Thursday, June 15, 2006

Syahadah Aurad Muhammadiah: Satu Penilaian

Terdapat perbezaan antara syahadah yang diamalkan oleh rufaqa dengan syahadah yang disyariatkan dan diamalkan oleh masyarakat Islam. Syahadah dalam Aurad Muhammadiah menambah beberapa perkataan lain selain daripada syahadah yang sedia ada dalam Islam.

Syahadah mereka menambah perkataan berikut:

…Abu Bakr al-Shiddiq, Umar al-Farouq, Uthman birru al-rahim, Ali ‘adhudu al-din, Muhammad al-Mahdi (Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi) Khulafa’ Rasulillah.

Maksudnya:

“Abu Bakar itu benar, Umar yang memisahkan kebenaran dan kesesatan, Uthman yang berbakti lagi pengasih, Ali penguat agama, Muhammad al-mahdi (Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi) semuanya adalah khalifah kepada Rasulullah s.a.w."

Asaari dalam bukunya ‘Aurad Muhammadiah…’ mendakwa bahawa percantuman perkataan syahadah dengan perkataan lain bertujuan untuk menegaskan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Dia berpendapat bahawa nama sahabat yang diletakkan selepas syahadah bukan untuk memanjangkan syahadah tetapi sekadar menyatakan keyakinan ahli Sunnah wal Jamaah.

Asaari mendakwa kononnya dia masih Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi dirinya tidak sedar yang dia telah terkeluar dari ahli Sunnah wal Jamaah kerana ajarannya.

Asaari menyandarkan hujahnya dengan mengemukakan satu ‘hadith’ daripada Syaidina Ali, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Pada malam aku (Rasulullah) diisrakkan, aku melihat ke atas Arasy tertulis ‘la ilaha illa Allah’, Abu Bakar al-Shiddiq, Umar al-faruq, Uthman Nurain.

Sahihkah hadith di atas untuk dijadikan hujah? Pentakhrijan hadith di atas mendapati ia bukanlah hadith. Al-Khatib al-Baghdadi mengatakan di dalam rawinya ada Abdul Rahman bin Affan. Dia adalah seorang pendusta. Sumber: Kitab Tarikh Bagdad, hlm. 10/263. Ini bermakna hadith itu palsu dan tidak boleh dijadikan hujah. Dalil Asaari itu tertolak.

Kalaulah ia ‘hadith’ (andaian: ia bukan hadith sebenarnya), tidak bererti umat Islam dibolehkan menambah lafaz syahadah. Ia sekadar menunjukkan kedudukan Abu Bakar, Umar dan uthman sebagai sahabat Rasulullah yang mendapat keredhaan Allah.

‘Hadith’ kedua yang menjadi pegangan Asaari dipetik dari buku Nur al-Absar yang berbunyi:

Apabila hari kiamat, datanglah syurga dan bersuara dengan fasihnya, wahai Tuhan, Engkau telah menjanjikan aku untuk mengukuhkan tiangku. Berfirman Allah: Sesungguhnya Aku telah menguatkan tiang-tiangmu dengan Abu bakar, Umar, Uthman dan Ali dan Aku menghiaskan engkau dengan Syaidina hasan dan Husin.

Benarkah ia hadith? Apakah tarafnya? Setelah ditakhrij. Ia tidak diketahui tarafnya kerana tidak ada rekod dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar. Hukumnya: la asla lahu. Tidak ada asalnya. Maka tidak boleh dijadikan hujah.

Islam adalah al-Din yang jelas dan disempurnakan oleh Rasulullah sebelum kewafatan baginda. Firman Allah:

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.
Surah al-Maidah: ayat 3.

Rufaqa mendakwa bahawa shahadah sebegini untuk menguatkan keyakinan ahli Sunnah wal Jamaah, tetapi mengapa Rasulullah s.a.w. dan para sahabat tidak melakukannya? Bukankah Rasulullah s.a.w. itu sebaik-baik huda (petunjuk) untuk diikuti dan para sahabat lebih berautoriti untuk berbuat demikian berbanding Asaari.

Allah telah mensyariatkan ucapan syahadah adalah lafaz ‘ASYHADU ALLA ILAHA ILLA ALLAH, WA ASYHADU ANNA MUHAMMADAN RASULULLAH’.
Dalilnya:

Hadis Anas bin Malik r.a: Ketika Muaz bin Jabal mengekori unta Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan, Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Muaz menyahut: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil lagi: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ nescaya terselamatlah dia dari api Neraka. Kemudian Muaz berkata: Bolehkah aku memberitahu perkara ini kepada orang ramai agar mereka sebarkan berita gembira ini? Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau begitu, lakukanlah dan berserahlah kepada Allah.

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 47

Shahadah yang diamalkan oleh Rufaqa tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah, para Sahabat, tabien dan pengikut mereka ketika solat mahupun wirid. PERKARA AGAMA MERUPAKAN PENENTUAN DARI ALLAH SWT DAN TIDAK BOLEH DIREKA CIPTA OLEH MANUSIA.


Imam Mahdi adalah keyakinan Akidah

Antara akidah yang wujud dalam Rufaqa ialah sangat mempercayai bahawa Sheikh Suhaimi (pengasas Aurad Muhammadiah) sebagai Imam Mahdi. Dan Asaari adalah pembantunya.

Mengapa ini menjadi akidah? Jawapannya:

a. Mereka meyakininya secara qatie dan tidak boleh tidak mempercayainya. Sesiapa yang menolaknya akan dikeluarkan dari jemaah dan dianggap telah sesat.
b. Mereka mendakwa ia khabaran yang datang dari Rasulullah melalui yaqazah Asaari dan ‘Rasulullah’.
c. Nama Sheikh Suhaimi ada dimasukkan dalam ‘syahadah panjang’ pengamal Aurad Muhammadiah. Dalam syahadah itu, mereka menambah nama 4 Khalifah al-Rashidin dan nama Sheikh Suhaimi iaitu Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi. Shahadah ini dibaca pada setiap kali lepas solat.
d. Mereka bertawasul dan menyeru nama Sheikh Suhaimi pada bila-bila masa untuk meminta bantuan dan membasahkan lidah dengan menyebutnya. Nama ‘Saiyidi Sheikh’ lebih banyak disebut daripada nama Rasulullah.

Sehubungan itu, keyakinan Imam Mahdi dalam Rufaqa adalah keyakinan yang bersifat akidah. Ia bukan sekadar doktrin biasa. Ia adalah keyakinan dan iman ahli Rufaqa. Rosak keyakinan terhadap Sheikh Suhaimi, akan mencacatkan hubungan dengan Allah. (Rufaqa lebih gemar memanggil-Nya; TUHAN).

Asaari mendakwa bahawa perlantikan Sheikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi dilakukan oleh para Auliya’ di majlis perhimpunan para wali. Ternyata hujah ini batil serta fitnah terhadap agama tanpa bersandarkan kepada nas syarak. Sesungguhnya menentu serta melantik Imam Mahdi ini adalah urusan Allah SWT yang tidak dapat diketahui dan difikirkan oleh akal manusia kerana ia termasuk dalam perkara-perkara ghaib. Perbuatan ini adalah bid’ah yang sesat dan secara tidak langsung Asaari telah mencampuri urusan Allah. Allah berfirman:

"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapapun. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat Yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).
- Surah al-Jin: 26-27

Begitu juga, perbandingan kisah penzahiran semula Syeikh Suhaimi dengan kebangkitan Nabi Isa serta Ashabul Kahfi yang bangkit dari tidur yang dibuat oleh Asaari. Perbandingan ini ternyata menyalahi disiplin ilmu dan metodologi ilmu. Perkhabaran tentang kebangkitan semula Nabi Isa a.s. dan kehidupan semula Ashabul Kahfi selepas tidur mereka merupakan perkhabaran dari al-Quran dan Hadith Rasulullah yang tidak boleh dipertikaikan kebenarannya, bahkan peristiwa itu benar-benar berlaku. Berbeza dengan perkhabaran yang mengisahkan Syeikh Suhaimi itu tidak mati tetapi ghaib. Ia tidak terdaapt dalam mana-mana hadith lebih-lebih lagi al-Quran. Berita ini dibawa oleh anak murid Syeikh Suhaimi yang sangat boleh dipertikaikan kesahihannya.

Dalam pada Asaari meramalkan kemunculan semula Syeikh Suhaimi sebagai al-Mahdi, sebaliknya Shiekh Suhaimi sendiri dalam buku karangannya menanti-nanti kedatangan Imam Mahdi pula, dengan berdalilkan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Jadi, sudah pasti bukan dirinya yang ditunggu.

Semua hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat serta tabien tidak terdapat hadith yang mengisahkan bahawa ciri Imam Mahdi itu ialah seorang pemuda YANG TELAH GHAIB DAN AKAN KELUAR SEMULA di akhir zaman sebagai Imam Mahdi. Ciri yang dipegang oleh Asaari dan pengikutnya ini benar-benar menyerupai pegangan serta kepercayaan Syiah yang mempercayai Imam Muhammad ibn Hasa al-Askari, Imam Syiah Kedua Belas yang telah ghaib sebagai Imam Mahdi.

Ibn Hajar al-Haitami menyebut bahawa orang yang mengiktikadkan seseorang yang telah mati sebagai Imam Mahdi, maka iktikad itu adalah batal, sesat dan jahil sebagaimana katanya:

‘Ditanya orang kepadaku daripada satu puak yang mengiktikadkan mereka itu ada “seorang lelaki yang sudah mati pada masa umur 40 tahun bahawasanya dia adalah Imam mahdi yang maklum ‘zahir’ pada akhir zaman. Barangsiapa ingkar akan keadaan Mahdi tersebut maka sesungguhnya ia jatuh kafir.”
Maka aku menjawab, bahawa ini adalah iktikad yang batil dan sesat lagi keji serta jahil yang hodoh.

- Ahmad Syihab al-Din bin Hajr al-Haitami al-Makki, al-Qaulu al-Mukhtasar fi Alamat al-Mahdi al-Muntazar, hlm. 37.

Manakala Pehin Datuk Seri Maharaja Mufti Kerajaan Brunei telah memfatwakan iktikad seperti ini sebagai dusta dan hendaklah, bahkan wajib dibuang iktikad yang karut ini kerana membawa kepada fasik dan kufur.
- Kertas pengharaman Jemaah Al-Arqam Brunei Darus Salam, t.t., hlm. 4.

Persoalan Imam Mahdi termasuk dalam perkhabaran Rasulullah SAW tentang perkara-perkara yang berlaku pada masa hadapan. KITA TIDAK BOLEH BERDUSTA TENTANGNYA. Kaum muslimin diseru mencontohi sifat para sahabat tatkala menerima perkhabaran seumpama ini. Para sahabat tidak berusaha malah tidak bergopoh gapah bagi menentukan masa dan ketika; bahkan sekadar menunggu masa berlakunya.

Menentukan Shiekh Suhaimi sebagai Imam Mahdi jelas bercanggah dengan akidah Islam kerana Ahli Sunnah wal Jamaah tidak pernah menentukan Sheikh Suhaimi sebagai Imam Mahdi. Walapun Asaari mendakwa Sheikh Suhaimi tidak mati bahkan ghaib, masyarakat yang bermastautin di Teluk Pulai dan Sungai Udang (tempat tinggal sheikh Suhaimi) serta disahkan oleh bekas Mufti Selangor, Dato’ Ishak Baharom, telah menegaskan bahawa Shiekh Suhaimi sudah meninggal dunia. Dan orang yang telah meninggal dunia, mustahil akan hidup semula di dunia dan menjadi Imam Mahdi pula.