Tuesday, June 20, 2006

Pendewaan Keterlaluan dalam Rufaqa

Ghuluw ialah sikap yang berlebih-lebihan dalam agama. Ia merupakan penyakit yang sangat berbahaya dalam sejarah agama-agama samawi (langit). Dengan sebab ghuluw, zaman yang penuh dengan tauhid berubah menjadi zaman yang penuh kesyirikan. Zaman yang penuh dengan tauhid kepada Allah berlangsung sejak zaman Nabi Adam sehingga diutus Nuh a.s. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu 'Abbas r.a. (Jami'u al-Bayan juz 2 hal. 194. Ibnu Katsir menukilkan penshahihan al-Hakim pada Tafsir beliau juz 1 hal. 237)

Fenomena ghuluw ini berlaku dalam Jemaah Aurad Muhammadiah secara berperingkat-peringkat sehingglah ke tahap melampaui batas. Kedudukan Asaari di mata pengikutnya sentiasa meningkat dari satu era ke era lain. Daripada seorang ustaz, kemudiannya meningkat menjadi mudir, wali, Imam, Amir Muhammadiah, Sheikhul Arqam dan akhirnya meningkat sampai ke taraf 'pembantu Imam Mahdi' dengan gelaran Pemuda Bani Tamim. (Lihat Jubli Perak, 1993, 171-175) Kenyataan ini dapat dilihat daripada semua buku karangan Asaari atau buku dan majalah yang diterbitkan mengenainya bermula awal tahun 1990-an.

Pada tahun 1993, suatu perhimpunan diadakan di Jordan. Ketika sesi dialog bersama Asaari diadakan, dia ditanya mengenai kaitan Pemuda Bani Tamim dengan bangsa Quraisy keturunan Rasulullah. Asaari menjawab; "Orang penting di zaman Rasulullah s.a.w. terdiri daripada Bani Tamim, kaitannya: Rasulullah = bani Hashim + Imam Mahdi = bani Hashim, Abu Bakar al-Siddiq = Bani tamim + Pemuda Bani Tamim = Bani tamim." (Abuya: Mesej Ummah ke Bumi Syam, 1993, 17)

Pengikut yang jahil akan taksub dengan kenyataan tersebut tanpa mengetahui bahawa sebenarnya sifir itu salah. Abu Bakar al-Siddiq adalah dari Bani Taiyim. Ini bermakna, taksub mereka dibina atas kejahilan dan sandaran fakta yang diputar belitkan.

Berikut adalah bentuk-bentuk keterlaluan dalam pendewaan (al-Ghuluw) terhadap Asaari:

a. Abuya adalah bayangan Rasulullah s.a.w. pada akhir zaman.
b. Sheikh Suhaimi dan Abuya adalah mujaddid dan pemimpin akhir zaman yang dijanjikan.
c. Abuya boleh berhubung dengan para wali sama ada yang hidup mahupun yang telah mati.
d. Abuya dikurniakan ilmu laduni dan kasyaf, iaitu dia boleh mengetahui keadaan para pengikutnya dengan hanya diberi nama, sama ada perkara terdahulu mahupun yang akan datang. Inilah manhaj yang digunakan untuk merekacipta kisah-kisah palsu dan fitnah terhadap ahli Arqam yang keluar dari jemaahnya.
e. Abuya adalah sumber berkat. Oleh itu apabila ada sesuatu pekerjaan penting atau perbincangan yang hendak diputuskan, hendaklah hadirkan dalam hati, "Abuya, kuharapkan pertolonganmu." Apabila ada apa-apa kejayaan yang tercapai, mereka akan berkata, "Ini berkat Abuya @ berkat Sheikh Suhaimi."
f. Abuya adalah al-Ghawth, iaitu boleh memberi pertolongan kepada sesiapa yang berada dalam kesusahan dan kecemasan, hanya dengan menyebut dan menyeru namanya, maka bantuan akan sampai.
g. Abuya adalah Sohibuzaman @ pemilik zaman ini. Dia akan berkuasa dan memerintah dunia dan zaman ini sebelum diserahkan kepada Imam Mahdi.

Tambahan lagi, ahli Rufaqa sememangnya begitu yakin dan percaya bahawa Asaari adalah sumber berkat, sumber minda dan saluran mendekatkan diri kepada Allah. (Lihat Jubli Perak, 1993, 74) Ini kerana Asaari berusaha mengenalkan Allah dan Rasul kepada manusia. Jadi Allah pun berhak membalas jasanya dan memperkenalkannya kepada manusia. Oleh itu, kenal dan cinta pada Asaari dijadikan syarat taqwa. (Lihat Fakhrurazi Asaari, Abuya Penyelesai Masalah Sejagat, 1994, 48).

Bagi orang yang cinta dan mengharapkan Abuya dia akan berjaya dan memperolehi berkat di dunia dan di akhirat. Di antara syarat-syarat cinta kepada Abuya ialah:

1. Mesti mengamalkan Aurad Muhammadiah lima kali sehari.
2. Mesti faham dan memperjuangkan minda Abuya.
3. Mesti membantu perjuangan Abuya.
4. Sentiasa mendoakan Abuya.
5. Menghormati dan memuliakan Abuya dan keluarganya.
(Lihat; Abuya mesej Ummah ke Bumi Syam, 1993, 29-30)

Perkara-perkara yang pelik-pelik (khawariqul Adah) sering menjadi mainan dan basahan mulut mereka. Pengagungan terhadap Asaari ini sudah melampaui batasan yang dibenarkan syarak.

Para ulama seperti Yusuf al-Qardhawi menegaskan bahawa pemujaan dan pendewaan yang bersifat keterlaluan kepada mana-mana pemimpin atau terhadap orang yang dianggap soleh hukumnya adalah syirik dan membawa kepada kesesatan yang nyata. (Lihat Haqiqat Tauhid, jld. 2, hlm. 69.) Ia sifat keterlaluan, melampaui batas dalam urusan agama atau memuja seseorang tanpa batas yang sebenar dan ia boleh membawa seseorang itu kepada kekufuran.

Allah berfirman:

Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui batas dalam agama kamu dengan cara yang tidak benar, janganlah kamu menurut hawa nafsu sesuatu kaum yang telah tersesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang lurus.
(al-Maidah: 77)

Allah telah menerangkan dalam Kitab-Nya tentang ghuluw (sikap berlebihan di dalam mengagungkan, sama ada dengan perkataan mahupun iktiqad) kaum Nabi Nuh terhadap orang-orang soleh sebelum mereka. Apabila Nabi Nuh menyeru mereka siang dan malam, baik secara terang-terangan mahupun secara sembunyi agar mereka hanya menyembah Rabb yang satu, dan menerangkan kepada mereka akibat-akibat bagi orang yang menentangnya. Tetapi peringatan tersebut tidaklah membuat mereka takut, bahkan menyebabkan mereka lari dari jalan yang lurus, sambil mereka berkata:

Dan mereka berkata: "Janganlah sekali-kali kalian meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kalian, dan janganlah pula kalian meninggalkan (penyembahan) Wadd, dan janganlah pula Suwa', Yaghuts, Ya'uq dan Nashr." (Nuh: 23)

Di dalam Shahih Bukhari dari Ibnu Abbas r.a., baginda bersabda tentang firman Allah tersebut: "Mereka adalah orang-orang soleh di kalangan kaum Nabi Nuh, lalu ketika mereka wafat, syaitan mewahyukan kepada mereka (kaum Nabi Nuh) agar meletakkan patung-patung mereka (orang-orang soleh tersebut) pada majlis-majlis tempat yang biasa mereka duduk dan memberikan nama patung-patung tersebut dengan nama-nama mereka, maka mereka pun melaksanakannya, namun pada saat itu belum disembah. Setelah mereka (generasi pertama tersebut) habis, dan telah terhapus ilmu-ilmu, barulah patung-patung itu disembah." (Lihat Kitab Fathu al-Majid bab "Ma ja`a Anna Sababa Kufri Bani Adama wa Tarkihim Dienahum Huwal Ghuluw fis Solehin")


Ibnu Jarir berkata: "Ibnu Khumaid berkata kepadaku, Mahran berkata kepadaku dari Sufyan dari Musa dari Muhammad bin Qais: "Bahawa Yaghuts, Ya'uq, dan Nasr adalah orang yang soleh yang hidup di antara masa Nabi Adam dan Nabi Nuh a.s.. Mereka mempunyai pengikut yang mencontohi mereka dan ketika mereka meninggal dunia, berkatalah teman-teman mereka: "Kalau kita menggambar rupa-rupa mereka, pasti kita akan lebih khusyu' dalam beribadah." Maka akhirnya mereka pun menggambarnya. Ketika mereka (generasi pertama tersebut) meninggal dunia, datanglah generasi berikutnya. Lalu iblis membisikkan kepada mereka sambil berkata: "Sesungguhnya mereka (generasi pertama) tersebut telah menyembah mereka (orang-orang soleh tersebut), serta meminta hujan dengan perantaraan mereka. Maka akhirnya mereka pun menyembahnya." (Shahih Bukhari dalam kitab tafsir [4920] surat Nuh)

Jika dilihat dalam konteks Rufaqa, mereka melakukan perkara yang hampir sama:
a. Beristighathah (menyeru meminta tolong) sebelum takbiratul ihram dengan nama Asaari agar ibadah yang dilakukan akan dapat dipersembahkan oleh Asaari kepada Allah.
b. Ada pemimpin Rufaqa yang meletakkan gambar potret Asaari di bahagian hadapan tempat solat di rumah mereka agar dengan itu mereka akan sentiasa mengingati Asaari dan 'kehebatan' ibadahnya sewaktu mereka beribadah.
c. Membawa gambar Asaari dan menatapnya apabila hendak bertawasul dan beristighathah.


Inilah benih-benih subur al-Ghuluw dalam Rufaqa…

Kita berbalik kepada Kaum Nuh. Perbuatan kaum Nabi Nuh yang menggambar rupa-rupa orang-orang soleh yang meninggal dunia di kalangan mereka ini berdasarkan anggapan mereka yang baik dan ketika itu gambar-gambar tersebut belum disembah. Tapi ketika ilmu terhapus dengan kewafatan para Ulama dan ditambah dengan kejahilan, maka inilah kesempatan bagi syaitan untuk menjerumuskan manusia kepada perbuatan syirik dengan cara ghuluw terhadap orang-orang soleh dan berlebih-lebihan dalam mencintai mereka.

Apakah tujuan sebenar kaum Nabi Nuh menggambar rupa-rupa orang-orang soleh tersebut?

Berkata Imam al-Qurthubi: "Sesungguhnya mereka menggambar orang-orang soleh tersebut adalah agar mereka meniru dan mengenang amal-amal baik mereka, sehingga mereka bersemangat seperti semangat mereka (orang-orang yang soleh), dan mereka beribadah di sekitar kubur-kubur mereka."

Sikap ghuluw ini terus terjadi dari zaman ke zaman dan masa ke masa sampai terjadi pula pada masa Bani Israil. Kaum Yahudi yang menyatakan bahawa 'Uzair adalah anak Allah sebagaimana terjadi pula pada kaum Nasrani yang menyatakan bahawa al-Masih adalah anak Allah.

Maka bagi kita haruslah ingat sabda baginda Rasulullah s.a.w.:

إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّيْنِ فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِالْغُلُوِّ فِي الدِّيْنِ.

Hati-hatilah kamu semua terhadap perbuatan ghuluw di dalam agama, kerana sesungguhnya hancurnya orang-orang sebelum kalian disebabkan (sikap) ghuluw di dalam agama." (Hadith Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Nasa`i, dan Al-Albani di dalam al-Shahihah; 1283)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home