Friday, July 28, 2006

Tenggelamnya Asaari Dalam ‘Alam Ghaibnya’.

Asaari terus tenggelam dalam alam ghaibnya. Terdapat dua bentuk yang akan kami huraikan.

1. Asaari mendakwa dirinya mendapat berita-berita ghaib menerusi yaqazah dengan ‘Rasulullah’ dan ‘Sheikh Suhaimi’, mendapat kasyaf serta suara-suara ghaib (hatif). Setelah dia memperolehi berita ghaib itu, dia akan mendedahkan kepada pengikutnya, dengan mengatakan bahawa dia telah mendapat ‘mesej terbaru’. Mesej-mesej itu berkaitan tentang peristiwa Daulah Islamiyah dan proses peralihan kuasa. Ini termasuklah perkara-perkara yang berlaku ketika zaman pemerintahan Imam Mahdi di mana dia mendakwa dirinya merupakan salah seorang daripada wazir (menteri) Imam Mahdi. Inilah yang menjadi kerangka perjuangannya dan diyakini secara qat`ie.

2. Berita ghaib sangat signifikan dalam Jemaah Aurad Muhammadiah. Ia adalah nadi dan modal untuk Asaari terus bernafas sebagai ‘guru mursyid’ dalam jemaahnya. Lebih dahsyat, Asaari mendakwa dirinya mengetahui perihal hati-hati pengikutnya, boleh membaca gerak hati mereka dan memantau mereka secara roh. ‘Teknologi ghaib’ Asaari yang terkini ini, berjaya mengikat para pengikutnya untuk terus taksub dan fanatik kepada dirinya.
_______________________________________________

SANGGAHAN PERKARA 1.

Sebenarnya, apa yang dialami oleh Asaari (sekiranya benar-benar mengalaminya), yang mendakwa dirinya mendapat pelbagai berita ghaib, hanyalah satu bentuk tipu daya syaitan. Perkara ini banyak disentuh oleh para ulama dalam pelbagai kitab. Antaranya:

Al-Sheikh Abdul Rahman bin Hasan Alusy berkata: “Yang paling banyak terjadi pada umat ini adalah pemberitaan jin kepada kawan-kawannya dari kalangan manusia tentang berbagai peristiwa ghaib di muka bumi ini. Orang yang tidak tahu (tentang penipuan jin ini) menyangka bahawa itu adalah kasyaf dan karamah. Bahkan banyak orang yang tertipu dengannya dan beranggapan bahawa pembawa berita ghaib (seperti Asaari - editor) tersebut sebagai wali Allah. Padahal hakikatnya dia adalah wali syaitan.” (Fathul Majid, hlm. 353)

Sebagaimana firman Allah SWT:

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ قَدِ اسْتَكْثَرْتُمْ مِنَ الإنْسِ وَقَالَ أَوْلِيَاؤُهُمْ مِنَ الإنْسِ رَبَّنَا اسْتَمْتَعَ بَعْضُنَا بِبَعْضٍ وَبَلَغْنَا أَجَلَنَا الَّذِي أَجَّلْتَ لَنَا قَالَ النَّارُ مَثْوَاكُمْ خَالِدِينَ فِيهَا إِلا مَا شَاءَ اللَّهُ إِنَّ رَبَّكَ حَكِيمٌ عَلِيمٌ (١٢٨)

Dan (ingatlah) hari (kiamat yang padanya) Allah akan himpunkan mereka semua, (lalu berfirman): "Wahai sekalian jin (Syaitan-syaitan)! Sesungguhnya kamu telah banyak pengikut-pengikut dari manusia". Dan berkatalah pula pengikut-pengikut mereka dari golongan manusia: "Wahai Tuhan kami, sebahagian kami (manusia) telah bersenang-senang (mendapat kemudahan) dengan sebahagian yang lain (Syaitan-syaitan), dan telah sampailah kepada kami masa (hari kiamat) yang Engkau telah tentukan bagi kami." (Allah berfirman): "Nerakalah tempat kediaman kamu, kekal kamu di dalamnya, kecuali apa yang dikehendaki Allah." Sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) Maha Bijaksana, lagi Maha mengetahui.
(Al-An’am: 128)

Tepatlah apa yang berlaku pada Asaari. Dakwaan-dakwaan dan ramalan yang dibuatnya sememangnya berasal daripada jin-jin yang menyesatkannya. Tetapi, dia mendakwa itu adalah berita dari alam ghaib sekaligus menunjukkan keistimewaan dirinya.

Terdapat sebuah hadith Sahih yang menerangkan keadaan ini:

‏و حدثنا ‏ ‏عبد بن حميد ‏ ‏أخبرنا ‏ ‏عبد الرزاق ‏ ‏أخبرنا ‏ ‏معمر ‏ ‏عن ‏ ‏الزهري ‏ ‏عن ‏ ‏يحيى بن عروة بن الزبير ‏ ‏عن ‏ ‏أبيه ‏ ‏عن ‏ ‏عائشة ‏ ‏قالت:
‏ ‏قلت يا رسول الله إن ‏ ‏الكهان ‏ ‏كانوا يحدثوننا بالشيء فنجده حقا قال ‏ ‏تلك الكلمة الحق يخطفها الجني فيقذفها في أذن وليه ويزيد فيها مائة كذبة.

Dari
Aisyah r.a katanya:

Aku pernah bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya beberapa orang dukun pernah menceritakan sesuatu kepada kami dan kami rasa apa yang mereka ceritakan itu benar.
Rasulullah s.a.w bersabda:
Kalimat yang benar itu memang sengaja diambil dengan cepat oleh jin lalu dilemparkan ke telinga walinya, tetapi di dalamnya sudah ditokok tambah dengan seratus pendustaan.
Hadis SAHIH Muslim : 4134

Walaupun Asaari bukan seorang dukun, namun perjuangannya yang suka meramal dan memberitahu perkara ghaib (seperti perkara masa hadapan yang belum berlaku dan keadaan alam barzakh) sangat membuktikan dia adalah seorang wali bagi syaitan dan jin. Berdasarkan hadith di atas, para jin tersebut menokok tambah sebanyak seratus lagi pendustaan. Ini terbukti, apabila semua ramalan yang Asaari dakwa itu adalah ‘mesej dari Rasulullah’ tidak pernah berlaku dan tidak pernah tepat.

Sebagai contoh, sila rujuk bukunya Presiden Suharto Ikut Jadual Allah yang mengatakan bahawa Presiden Suharto akan memberikan kuasa kepada Pemuda Bani Tamim dan menjadi negara Daulah Islamiyah dan bergabung dengan Malaysia. Begitu juga dakwaan bahawa Tun Ghafar Baba akan menjadi Perdana Menteri sebelum kuasa itu diserahkan kepada Asaari. Dan banyak lagi dakwaan dan ramalannya. Jika tidak berlaku, Asaari akan membuat pelbagai alasan dan helah untuk terus menipu pengikutnya secara indoktrinasi.

Mungkin ada pembaca yang tertanya-tanya, apakah kaitannya dengan perkara Akidah? Perkara ini berkaitan dengan akidah kerana sebab-sebab berikut:

a. Asaari mendakwa berita itu datangnya dari ‘Rasulullah’ yang memberitahunya secara jaga. Bukankah ini satu eksploitasi nama Rasulullah yang boleh merosakkan akidah? Sekiranya perkara yang diberitahu oleh ‘Rasulullah’ tidak berlaku, adakah Rasulullah itu pendusta?
b. Perkara yang diramal dan dibicarakan itu adalah perkara ghaib seperti peristiwa-peristiwa yang bakal berlaku, perihal nasib pengikutnya dalam alam barzakh, penentuan ajal kematian, peristiwa kiamat kecil, Imam Mahdi, hari kiamat dan banyak lagi. Bukankah ini semuanya adalah perkara akidah?

Ayat berikut menguatkan lagi sanggahan kami;

إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الأرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ (٣٤)

Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui Dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada Dalam rahim (ibu yang mengandung). dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuanNya.
(Luqman: 34)

Daripada ayat di atas, dua penegasan utama yang Allah gariskan yang sangat tepat untuk Asaari:

1. Hanya Allah yang mengetahui perihal Hari Kiamat. Asaari tidak berhak untuk menentukan bilakah Imam Mahdi akan muncul, kerana kemunculannya adalah antara tanda terbesar hampirnya hari Kiamat.

2. Tiada seorang pun yang mengetahui peristiwa esok yang akan berlaku. Asaari tidak berhak untuk menjadualkan sesuatu perkara akan berlaku, atau meramalkan sesuatu peristiwa akan berlaku. Ini kerana itu adalah milik Allah.

Ayat berikut juga menguatkan lagi bahawa Rasulullah tidak boleh mendatangkan faedah dan manfaat kepada dirinya. Jadi, mengapa Asaari boleh mendakwa dirinya boleh mengetahui perkara ghaib sehingga boleh mengelak dari sebarang perkara dan kecelakaan? Atau menukarkan kematian orang lain kepada orang lain?

قُلْ لا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلا ضَرًّا إِلا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (١٨٨)


Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudharat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman."

(al-A’raf: 188)


SANGGAHAN PERKARA 2.

Adakah Asaari mengatahui apa yang terkandung dalam hati seseorang? Ya, begitulah menurut keyakinan para pengikut Asaari.

Kami menyanggah ajaran mereka ini dengan hadith SAHIH berikut;

إنما أنا بشر ، وإنكم تختصمون إلي ولعل بعضكم أن يكون ألحن بحجته من بعض ، فأقضي له على نحو ما أسمع منه ، فمن قضيت له من حق أخيه بشيء فلا يأخذ منه شيئا ، فإنما أقطع له قطعة من النار

Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia dan kamu bertikai dihadapanku. Mungkin salah seorang dari kamu lebih pandai mengemukakan hujah berbanding dengan pihak lain. Maka aku menjatuhkan keputusan berdasarkan apa yang aku dengar. Sesiapa yang aku putuskan baginya hak saudaranya, maka janganlah dia mengambilnya kerana aku telah memberinya sepotong api neraka.
(Sunan Abu Daud, terdapat juga dalam SAHIH BUKHARI dan SAHIH MUSLIM dengan sedikit kelainan pada matan)

Daripada hadith di atas, jelaslah bahawa Rasulullah tidak mengetahui apa isi hati yang tersirat dalam diri orang yang bertelingkah tersebut. Rasulullah membuat keputusan berdasarkan apa yang baginda dengar. Sekiranya, Rasulullah boleh membaca isi hati kedua-dua pihak yang bertikai, sudah pasti tidak mengalami kesukaran untuk menyelesaikannya. Dan sudah pasti Rasulullah tidak memberi amaran sedemikian rupa.

Apakah Asaari lebih hebat dari Rasulullah? Maha suci Allah…

Ini membuktikan Asaari berdusta terhadap para pengikutnya, dan semua konsep itu hanya ciptaan hawa nafsunya untuk menundukkan para pengikutnya.

Kami menyeru para pengikut Asaari, agar bertaubat dan memilih jalan selamat. Marilah tinggalkan kesesatan yang terdapat pada Asaari Muhammad.


2 Comments:

At 9:10 PM, Blogger mfrstudio said...

entri ini bukti kuat mengapa kita perlu tolak asaari... dan sebab utama yang menyebabkan rufaqa menjadi jemaah yang sesat.Melainkan asaari bertaubat dan segala karut marut ditinggalkan,maka insyaAllah jemaah ini boleh berjaya.

 
At 8:26 PM, Blogger ayus said...

artikel yang menarik, penuh isi yang padat. terima kasih webmaster.

pengikut rufaqa patut sedar, apa akan jadi jika perkara-perkara agama ini ditelan bulat-bulat tanpa sanad? Apa akan berlaku pada agama kita jika dakwaan ust asaari dan yang seumpamanya diterima? Dan apa akan berlaku pada ajaran Islam seandainya 'mesej terbaru' menjadi salah satu sumber ambilan syariat di samping sumber2 lainnya?

 

Post a Comment

<< Home