Tuesday, September 05, 2006

PETIKAN DARI PENGALAMAN: LAGI KISAH YAQAZAH...

Pada entri kali ini, kami menukilkan kisah dari buku ARQAM: TERSUNGKUR DI PINTU SYURGA bagi menggambarkan bagaimana Arqam dan Asaari Muhammad membuat pendustaan terhadap nama Rasulullah. Lihatlah aspek berikut:

a. Pemimpin lapisan pertama dan kedua al-Arqam tidak tahu kaedah dan bagaimana Asaari beryaqazah.
b. Asaari sentiasa menggunakan yaqazah sebagai 'mesej dari Rasulullah' yang sangat wajib dipatuhi dalam kerangka perjuangannya. Semua tindak tanduk mereka adalah dari 'mesej dari Rasulullah'.
c. Asaari sudah berkali-kali membuat pengakuan. Tetapi, ia sekadar taqiyah dan untuk meneruskan pembohongannya menggunakan nama agama.

Berikut adalah petikan dari buku tersebut:



DI BALAI Polis Jalan Travers, Kuala Lumpur inilah saya buat kali pertama, selepas hampir dua bulan ditahan di bawah ISA, dapat melihat 'planet bumi' yang cantik menghijau ini. Terasa nikmat dapat menghirupkan udara kebebasan.

Kami kemudian dibawa ke sebuah motel tepi tasik di Rawang sementara menunggu masa untuk diberi arahan masuk ke Sungai Penchala bagi memulakan road show pertama kami. Sepanjang perjalanan saya bagaikan pelancong asing yang tidak pernah melihat wajah Malaysia, asyik melihat pemandangan di kiri kanan, walaupun jerebu yang melanda negara ketika itu masih belum pulih sepenuhnya.

Inilah yang dikatakan nikmat kebebasan yang tidak semua orang dapat merasainya. Pernah seorang ahli al-Arqam bertanya kepada saya bagaimana rasanya duduk dalam sel dan saya katakan padanya: "Anta masuk dalam bilik air, tutup semua ruang cahaya dan duduk situ tak keluar-keluar selama dua bulan.''

Ustaz Asaari Mohamad juga dibebaskan.

Sehari kemudiannya pada 28 Oktober 1994 kami telah dibawa masuk ke perkampungan al-Arqam Sungai Penchala untuk bertemu dengan ahli-ahli al-Arqam. Sepanjang perjalanan masuk ke Sungai Penchala saya dapat melihat sekatan jalan raya diadakan di luar perkampungan dan kelihatan juga berpuluh-puluh anggota Polis Simpanan Persekutuan (FRU) sedang berjalan kaki bergerak masuk ke perkampungan al-Arqam.

Di kawasan perkampungan iaitu di tapak surau sementara di hadapan bangunan pentadbiran Majlis Syukukh, kelihatan ribuan ahli al-Arqam telah sedia menunggu kedatangan kami. Suasana mereka agak pilu seolah-olah menanti kedatangan satu jenazah yang bakal disembahyang dan dikebumikan. Apabila Ustaz Asaari keluar dari kereta yang membawanya, saya dapat lihat ramai ahli al-Arqam yang mengalirkan air mata.

Ustaz Asaari tenang saja memberi taklimat kepada ahli-ahlinya agar membuat perubahan kepada amalan akidah Sunah Wal Jamaah dan mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan serta akur dengan setiap tindakan kerajaan ke atas jemaah mereka. Saya sebak menahan kesedihan ketika itu kerana sudah dapat merasakan ahli-ahli al-Arqam ini akan mengharungi zaman penuh ujian selepas ini. Semua ahli al-Arqam mendengar penuh teliti setiap patah perkataan yang keluar daripada mulut Ustaz Asaari.

Namun saya yakin mereka juga percaya ada makna dalam setiap perkataan Ustaz Asaari itu. Ada seorang bekas pemimpin al-Arqam yang tidak ditahan membisikkan ke telinga saya ketika kami mula beredar untuk meninggalkan majlis tersebut. "Jangan bimbang kami semua faham!''
Memang benar selepas habis semua road show kami seluruh Malaysia selama 4 bulan kemudian, ahli-ahli al-Arqam ini tetap tidak berubah keyakinan mereka pada Ustaz Asaari malah makin kuat. Yang mereka ubah hanyalah warna jubah dan serban mereka.

"Semua yang berlaku ini semuanya adalah dalam jadual Allah, kita ditahan di bawah ISA agar minda kita boleh direct kita sampaikan kepada puak-puak SB ini, hasilnya sekarang menurut 'Rasulullah' telah 85 peratus SB menyokong kita. Inilah yang dikatakan Daulah akan berlaku secara khawariqul 'adah,'' kata Ustaz Asaari kepada pemimpin-pemimpinnya yang selalu ditemuinya selepas subuh di beberapa buah restoran sekitar Daerah Gombak, walaupun beliau dihalang bertemu dengan bekas-bekas al-Arqam.

Malah ketika kursus Pemurnian Akidah anjuran Pusat Islam di Port Dickson pada 22 Disember 1994, Ustaz Asaari telah menggunakan peluang itu untuk memberi 'arahan-arahan baru' kepada semua peserta kursus yang kebetulan adalah bekas-bekas pemimpin al-Arqam dari seluruh Malaysia.

Selepas tamat program road show kami, Ustaz Asaari telah memberi arahan kepada semua barisan pimpinannya untuk menghilangkan nama al-Arqam yang telah diharamkan oleh kerajaan. Ini semua dilakukan bertujuan bagi mengabui mata Bukit Aman. Untuk mengabui mata Bukit Aman, Ustaz Asaari juga telah mengadakan program kuliah fardu ain selepas subuh, yang dikatakannya hanya dihadiri oleh kaum keluarganya sahaja.

Tetapi hakikatnya, ramai bekas pemimpin al-Arqam juga telah dijemput untuk hadir dalam majlis fardu ain ini. Dan pemimpin-pemimpin ini kemudiannya akan mengkuliahkan semula fardu ain ini kepada anak-anak buahnya dalam program-program motivasi dalam syarikat mereka. Di samping fardu ain, minda Ustaz Asaari dan arahan-arahan semasa daripadanya juga disampaikan secara sembunyi-sembunyi. Malah banyak arahan yang keluar daripada Ustaz Asaari dikatakan adalah hasil daripada yaqazah Ustaz Asaari dengan 'Rasulullah'.

Hidden agenda Ustaz Asaari untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia masih berjalan seperti biasa. Malah be-liau semakin yakin Daulah Islamiah akan berlaku. Ustaz Asaari juga secara berani telah merestui tindakan pemimpin-pemimpin al-Arqam mengatur perkahwinan bekas-bekas ahlinya secara beramai-ramai di tempat terbuka bagi mempamerkan 'kekuatan' kepada Pusat Islam dan Bukit Aman. Seluruh ahli al-Arqam dari seluruh Malaysia akan dijemput beramai-ramai menghadiri majlis-majlis perkahwinan ini.

"Kita berkumpul ni cara legal, jadi Pusat Islam tak boleh kata apa-apa. Lagipun SB dah sokong kita, cuma mereka tak tunjuk pada kita. Daulah kita dah dekat. Kita mesti cepat pertingkatkan minda, jangan jauh ketinggalan. Sekarang perkembangan terlalu laju. Beberapa orang politik dalam UMNO sedang bekerja 24 jam untuk jatuhkan Dr. Mahathir dan naikkan Abuya. Daulah dah dekat!''

Pernah Ustaz Asaari menyebut pada saya dalam satu perjumpaan sulit saya dengannya di sebuah restoran di Kepong selepas subuh. Ustaz Asaari masih kental dengan hidden agendanya lagi. Semua ahli al-Arqam mempercayai kata-kata Ustaz Asaari tanpa sebarang keraguan kerana Ustaz Asaari mendakwa dia masih mendapat mesej-mesej daripada 'Rasulullah'.

Ustaz Asaari kemudiannya telah mengarahkan agar semua ahli al-Arqam ini di 'ijazahkan' semula dengan wirid Aurad Muhammadiah. Beberapa orang pemimpin al-Arqam telah diwakilkan oleh Ustaz Asaari untuk melakukan majlis pengijazahan wirid itu.

Hatta ada di antara mereka yang telah pergi ke Jordan untuk mengijazahkan kembali hampir 120 orang pelajar tajaan al-Arqam yang masih menyambung pengajian mereka di sana. Pada 7 Mei 1996 ISA kali kedua telah dilakukan ke atas beberapa orang lagi pemimpin al-Arqam.

Tangkapan ini dibuat di atas dakwaan mereka cuba menghidupkan kembali pertubuhan al-Arqam yang telah diharamkan. Ibrahim Mohammad, Khatijah Aam dan Sobri Abd Rani ditahan sekali lagi buat kali kedua, berserta 16 pemimpin al-Arqam yang lain. Saya sendiri tidak dapat tidur malam ketika operasi kedua itu dijalankan kerana bimbang kalau-kalau 'burung masuk sangkar' untuk kali kedua.

Namun yang menjadi tanda tanya kepada saya ketika itu dan juga kepada beberapa pemimpin al-Arqam yang lain ialah kenapa ada seorang muslimah al-Arqam, isteri kepada Setiausaha Peribadi Ustaz Asaari bernama Azura ditangkap sama?

"Kenapa dia ditangkap? Dia bukan pemimpin dalam muslimah al-Arqam, penting ke dia ditangkap?'' Pernah saya bertanya kepada salah seorang pemimpin al-Arqam yang tidak ditangkap ketika itu. Dia juga sebenarnya menanyakan soalan yang sama.

Faktor Azura terus menjadi teka-teki kepada kami bekas pemimpin-pemimpin al-Arqam hinggalah pada Ogos 1996 majalah Al Islam menyiarkan pembohongan Azura yang telah mendakwa menjadi orang perantaraan yaqazah Ustaz Asaari dengan 'Rasulullah'. Walaupun cerita mengenai Azura di dalam majalah Al Islam ini dikeluarkan semasa rakan-rakan saya termasuk Azura masih berada di dalam tahanan untuk disoal-siasat, saya mudah mempercayainya kerana Azura secara peribadi pernah memberitahu saya dia boleh mengembara ke 'alam kerohanian'.

'Ekspedisi kerohanian' ini selalu dilakukan bersama timbalan Ustaz Asaari, Haji Abdul Halim Abbas. Tetapi ketika itu saya masih reserve komen saya itu, kerana mahu mendengar sendiri daripada mulut Azura. Selepas tamat tempoh 60 hari soal-siasat selesai kesemua pemimpin al-Arqam yang ditahan ISA kali kedua itu telah ditahan selanjutnya di Kem Tahanan Kamunting di Taiping, kecuali Sobri Abdul Rani, Khatijah Aam dan Ibrahim Mohammad.

Sobri Abdul Rani sejurus selepas dibebaskan telah datang menemui saya memberitahu tentang buku pengakuan Ustaz Asaari yang dibacanya. Buku pengakuan Ustaz Asaari ini dibuat ketika beliau ditahan dalam ISA kali pertama dulu. Di dalam buku itu Ustaz Asaari telah mengaku tidak pernah walaupun sesaat beryaqazah dengan Rasulullah. Saya terperanjat dengan kenyataan itu tapi masih reserve lagi komen saya kerana mahu mendengar sendiri daripada mulut Azura.

Buku pengakuan Ustaz Asaari ini tidak diberi kesempatan kepada kami yang ditahan di bawah ISA kali pertama dahulu membacanya. Ini kerana pihak Bukit Aman menyangkakan kami tahu bagaimana yaqazah Ustaz Asaari itu dilakukan dan mereka terperanjat bila mendapat tahu hampir 98 peratus pemimpin al-Arqam juga tidak mengetahuinya. Malah anak-anak Ustaz Asaari juga tidak mengetahuinya.

Pada November 1996, semua pemimpin al-Arqam yang pernah ditahan di bawah ISA kali pertama dan kedua, kecuali Ustaz Asaari (yang sudah mula uzur, sakit mulut tidak boleh bercakap dengan baik/jelas) telah dipanggil berkursus selama 16 hari di Kem Tahanan Kamunting, Taiping. Timbalan Ustaz Asaari, Haji Abdul Halim Abbas telah melarikan diri ke Indonesia kerana enggan menghadiri kursus tersebut.

Semasa kursus di Kamunting saya telah dimaklumkan oleh rakan-rakan yang lain bahawa mereka juga telah diberi peluang membaca buku pengakuan Ustaz Asaari setebal 800 muka surat itu. Di dalam buku itu Ustaz Asaari mengaku tidak pernah beryaqazah dengan 'Rasulullah' malah dia hanya menggunakan orang perantaraan dalam ekspedisi kerohaniannya. Orang perantaraan itulah yang mendakwa dapat bertemu dan berbual dengan 'Rasulullah'.

Paling memeranjatkan serta mengecewakan saya dan paling tidak masuk akal dalam buku pengakuan Haji Abdul Halim Abbas pula yang setebal 600 muka surat, Haji Abdul Halim juga mengaku dia telah menggunakan seorang ahli al-Arqam berbangsa Moro dari Sabah untuk menjadi perantara yaqazah dengan 'Rasulullah'. Pada hal kebanyakan para pemimpin al-Arqam mengetahui orang perantaraan ini adalah bekas seorang penyanyi kelab malam, malah pernah terlibat dalam kes homoseksual.

Bagi saya tidak munasabah Rasulullah s.a.w melantik seorang yang homoseksual untuk berhubung dengan Ustaz Asaari. Kalau Asaari mulia atau bertaraf wali Allah seperti yang didakwa oleh semua pengikutnya, kenapa tidak Rasulullah terus berhubung dengan Ustaz Asaari?

Paling memeranjatkan saya, hingga gugur jantung hati saya bagaikan kondominium Highland Tower yang runtuh meredum, ialah apabila dalam buku pengakuan itu Ustaz Asaari juga mengaku 'yaqazah perantaraan' itu memang tidak ada dalam syariat Islam.

Cara bagaimana dia beryaqazah itu sengaja disembunyikan daripada pengetahuan para pemimpin dan pengikut-pengikutnya, demi untuk menjaga kepentingan dan kredibiliti kepimpinannya.

Saat yang paling saya tunggu-tunggu untuk mendengar pengakuan daripada mulut Azura sendiri, akhirnya tiba juga iaitu semasa kursus ini diadakan. Azura telah mengaku bahawa dia mempunyai sejarah kehidupan rumah tangga yang hancur sejak dari kecil. Kemudian selepas berkahwin dengan seorang pemuda Arab, secara sengaja dan sedar beliau telah menipu Ustaz Asaari dengan mengaku mampu bertemu dengan 'Rasulullah' . Ini semua dilakukan kerana dia mahu terus kekal hidup rapat dengan Ustaz Asaari agar dia tidak kembali kepada kehidupan lamanya dan agar dipandang mulia oleh semua pengikut al-Arqam.

Peluang dapat dikahwinkan dengan Setiausaha Peribadi Ustaz Asaari selepas perceraian dengan suami Arabnya adalah 'rezeki terpijak' yang memang ditunggu-tunggunya. Lagi pun katanya lagi, bila rapat dengan Ustaz Asaari dia dapat ikut melancong ke luar negara. Dan dia juga berani mengatakan telah dijadikan perantaraan oleh Ustaz Asaari untuk beryaqazah dengan 'Rasulullah' lebih daripada 99 kali.

"Saya tahu Ustaz Asaari bukan wali, sebab itu saya berani tipu dia,'' ayat yang keluar daripada mulut Azura di hadapan lebih kurang 200 orang peserta Kursus Pemurnian Akidah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), di Bangunan Tabung Haji, Kelana Jaya pada 7 Jun 1997.

Dalam kursus itu juga seorang guru agama yang juga editor khas bahagian al-Quran dan al-Hadis kepada bahagian penerbitan buku-buku Ustaz Asaari telah membuat pengakuan bahawa ciri-ciri Pemuda Bani Tamin yang didakwa dipetik dari hadis-hadis dalam sebuah kitab tua (Jamius Saghir) tidak pernah ditemuinya.

Ciri-ciri yang kononnya dipetik daripada kitab tua tersebut sebenarnya diperoleh daripada seorang menantu perempuan Ustaz Asaari berasal dari Indonesia yang didakwanya didengar dari guru pesantrennya. Menantu ini tidak pasti sama ada ciri-ciri tersebut benar-benar ada di dalam kitab tua itu. Dia hanya mengagak sahaja.

Dalam nada seperti orang yang menjerit-jerit dan separuh gila saya 'memuntahkan' semua isi perut saya di hadapan para pemimpin al-Arqam yang turut serta dalam kursus di Kem Kamunting sehingga terpaksa disejukkan kemudiannya oleh pegawai-pegawai KDN dan Bukit Aman.

"Kenapa Ustaz Asaari sanggup gadaikan iman pengikut-pengikutnya demi perjuangannya yang tidak terpijak di bumi nyata ini? Kenapa? Mereka anak-anak buah kita nun di perkampungan telah berkorban segala-galanya, harta, wang ringgit, tenaga dan segala-galanya yang ada pada mereka, hanya kerana cinta mereka pada Ustaz Asaari dan kerana menanti dan mengharap kedatangan Daulah Islamiah.

"Sekarang ni mereka hidup miskin papa kedana mengharap janji dari jadual Allah yang selalu diperkatakan oleh Ustaz Asaari. Dan kita, para pemimpin ini, pula kerana taksub kita juga, telah menanamkan lagi rasa taksub ini dalam diri mereka."


Hancur punah hati kami mendengar jawapan Asaari. Tetapi kali ini air mata saya telah terlalu kering untuk menangis lagi.

_____________________________________________________

Maka, kami menyeru kepada Asaari agar bertaubatlah atas taubat yang dimungkiri. Ingatlah kembali pengakuan yang telah dibuat, berhentilah berdusta atas nama Rasulullah s.a.w.

Tidak cukupkah peringatan berikut yang sangat keras dari Rasulullah s.a.w. untuk kita:

‏و حدثنا ‏ ‏أبو بكر بن أبي شيبة ‏ ‏حدثنا ‏ ‏غندر ‏ ‏عن ‏ ‏شعبة ‏ ‏ح ‏ ‏و حدثنا ‏ ‏محمد بن المثنى ‏ ‏وابن بشار ‏ ‏قالا حدثنا ‏ ‏محمد بن جعفر ‏ ‏حدثنا ‏ ‏شعبة ‏ ‏عن ‏ ‏منصور ‏ ‏عن ‏ ‏ربعي بن حراش ‏ ‏أنه سمع ‏ ‏عليا ‏ ‏رضي الله عنه ‏ ‏يخطب ‏ ‏قال ‏ ‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم:
‏لا تكذبوا علي فإنه من يكذب علي ‏ ‏يلج ‏ ‏النار

Dari Ali r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu cuba mendustakan aku kerana sesungguhnya orang yang mendustakan aku akan dimasukkan ke dalam api Neraka.

3 Comments:

At 5:57 PM, Anonymous Anonymous said...

Kenapa webmaster masih bercerita tentang zaman Al Arqam.
Mr X tidak ada maklumat kah tentang penyelewengan akidah dlm Rufaqa sekarang and yakazah di era rufaqa kini.

Walaupun , komen mengatakan Ust Ashari sebenarnya tidak ada duit, ye benar dan duit itu adalah duit jemaah yang dikumpul untuk tujuan perjuangan dan digunakan untuknya.

Kenapa Ust Ashaari di beri kemudahan yang mewah dan disupport oleh jemaah kerana strategi perjuangan.Siapa yang akan mendengar kalau mereka lihat pemimpin itu tidak berduit.Islam bukan miskin dan antara tujuan ekonomi dan rangakain kedai bukan sahaja untuk recruit pengikut tapi untuk tunjuk islam bukan miskin dan tidak maju.

Kempimpinan juga diberi semua kemudahan dan ditaja oleh ahli kerana tujuan perjuangan.Ahli berkorban dan terkorban untuk ini.Bukankah berjuang itu berkorban dan berkorban itu terkorban , samalah dengan jihad.malah dikatakan akan mati syahid kalau ketika mati dia berkorban dan sedang berkhidmat untuk jemaah.

Saya tidak minta webmaster untuk publish comment saya, cuma saya melihat webmaster akhir2 ini banyak memberi artikel dan ulasan zaman al arqam yang kata mereka sudah lupus malah sg pencala pun sudah tutup.

Di asrama di chomes , anak -anak ini ada diajar dgn fardu ain dan kafa . Nilai2 silam dan ya pasti tentang karamah abuya dan siah yang wajib mereka hafal tentang abuya.Di MLVK mereka belajar kemahiran teknikal dan other courses yang tidak sama dengan sekolah but more to survival tools subject dan paginya minda Abuya.

What is your comment tentang ini kerana apa yang cuba dibinanya ialah sekolah yang mengajar anak - anak muda tentang kemahiran hidup dan konsep bertuhan.

Saya bukan ahli atau pandai spt MFR,Che Zain awe donde etc , tapi bolehkah webmaster explain betulkah manusia ini tidak boleh direct dengan tuhan dalam berdoa dan memohon pertolongan.
kerana dosa yang banyak dan sebab itu tak sampai terhijab dan kerana itu bertawasul dengan wali Allah.Siapa yang dikatakan wali Allah?

Saya berterimakasih dan bersyukur atas kehadiran blog ini dan usaha webmaster .Moga Allah memberi ganjaran atas usaha webmaster dalam perjuangan ini.Sesungguhnya atas kelalaian kita juga Allah menurunkan ujian - ujian spt ini untuk menyedarkan siapa yang direzekikanNya betapa berharganya iman dan akidah islam dan betapa kita melalaikan perjuangan Rasullullah saw.

 
At 9:41 AM, Anonymous Anonymous said...

BERIKUT IALAH HASIL CERAMAH/TAKLIMAT/PENERANGAN YG DISAMPAIKAN OLEH ASAARI DLM SATU MAJLISNYA BERSAMA PENGIKUT. DITULIS OLEH SESEORANG...

120906 (Malam)

U.FAKHRURAZI:
Marilah kita terus mengucapkan rasa terima kasih kepada Abuya kerana kita dikutip-kutip untuk selamatkan kita di dunia ini. Lebih-lebih lagi di akhirat. Putera Bani Tamim tu adalah hadiah besar di kurun ini. Kalau bukan kerana dia, kita tidak dibantu untuk dapatkan Tuhan dan diberi kekuatan. Oleh sebab itu kita perlu rasa bersyukur dan berterima kasih kerana kita dapat bersama orang Tuhan. Sebab itu faktor janji ter-lalu mahal.

ABUYA:
Bismillah.... (ila akhir)

Selepas empayar Islam jatuh, 800 tahun yang sudah, umat Islam terbiar. Hidup nafsi-nafsi. Kemudian umat Islam setiap hari sama ada pemimpin atau orang biasa, cakap mereka besar-besar. Nak tunjuk kuat. Nak kalahkan Amerika. Nak halang barat. Tapi hidup nafsi-nafsi. Hidup sendiri-sendiri. Tak ada jemaah. Tak ada pemimpin. Padahal berada dalam jemaah itu wajib. Mencari pemimpin wajib. Taat pada pemimpin itu wa-jib. Bahkan ia adalah sunnah Rasulullah s.a.w. yang besar.

Tentang para-para ulama, mentafsirkan Quran diselewengkan; wajib taat pemimpin, bagi mereka pemimpin itu kalau raja… rajalah. Kalau PM… PM-lah. Padahal Allah meminta mentaati pemimpin itu bukan raja-raja, presiden-presiden, atau PM-PM. Tuhan suruh taat kepada pemimpin itu adalah yang ditunjukkan oleh Tuhan.

Kalau zaman rasul itu Rasullah. Kalau zaman mujadid, maka mujadidlah. Kalau ada raja waktu itu, maka raja kena tunduk pada pemimpin itu. Maka inilah satu kesilapan besar kerana sudah 800 tahun diselewengkan kewajiban taat kepada pemimpin. Pada-hal berada dalam jemaah itu wajib. Maka cari pemimpin itu adalah wajib. Dalam Islam itu ada dua baiah yang sudah dilupakan oleh umat Islam. Bukan sahaja dilupa-kan tapi ditutup.

Baiah yang pertama iaitu syahadah – mengaku bahawa Allah itu Tuhan dan Nabi Muhammad itu adalah Pesuruh Allah dan pemimpin bagi umat Islam. Itu adalah baiah yang diwajibkan. Baiah yang kedua dah dilupakan. Ulama pun dah lupakan, bahkan ditipu pula. Baiah yang kedua ini adalah mentaati pemimpin yang dilantik oleh Allah.
Syahadah itu adalah baiah yang asas.

Baiah yang kedua adalah meneguhkan baiah yang pertama. Mengaku sehidup semati dengan pemimpin yang ditunjukan oleh Tuhan. Sebab itu mari kita kaji sejarah. Baiah pertama tak jumpa pemimpin pun tak apa. Atas dasar ini, menerima Islam dari jauh pun tak apa. Salman Al-Farisi, dia jumpa Rasulullah s.a.w. sesudah dirinya Islam. Ertinya dia jumpa Rasulullah s.a.w. sesudah masuk Islam.

Macam kita, tak jumpa Rasulullah s.a.w. tapi dah Islam. Baiah yang pertama wajib. Baiah yang kedua ini, kalau kita baca sejarah Islam sama ada sahabat atau orang per-seorangan atau secara jemaah, dia baiah kepada Rasulullah s.a.w. baiah beramai-ramai iaitu orang Muhajirin. Baiah beramai-ramai lagi ialah orang Ansar. selepas itu masuk Islam secara perseorangan. Baiah yang kedua mereka pertahankan habis-habisan ke-rana Rasulullah s.a.w.

Sebab itu Rasulullah s.a.w. ulang lagi ucapannya. Rasulullah s.a.w. tahu, setelah Ra-sulullah s.a.w. wafat tak ada rasul. Tapi ada pemimpin yang ditunjuk oleh Allah iaitu Mujadid. Kalau kita tahu sesuatu tempat itu ada mujadid atau Putera Bani Tamim, wajib cari, wajib bertemu. Walaupun susah payah. walaupun terpaksa me-rangkak di atas salji.

Baiah pertama dah selesai iaitu syahadah. Tak jumpa pemimpin pun tak apa. Tapi Rasulullah s.a.w. sebut, wajib bertemu. Mengaku sehidup semati. Jadi baiah yang ke-dua ini, tak jumpa Rasulullah s.a.w. pun tak apa sebab dah selesai. Baiah yang ke-dua itu adalah meneguhkan baiah yang pertama. Sebab itu isteri Rasulullah s.a.w. pun ber-baiah dengan Rasulullah s.a.w. Begitu juga sahabat dan isteri-isteri yang lain. Mereka semua berbaiah dengan Rasulullah s.a.w. Mereka sehidup semati dengan Rasulullah s.a.w.

Di akhir zaman ini, sejarah kembali berlaku. Buktinya anak-anak saya nak jumpa saya pun kena ikut kursus. Adik saya, isteri saya… semua saya boleh panggil. Tapi kena ikut proses. Sebab itu baiah yang kedua ini saya sangat tegas, walaupun isteri saya. Jangan main-main. Padahal anak, adik saya boleh panggil. Kalau biasa-biasa boleh. Tapi proses ini semua kena ikut procedur ini. Jangan tak faham.

Baiah kedua inilah ditukar oleh ulama – wajib mentaati pemimpin kepada raja-raja yang berkuasa, pemimpin-pemimpin yang berkuasa. Sebab itu baiah kedua itu ke-pada mujadid. Bukan pada raja dan pihak berkuasa. Sebab itu baiah kedua ini semua kena baiah. Isteri-isteri, anak, adik-adik, menantu-menantu saya, semuanya kena baiah. Sekian ampun maaf.

Itulah yang dikatakan merangkak di atas salji. Nak jumpa suami, abang, ayah ,datuk semua susah. Semua kena ikut proses. Kalau boleh dikecualikan, anak-anak saya di-kecualikan, isteri-isteri saya dikecualikan, adik-adik saya dikecualikan. Sebab itu hal ini mesti jumpa saya. Bila jumpa saya, itulah hakikat berbaiah. Sebab itu kalau ikut kursus ini, bersusah pun tak apa.

Tolong jangan mani-main. Padahal waktu datang ke sini Abuya bagi power, bagi power itu bagaikan nak mati. Anak-anak saksikan. Kata Rasulullah s.a.w. setiap hari 20 orang cukup. Lembik Abuya. Anak-anak dah panik dah. Sebab itu bila Rasulullah s.a.w. kata hanya 20 sahaja, sebab itu orang yang main-mainkan hal power ini, baha-ya. Sebab Abuya bagi power ni rasa nak mati.

Sebab itu kalau Abuya bertindak dan menghukum, takut-takut menjadi gila. Sebab itu orang yang rapat dengan saya, adik-beradik pun ia acuh tak acuh. Dia buat lambat-lambat, sekarang ini kalau hal ini soal dunia tak apa kita lambat-lambatkan. Tapi ini proses. Mujurlah ramai yang faham. Kalau tidak ramai yang terpelanting. Saya nak beritahu, waktu kursus ini dulu, saya tanya doktor Hj. Rahim, dia acuh tak acuh. Saya buang.

Selepas sebulan daripada itu dia datang dan minta maaf. Selepas itu dia masuk rawat dia beri isyarat. nak BOD dan Ckgu rahman yang rawat dia. Itu sombong. Selepas itu bila dia nak masuk, cucu saya yang proses dia. Sebab itu dia kena hukum sesuai de-ngan hatinya.

Tolong ambil perhatian. Sebab itu dua hari sudah, adik saya Hussien dia datang. Saya ingat dia tak datang. Rupanya dia lihat saya seperti ayah saya. Rupanya saya lihat Hussien itu sama seperti ayah saya. Baru saya faham kedatangan Hussien itu adalah hadiah kepada Abuya. Maha Besar Tuhan. Saya lihat Hussien itu teresak-esak mena-ngis. Dia adik saya, saya faham, dia terlibat dengan dadah. Saya fahamlah dia.

Ikut adatnya dia tak datang. Orang yang terlibat dengan dadah boleh datang. Orang tak cerdik, faham. Orang yang cerdik tak faham. Sombong. Lagilah kalau seseorang itu banyak bahas. banyak persoalkan. Orang macam itu walaupun terlibat dengan dadah, dia tidak ego. Dia sedarkan dirinya.

 
At 10:52 AM, Anonymous Anonymous said...

BERIKUT IALAH HASIL CERAMAH/TAKLIMAT/PENERANGAN YG DISAMPAIKAN OLEH ASAARI DLM SATU MAJLISNYA BERSAMA PENGIKUT. DITULIS OLEH SESEORANG. SUSULAN ARTIKEL SBELUM INI.


Tarikh: 06/7/2006
Waktu: Malam
Tempat: Tidak dinyatakan

Tajuk: Kebesaran Putera Bani Tamim (PBT)

1. Disebut oleh hadis.
2. Dia membangunkan tapak Ummah iaitu Daulah.
3. Pimpinannya melahirkan Ikhwan
4. Diberi minda untuk memimpin.
5. Diberi power serba guna untuk akhir zaman.
6. Orang yang soleh di zamannya kalau dia tahu siapa PBT tetapi tidak datang kepadanya dan tidak menerimanya, maka kesolehannya (orang soleh itu) di-tarik balik.
7. Dia wazir Imam Mahdi yang utama, yang paling kanan di antara yang tujuh.
8. Siapa yang menghina akan dihina.
9. Disebabkan olehnya mereka dibantu.
10. Disebabkan olehnya mereka diberi rezeki.
11. Keturunannya daripada keturunan yang bersih iaitu campuran Bani Hashim dan Bani Tamim.
12. Dia tidak akan dihalang oleh musuh. Cuma disusahkan sahaja.
13. Dia yang menunjukkan Imam Mahdi (kepada awam).
14. Dia tidak ada usaha tetapi diberi rezeki.
15. Dia orang miskin yang kaya. Kekayaannya ada 4 ketegori iaitu:
i. Untuk keperluan pengikut iaitu kebajikan ahli. Tidak kurang sangat dan tidak berlebih. Ertinya sederhana.
ii. Untuk keperluan terdesak.
iii. Untuk strategi.
iv. Untuk kemudahan berjuang.
16. Dia mujadid berkembar dengan Imam Mahdi.
17. Dia tidak bersekolah tinggi. Tetapi orang yang bersekolah tinggi dapat dikalah-kannya.
18. Orang yang benci, mereka benci sangat. Orang yang sayang, mereka sayang sangat.
19. Musuh-musuhnya terdidik bila berhadapan dengannya.
20. Dia duduk merata-rata, bukan kepunyaan rumahnya. Orang sangka rumah dia.
21. Kenderaannya macam raja-raja tapi sikapnya orang biasa.
22. Dia termasuk orang yang ajaib di zamannya.
23. Pemurahnya ketara.

Bismillah.... (ila akhir)

Saya nak mencelah kuliah tadi. Saya bukan nak menilai untuk semua ini. Saya ber-cakap untuk perhatian. Mulai daripada esok, orang yang yang mengikuti kursus hanya 20 orang sahaja. Semua golongan dewasa sahaja. Jadi semua nak kena beritahulah. Itu arahan Rasulullah s.a.w.

Selain itu untuk perhatian, bagi orang yang dalam eddah macam Ummu dan Mursyidah, nak jaga pantang-larang. Tak boleh bagi arahan. Tak boleh bertugas. Tak boleh bersalam dengan ahli. Nak kena merawat orang lain. Nak kena jaga pantang-larang tu. Kalau langgar berat.

Kena ambil perhatian. Selain daripada itu, Rasulullah s.a.w. menggalakkan setiap BOD dan ibu-ibu Biro bertemu dengan saya. Kecuali ada hal mustahak. Kalau tidak ada hal mustahak, banyakkanlah bertemu dengan saya sehingga Imam Mahdi. Rasu-lullah s.a.w. memberitahu saya bila bertemu saya akan banyak power. Walaupun tidak minta. Bertemu saja melonjak powernya. Sebab itu orang-orang penting di Indonesia, Thailand, Singapura digalakkan bertemu dengan saya. Nanti akan digilir-gilirkan kerana bertemu dengan Abuya akan melonjakkan power.

Setiap bertemu dengan Abuya, Rasulullah s.a..w. dan Syeikh Suhaimi akan hadir sama. Siapa yang bernasib baik mungkin akan melihat. Siapa yang direzekikan akan melihatnya. Sebab itu di majlis saya kena jaga adab, perasaan. Sebab Rasulullah s.a.w. dan Syeikh Suhaimi ada bersama. Mungkin di kalangan kita akan ada yang nampak. Masing-masing nasiblah. Itu sahaja yang saya teringat nak cakap.

Selain itu sementara ingat, power ni mahal. Ia diberi kepada mujadid yang akhir untuk pejuang akhir zaman. 13 mujadid sebelum ini tidak diberi. Kalau mereka dapat, ke-ramat untuk peribadi mereka. Bukan untuk diagih-agihkan kepada pengikut. Tetapi mujadid yang akhir ini keramatnya ini dibagi kepada pengikut sehingga zaman Imam Mahdi untuk perjuangan akhir zaman. Akan datang ia bertambah power seperti mana yang dikuliahkan.

Maka siapa yang dapat power ini dia boleh batal kalau langgar syariat, tidak patuh kepada pemimpin, tidak ikut disiplin, kalau tidak ada kasih sayang satu sama lain. Maka power ini perlu dijaga. Ia keramat sehingga Imam Mahdi. Power ini kalau tunjuk kapal terbang, boleh jatuh. Dia boleh jadi radar. Sebab itu kena jaga. Kalau kita melanggar adab dan memecahkan perpaduan, cepat-cepat meminta maaf supaya power tu tak hilang.

Bagi mereka yang telah ikut jemaah mengamalkan wirid dan keluar tak menentang, kalau boleh dipanggil semula. Kalau mereka tak mahu lainlah. Sebab mereka yang lari, tak sanggup susah. Tak sanggup kena tangkap. Ada masalah rumah tangga. Tapi tak menentang. Kalau begitu kita nak menjadi penyelamat, maka kita kena beritahu. Ke-cuali yang menentang, tak perlulah kita panggil. Semua ini adalah untuk seluruh dunia.

Bhgn 2

Setelah kita mendengar kebesaran PBT, kalau orang faham menusabahlah hadis ber-kata, orang yang faham dia akan bertmu dengan PBT walaupun merangkak di atas salji. Itu Rasulullah s.a.w. cakap dengan sahabat yang berbangsa Arab. Orang Arab tu bila dengar merangkak di atas salji, susah.

Yang kita akan saksikan orang-orang yang dah lari, waktu daulah nanti dia sedar. Nanti kita akan lihat lebih dahsyat lagi daripada setiap petang yang kita lihat. Setelah mereka sedar dan insaf, ia lebih teruk daripada setiap petang yang kita lihat. Cuma bila Abuya bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang Haji Halim, tentang Salehuddin, Rasulullah s.a..w. tunduk sahaja. Pada pandangan saya tak ada harapan.

US. FAKHRURAZI (UF):
Baru-baru ni anak saudara Abuya, Abu Samah sanggup menaiki motorsikal bersama isterinya untuk berwirid dengan Ibu Sakinah. Tapi setelah mereka mendengar tentang program Abuya sekarang, maka mereka bersemangat dan nak menyertai Abuya. Oleh kerana selama ini dia prihatin terhadap wirid, dia sanggup mengambil catering untuk kita seramai 1000 orang untuk membantu cafe kita di Singapura.

ABUYA:
Mereka dapat tempias-tempias keramat Syeikh Suhaimi sebab keluarga. Tapi oleh kerana mereka tidak terima saya, tidak ada kesan dan tidak tepat. Supaya kita bantu mereka, kita kena terangkan kepada mereka bahawa secara cepat mereka perlu me-nerima Abuya Sohibuzzaman. Kita kena beritahu sebab kita adalah penyelamat. Cara yang dibuat tak betul dan tak tepat. Sebab tak dapat panduan dan izin daripada Abuya.

UF:
Sebab itu pada hari ini Allah dah tunjukkan keupayaan power ini untuk kita tarik duit. Begitulah juga untuk kita melembutkan hati-hati orang-orang dunia agar mereka dapat membantu perjuangan ini. Inilah yang dikatakan kasih sayang Putera Bani Tamim. Semua orang dapat diselamatkan.

UMMU JAH (UJ):
Macam mana nak buat, bila kita dengar kebesaran sebegitu besar? Bagaimana kita nak rasakan begitu takut dan begitu cinta? Masalahnya ia tak memberi rasa.

ABUYA:
Atas dasar ilmu, cuba kita lihat hadis; Mujadid itu pengganti rasul. Waktu ada muja-did, wajib cari, taat. Kenapa? Kalau orang nak dapat Tuhan, tak dapat Rasulullah s.a.w., dapat ke Tuhan? Itu kena faham dulu. Sebab itu kita kena rasa besar Rasulullah s.a.w. itu. Kena rasakan itu. Tak dapat Rasulullah s.a.w., tak dapat Tuhan. Maka kena rasakan begitu. Sebab itu di zaman tidak ada rasul, maka kita kena dapat mujadid. Dapat mujadid dapat Tuhan. Terasa besarnya mujadid. Sebab dengan mujadid itu kita dapat Tuhan. Itu dari segi ilmunya. Kalau dari segi power, kita cubalah rawat. Sebab itu orang soleh itu kalau dia tahu datangnya Putera Bani Tamim, dia tak baiah, maka kesolehannya ditarik balik. Sebab itu di sini kita kena faham bahawa pentingnya men-cari mujadid.

UJ:
Di antara mursyid dengan Tuhan tu, mana yang dulu?

ABUYA:
Mursyid tu jalan. Macam mana nak jalan kalau kita tak nampak jalan. Mesti nampak mursyid dulu. Ada kala mujadid tidak ada power kecuali Abuya. Kalau selama ini Abuya banyak program minda, sekarang program kali ini adalah berbentuk roh. Mujadid dulu kerosakan tak banyak sangat. Maka Allah beri mengikut saiz. Hari ini ke-rosakan dah luas. Maka power atau keramat itu perlu besar. Hari ini dengan keramat Syeikh Suhaimi power itu dapat diagih-agihkan. Itu baru 5%. Dah nampak ke-besaran-Nya.

UJ:
Macam mana Imam Ghazali nak buang sombong itu ada kaedahnya?


ABUYA:
Sombong ini bila-bila masa ada. Tapi sombong satu sama lain tidak sama. Sekarang ini orang miskin pun sombong, orang bodoh pun sombong, orang tak berpangkat pun sombong. Kalau orang kaya, berpangkat lagilah. Kalau Tuhan tak bagi keramat yang luas tak akan menjadi. Ertinya orang yang miskin pun susah dididik, orang tak ber-pangkat pun susah nak dididik. Betapalah orang berpangkat dan kaya.

UJ:
Keutamaan power ini nak lahirkan para-para ikhwan dan asoib. Bolehkah kita ber-fahaman seperti zaman Rasulullah s.a.w.?

ABUYA:
Itu cara. Kalau sekarang dibawa tidak ada kesan. Sebab itu, ini berkesan. Ini bukan soal tengok. Sebab Rasulullah s.a.w. itu ada mukjizat. Sebab melihat itu jadi sebab. Kalau hal ini kita bawa ke tempat najis itu tak menjadi. Faham! Tapi ramai orang berhempas-pulas nak cari duit, ada orang baring sahaja, tiba-tiba dapat duit. Tak ter-kejut ke orang kaya? Abuya baring sahaja, minggu sudah tak kurang 300 ribu. Ter-kejut Hamimah.

UJ:
Jangan-jangan Syeikh Suhaimi dah guna kaedah power ini?

ABUYA:
Saya dah berjanji semua negara akan saya tanggung. Nak cakap susah. Dia akan bagi kepada orang yang tak nak duit. Kalau saya nak duit lagi dia tak datang.

UJ:
Macam mana Syeikh Suhaimi diquarintin 40 hari. Mungkin ini anak-anak muridnya juga dapat rasainya?

ABUYA:
Syeikh Suhaimi itu asasnya. Kita cabang. Ringanlah. Syeikh Suhaimi menjadi asas, susah. Nak masuk dah nak kena pukul dah. Macam Syeikh Suhaimi, dia minum air susu. Abuya tak larat, Tuhan paksa. Abuya lagi susah. Teruk, nak makan pun payah. Sebab itu bila saya tanya kepada Rasulullah s.a.w., saya sakit ni nak buang air pun payah. Rasulullah s.a.w. kata ini adalah hadiah daripada Allah.

Nak ibadah pun tak dapat. Mana susah ada makan tak boleh makan dengan tak ada makan tapi boleh makan? Syeikh Suhaimi suka rela, saya dipaksa. Mengapa Rasu-lullah s.a.w. minta 20 orang sahaja? Dah buat 30 hingga 40 orang. Setiap hari rasa macam nak mati. Saya tak tahan. Sebab beri power. Semalam Abuya paling teruk. Anak-anak menangis sebab Abuya dipapah.

Ini hadiah daripada Tuhan. Apa yang saya rasa ini Syeikh Suhaimi dah rasa. Rasu-lullah s.a.w. dulu pernah berkata, betul ke saya ni Rasul? Abuya juga begitu, saya ni Putera Bani Tamim ke tidak? Bila diuji begini terasa… betul ke aku ni Putera Bani Tamim? Saya tanya juga kepada Rasulullah s.a.w., Rasulullah kata saya pun begitu juga. Saya juga terasa begitu. Betul ke saya ni Rasul atau tidak? Begitu juga Abuya, terasa begitu.

Rupanya terlebih orang. Sekarang ini tak payah ambil power dalam bilik ni. Rupanya semua dalam rumah ni dah ada power. Ambil sahajalah. Jadi Rasulullah s.a.w. kata cukup 20 orang sahaja. Saya nak minta 25, Rasulullah s.a.w. kata tak payah. Cukup 20 orang sahaja. Sebab itu semua anak-anak buah yang dapat power tu nak kena jaga. Pemimpin yang beri power tu dah setengah mati. Sebab bagi power. Hal ini tak per-nah berlaku. Power ni dia sejuk. Jadi sekarang ini masuk saja, jalan saja. Semua tem-pat di rumah ini ada power.

UJ:
Dia adalah maknawiyah. Dia bukan madiah. Dia bergantung dengan kekuatan roh kita.

ABUYA:
Kemuncak akal melahirkan sains dan teknologi. Kemuncak roh melahirkan keramat. Pertarungan di antara kemuncak roh dan akal. Ertinya roh orang yang bersih melahir-kan keramat. Sebab itu sains dan teknologi itu akan jatuh. Keramat akan naik. Esok tepuk saja bumi akan gempa. Musuh akan tenggelam. Sains dan teknologi boleh begitu ke?

UJ:
Ketika di Merbuk tu, setiap hari seolah-olah ada program khusus. Itu pun cukup hebat Putera Bani Tamim. Di hari dia sakit, dia berusaha menyelamatkan orang daripada api neraka. Di antara benda pelik yang saya alami ialah:

Di malam yang kedua saya didatangi syaitan yang paling cerdik. Saya meng-alaminya selepas wirid Maghrib. Dia mengeluarkan hujah-hujah, Abuya ni tak betul. Seolah-olah dia buka fail. Saya merasakan secara rohaniah. Saya rasa ke-yakinan saya diputar seperti buai di fun fair.

Tak payah saya sebut semuanya. Sebab ia boleh meragukan tak tentu pasal. Bila distop buai tu, suasana itu seperti di mahkamah. Saya hanya jawab dengan syaitan, itu adalah PBT. Jiwa dia akan lebih besar daripada apa yang dibangunkan. Saya kekalkan hati saya bahawa dia adalah PBT. Bila saya cakap macam tu, Abuya ter-lompat bangun gembira, saya dapat melepasinya.

ABUYA:
Syeikh Suhaimi beritahu saya, Syeikh Suhaimi selamatkan Ummu Jah. Saya (Syeikh Suhaimi) moniter dia.

UJ:
Abuya tetap menaruh harapan kepada bekas-bekas Arqam?

ABUYA:
Hanya Hj. Halim dan Salehuddin sahaja Rasulullah s.a.w. tunduk. Yang lain Rasu-lullah s.a.w. kata kita ni nak jadi penyelamat. Jadi kedua-dua ni tak ada harapan. Kalau tidak dibantu oleh Rasulullah s.a.w. dan Syeikh Suhaimi, tak tahan. Nak gambarkan sakit tak boleh. Empat hari tak boleh tidur. Terasa nak mati. Abuya dah minta maaf kepada semua. Anak-anak dah menangis. Rasulullah s.a.w. dan Syeikh Suhaimi itulah yang hiburkan. Kalau tidak tak mampu.

Setiap orang itu diuji mengikut keadaan mereka. Ummu Jah diuji kerana akalnya kuat. Kalau orang lain tak ada masalah. Kalau Ummu Jah didatangkan masalah. Sebab itu Syeikh Suhaimi cakap, Ummu Jah saya jaga. Ummu Jah kalau Syeikh Suhaimi tak jaga akan hancur. Setiap yang berlaku itu adalah ujian.

Kalau budak kecil dia ikut sahaja. Dia tak ada hujah. Dia ikut sahaja maka dia men-jadi. Kalau kita ni banyajk hujah, macam mana nak jadi. Sebab itu orang dewasa tu susah. Ummu Jah ni mujurlah Syeikh Suhaimi jaga. Kalau Syeikh Suhaimi tak jaga memang kalahlah Ummu Jah.

UJ:
Saya nak maklumkan kepada Abuya bahawa masa di ISA ia tidak sekuat ujian seperti sekarang ni.

ABUYA:
Sebab itu seseorang itu dia selesaikan keyakinan itu bukan dengan berhujah. Sese-orang itu bukan senang nak tahan. Sebab itu Syeikh Suhaimi tolong Ummu Jah dan Mursyidah. Dua orang ini di hati saya. Abuya tanya Rasulullah s.a.w., Rasulullah s.a.w. yang menjawabnya. Saya dengar dari Syeikh Suhaimi, Mursyidah bukan mati dan pengsan. Tapi diangkat rohnya. Maka kursus ini sangat berkesan. Padahal selama ini dua tahun semenjak dari Labuan tidak menjadi. Jadi baru kita faham, nak jadi ikhwan memang susah. Apa yang berlaku pada Ummu Jah masuk ke pintu Abuya de-ngan cara merangkak itu sama seperti hadis cakap. Sebab nak dapatkan PBT tu wajib sehingga perlu merangkak di atas salji. Yang Allah jadikan kepada Ummu Jah itu se-suai dengan hadis.

Di sini kita lihat orang-orang yang liat dengan cara ini lagi senang dididik. Macam Musayab tu, liat. Tapi dengan kursus ini berjaya dididik. Dengan ada kursus ini baru-lah nampak kita ada kaedah untuk mendidik manusia di dunia ini. Saya tanya Rasu-lullah s.a.w., mengapa Tuan lantik saya Putera Bani Tamim? Rasulullah s.a.w. kata ke-turunan Abuya ni bersih. Sebab itu saya kecil-kecil dulu, umur 4 tahun emak dan ayah saya dah sembahyang. Padahal waktu itu susah. Tapi dah sembahyanglah.

Cerita cicak adalah sesuai dengan cucu Abuya. Sebab, itulah yang sesuai dengan dia. Cerita-cerita yang besar-besar tak dengar. Cucu cerita yang besar-besar tak dengar. Sebab itu dia cerita cicak dan burung itu besar. Contoh, duit itu dianggap kertas. Se-nang ke duit tu nak dianggap kertas tak ada nilai? Itu mudah ke? Tengok duit tu ma-cam tengok surat khabar, senang ke? Abuya ni bukan rasul. Proses ini macam manusia biasa. Cuma dalam proses ini, bila saya silap, Tuhan Proses.

Bila silap Tuhan betulkan. Sebab itu dalam hidup saya, salah tetap ada juga. Sebab saya bukan rasul. Sebab itu bila saya bersalah, saya ditegur. Sebab itu lebih-lebih lagi sekarang ini. Saya diingatkan lagi secara detail. Waktu ni saya nampak, diperlihatkan kesalahan masa baligh hingga sekarang. Saya dilihatkan kesalahan saya.

Macam sembahyang, takkanlah kita dapat khusyuk. Tapi saya ditunjukkan bila waktu saya sembahyang dan bila saya diberi rasa khusyuk. Saya ni kalau berdoa, bukan tunggu masa. Tak tentu masa. Sekejap-sekejap berdoa. Lebih lagi waktu Wais sakit dulu. Terasa di hati. Sekejap-sekeja doa.

Abuya tanya Rasulullah s.a.w. Apa jawab Rasulullah s.a.w.? Mungkinkah tuan ada rasa menyesal? Bukankah kamu ada rasa mnyesal? Orang yang ada menyesal dikata-kan tidak rasa berdosa. sebab itu marah Abuya tak tunggu lama. Cepat menyesal. jadi kita tak simpan. Tak tunggu lama-lama.

 

Post a Comment

<< Home