Thursday, June 08, 2006

BENARKAH ASAARI PEMUDA BANI TAMIM?

Asaari mendakwa dirinya Pemuda Bani Tamim sejak tahun 1992. Sebelum itu, selama setahun Asaari dan para pemimpin Arqam menerangkan konsep Daulah Islamiyah dan kepimpinan Imam Mahdi. Di samping itu, Asaari juga menerangkan seorang pembantu Imam Mahdi bergelar ‘Pemuda Bani Tamim’ (selepas ini PBT). Asaari mendoktrin konsep ini selama setahun tanpa mengisytiharkan dirinya sebagai PBT terlebih dahulu. Kemudian, barulah dia mengatakan PBT yang selama ini dikuliahkan adalah dirinya. Asaari berpandangan itu jawatan kosong yang masih belum diisi oleh sesiapa, tidak seperti jawatan Imam Mahdi yang selalu direbut oleh Imam Mahdi PALSU.

Artikel kali ini akan mengupas lebih detail tentang PBT.

Hadith-hadith yang berkaitan dengan PBT:

Imam al-Suyuti telah mengarang satu buku berjudul al-Hawi li al-fatawi yang menukilkan beberapa hadith yang berkaitan dengan PBT yang dianggap sebagai pembantu Imam Mahdi. Sila lihat halaman 69-70:

Hadith Pertama:

Daripada Ammar bin Yasir berkata: Imam Mahdi dikepalai oleh Syu`aib bin Salih.

Hadith Kedua:

Daripada Abi Jaafar berkata: Seorang pemuda dari bani Hasyim keluar di sebelah kanan bapa saudara mereka dari bahagian Khurasan (Iran sekarang) membawa bendera hitam dikealai oleh Syu`aib bin Salih; dia memerangi pengikut-pengikut Sufiyani dan mengalahkan mereka.

Hadith Ketiga:

Daripada Ali berkata: Telah keluar bendera hitam memerangi Sufiyani. Di tangan mereka seorang pemuda dari Bani Hashim yang di tangan kiri dan di hadapannya seorang lelaki dari bani Tamim dikenali sebagai Syu`aib bin Salih; dia dapat mengalahkan pengikut-pengikut Sufiyani.

Hadith Keempat:

Daripada Ammar bin Yasir berkata: Apabila Sufyani sampai ke Kufah dan telah membunuh pengikut-pengikut keluarga Muhammad, maka keluarlah al-Mahdi, yang membawa benderanya ialah Syuaib bin Salih.

Intisari dari hadith ini:
a. PBT bernama Syu’aib bin Salih.
b. PBT membawa bendera hitam dalam angkatan tentera Imam Mahdi.

Taraf hadith untuk dijadikan Hujah:

Setelah penulis merujuk kepada al-hawi li al-fatawi, karangan Imam al-Suyuti, beliau tidak mencatatkan daripada mana hadith itu diperolehi. Sanadnya juga tidak ada. Beliau hanya mencatatkan nama perawinya sahaja.

Penulis telah merujuk ke laman http://www.dorar.net/ yang menyimpan 335 kitab hadith. Carian untuk mentakhrijkan semua hadith di atas ke dalam 335 kitab tersebut tidak ditemui. Sedangkan semua kitab itu adalah kitab-kitab turath dan utama dalam hadith, fiqh dan sebagainya. Ini bermakna, semua hadith di atas tidak diketahui mana asalnya (la ashla lahu).

Sudah pasti juga semua hadith itu BUKAN bertaraf sahih atau hasan, sekaligus tidak boleh menjadi hujjah dalam perkara agama. Ini bermakna PBT adalah satu konsep yang kabur dan tidak jelas dalam Islam. Sekiranya ia benar-benar ada, sudah pasti para Sahabat sudah lama bercerita kepada Tabien dan diwarisi seterusnya di kalangan ulama ahli Sunnah wal jamaah.
Dalam isu ini, Asaari berkata bahawa maklumat tentang PBT sudah lama 'dikuburi' oleh puak-puak orientalis dan yahudi kerana takut kepada PBT. Inilah sebab mengapa PBT tidak ada dalam kitab dan tidak popular. Hujah ini ada termuat dalam buku Abu Hassan Morad, Pemuda dari Timur, Penerbitan Hikmah, 1993. Inilah pandangan orang jahil dan ahli bid'ah. Sedangkan semua maklumat tentang agama, diwarisi secara amanah oleh golongan salaf al-Soleh yang dijamin oleh Rasulullah s.a.w. tentang keadilan dan sifat amanah mereka terhadap agama.


Apakah pandangan dan Ajaran Asaari tentang PBT?

Asaari berpendapat bahawa PBT merupakan pemuda dari keturunan Quraisy Bani Tamim yang nasab keturunannya bersambung kepada baginda Rasulullah s.a.w. Dari kabilah ini jugalah lahirnya tokoh sahabat seperti Abu Bakar al-Siddiq. (Lihat Bintu Asaari, Pemuda Bani tamim yang Diisyaratkan oleh Hadith Rasulullah, Risalah, hlm. 2)

Inilah bukti Asaari memiliki ilmu yang rendah dan cetek. Sejarah Islam menyatakan bahawa Abu Bakar al-Siddiq adalah dari Bani Taiyim. Bukan Bani Tamim. (Sila lihat http://www.khayma.com/alsahaba/list1/abobaker.HTML)

Seterusnya, Asaari dan para pemimpin al-Arqam telah mereka-reka satu hadith untuk membenarkan yang dirinya adalah seorang PBT. Keyakinan dan aqidah ini terus mereka pegang dalam era Rufaqa dan HADITH PALSU ini menjadi dasar paling kuat mengapa Asaari yakin dirinya sebagai PBT.

Berikut adalah hadith palsu tersebut yang direka dan menggunakan nama Imam al-Suyuti untuk mengelabui mata orang lain:

Dari Syaidina Ali: Pemuda bani Tamim itu:
a. berketurunan Arab, kabilah Quraisy dari bani Tamim tetapi Arabnya telah tipis sebab bercampur dengan orang Ajam,
b. badannya tidak tinggi dan tidak rendah
c. susuk tubuhnya tidak kurus dan tidak pula gemuk.
d. Janggutnya jarang, ciri-ciri bangsa Arab sudah tidak pekat lagi.
e. Ciri-ciri pengikutnya: wanita bagai gagak-gagak hitam, lelaki berserban dan berjubah hijau.
f. Jika berjalan, kumpulan ini menutup bumi dan menggerunkan hati memandang.
g. Panji-panji hitam yang dibawanya berkibar dari Khurasan. Bendera itu akan diserahkan kepada Imam Mahdi.
h. Dia dikatakan al-Mansur (pembantu).
i. Dia membentuk sebuah jemaah yang dipimpinnya sendiri dan mempunyai pengikut yang agak ramai.
j. Giginya macam kapak (sulah).

Sumber: Bintu Asaari, Pemuda Bani Tamim yang Diisyaratkan oleh Hadith Rasulullah, Risalah.

Sehubungan itu, bermula 1992, Asaari mula membuat penambahan nama dengan menggelar dirinya sebagai Abuya Sheikh Imam Asaari Muhammad at-Tamimi. Mungkin Asaari tidak mengetahui bahawa antara dosa besar ialah berdusta dengan keturunan.

Kegilaan Asaari terhadap jawatan PBT itu hanya atas beberapa hujah ‘sampah’ yang tidak boleh diterima akal. Ia menjadi hujah seluruh pengamal Aurad Muhammadiah sehingga kini:

a. Asaari kian muda walaupun usia meningkat tua. Wajahnya bercahaya berbanding gambar-gambarnya terdahulu. Ini adalah hujah dan pandangan orang jahil, taksub dan melampaui batas. Adakah wajah Siti Norhaliza setelah menjadi duta Olay yang semakin cantik itu akan menunjukkan peningkatan taraf seseorang. Perubahan wajah tidak membuktikan apa-apa.

b. Asaari juga mendakwa dia ada gigi sulah yang menjadi ciri PBT. Dalam Kamus Dewan tidak terdapat perkataan ini. Dari segi pergigian, ia lebih dikenali dengan gigi yang rongak. Bagaimana Asaari boleh berbangga dengan gigi yang bermasalah itu untuk membuktikan ‘kebenaranya’. Sedangkan hadith ‘ciri-ciri PBT’ itu adalah PALSU = MAUDHU’.

Seluruh pengamal Aurad Muhammadiah (Rufaqa kini) mengatakan bahawa ke semua sifat PBT yang disebutkan itu ada di dalam buku al-Jami’ al-Shaghir fi Ahadith al-Basyir al-Nadhir karangan Imam al-Suyuti. Saya menjemput dan mengalu-alukan agar Rufaqa membuktikan yang buku al-Jami’ al-Shaghir ini ada mencatatkan perihal ciri-ciri PBT. Sesiapapun yang menyemaknya, sehingga kiamat tidak akan bertemu tentang ciri-ciri PBT dalam kitab tersebut.

Sekali lagi, Asaari berdusta. Dia telah sesat dan menyesatkan orang lain. Asaari membohongi pengikutnya dengan mendakwa dia telah merujuk kitab muktabar bagi membenarkan segala kenyataannya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home