Thursday, June 08, 2006

ASAARI KUAT BERIBADAH?

Antara hujah mengapa ahli Rufaqa tidak mahu menerima kebenaran ialah:

a. Abuya orang soleh. Ibadahnya hebat. Tiada ulama sehebat ibadah dia.
b Siapa kita nak dibanding dengan ibadah abuya. Tak payah cakap banyak. Sama ke ibadah kita dengan abuya. Tak sama.
c. Abuya ni orang paling bertaqwa. Paling dekat dengan Tuhan. Cacat hati kita dengan abuya, cacatlah hubungan kita dengan Tuhan.

Ahli Rufaqa sangat mengagungkan Asaari. Pendewaan ini mencecah tahap al-Ghuluw iaitu melampau batas dalam menghormati seseorang. Kesan taksub mereka terhadap ibadah yang dilakukan oleh Asaari, menyebabkan mereka tidak boleh membezakan dengan akal dan ilmiah tentang kesesatan Asaari dan jemaahnya.

Berikut adalah ibadah Asaari yang dinilai hebat oleh pengikut Rufaqa:

a. Asaari akan menunggu 20-30 minit untuk menunaikan solat. Dia akan duduk bersimpuh di surau dan berselawat versi selawat Badawi.
b. Asaari mengambil wudhuk dengan tempoh yang lama, kadangkala melebihi 15 minit. Dia akan meratakan air dengan perlahan dan terlalu berhati-hati.
c. Asaari mengangkat takbir seperti orang ketakutan dan mengacah-ngacah tangannya beberapa kali. Setelah beberapa kali percubaan, barulah takbiratul ihramnya ‘masuk’.
d. Asaari akan bangun qiamullail pada jam 3.00 pagi untuk solat tahajud dan beribadah sehingga subuh.
e. Sujudnya pelik kerana terlalu panjang sehingga seperti orang yang meniarap. Panjang di sini bukannya tempoh tetapi bentuk fizikal badan seperti meniarap. Asaari berpendapat dia sujud sebegitu untuk lebih merasa kehambaan kepada Allah.

Sekiranya kita menyuluh dengan ilmu, kita akan mendapati tiada kelebihan pun pada Asaari. Ini kerana:

a. Selawat versi Badawi itu bukannya sunnah. Ia tidak pernah diamalkan oleh Nabi, Sahabat, dan tabien dan tabi’ tabien.
b. Asaari menghidapi penyakit Obsesive Compulsive Disorder atau dalam bahasa fiqh 'penyakit was-was'. Itulah sebabnya dia mengambil wuduk sedemikian rupa dan kesukarannya mengangkat takbir. Dua perkara ini menjelaskan bahawa Asaari tidak memiliki ilmu fiqh ibadah yang tepat sebagaimana dalam mazhab Shafie mahupun Sunnah.
c. Sujud panjang dalam sembahyang yang diamalkan oleh ahli Rufaqa’ tidak pernah dinyatakan oleh Sunnah dan sangat bertentangan dengan nas yang ada. Ibadah Solat perlu mengikut kaedah dan cara yang diajarkan oleh Nabi.

Apabila beramal, kita perlu memastikan ibadah kita itu bertepatan dengan apa yang diajarkan Rasulullah s.a.w. Firman Allah:

Dan apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah ia dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. (al-Hasyr: 7)

Dan sabda Rasulullah s.a.w.:

Barangsiapa yang beramal dengan suatu amalan yang tidak ada perintahnya dari kami, maka amalan itu tertolak. (Hadith Sahih Riwayat Muslim)

Bagaimanapun, yang ingin dibincang dalam artikel ini ialah berkenaan fakta berikut:

ADAKAH KEHEBATAN IBADAH ASAARI MENJADI HUJAH DIA ADALAH SEORANG YANG BENAR?

Allah telah berfirman dalam Surah al Mulk ayat 2:

Dialah yang menciptakan kematian dan kehidupan yang dengan itu Dia menguji siapakah di antara kalian yang paling baik amalnya.

Dalam ayat ini, Allah menggunakan ayat Ahsanu Amala (yang paling baik amalnya), bukan Aktsaru Amala (paling banyak amalnya). Sehubungan itu, nilai pertama dan utama untuk melihat amalan manusia adalah kebaikkannya. Kebaikan itu pula ditimbang berdasarkan benar (tepat) atau tidak dan keikhlasannya. Fudhail bin Iyadh berpendapat maksud dari ahsanu amala adalah aswabu (yang paling benar / tepat) wa akhlashu (yang paling ikhlas). Jadi penilaian utama terhadap seseorang bukan pada banyaknya amalan tetapi ketepatan amalan ibadah itu sendiri. Sesuatu yang banyak, belum tentu dinilai baik. Untuk itu hendaklah kita memperbanyak amalan yang ahsan dalam konteks amalan yang didasarkan pada petunjuk Rasulullah s.a.w. dan dilakukan dengan penuh keikhalashan kerana Allah semata-mata.

Sebenarnya, Rasulullah sudah memberi isyarat tentang kewujudan orang yang kuat ibadah tetapi tersesat. Sifat ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:

"Akan muncul suatu kaum dari umatku yang membaca al-Qur'an, yang mana bacaan kalian tidaklah sebanding bacaan mereka sedikitpun, tidak pula solat kalian sebanding dengan solat mereka sedikitpun, dan tidak pula puasa kalian sebanding dengan puasa mereka sedikitpun." [Sahih Muslim II/743-744 No. 1064]

Para ulama hadith mengatakan hadith ini menerangkan satu kelompok bernama khawarij. Mereka adalah golongan yang sangat kuat beribadah seperti puasa, solat, zikir, dan tilawah al-Qur'an tetapi mereka telah tersesat. Penulis berpandangan, keadaan dan ciri khawarij ini sangat bertepatan dengan Asaari dan ahli Rufaqa.

Dalam Fathu al-Bari, XII/283 disebutkan: "Mereka (Khawarij) dikenali sebagai qura' (ahli membaca Al-Qur'an), kerana besarnya kesungguhan mereka dalam tilawah dan ibadah. Akan tetapi mereka suka mentakwil Al-Qur'an dengan takwil yang menyimpang dari maksud yang sebenarnya. Mereka lebih mengutamakan pendapatnya, berlebih-lebihan dalam zuhud dan khusyu' dan sebagainya."

Semua ciri khawarij yang dinyatakan di atas ada pada Asaari dan jemaahnya. Isu takwilan ayat al-Quran yang menyimpang akan ditulis oleh penulis pada artikel yang lain.

Ibnu Abbas juga telah mengisyaratkan pelampauan batas kelompok khawarij ketika pergi untuk berdebat dengan mereka. Beliau berkata: "Aku belum pernah menemui suatu kaum yang bersungguh-sungguh, dahi mereka luka kerana seringnya sujud, tangan mereka seperti lutut unta, dan mereka mempunyai gamis yang murah, tersingsing dan berminyak. Wajah mereka menunjukkan kurang tidur kerana banyak berjaga di malam hari". [Lihat Tablis Iblis, hlmn. 91].

Sehubungan itu, kehebatan Asaari beribadah bukan jaminan atau bukti bahawa dia berada di jalan kebenaran. Daripada sumber-sumber yang sahih ini menguatkan kepada kita lagi bahawa Asaari yang dihukum sesat oleh para ulama itu perlu bertaubat dan kembali kepada Ahli Sunnah wal jammaah. Ini bermakna Ibadah perlu didasari dengan Akidah yang sahih, benar dan tepat. Sekiranya akidah rosak, ibadah sudah tiada ertinya lagi walaupun dia beribadah sekuat golongan khawarij.

Sebagai penutup, penulis ingin menukilkan catatan Ibnul Jauzi:

"Ketika Ali r.a. meninggal dunia kerana dibunuh, maka dikeluarkanlah Ibnu Maljam (pembunuh) untuk dibunuh. Abdullah bin Ja'afar memotong kedua-dua tangan dan kedua-dua kakinya, tetapi dia tidak mengeluh dan tidak berkata apa-apa. Lalu dicelak kedua matanya dengan paku panas, dia pun tidak mengeluh bahkan ia membaca:

"Bacalah dengan (menyebut) nama Rabb-mu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah." [Al-'Alaq : 1-2]

Kedua matanya mengalirkan air mata. Kemudian setelah matanya diubati, dia akan dipotong lidahnya. Kali ini baru dia mengeluh. Ketika ditanyakan kepadanya: "Mengapa engkau mengeluh? "Dia menjawab; "Aku tidak suka bila di dunia menjadi mayat dalam keadaan tidak berzikir kepada Allah." Ibnu Maljam adalah seorang yang kehitam-hitaman dahinya kesan dari sujud, semoga laknat Allah padanya." [Tablis Iblis, hal. 94-95]

Dari cerita ini, jelaslah bahawa ibadah yang banyak bukan jaminan seseorang itu berada dalam jalan kebenaran.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home