Thursday, June 15, 2006

Syahadah Aurad Muhammadiah: Satu Penilaian

Terdapat perbezaan antara syahadah yang diamalkan oleh rufaqa dengan syahadah yang disyariatkan dan diamalkan oleh masyarakat Islam. Syahadah dalam Aurad Muhammadiah menambah beberapa perkataan lain selain daripada syahadah yang sedia ada dalam Islam.

Syahadah mereka menambah perkataan berikut:

…Abu Bakr al-Shiddiq, Umar al-Farouq, Uthman birru al-rahim, Ali ‘adhudu al-din, Muhammad al-Mahdi (Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi) Khulafa’ Rasulillah.

Maksudnya:

“Abu Bakar itu benar, Umar yang memisahkan kebenaran dan kesesatan, Uthman yang berbakti lagi pengasih, Ali penguat agama, Muhammad al-mahdi (Muhammad bin Abdullah al-Suhaimi) semuanya adalah khalifah kepada Rasulullah s.a.w."

Asaari dalam bukunya ‘Aurad Muhammadiah…’ mendakwa bahawa percantuman perkataan syahadah dengan perkataan lain bertujuan untuk menegaskan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Dia berpendapat bahawa nama sahabat yang diletakkan selepas syahadah bukan untuk memanjangkan syahadah tetapi sekadar menyatakan keyakinan ahli Sunnah wal Jamaah.

Asaari mendakwa kononnya dia masih Ahli Sunnah Wal Jamaah, tetapi dirinya tidak sedar yang dia telah terkeluar dari ahli Sunnah wal Jamaah kerana ajarannya.

Asaari menyandarkan hujahnya dengan mengemukakan satu ‘hadith’ daripada Syaidina Ali, Rasulullah s.a.w. bersabda:

Pada malam aku (Rasulullah) diisrakkan, aku melihat ke atas Arasy tertulis ‘la ilaha illa Allah’, Abu Bakar al-Shiddiq, Umar al-faruq, Uthman Nurain.

Sahihkah hadith di atas untuk dijadikan hujah? Pentakhrijan hadith di atas mendapati ia bukanlah hadith. Al-Khatib al-Baghdadi mengatakan di dalam rawinya ada Abdul Rahman bin Affan. Dia adalah seorang pendusta. Sumber: Kitab Tarikh Bagdad, hlm. 10/263. Ini bermakna hadith itu palsu dan tidak boleh dijadikan hujah. Dalil Asaari itu tertolak.

Kalaulah ia ‘hadith’ (andaian: ia bukan hadith sebenarnya), tidak bererti umat Islam dibolehkan menambah lafaz syahadah. Ia sekadar menunjukkan kedudukan Abu Bakar, Umar dan uthman sebagai sahabat Rasulullah yang mendapat keredhaan Allah.

‘Hadith’ kedua yang menjadi pegangan Asaari dipetik dari buku Nur al-Absar yang berbunyi:

Apabila hari kiamat, datanglah syurga dan bersuara dengan fasihnya, wahai Tuhan, Engkau telah menjanjikan aku untuk mengukuhkan tiangku. Berfirman Allah: Sesungguhnya Aku telah menguatkan tiang-tiangmu dengan Abu bakar, Umar, Uthman dan Ali dan Aku menghiaskan engkau dengan Syaidina hasan dan Husin.

Benarkah ia hadith? Apakah tarafnya? Setelah ditakhrij. Ia tidak diketahui tarafnya kerana tidak ada rekod dalam mana-mana kitab hadith yang muktabar. Hukumnya: la asla lahu. Tidak ada asalnya. Maka tidak boleh dijadikan hujah.

Islam adalah al-Din yang jelas dan disempurnakan oleh Rasulullah sebelum kewafatan baginda. Firman Allah:

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.
Surah al-Maidah: ayat 3.

Rufaqa mendakwa bahawa shahadah sebegini untuk menguatkan keyakinan ahli Sunnah wal Jamaah, tetapi mengapa Rasulullah s.a.w. dan para sahabat tidak melakukannya? Bukankah Rasulullah s.a.w. itu sebaik-baik huda (petunjuk) untuk diikuti dan para sahabat lebih berautoriti untuk berbuat demikian berbanding Asaari.

Allah telah mensyariatkan ucapan syahadah adalah lafaz ‘ASYHADU ALLA ILAHA ILLA ALLAH, WA ASYHADU ANNA MUHAMMADAN RASULULLAH’.
Dalilnya:

Hadis Anas bin Malik r.a: Ketika Muaz bin Jabal mengekori unta Rasulullah s.a.w dalam satu perjalanan, Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Muaz menyahut: Telah ku terima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil lagi: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w memanggil: Wahai Muaz! Aku menyahut lagi: Telah kuterima panggilanmu itu wahai Rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mengucap Dua Kalimah Syahadat iaitu: لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ nescaya terselamatlah dia dari api Neraka. Kemudian Muaz berkata: Bolehkah aku memberitahu perkara ini kepada orang ramai agar mereka sebarkan berita gembira ini? Rasulullah s.a.w bersabda: Kalau begitu, lakukanlah dan berserahlah kepada Allah.

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 47

Shahadah yang diamalkan oleh Rufaqa tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah, para Sahabat, tabien dan pengikut mereka ketika solat mahupun wirid. PERKARA AGAMA MERUPAKAN PENENTUAN DARI ALLAH SWT DAN TIDAK BOLEH DIREKA CIPTA OLEH MANUSIA.


1 Comments:

At 7:38 AM, Anonymous Anonymous said...

http://www.myspace.com/buraaq

 

Post a Comment

<< Home