Thursday, July 13, 2006

Kerosakan Akidah Asaari Dalam Perkara ‘Iman Kepada Malaikat’

Kami ingin menegur Asaari dan pengikutnya dalam Jemaah Aurad Muhammadiah agar memperbaiki akidah mereka dan membetulkan iman mereka kepada Malaikat. Sebagaimana yang kita ketahui, iman kepada Malaikat adalah rukun kedua dalam rukun Iman. Ini disebutkan dalam hadith berikut:

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:

Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada bersama kaum Muslimin, datang seorang lelaki kemudian bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Iman? Lalu baginda bersabda: Kamu hendaklah percaya iaitu beriman kepada Allah, para Malaikat, semua Kitab yang diturunkan, hari pertemuan dengan-Nya, para Rasul dan percaya kepada Hari Kebangkitan.

Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 10


Daripada hadith ini jelaslah dinyatakan bahawa iman kepada Malaikat sangat tinggi kedudukannya iaitu selepas beriman kepada Allah S.W.T. Ini bermakna kecacatan dan kerosakan akidah seseorang terhadap Malaikat adalah sesuatu yang sangat besar kesalahannya dan perlu diseru agar segera bertaubat.

Berikut adalah kesalahan akidah Asaari terhadap Malaikat:

a. Mendakwa malaikat mempunyai akal, diberi taklif dan akan dibalas sama ada ke Syurga atau ke neraka. Ini didapati dalam buku Asaari yang terbaru iaitu Pendidikan Rapat Dengan Rohaniah Manusia:

Tetapi, ketiga-tiga makhluk ini yakni manusia, jin dan malaikat, oleh kerana memiliki akal atau ruhul amri maka mereka akan dibalas sama ada ke syurga denga rahmat-Nya atau ke Neraka dengan keadilannya. Kalau mereka berbuat baik akan diberi pahala. Sebaliknya bila berbuat jahat, mereka berdosa dan dicampakkan ke neraka. [para. 3; hlm. 14]

b. Mendakwa Malaikat Mungkar dan Nakir akan tidak menjalankan tugasnya untuk menyoal pengikutnya yang telah mati di alam barzakh. Sebaliknya, Asaari mendakwa dia akan menjawab setiap soalan Malaikat tersebut. Ini dapat dibuktikan dalam VCD kuliah Hubungan Dengan Mursyid (rufaqa.multiply.com). Petikannya sebagaimana berikut:

…"bila pengikut abuya sampai pada sakaratul maut, abuya akan duduk di sebelah kanan.. maka syaitan tak berani datang dekat sebab abuya (orang Tuhan) ada kat situ dalam kubur, ada lembaga putih (disebutkan 'ruh muqaddas abuya') duduk sebelah mayat pengikut abuya… Bila malaikat Munkar & Nakir datang nak tanya soalan, lembaga tu akan kata: "Ya Munkar, Nakir. Ini anak murid saya. Kalau ada apa-apa tanyalah saya." Jadi malaikat Munkar & Nakir tak dapat buat apa-apa pada mayat tersebut sebab abuya tu orang Tuhan."

SANGGAHAN BUTIRAN A.

Daripada kenyataan Asaari ini, jelas membuktikan Asaari telah merosakkan akidah dirinya dan pengikutnya dengan menyatakan bahawa Malaikat turut mempunyai akal, ditaklifkan, dan akan menerima hukuman atau ganjaran iaitu sama ada Syurga dan Neraka.

Seluruh umat Islam berpegang dengan nas yang datang dari Al-Quran dan Sunnah yang sahih apabila membincangkan perkara Akidah. Ini kerana hanya Allah S.W.T yang mencipta Malaikat dan hanya Allah-lah sumber kita untuk merujuk apabila ingin mengetahui sesuatu tentang Malaikat.

Para Malaikat adalah makhluk Allah S.W.T yang taat dan sangat mematuhi semua tugasan yang telah diberikan oleh Allah S.W.T kepada mereka. Mereka dicipta daripada cahaya dan tidak mempunyai unsur seperti kita. Semua para Malaikat adalah hamba Allah S.W.T yang tidak pernah dibebankan sebarang syariat ke atas mereka. Para Malaikat tidak diberi taklif yang berbentuk syariat. Ini bermakna mereka tidak akan dihukum ke neraka jika menderhakai Allah S.W.T atau diberi ganjaran Syurga jika mentaati-Nya. Sudah pasti, para Malaikat tidak pernah menderhakai Allah S.W.T.


Allah S.W.T berfirman:

Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) utusan yang mulia. Yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy. Yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai.
(Surah takwir: Ayat 19-21)

Dan sesungguhnya Al-Quran (yang di antara isinya kisah-kisah yang tersebut) adalah diturunkan oleh Allah Tuhan sekalian alam. Ia dibawa turun oleh malaikat Jibril yang amanah. Ke dalam hatimu, supaya engkau (Wahai Muhammad) menjadi seorang dari pemberi-pemberi ajaran dan amaran (kepada umat manusia).

(Surah Syuara’: Ayat 192-194)

Daripada ayat di atas, mana mungkin para Malaikat yang menyampaikan Kalamullah yang mulia kepada para Rasul akan dihukum ke syurga atau neraka sebagaimana dakwaan Asaari? Lebih-lebih lagi dalam ayat di atas, Allah SWT telah mengiktiraf bahawa para Malaikat adalah makhluk yang berkedudukan tinggi di sisi-Nya.

Allah SWT berfirman lagi:

Dan mereka (yang musyrik) berkata: "(Allah) Ar-Rahman mempunyai anak." Maha Sucilah Dia. Bahkan (Mereka yang dikatakan menjadi anak Allah itu) ialah hamba-hamba-Nya yang dimuliakan. Mereka tidak mendahului-Nya dengan perkataan dan mereka pula mengerjakan apa yang diperintahkan-Nya.
(Surah al-Anbiya’: Ayat 26-27)

Ayat di atas membuktikan bahawa semua para Malaikat adalah hamba Allah SWT yang dimuliakan oleh Allah SWT. Hujah kami ini didokong lagi dengan hadith sahih beriktu:

Diriwayatkan dalam Shahih Al-Bukhari, dari Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "Apabila Allah menetapkan perintah di atas langit, para malaikat mengepakkan sayap-sayapnya kerana patuh akan firman-Nya, seakan-akan firman (yang didengar) itu seperti gemerincing rantai besi (yang ditarik) di atas batu rata, hal itu memekakkan mereka (sehingga mereka jatuh pengsan kerana ketakutan). Maka apabila telah dihilangkan rasa takut dari hati mereka, mereka berkata: "Apakah yang difirmankan oleh Tuhanmu?" Mereka menjawab: "(Perkataan) yang benar. Dan Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar."

An-Nawwas bin Sim'an r.a. menuturkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Apabila Allah Ta'ala hendak mewahyukan perintah-Nya, maka Dia firmankan wahyu itu, dan langit-langit bergetar dengan keras kerana rasa takut kepada Allah 'Azza wa Jalla. Lalu, apabila para malaikat penghuni langit mendengar firman tersebut, pengsanlah mereka dan bersimpuh sujud kepada Allah. Maka malaikat yang pertama kali mengangkat kepalanya adalah Jibril, dan ketika itu Allah firmankan kepadanya apa yang Dia kehendaki dari wahyu-Nya. Kemudian Jibril melewati para malaikat, setiap kali dia melalui satu langit, para malaikat penghuninya bertanya kepadanya: "Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhan kita, wahai Jibril?" Jibril menjawab: "Dia firmankan yang benar. Dan Dialah yang Maha Tinggi lagi Maha Besar." Dan seluruh malaikat pun mengucapkan seperti yang diucapkan Jibril itu. Demikianlah sehingga Jibril menyampaikan wahyu tersebut sesuai yang telah diperintahkan Allah 'Azza wa Jalla kepadanya. (Hadith Riwayat Ibnu Abi 'Ashim dalam As-Sunnah; dan Al-Baihaqi dalam Al-Asma' wa As-Shifat)

Allah SWT berfirman lagi:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.
(Surah Tahrim: Ayat 6)

Ini jelas membuktikan bahawa para Malaikat hanya bertugas menjaga dan mengawal neraka. Mereka ini sangat taat kepada Allah SWT. MEREKA BUKAN AHLI NERAKA dan mereka tidak akan dihukum dengan sebarang hukuman.

SANGGAHAN BUTIRAN B.

Dalam aspek ini, kami menolak ajaran Asaari ini kerana ia:

a. Menafikan tugas Malaikat Munkar Nakir sebagai penyoal manusia di alam kubur (barzakh)
b. Menafikan ketaatan Malaikat Munkar dan Nakir dalam menjalankan tugasnya.
c. Mendakwa wujudnya campur tangan manusia lain dalam urusan agama si mati dengan Allah S.W.T.
d. Mendakwa Malaikat tidak boleh berbuat apa-apa kepada mayat jika dibela oleh Asaari.

Kami ingin memberitahu kepada Asaari bahawa Allah S.W.T ada berfirman:

Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak serta Malaikat; sedang mereka (Malaikat-malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepadanya). Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka (dengan kekuasaan-Nya), serta mereka mengerjakan apa yang diperintahkan.

(Surah an nahli: 49-50)

Ayat di atas jelas membuktikan bahawa para Malaikat sentiasa takut kepada Allah SWT, melakukan apa sahaja tugasan yang Allah SWT berikan tanpa boleh dihalang oleh sesiapa pun. Malaikat tidak takut kepada makhluk, apatah lagi orang seperti Asaari. Dan yang lebih pasti, Asaari masih hidup di dunia. Mustahil akan ke alam barzakh sebelum ajalnya tiba. Berhentilah berdusta atas nama agama!

Ayat di atas disokong oleh sebuah hadith hasan sahih yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi (Bab Jana’iz / No. 70), Imam Abu Daud (2/504, 541), Imam Ibn Majah (Bab Jana’iz / No. 65) dan Imam Ahmad (3/126, 4/288).

Dalam hadith tersebut, jelaslah bahawa tugasan para Malaikat ialah menyoal manusia yang telah mati di kubur mereka dan soalan-soalan itu berkaitan dengan; “Siapa Tuhan kamu, apa agama kamu dan siapa nabi kamu?” Dalam hadith tersebut, kedua-dua Malaikat itu bertanya si mati tentang Nabi Muhammad s.a.w. Sekiranya jawapan yang diberikan betul, maka kubur si mati akan diluaskan seluas 70 hasta dan bercahaya. Sekiranya si mati menjawab; “tidak tahu,” maka kubur itu akan dihimpit dan menghimpit si mati dan akan di azab sehingga hari Kiamat.

Dalam hadith di atas jelas menunjukkan tidak ada sesiapa pun akan selamat daripada soalan tersebut di kalangan umat Muhammad. Nabi sendiri tidak mengkhabarkan kepada kita, bahawa individu tertentu akan datang membantu memberikan jawapan.

Khabar di alam barzakh adalah salah satu perkara ghaib. Hanya Allah S.W.T dan Rasul-Nya sahaja yang boleh menjadi sumber untuk kita mengetahui keadaan di sana. Setiap perkara ghaib, perlu ada nas sahih yang menceritakannya. APA DALIL ASAARI? Adakah Asaari boleh menjawabkan soalan-soalan Malaikat Munkar Nakir tersebut, sedangkan dirinya sendiri tidak pernah ada jaminan akan lepas dan lulus daripada soalan tersebut. Mana mungkin seorang yang BUKAN NABI DAN RASUL hendak mencampuri urusan Malaikat!

Kami ingin menukilkan kata-kata Imam al-Syafie sebagaimana berikut:

Al-Rabi’ bercerita: Ketika Imam Syafie r.a. berdialog dengan Hafs al-Fard, maka Hafs berkata: ‘Al-Quran adalah makhluk.’ Apabila Imam Syafie mendengar kata-kata sebegitu, maka beliau terus mematahkannya: “Engkau telah kafir kepada Allah S.W.T.”

Ketika Imam Syafie r.a. sedang menghadapi sakaratul maut, terdapat sejumlah orang mengelilinginya. Di antaranya adalah Hafs (orang yang dinyatakan dalam petikan di atas). Apabila Imam Syafie sedar, mereka yang mengelilinginya bertanya kepada Imam Syafie tentang diri mereka masing-masing, untuk memastikan sama ada Imam Syafie masih ingat lagi ataupun tidak. Imam Syafie menjawab; “Engkau fulan bin fulan, engkau fulan bin fulan.” Lalu Hafs al-Fard bertanya; “Siapa aku?” Imam Syafie menjawab; “Engkau adalah Hafs. Mudah-mudahan Allah SWT tidak melindungi dirimu kecuali jika engkau bertaubat.” (Lihat Manaqib al-Syafie, jld. 1, hlm. 407)

Ucapan keras Imam Syafie ini ditujukan khas untuk orang yang rosak iman dan akidahnya terhadap Kitab Allah S.W.T. Bagaimanalah kalau Imam Shafie masih hidup, dan mendapati Asaari telah rosak imannya terhadap Malaikat?

Sudah tentu, kata-kata yang keras juga akan dikeluarkan oleh beliau selama mana Asaari tidak bertaubat dengan sebenar-benar taubat.