Tuesday, August 01, 2006

Asaari Bukan Pemimpin Jemaah Kebenaran

Rufaqa atau Jemaah Aurad Muhammadiah sentiasa beriktikad dan mendakwa bahawa mereka adalah jemaah kebenaran dan seluruh ulama sekarang ini (terutama yang menghukum mereka sesat) telah tersalah dan tersesat. Keyakinan mereka ini didokong oleh beberapa hujah sebagaimana yang tertera dalam buku Jubli Perak Al-Arqam 25 Tahun. Berikut adalah hujah bahawa mereka di atas jalan yang benar:
a. Kedudukan dan kelangsungan jemaah mereka sentiasa berterusan walaupun menerima ujian dan tekanan daripada pelbagai pihak seperti kerajaan dan ulama. Bagi mereka, sekiranya mereka tersesat atau salah, sudah pasti Allah tidak akan membiarkan mereka terus berjuang.
b. Asaari mendakwa dirinya mendapat bantuan ghaib seperti yaqazah dan perkara khawariqul addah yang lain. Ini adalah indikator utama mereka.
c. Bilangan mereka sedikit iaitu terpilih dan sentiasa disaring.
d. Ekonomi mereka semakin ‘hebat’ dan kian berkembang.

Kami menyanggah hujah Asaari dan pengikutnya. Bagi tujuan artikel ini, kami akan memfokuskan perbincangan tentang siapakah jemaah kebenaran. Kami akan mengulas setiap hujah Asaari di atas pada entri artikel pada masa akan datang.

Siapakah Jemaah Kebenaran?

Persoalan ini sangat perlu digarap menurut suluhan al-Quran dan Sunnah. Siapakah yang benar? Sudah pasti Allah dan Rasul sudah memberi panduan kepada kita untuk menentukan siapakah yang benar? Rufaqa mendakwa mereka berada di jalan kebenaran, tetapi seluruh ulama Ahli Sunnah menafikannya, malah menghukum mereka sebagai sesat. Sebaliknya, di pihak Asaari, dia mendakwa dirinya benar dan para ulama yang tersesat. Bagi masyarakat awam, ini satu kekeliruan. Terutamanya mereka yang kurang pendedahan terhadap ilmu Islam.

Rasulullah telah mengisyaratkan bahawa pihak yang benar ialah mereka yang mengikuti al-Quran dan Sunnah yang sahih. Bukan mencipta perkara-perkara pelik, mengada-adakan sesuatu dalam agama, menambah-nambah ajaran tauhid dan suka berdusta atas nama agama. Pihak yang benar ialah orang yang merujuk al-Quran dan Sunnah dalam kehidupan dan apabila berlaku pertikaian, bukannya berhujah dengan akal atau ‘minda abuya’.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita bahawa kebenaran itu ialah dengan mengikut sunnah Rasulullah, Sahabat dan al-Jamaah.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Telah berpecah kaum Yahudi menjadi tujuh puluh satu firqah (golongan), satu firqah masuk ke dalam syurga dan yang tujuh puluh firqah masuk neraka. Dan telah terpecah belah Nasrani menjadi tujuh puluh dua firqah, tujuh puluh satu firqah masuk neraka dan satu firqah masuk ke dalam syurga. Dan demi Zat yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, umatku akan terpecah belah menjadi tujuh puluh tiga firqah, satu firqah akan masuk ke dalam surga dan yang tujuh puluh dua firqah akan masuk ke dalam neraka. Ditanyakan (oleh shahabat): “Siapakah dia wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Al-Jama’ah”." (Hadith Riwayat Ibnu Majah dari Auf bin Malik)

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Umat Yahudi telah berpecah menjadi tujuh puluh satu golongan, umat Nasrani telah berpecah menjadi tujuh puluh dua golongan, dan umat ini akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan. Semuanya akan masuk neraka kecuali satu. Kami bertanya, ‘Siapakah dia wahai Rasulullah? ‘Baginda menjawab, “Yang aku dan sahabatku berada padanya …”
(Hadits Shahih, dikeluarkan oleh Imam At-Tirmidzi 2641 dan Imam Hakim.)

Daripada dua hadith di atas, Allah dan Rasulullah hanya menjamin bahawa golongan yang selamat ialah mereka yang mengikut sunnah Rasulullah dan para sahabat serta mereka yang berada dalam Jamaah. Dan yang dimaksud dengan Al Jamaah adalah jalan hidup yang telah ditelusuri oleh Nabi s.a.w. dan para sahabatnya dalam hal aqidah dan amal.


Sheikh Shalih bin Fauzan bin Abdullah Al-Fauzan mengulas hadith di atas:

“Yang mengikuti sunnahku dan sunnah sahabatku”. Maka, itulah jemaah Islam yang sebenarnya. Adapun yang menyimpang dari manhaj ini (Ahli Sunnah) dan berjalan di atas manhaj yang lain (ajaran sesat dan sebagainya), bukanlah sebahagian dari kami (Ahli Sunnah) dan kami berlepas diri dari mereka. Demikian juga kami tidak mengaitkan diri dengan mereka, dan mereka tidaklah berkaitan dengan kami.”

Apakah perkara yang perlu diikut? Apakah serban hijau, purdah hitam atau jubah hijau? (yang kini sudah bertukar corak dan warna). Yang perlu diikuti ialah akidah yang diajar oleh nabi, sunnah yang sahih, syariat yang sahih dan amal yang sahih.

Perkara yang dinilai oleh Allah dan Rasul untuk menentukan seseorang itu benar atau tidak ialah pada dasar agamanya iaitu akidah. Akidah menjadi tunjang utama penilaian Allah dan Rasul. Penyimpangan dalam tauhid akan merosakkan seluruh amalan dan terkeluar dari jalan kebenaran. Bukankah Rasulullah sudah mengatakan, yang tidak mengikutnya akan masuk ke neraka?

Sehubungan itu, para ulama yang menghukum Asaari dan jemaahnya sebagai sesat telah membuat pertimbangan menurut neraca yang adil. Bagaimanalah ulama hendak berlembut dengan Asaari sedangkan dia sedang membuat kesesatan dan penyelewengan yang besar dalam agama. Penentangan para ulama ini bukannya mencetuskan perselisihan dalam Islam. Tetapi, menyatukan umat untuk terus menentang sebarang ajaran sesat dan membasmi mereka dari terus merosakkan akidah umat. Sehubungan itu, Asaari dan pengikutnyalah yang memecah belahkan umat Islam dengan pelbagai dakwaan dan ajaran yang tidak pernah diajar oleh Nabi.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesungguhnya orang-orang yang hidup selepas kalian akan melihat banyak perselisihan.”
Baginda s.a.w. bersabda lagi:
“Wajib atas kalian berpegang dengan Sunnahku dan Sunnah Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapatkan petunjuk sesudahku. Pegang dan gigitlah dengan gigi geraham kuat-kuat. Hati-hatilah kalian dengan perkara-perkara yang baru. Kerana setiap perkara yang baru (dalam agama) adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat.”
Hadith Shahih, ditakhrijkan oleh Abu Daud 4607, At-Tirmidzi 2676.

Maka, yang terselamat adalah mereka yang menjauhi bid’ah dalam akidah dan syariat. Para ulama mendapati bid’ah akidah yang diperjuangkan Asaari sangat berbahaya sebagaimana yang kami terangkan dalam banyak entri sebelum ini. Ini bermakna, Asaari dan mereka yang mengikutinya sudah terlepas daripada sebarang jaminan keselamatan yang diberikan oleh Allah dan Rasul.

Sehubungan itu, para mufti dan ulama di Malaysialah yang berada di jalan yang benar. Mereka ikhlas memberi panduan kepada masyarakat, memberi ilmu yang sahih datangnya dari Nabi dan sahabat. Keadilan para ulama ini sudah dijanjikan oleh Nabi kita, Muhammad s.a.w. Sehubungan itu, apabila Asaari menolak ulama, maka dirinya secara automatik menghina nabi kerana jaminan keadilan ulama ini diberikan oleh Nabi sendiri. Lihatlah hadith berikut:


"Ilmu ini akan diambil oleh para imam yang adil dari setiap generasi."

[Hadits Riwayat Al-Khatib Al-Baghdadi dalam buku Syaraf Ashhabul Hadits hlm. 28-29, Ibnu Adi dalam buku Al-Kamil I/152-153 dan III/902 dan dinyatakan hasan oleh beliau. Dan dinyatakan shahih oleh Al-Albani dalam buku Bughyatul Multamis, hlm. 34-35]

Dr. Nashir bin Abdul Karim Al-'Aql ketika mengulas tentang hadith ini, berkata;

“Para imam yang adil adalah para penghafal hadits yang thiqah (kuat hafalannya), iaitu yang mengambil ajaran agama ini dari para ulama lalu mereka menyampaikannya kepada orang lain. Memisahkan diri dari ulama merupakan bahaya yang sangat besar. Sebab ilmu hanya akan membuahkan barakah apabila diambil secara benar dari alim ulama. Dan kelangsungan ulama tidak akan pernah terputus sampai akhir zaman.”

Antara ulama hadith yang tegas menentang Asaari di Malaysia ialah Prof. Abdul Hayyie Abdul Syukor dan Prof. Radzi bin Othman. Antara mereka berdua dengan Asaari, sangat jauh berbeza dari segi pengamalan sunnah, pemahaman agama dan penghafalan hadith. Sudah pasti, kedua-dua ulama besar yang soleh ini tidak pernah belajar dari mana-mana Yahudi. Sudah pasti para ulama ini menentang Asaari kerana penyelewengan yang dibuat oleh Asaari dalam agama.

Sheikh Rabi’ dalam bukunya berkata tentang keutamaan ulama yang membasmi ajaran sesat:

“Mereka (Ahli Hadith) adalah orang-orang yang menempuh manhaj para sahabat dan tabi’in dalam berpegang kepada Kitabullah dan Sunnah Rasulullah dan menggigitnya dengan gigi geraham mereka. Mendahulukan keduanya (al-Quran dan Sunnah) atas setiap ucapan dan petunjuk, dalam perkara aqidah, ibadah, mu’amalat, akhlaq, politik, mahupun, persatuan. Mereka adalah orang-orang yang berpegang di atas prinsip-prinsip agama dan cabang-cabangnya, selari dengan apa yang diturunkan oleh Allah kepada hamba dan Rasul-Nya; Muhammad s.a.w. Mereka adalah orang-orang yang tampil untuk berdakwah dengan penuh semangat dan bersungguh-sungguh. Mereka adalah para pembawa ilmu Nabawi yang menghancurkan segala bentuk penyelewengan orang-orang yang melampaui batas, kekeliruan para penyesat dan takwilan orang-orang jahil. Mereka adalah orang-orang yang selalu mengkaji setiap kelompok yang menyeleweng dari manhaj Islam seperti Jahmiyah, Mu’tazilah, Khawarij, Rafidah (Syi’ah), Murji’ah, Qadariyah, dan setiap orang yang menyeleweng dari manhaj Allah, mengikuti hawa nafsu pada setiap waktu dan tempat, dan mereka tidak pernah beralah hanya kerana cercaan orang yang mencerca.”
(Makanatu Ahli Al Hadits, hlm. 3-4)

Sehubungan itu, apabila menceritakan tentang jemaah kebenaran ia bukan milik satu jemaah yang sesat seperti Rufaqa yang dipimpin oleh Asaari. Adakah Muslim di Somalia, di Chechnya dan Mindanau yang tidak pernah mendengar tentang Asaari akan ternafi keselamatannya kerana tidak mengikut Rufaqa? Adakah keselamatan di akhirat itu hanya dengan syafaat dari Asaari sahaja?

Kami akan membincangkan perkara ini lagi pada entri yang akan datang dengan tambahan nas dan pandangan ulama.

5 Comments:

At 6:07 PM, Blogger ayus said...

dengan ini, diharap terjawab lah sudah masalah orang rufaqa yang mendakwa jemaah mereka adalah jemaah kebenaran. Hujah yang biasa diutarakan seperti "kalau salah, dah lama Allah hancurkan jemaah kami", "jemaah ini sentiasa di saring. siapa yang tak ikhlas dalam jemaah, akan dibuang" (sehingga sampai menulis buku menghina siapa yang berpaling tadah), "Allah dan rasul bersama kami", "tiada jemaah lain yang memperjuangkan ekonomi seperti kami", "mana jemaah yang lebih baik dari kami", "tiada jemaah yang tegakkan sunnah (serban jubah) seperti kami", "abuya membawa manusia kepada cinta dan takutkan TUHAN", "kumpulan nasyid kami menggugat artis2 nasyid yang lain".

semua itu telah terjawab, bahawa jemaah kebenaran itu bukan diukur dengan apa yang mereka katakan. Tetapi jemaah kebenaran diukur dengan Al-quran dan as-Sunnah.

Menyentuh sedikit hujah mereka berkenaan jemaah kebenaran, sebenarnya apa yang mereka war-warkan, bukanlah seperti apa yang dikatakan. Ekonomi mereka teruk, hidup saling bergantung pada kedai rangkaian kedai2 enterprise. Kumpulan nasyid mereka langsung tak dikenali (jumlah yang kenal pun terlalu sedikit). Bomoh langit mereka pun terjebak dalam kes rogol (ini telah disiarkan oleh media TV3 dalam program 999 mereka). Abuya memang mengajak orang kepada takutkan TUHAN, tapi caranya salah. Takutkan Allah bukan dengan perantaraan orang tuhan. Patut ambil asas ilmu tauhid semula.

Abuya sebenarnya menjauhkan manusia dengan Allah, bukan mendekatkan. Buktinya, abuya kata, kalau nak cintakan tuhan, mesti cintakan "orang tuhan". sebab manusia akhir zaman dah jauh dengan tuhan. Susah tuhan nak terima doa manusia. Oleh itu, perlu bersama dengan orang tuhan untuk mendekatkan diri dengan tuhan. Huh! sungguh keji kenyataan itu.

Jika nak dibandingkan hujah kami dalam jemaah kebenaran, cuba lihat Bush, Israel, Syiah dsb. Mereka lebih kuat, kukuh, teguh ekomi mereka. Syiah lebih besar serban mereka. Mengapa tidak Allah hancurkan mereka? Bukankah mereka merupakan jemaah yang dimurkai Allah? Oleh itu, ukuran sesuatu jemaah itu benar atau salah adalah diukur dengan nas2 Al-quran dan Sunnah.

Selagi anda tidak mengikut ASWJ yang sebenar, anda belum layak menggelar diri anda jemaah kebenaran.

 
At 12:19 PM, Anonymous Anonymous said...

Terima kasih webmaster.

 
At 1:23 PM, Anonymous Anonymous said...

Ayus, tolong cerita sikit pasal bomoh langit yang dibongkar dalam 999 tu. Apa kisahnya?

 
At 3:19 PM, Anonymous Anonymous said...

السلام عليكم ورحمة الله وبركات

Selain dari puak2 ni ader lagi grup yg lagi teruk sesatnye sampai mengaku jadi imam mahdi dan ckp IM dan Rasulullah adalah org yg sama. Ckp berbelit2 dulu ada domain www.banimasrek.com tp dah xde dah domain tu.

Semoga dapat lah kiranye kita dedahkan semua ajaran sesat di negara kita ni bukan setakat rufaqa' shj...

Wassalam

 
At 3:59 PM, Blogger etik irijanti said...

Assalaamu'alaikum

Saya bersyukur sekali, Alhamdulillah telah ada penjelasan ilmiah tentang sesatnya ajaran yang sudah sangat jauh dari qoidah Islam yang lurus.
Semoga Allah menerima amalan anda yang baik ini.
Saya mengamati tulisan blog ini sangat dekat dengan manhaj yang berdasarkan ilmu yang shahih dan benar(dari hujjah2). Merujuk kepada kitab-kitab para ulama terdahulu.
Bolehkah saya tahu, selain blog ini , blog/ web site anda yang lain. Karena sudah lama saya yakin dan belajar bahwa akidah yang lurus adalah jalannya para salaful ummah.

 

Post a Comment

<< Home