Setelah masyarakat Malaysia membuka mata terhadap kesesatan Rufaqa', Kami seringkali dihubungi dan ditanya tentang bagaimana syariah menetapkan hukum yang berkaitan dengan bermuamalat dan berinteraksi dengan pengikut ajaran sesat seperti Rufaqa'. Sehubungan itu, kami bawakan satu kupasan ringkas daripada fatwa para ulama Ahli Sunnah sepanjang zaman tentang isu ini. Ini sangat penting diketahui kerana ia akan memandu sikap dan tindakan kita terhadap kelompok seperti Rufaqa'.
Hubungan antara Ahli Sunnah dan Ahli Ajaran Sesat sangat perlu dibahaskan secara ilmiah agar masyarakat mengetahui betapa Syariah menjaga dan memelihara akidah yang bersih. Perbincangan ringkas ini akan membahaskan beberapa skop yang melibatkan hubungan antara Ahli Sunnah dan Ahli Ajaran Sesat. Antara yang akan dikupas ialah hukum berguru dengan Ahli Ajaran Sesat, hukum bersolat jemaah di belakang Ahli Ajaran Sesat, Hukum pernikahan dengan Ahli Ajaran Sesat, hukum menziarahi Ahli Ajaran Sesat yang sakit dan meninggal dunia serta hukum menceritakan keburukan peribadi dan kesesatan ajarannya.
2.0 HUKUM BERGURU DENGAN AHLI AJARAN SESAT
Antara isu besar di kalangan bekas al-Arqam ialah mereka masih menanggap Asaari Muhammad sebagai gurunya malah masih ada yang bersikap 'berterima kasih' pada Asaari. Apakah hukumnya berguru dengan pemimpin ajaran sesat?
Apabila kita meneliti beberapa atsar dari para ulama salafussoleh, tampak dengan jelas bahawa mereka sangat memberi amaran malah melarang seseorang menuntut ilmu dari Ahli Ajaran Sesat.
Ali bin Abi Thalib r.a. berkata, “Lihatlah dari mana kamu mengambil ilmu kerana ilmu itu adalah agama.” (al-Khatib al-Baghdadi, al-Tankil, hlm. 121)
Kenyataan ini dinukilkan dari beberapa ulama salafusoleh seperti Muhammad ibn Sirrin dan al-Dhahak bin Muzahim dan lain-lain. (Lihat Syarh Sahih Muslim, jilid 1, hlm. 14)
Ibnu Umar r.a. berkata, “Berhati-hatilah terhadap agamamu, sebab ia adalah darah dagingmu. Lihatlah dari mana kamu mengambilnya. Ambillah dari orang yang istiqamah dan janganlah kamu mengambil dari orang yang menyeleweng.” (al-Kifayah, hlm. 121)
Kata-kata dari sahabat dan tabiien ini menekankan agar kita mengambil ilmu dari orang yang isitqamah dengan akidah yang sahih, bukan dari para penyeleweng, kerana ilmu itu dipelajari untuk diamalkan. Sedangkan, Ahli Ajaran Sesat tidak memberi ilmu melainkan perkara-perkara yang menyesatkan. Ini akan membuatkan anak murid itu terpengaruh, sama ada dari aspek keilmuannya mahupun pengamalannya.
Ibnu Abd al-Bar meriwayatkan pendapat Abdullah bin Mas’ud r.a.: “Manusia akan selalu dalam keadaan baik, selama mereka mahu mengambil ilmu dari para pembesar mereka dan jika mereka mengambil dari ashaghir dan buruk, mereka pasti hancur.” (Jami’ Bayan al-Ilmi, hlm. 248)
Maksud Ashaghir adalah ahli ajaran sesat seperti yang diriwayatkan Ibnu Abdil Bar, bahawa Abdullah bin Mubarak ditanya; “Siapakah Ashaghir itu?” Dia menjawab, “Orang yang berbicara denan ra’yu (akal = minda). Adapun orang yang mengambil dari pembesar (para ulama) bukan termasuk Ashaghir.” (Jami’ Bayan al-Ilmi, hlm. 246)
Dalam Syarah Ushul I’tiqad Ahli Sunnah, Al-Lalika’i meriwayatkan perkataan Abdullah bin Mubarak, “Ashaghir adalah Ahli Ajaran Sesat.” (Syarah Ushul I’tiqad Ahli Sunnah, jilid 1, hlm. 85)
Ibnu Abd al-Bar menukilkan perkataan Imam Malik, “Tidak boleh mengambil ilmu dari empat orang; 1. orang yang sangat dungu, 2. ahli Ajaran Sesat yang mengajak kepada ajarannya, 3. orang yang dikenal suka berdusta kepada manusia meskipun tidak mendustakan hadith Nabi s.a.w. dan 4. dari orang yang soleh yang tidak tahu status hadith yang diriwayatkan.” (Jami’ Bayan al-Ilmi, hlm. 348)
Imam al-Nawawi dalam menjelaskan jenis-jenis ghibah yang diharuskan, beliau berkata; “Di antara ghibah yang mubah ketika seseorang melihat orang alim sering mengunjungi Ahli Ajaran Sesat atau fasik untuk mengambil ilmu dan dikhuatiri akan memberikan pengaruh buruk kepada orang alim tersebut, maka boleh bagi orang tersebut memberi nasihat dengan menceritakan perihal peribadinya dengan syarat hanya untuk tujuan nasihat.” (Riyadh al-Shalihin, hlm. 530)
Dari kenyataan Imam al-Nawawi ini, kita dilarang mengambil ilmu dari Ahli Ajaran Sesat sehinggakan jika ada seorang alim sering berkunjung kepada seorang ahli Ajaran Sesat, maka kita wajib memperingatinya, meskipun dengan cara ghibah.
Fatwa ulama Syam, Mesir dan Maghribi:
Para ulama mujtahid berijma’, dilarang mengambil ilmu dari Ahli Ajaran Sesat. Zina adalah dosa besar, namun lebih ringan daripada orang yang bertanya tentang masalah agama kepada Ahli Ajaran Sesat. (Fatawa A’immah al-Muslimin bi Qath’ie al-Lisan al-Mubtadi’in, hlm. 131)
Larangan mengambil ilmu dari Ahli Ajaran Sesat ternyata memiliki dua maksud:
a. dalam rangka menyelamatkan anak murid dari akidah yang rosak, kerana mereka mudah terpengaruh dengan ucapan dan tingkah laku guru-guru mereka dari kalangan Ahli Ajaran Sesat.
b. bertujuan untuk memberi peringatan dan hukuman kepada Ahli Ajaran Sesat.
Seterusnya, mari kita bincangkan adakah Asaari memiliki kreteria guru yang sebenarnya? Untuk itu, kita perlu menilai seseorang yang dianggap ‘guru’ dengan kreteria yang dibuat oleh Imam Ibn Rajab al-Hambali. ‘Guru’ itu dinilai sama ada dia memberi ilmu yang bermanfaat ataupun tidak. Sekiranya ilmu yang diberi itu bermanfaat, alhamdulillah, kita boleh menerimanya. Sekiranya tidak bermanfaat, ia akan membawa kerosakan pada iman dan pemikiran. Semuanya itu boleh dilihat dengan tanda-tandanya. Maka, untuk apa lagi kita mengakui dia sebagai seorang guru!
Imam Ibn Rajab al-Hambali menyatakan ilmu yang bermanfaat akan nampak pada seseorang dengan tanda-tandanya, iaitu:
1. beramal dengannya.
2. benci disanjung, dipuji dan takabbur atas orang lain.
3. semakin bertawadhuk ketika ilmunya semakin banyak.
4. menghindar dari cinta kepemimpinan dan dunia.
5. menghindar untuk mengaku berilmu.
6. bersu’udzan (buruk sangka) kepada dirinya dan husnudzan (baik sangka) kepada orang lain dalam rangka menghindari celaan kepada orang lain.
(Lihat Fadl Ilm Salaf, Hlm. 56-57 dan Hilyah Thalib Ilm, Hlm. 71)
Sungguh, semua ciri di atas tidak terdapat pada Asaari. Dia sangat suka disanjung, suka dipuji, malah takabbur dengan orang lain dengan menunjuk-nunjuk kekayaannya. Dia bukannya semakin tawadhuk malah sangat mencintai kepimpinan dan dunia. Malahan, dia sering sahaja mengaku lebih berilmu dan mempertikaikan keilmuan para ulama. Sering juga dia bersu'udzan dengan orang lain terutamanya dengan para penentangnya. Inikah model guru sejati seperti yang digembar-gemburkan?
Seterusnya, Imam Ibn Rajab al-Hambali berkata, ilmu yang tidak bermanfaat juga akan nampak tanda-tandanya pada orang yang menyandangnya iaitu:
1. tumbuhnya sifat sombong, sangat cintakan dunia dan berlumba-lumba padanya, sombong terhadap ulama, berdebat dengan orang-orang bodoh, dan memfokuskan perhatian manusia kepadanya.
2. mengaku sebagai wali Allah atau merasa suci diri.
3. tidak mahu menerima yang haq dan tunduk kepada kebenaran, dan sombong kepada orang yang mengucapkan kebenaran jika darjatnya di bawahnya dalam pandangan manusia, serta tetap dalam kebatilan.
4. menganggap orang lain bodoh dan mencacat mereka dalam rangka menaikkan dirinya di atas mereka. Bahkan terkadang menilai ulama terdahulu dengan kebodohan, lalai, atau lupa sehingga hal itu menjadikan ia mencintai kelebihan yang dimilikinya dan berburuk sangka kepada ulama yang terdahulu.
(Lihat Fadl Ilm Salaf: 53, 54, 57, 58)
Tepat dan benar! Semuanya ada pada Asaari Muhammad. Maka, bekas al-Arqam perlulah memadamkan nama Asaari Muhammad dalam kamus hidup kerana ia bukan guru yang sebenar dan bukan guru yang memberi ilmu yang bermanfaat. Tetapi dialah orang yang menyesatkan kalian.
Daripada perbincangan ini, jelaslah bahawa kita tidak perlu mengiktiraf mana-mana individu yang menjadi Ahli Ajaran Sesat sebagai ‘guru’. Ini kerana ilmu yang diberi itu sangat tidak memberi manfaat malahan terzahir dalam bentuk sikap dan tingkah lakunya sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Rajab tadi. Tambahan lagi, para ulama telah ijmak mengharamkan dan melarang seseorang dari belajar ilmu agama terutamanya akidah daripada Ahli Ajaran Sesat.
3.0 HUKUM SOLAT BERJEMAAH DI BELAKANG AHLI AJARAN SESAT
A. Ajaran Yang Membawa Kepada Kekufuran
Hukum solat berjemaah dalam solat Jumaat atau solat lima waktu dengan berimamkan pengikut Ajaran Sesat yang membawa kekufuran adalah tidak sah dan dilarang oleh para ulama. Terdapat banyak pendapat Imam muslimin yang membincangkan isu ini. Mereka senada dalam memberi hukum tersebut. Berikut dipetik beberapa pendapat:
Yahya bin Ma’in berkata, dia selalu mengulangi solat Jumaat semenjak Khalifah Makmun menzahirkan fitnah bahawa al-Quran itu adalah makhluk. (Abdullah bin Ahmad, al-Sunnah, jld. 1, hlm. 130)
Dari Abu Daud bahawa Imam Ahmad ditanya tentang hukum solat Jumaat di belakang Jahmiyyah, jawabnya, “Saya selalu mengulanginya, dan apabila kamu bersolat di belakang salah seorang yang mengatakan al-Quran itu makhluk, maka ulangilah solatmu.” (Masa’il Imam Ahmad, hlm. 43)
Dalam Kitab al-Mudawanah Imam Malik ditanya tentang solat di belakang seorang Qadariyyah. Jawab beliau, “Janganlah kamu solat di belakangnya.” Lalu ditanya lagi, “juga Solat Jumaat?” Beliau menjawab, “Juga solat Jumaat. Saya berpendapat bahawa jika kamu ingin menjaga diri darinya dan takut keamanan dirimu, maka solatlah di belakangnya kemudian kamu wajib mengqadha’ dengan solat zuhor.” (al-Mudawanah al-Kubra, jilid 1, hlm. 84)
Maka, solat di belakang Imam yang ajarannya membawa kekufuran, tidak sah kerana amalannya rosak oleh kekufuran. Kecuali Imam solat Jumaat yang tidak mungkin mencari imam selainnya, maka boleh solat bersama tetapi wajib diulangi.
B. Ajaran Sesat Yang Tidak Membawa Kepada Kekufuran
Para ulama berselisih pendapat tentang hukum Solat di belakang Imam yang menzahirkan ajaran sesatnya. Terdapat dua pendapat:
a. tidak sah solat di belakang mereka, dan bagi orang yang solat bersama mereka wajib mengulanginya. Pendapat ini dari salah satu riwayat Imam Malik dan Ahmad.
b. Solat di belakang mereka sah tetapi makruh, kerana meninggalkan solat bersama Imam yang lebih utama dan lebih baik. Ini pendapat kebanyakan para ulama dan para sahabat Imam Empat, termasuk para sahabat Imam Malik dan Ahmad. Dan inilah pendapat yang sahih dari sudut dalil dan paling sesuai dengan kaedah syariah. Ini kerana amal ibadah hanya boleh dinyatakan batal apabila tidak memenuhi syarat.
Oleh sebab itu, solat di belakang ahli Ajaran Sesat yang mengajak kepada ajarannya, dihukumkan sebagai sah asalkan dia masih belum jatuh kafir. Ini kerana unsur ini bukan syarat sah solat bagi makmum. Oleh sebab itu, para sahabat melaksanakan solat di belakang para pemimpin yang fasiq dan mereka menganggapnya sah. Sudah menjadi keputusan kebanyakan ulama sunnah bahawa apabila solat seseorang itu sah, maka boleh dan sah menjadi Imam. Ia menjadi makruh apabila ada kemungkinan mencari Imam yang adil, kerana itu lebih utama. Bagaimanapun, tidak bersolat di belakang ahli Ajaran Sesat merupakan satu sikap nahi mungkar dan memberi hukuman kepadanya.
Mazhab Shafi’e dan Hanafi menganggapnya sah tetapi makruh. Mereka pendapat:
Abdullah bin Ahmad al-Nasafi, pengarang Kitab Kanz al-Daqaa’iq berkata; “Makruh bersolat di belakang Imam seorang hamba, badwi, fasiq dan ahli ajaran sesat.” (Kanz al-Daqaaiq ma al-Bahru al-Raqaiq, hlm. 369)
Ibnu Nujaim al-Hanafi berkata, “Sah dan Makruh, sebab solat telah memenuhi syarat dan rukun tanpa ada kekurangan sedikitpun.”
Nashr al-Maqdisi menukilkan riwayat Imam al-Syafie, “Makruh bermakmumkan dengan orang fasik dan ahli ajaran sesat yang menzahirkan ajarannya.” (Mukhtashar Kitab Hujjah ala Tarq al-Mahajjah, hlm. 570)
Kupasan para ulama ini sangat baik untuk menjadi panduan kepada kita. Kita perlu bersikap adil dan berhati-hati sebelum memutuskan untuk tidak bersembahyang di belakang seseorang. Bidangkuasa menghukum seseorang itu sesat atau kufur hanya terletak pada para ulama dan setelah didatangkan hujah dan penerangan kepada Ahli Ajaran Sesat tersebut.
4.0 HUKUM BERNIKAH & MENIKAHKAN AHLI AJARAN SESAT
Isu ini sangat hangat kerana ramai yang terlibat. Ingatlah, Rufaqa' menyebarkan dakyahnya dan menguatkan ajarannya menerusi institusi perkahwinan.
A. Ajaran Yang Membawa Kepada Kekufuran
Para ulama berpendapat bahawa diharamkan melangsungkan akad nikah dengan ahli Ajaran Sesat yang telah dihukum sebagai kafir, kerana telah keluar dan murtad dari Islam. Tidak boleh bagi ahli Sunnah menikahi wanita mereka dan mereka juga tidak boleh menikahi wanita Ahli Sunnah berdasarkan dalil-dalil dari al-Quran, Sunnah serta Ijma’ tentang pengharaman menikahi orang kafir dan musyrik, selain dari ahli kitab. Para ulama Ahli Sunnah berpandangan bahawa haram menikahi wanita ahli Ajaran sesat yang musyrik seperti wanita Jahmiyah, Qadariyyah dan Rafidhah. Ini kerana firqah ini sudah dihukum segai kafir dan murtad dari Islam.
Ibnu Batthah meriwayatkan dari Talhah bin Mushrif, “Tidak boleh menikahi wanita Rafidhah dan memakan sembelihan mereka kerana mereka telah murtad dari agama.” (al-Ibanah al-Shughra, hlm. 161)
Sahal bin Abdullah ditanya tentang solat di belakang Muktazilah dan menikahi wanita mereka, beliau menjawab; “Tidak boleh kerana mereka tidak mempunyai kehormatan dan mereka kafir.” (Tafsir al-Qurthubi, jilid 7, hlm. 141)
Abu Hamid al-Ghazali menjelaskan hukum Batiniyyah dalam Kitab Fadhaih Batiniyyah, “Kemaluan wanita mereka haram, sebagaimana tidak boleh menikahi wanita murtad. Begitu juga menikahi wanita Batiniyyah yang menjadikan sebagai keyakinan, kerana mereka telah dihukum kafir.”
Imam Malik berkata, “Tidak boleh melangsungkan akad nikah dengan ahli ajaran sesat, tidak boleh mengucapkan salam, tidak boleh solat di belakang mereka dan tidak boleh menziarahi jenazah mereka.”
Jelaslah bahawa para ulama sepakat mengharamkan perkahwinan antara Ahli Sunnah dengan pengikut Ajaran Sesat yang telah kufur.
B. Ajaran Sesat Yang Tidak Membawa Kepada Kekufuran
Bagi kategori ini, para ulama Ahli Sunnah membincangkannya di bawah tajuk Kafa’ah. Mereka mensyaratkan Kafa’ah dari aspek agama antara pasangan yang ingin berkahwin. Ini bermakna kedua-dua pasangan tersebut perlulah Ahli Sunnah. Sebagai contoh, dalam mazhab al-Shafi’e, Abu Ishak Ibrahim bin Ali al-Syirazi, pengarang Kitab al-Muhazzab menyatakan bahawa, “kafa’ah dalam agama, nasab, merdeka dan bukan pekerja. Namun agama termasuk kafa’ah, sehingga lelaki fasiq tidak boleh menikah dengan wanita suci lagi menjaga diri.” (al-Muhazzab, jilid 2, hlm. 50)
Menurut Imam al-Nawawi dan Muhammad al-Syarbini, bahawa orang fasiq tidak sedarjat dengan wanita suci lagi menjaga diri. Beliau berkata, “lelaki ahli Ajaran Sesat sama seperti lelaki fasiq.” (al-Minhaj Ma’a Mughni al-Muhtaj, jilid 3, hlm. 166)
Sehubungan itu, para ulama sepakat bahawa kafa’ah dalam agama menjadi syarat sempurna akad nikah bukannya syarat sah nikah. Maka, pernikahan Ahli Sunnah dan ahli Ajaran Sesat (selagi belum mencapai kufur) dibenarkan dan dianggap sah dari segi syarak.
Dr. Ibrahim bin Amir al-Ruhaili berkata; Apabila seorang wali telah menikahkan puterinya dengan ahli Ajaran Sesat, bererti dia telah merosakkan nasab keluarganya. Sebab pernikahan akan menyebabkan pertemuan dan pergaulan, sehingga membolehkan Ahli Ajaran Sesat menyebarkan fitnah kesesatan ajarannya di tengah-tengah keluarga. Atau paling tidak, akan merosak akidah puterinya kerana naluri wanita selalu dalam keadaan lemah apabila berhadapan dengan lelaki. Lambat laun, dia akan mengikuti suaminya. Oleh sebab itu, al-Fudhail bin Iyadh berkata, “Barangsiapa yang menikahkan puterinya dengan ahli ajaran sesat, bererti dia telah memutuskan rahimnya.” (Syarh al-Sunnah, al-Barbahari, hlm. 60)
Kini, berapa ramai anak-anak yang mengikuti Asaari sejak dahulu sehingga kini berpisah dengan keluarga dan meninggalkan ibu bapa mereka? Benarlah, berkahwin dengan pengikut ajaran sesat akan menyebabkan terputusnya silaturrahim.
5.0 HUKUM MENZIARAHI AHLI AJARAN SESAT YANG SAKIT DAN YANG MENINGGAL DUNIA
Asaari sering sahaja berlakon sakit untuk meanrik bekas-bekas al-Arqam menziarahinya. Pada yang bersimpati, datang menziarahinya. Mari kita lihat perbincangan ulama tentang isu ini. Lebih-lebih lagi Asaari akan mati suatu masa nanti, walaupun dia mendakwa boleh berbincang dengan Malaikat Maut. Apakah hukumnya kita menziarahi jenazahnya?
A. Ajaran Yang Membawa Kepada Kekufuran
Syarak tidak menganjurkan kita untuk menziarahi Ahli Ajaran Sesat yang sakit, kecuali apabila jelas terdapat motivasi dakwah untuk mengajaknya kembali kepada sunnah, atau terdapat mashlahat agama seperti silaturahmi atau berbuat baik terhadap jiran tetangga. Namun, apabila ahli Ajaran Sesat yang kufur, kita perlu menjauhinya untuk mengharap dia bertaubat. Maka, hukuman yang terbaik ialah tidak menziarahi mereka ketika mereka sakit dan mati. Para ulama berkata, sekiranya Ahli Ajaran Sesat tadi mendakyah atau mempropagandakan ajarannya kepada kita, maka haram menziarahi mereka atau mensolati jenazahnya.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
Sesungguhnya golongan Majusi dalam umatku ini adalah mereka yang mendustakan takdir Allah. Apabila mereka sakit, janganlah kamu menjengok mereka, dan apabila mati janganlah kamu menghadiri jenazah mereka.
(Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah)
Abdullah bin Abbas r.a.: “Mereka adalah seburuk-buruk umat, janganlah kamu menjenguk mereka ketika sakit, dan janganlah kamu mensolati mereka ketika mati.” (Syarah Usul al-Iktiqad Ahli Sunnah, jilid 2, hlm. 643)
Abu Laith bin Saad berkata, “Mereka tidak layak untuk diziarahi ketika sakit, tidak dianjurkan untuk melawat jenazahnya, dan tidak perlu memenuhi jemputan mereka.” (al-Syariah, hlm. 227)
Imam Malik berkata, “Tidak boleh mensolati jenazah mereka, tidak boleh menghantar jenazah mereka dan tidak boleh menjenguk mereka ketika sakit.” (al-Mudawanah, jilid 1, hlm. 48)
Rabi’ bin Sulaiman berkata, “al-Quran Kalamullah bukannya makhluk. Sesiapa yang berkata selian demikian, maka apabila dia sakit, janganlah kamu ziarahinya. Apabila dia mati, janganlah kamu menghadiri jenazahnya sebab mereka telah kufur kepada Allah yang Maha Agung.” (Syarah Usul al-Iktiqad Ahli Sunnah, jilid 1, hlm. 322)
Imam Ahmad bin Hambal berkata tentang Rafidhah, “Saya tidak mahu menziarahi jenazah mereka, dan terserah bagi yang hendak menziarahinya. Paling tidak Nabi telah menolak untuk mensolati orang yang mempunyai hutang, pengkhianat harta rampasan perang dan pembunuh. Juga tidak menyuruh mereka untuk tidak mensolatinya.” Seorang lelaki bertanya, “Bagaimana jika dia mati di satu desa, sementara tidak ada orang kecuali seorang Nasrani sahaja.” Beliau menjawab, “Saya tidak akan menziarahinya, terserahlah pada orang lain yang hendak menjenguknya.” (al-Khallal, al-Sunnah, jilid 1, hlm. 499)
Muhammad bin Mas’ud al-Naisaburi berkata, “Janganlah mensolati jenazah orang munafik, Rafidhah, Jahmiyyah, Qadariyyah dan setiap Ahli Ajaran Sesat.” (Nasr al-Maqdisi, Mukhtashar al-Mahajjah, hlm. 572)
Daripada seluruh fatwa para Ulama ini, jelaslah bahawa kita tidak dibenarkan menziarahi mana-mana Ahli Ajaran Sesat yang kufur serta syarak turut mengharamkan kita menjenguk jenazah mereka.
B. Ajaran Sesat Yang Tidak Membawa Kepada Kekufuran
Ahli Ajaran Sesat yang masih Islam tetapi telah terkeluar dari Ahli Sunnah, berhak mendapat hak-hak sebagai seorang Muslim. Rasulullah s.a.w. bersabda:
Hak seorang Muslim atas seorang Muslim yang lain ada lima, menjawab salam, melawatnya ketika sakit, menghantarkan jenazahnya, mengabulkan undangannya dan mendoakan ketika bersin.
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam keadaan demikian, ahli Ajaran Sesat yang belum dihukum kufur masih berhak untuk diziarahi kerika sakit dan dihantar jenazahnya.
Fadhlullah al-Jailani berkata; “Boleh menjenguk orang fasiq ketika sakit, asalkan dia masih muslim, sebab menjenguk orang sakit adalah hak setiap muslim.” (Fadhlu al-Shamad fi taudih al-Adab al-Mufrad, jilid 1, hlm. 626)
Bagaimanapun, Imam Syatibi menukilkan beberapa nash dari ulama Salafussoleh tentang larangan menziarahi Ahli Ajaran Sesat ketika mereka sakit atas tujuan untuk memberi pengajaran dan hukuman. (al-I’tisham, jilid 1, hlm. 177)
Sehubungan itu, para ulama merumuskan bahawa harus menziarahi Ahli Ajaran sesat ketika mereka sakit dengan syarat mereka tidak menzahirkan ajaran mereka dan tidak mendakyah ajaran mereka kepada Ahli Sunnah. Sekiranya demikian, maka haram menziarahi mereka sebagai satu bentuk hukuman dan pengajaran. Hukum ini juga sama diaplikasikan dalam konteks mensolati jenazah mereka. Sekiranya mereka secara terang-terang akan mengajak kita mengikuti ajarannya dan terang-terang menzahirkan amalan dan ajaran sesatnya, maka haram untuk mensolati jenazah mereka.
Nashr bin al-Maqdisi menceritakan, Sufyan al-Tsauri dan Malik bin Anas ketika Abdul Aziz bin Abu Rawwad meninggal di Makkah, kedua-duanya tidak mensolati jenazahnya. Sedangkan Abdul Aziz seorang yang sangat baik tetapi telah dihukum sebagai penganut Murji’ah. (Nashr al-Maqdisi, Mukhtashar al-Mahajjah, hlm. 573)
Sufyan al-Tsauri dan Malik bin Anas tidak mensolati jenazah Abdul Aziz, padahal dia seorang yang mulia, hanya kerana mereka memerangi fikrah Murji’ah yang dipegang oleh Abdul Aziz. Imam al-Zahabi menukilkan komentar Sufyan al-Tsauri tentang kejadian itu, “Saya hanya ingin memperlihatkan kepada semua orang, bahawa dia meninggal dunia dalam kesesatan.” (Mizan al-I’tidal, jilid 3, hlm. 629)
Maka, dapatlah disimpulkan bahawa kita tidak perlu menziarahi atau mensolati jenazah Ahli Ajaran Sesat sebagai satu bentuk hukuman terhadap mereka. Ia juga untuk mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan dakyah ajaran mereka sewaktu kita berada dalam kelompok mereka ketika kita mengurus jenazah tersebut. Apatah lagi, lebih berbahaya apabila kehadiran diri kita itu akan dipergunakan untuk membenarkan ajaran sesat mereka.
6.0 HUKUM MENCERITAKAN KEBURUKAN PERIBADI DAN KESESATAN AJARAN SESAT
Ramai pengunjung web ini yang bersimpati dengan Rufaqa' panas hati membaca pelbagai penerangan kesesatan di dalamnya. Kami sangat berdoa kepada Allah agar kita semua diberikan hidayah dan pentunjuk ke jalan yang lurus. Antara hujah dangkal Rufaqa' untuk menolak kami ialah web ini menceritakan keburukan dan perkara mazmumah dalam menerangkan kesesatan Asaari dan ajarannya. Mari kita lihat perbincangan para ulama.
Para ulama sepakat membenarkan kita untuk mengutuk, menyebut keburukan ahli Ajaran Sesat dengan tujuan untuk menasihati mereka, agar masyarakat tidak terpengaruh.
Ghibah secara asasnya adalah satu perbuatan yang tergolong dalam sifat mazmumah. Pada asalnya kita tidak dibenarkan bersikap sedemikian terutamanya pada muslim yang lain. Namun, para ulama telah membenarkan seseorang melakukan ghibah dalam aspek membanteras ajaran sesat. Mari kita lihat apa pendapat para ulama:
Hasan al-Basri berkata, “Tidak dianggap ghibah dalam membicarakan perihal ahli ajaran sesat.” Beliau menambah, “Tidak diharamkan tiga jenis orang yang mengutuk, di antara mereka adalah ahli bid’ah yang berlebihan dalam kebid’ahannya.” Dalam riwayat lain, “Tidak ada ghibah bagi ahli ajaran sesat dan orang fasik yang menampakkan kesesatan mereka.” (Syarah Ushul I’tiqad Ahli Sunnah, jld. 1, hlm. 140)
Imam Abu Hamid al-Ghazali menjelaskan tentang alasan diperbolehkan ghibah dalam kitab Ihya’ Ulumuddin, “Ketahuilah bahawa alasan yang membolehkan menyebut keburukan orang lain hanya setakat untuk mewujudkan tujuan syarie yang tidak mungkin tercapai kecuali dengan jalan ghibah, sehingga boleh menggugurkan dosa ghibah.” (Ihya’ Ulumuddin, jilid 3, hlm. 152)
Imam al-Qarafi berkata; “Aib ahli ajaran sesat dan kesesatan buku-buku mereka perlu dijelaskan kepada semua orang. Agar orang-orang yang lemah iman dan ilmu tidak terjerat dengan kesesatan mereka.” (al-Furuq, jld. 4, hlm. 207-208)
Imam al-Syatibi juga menjelaskan masalah hukum membicarakan keburukan ahli bid’ah dan ajaran sesat. Beliau menghukumkan boleh menyebut-nyebut keburukan ahli ajaran sesat dan menjelaskan kesesatan mereka agar semua orang terhindar dari fitnah ucapan mereka dan bahayanya, sebagaimana yang dilakukan oleh ulama salaf. (al-I’tisham, jld. 1, hlm. 176)
Selain itu, Imam al-Syatibi menambah; “Tidak boleh membicarakan ahli ajaran sesat secara khusus kecuali dalam dua keadaan, dan saya cukup menyebutkan yang kedua sahaja iaitu: JIKA KUMPULAN TERSEBUT MENGAJAK KEPADA KESESATAN DAN MEMBUATKAN ORANG AWAM DAN ORANG YANG TIDAK BERILMU TERPEDAYA DENGAN KESESATAN MEREKA. Bahaya mereka terhadap umat seperti bahayanya iblis, mereka adalah syaitan di kalangan manusia. Oleh kerana itu, perlu disampaikan secara tegas, bahawa mereka ahli bid’ah, penyebar kesesatan.” (al-I’tisham, jld. 2, hlm. 228-229)
Imam Ibnul Qayyim al-Jauziyah dalam Zadd al-Ma’ad menyebutkan: “Seseorang Muslim boleh menilai buruk (negatif) kepada ahli ajaran sesat, apabila dalam rangka membela Allah dan Rasul-Nya. Seperti Ahli Hadith menilai buruk (dhaif) kepada para perawi hadith yang lemah atau ahli Sunnah menilai buruk ahli bid’ah, namun ia bukan untuk tujuan kepuasan peribadi.” (Zaad al-Ma’ad, jld. 3, hlm. 18)
Imam Nawawi berkata; “Ghibah diperbolehkan dengan tujuan syarie yang tidak mungkin dicapai kecuali dengan cara ghibah dan ada enam faktor. Faktor kelima iaitu seorang yang menampakkan secara terang-terangan kefasiqan atau kesesatan ajarannya. Boleh menyebutkan keburukan yang mereka lakukan secara terang-terangan, dan diharamkan menyebutkan selain itu kecuali ada sebab syar’ie lain.” (Riyadh al-Solihin, hlm. 529)
Ibnu Salah berkata; “Boleh mengutuk ahli bid`ah bahkan menyebutkan kesesatan mereka, baik di hadapan atau di belakang mereka, dengan syarat maksud utama adalah untuk menjelaskan kepada khalayak tentang kesesatan mereka. Itulah yang dilakukan oleh ulama salaf, baik ghibah tersebut untuk menjawab pertanyaan atau tidak.”
Justeru itu, kita semua dibenarkan oleh syarak untuk menjelaskan kesesatan Ahli Ajaran Sesat kepada masyarakat Muslimin demi mengelakkan ajaran mereka terus tersebar. Bagaimanapun, kita wajiblah ikhlas dan bertujuan untuk mendidik umat bukan atas tujuan peribadi.
Dalam perbincangan yang sangat ringkas ini, diharapkan dapat mencerahkan pemikiran kita dan menguatkan lagi usaha kita memerangi ajaran sesat. Ambillah inspirasi dari hadith berikut:
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a., Nabi s.a.w. bersabda;
“Tiada seorang Nabi yang diutus Allah kepada umatnya sebelumku, melainkan ada di antara umatnya yang menjadi pembela baginya dan sahabat yang mengambil sunnahnya, mengikuti perintahnya. Kemudian setelah mereka, datang generasi yang mengucapkan sesuatu yang tidak mereka kerjakan dan mengerjakan sesuatu yang tidak diperinthakn. Maka siapa yang memerangi mereka dengan tangannya, ia seorang yang mukmin, siapa yang memerangi mereka dengan lisannya, dia seorang mukmin dan siapa yang memerangi mereka dengan hatinya, dia seorang mukmin. Dan selain itu, tidak memiliki keimanan walau sebesar sebiji sawi pun.”
(Hadith SAHIH riwayat Imam Muslim.)
Malah, usaha kita ini sangat sejajar dengan Firman Allah berikut:
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (١٠٤)
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
(Ali Imran: 104)
Maka, jangan hentikan usaha ini kerana ia sangat mulia. Inilah jihad kita!