ghaib

Sekumpulan jin telah datang kepada Nabi s.a.w., kemudian mendengarkan bacaan Al-Qur`an. Ketika itu Nabi s.a.w. tidak mengetahui kehadiran mereka kecuali setelah sebuah pohon memberitahunya – dan Allah SWT Maha Berkuasa untuk menjadikan pohon itu boleh berbicara– seperti yang disebutkan Imam Bukhari dalam Shahihnya dari Ibnu Mas’ud r.a.. Ini menunjukkan bahawa baginda tidak mengetahui perkara ghaib kecuali yang telah Allah SWT khabarkan kepada baginda.

Allah berfirman:

قُلْ لاَ أَقُوْلُ لَكُمْ عِنْدِي خَزَائِنُ اللهِ وَلاَ أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلاَ أَقُوْلُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلاَّ مَا يُوْحَى إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي اْلأَعْمَى وَالْبَصِيْرُ أَفَلاَ تَتَفَكَّرُوْنَ

“Katakanlah: ‘Aku tidak mengatakan kepadamu, bahawa perbendaharaan Allah ada padaku, dan tidak pula aku mengetahui yang ghaib dan tidak pula aku mengatakan kepadamu bahawa aku seorang malaikat. Aku tidak mengetahui kecuali apa yang diwahyukan kepadaku.’ Katakanlah: ‘Apakah sama orang yang buta dengan orang yang melihat?’ Maka apakah kamu tidak memikirkannya?” (Al-An’am: 50)

Allah juga berfirman:

قُلْ لاَ أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلاَ ضَرًّا إِلاَّ مَا شَاءَ اللهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لاَسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوْءُ إِنْ أَنَا إِلاَّ نَذِيْرٌ وَبَشِيْرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُوْنَ

“Katakanlah: ‘Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak pula menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku berbuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman’.” (Al-A’raf: 188)

Jika para rasul yang merupakan utusan Allah SWT dalam menyampaikan syariat-Nya kepada manusia tidak mengetahui hal yang ghaib sedikitpun, maka sudah tentu manusia secara umum tidak ada yang dapat mengetahui alam ghaib atau menjangkau batasan-batasannya.

Walaupun para malaikat adalah makhluk yang dekat di sisi Allah SWT, namun ternyata mereka pun tidak mengetahui perkara ghaib. Allah SWT berfirman ketika pertama kali hendak menciptakan manusia:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي اْلأَرْضِ خَلِيْفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيْهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيْهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُوْنَ. وَعَلَّمَ آدَمَ اْلأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلاَئِكَةِ فَقَالَ أَنْبِئُوْنِي بِأَسْمَاءِ هَؤُلاَءِ إِنْ كُنْتُمْ صَادِقِيْنَ. قَالُوا سُبْحَانَكَ لاَ عِلْمَ لَنَا إِلاَّ مَا عَلَّمْتَنَا إِنَّكَ أَنْتَ الْعَلِيْمُ الْحَكِيْمُ

“Dan ingatlah ketika Rabbmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?’ Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui.’ Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: ‘Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar!’ Mereka menjawab: ‘Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana’.” (Al-Baqarah: 30-32)


Jin dan Manusia Tidak Mengetahui Perkara Ghaib

Bagi golongan jin pula, Allah berfirman:

فَلَمَّا قَضَيْنَا عَلَيْهِ الْمَوْتَ مَا دَلَّهُمْ عَلَى مَوْتِهِ إِلاَّ دَابَّةُ اْلأَرْضِ تَأْكُلُ مِنْسَأَتَهُ فَلَمَّا خَرَّ تَبَيَّنَتِ الْجِنُّ أَنْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُوْنَ الْغَيْبَ مَا لَبِثُوا فِي الْعَذَابِ الْمُهِيْنِ

“Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman, tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali serangga yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia tersungkur, tahulah jin itu bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak tetap dalam siksa yang menghinakan.” (Saba`: 14)

Dakwaan Asaari bahawa adanya manusia yang menghilang ke alam ghaib dan menjadi ‘Rijalul Ghaib’ dan manusia yang mati menjadi Roh suci @ ‘Roh Muqaddasah’ sangat bertentangan dengan nas. Ketahuilah bahawa tidak ada istilah manusia ghaib. Tidak ada pula istilah ‘rijalul ghaib’ di tengah-tengah manusia. Rijalul ghaib itu tiada lain tidak bukan adalah jin. Allah berfirman:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ اْلإِنْسِ يَعُوْذُوْنَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوْهُمْ رَهَقًا

“Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa laki-laki di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.” (Al-Jin: 6) (Lihat Qa’idah ‘Azhimah, hlm. 152)

Alam ghaib tetaplah ghaib, sesuatu yang tidak boleh diketahui oleh manusia kecuali apa yang telah Allah SWT beritakan dalam al-Quran dan melalui lidah Nabi semasa baginda hidup.

Allah berfirman:

عَالِمُ الْغَيْبِ فَلاَ يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا. إِلاَّ مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُوْلٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا

“(Dia adalah) yang Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada Rasul yang diredhai-Nya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di hadapan dan di belakangnya.” (Al-Jin: 26-27)

Kunci-kunci ghaib adalah milik Allah SWT semata-mata. Seorangpun tidak boleh mengetahui perkara ghaib dan hal-hal yang berhubungan dengannya, kecuali Allah SWT. Dan Allah SWT telah banyak menegaskan hal ini dalam Al-Qur`an. Allah SWT berfirman:

قُلْ لاَ يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَاْلأَرْضِ الْغَيْبَ إِلاَّ اللهُ وَمَا يَشْعُرُوْنَ أَيَّانَ يُبْعَثُوْنَ

“Katakanlah: ‘Tidak ada seorangpun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah’, dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan.” (An-Naml: 65)

Allah berfirman:

إِنَّ اللهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي اْلأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوْتُ إِنَّ اللهَ عَلِيْمٌ خَبِيْرٌ

“Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat, dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Luqman: 34)

Allah SWT juga berfirman:

ذَلِكَ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ الْعَزِيْزُ الرَّحِيْمُ

“Itulah Rabb yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang.” (As-Sajdah: 6)

Dalam ayat lainnya:

قَالَ أَلَمْ أَقُلْ لَكُمْ إِنِّي أَعْلَمُ غَيْبَ السَّمَوَاتِ وَاْلأَرْضِ وَأَعْلَمُ مَا تُبْدُوْنَ وَمَا كُنْتُمْ تَكْتُمُوْنَ

“Allah berfirman: ‘Bukankah sudah Aku katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi dan mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?” (Al-Baqarah: 33)

Sheikh Ibn Uthaimeen dalam koleksi fatwanya menyatakan; “Jika Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. untuk mengumumkan kepada manusia bahawa tiada seorang pun penghuni langit dan bumi yang mengetahui masalah ghaib kecuali Allah SWT, maka barangsiapa yang mengaku mengetahui ilmu ghaib, dia telah mendustakan Allah dan ayat-ayat al-Quran.”

Kami juga menolak hujah Asaari bahawa yang menyatakan dia berhak mengetahui ilmu dan perkara ghaib kerana berdalil ayat berikut;

"Dan bertaqwalah kepada Allah dan Allah akan mengajarimu (ilmu)". (Al-Baqarah : 282).

Ini adalah pendalilan (istidlal) yang salah. Ini kerana Rasulullah s.a.w. telah menerangkan pemahaman ayat ini dan telah menentukan cara mencari ilmu yang disyari'atkan dan diwajibkan atas setiap muslim. Seperti sabdanya:

"Sesungguhnya ilmu itu (diperoleh) dengan cara belajar." (Hadits Riwayat Daruquthni dalam Al-Ifrad wa al-Khatib dalam Tarikhnya dari Abu Hurairah dan Abu Darda'. Lihat Silsilah Ash-Shahihah 342).

Kata innama (sesungguhnya) disini adalah untuk membatasi. Maksudnya, mendapat ilmu hanya akan diperolehi dengan cara belajar.

Sehubungan itu, kami menyeru kepada Asaari dan para pengikutnya agar berhenti dari membuat pelbagai dakwaan yang berkaitan dengan perkara ghaibiyat dan alam ghaib. Kami juga mengajak Asaari membawa para pengikutnya bertaubat dengan taubat nasuha atas kesalahan ini. Ini kerana para Nabi, Rasul dan Malaikat tidak mengetahui perkara ghaib melainkan apa yang Allah S.W.T beritahu kepada mereka. Apatah lagi kita manusia biasa, lebih-lebih lagi Allah S.W.T tidak memberitahu sesuatu pun melainkan apa yang telah dikhabarkannya dalam al-Quran dan apa yang disampaikan oleh Nabi SEMASA BAGINDA HIDUP.