Friday, June 16, 2006

FAKTOR-FAKTOR MENGHIDUPKAN SEMULA JEMAAH AURAD MUHAMMADIAH

Terdapat beberapa perbezaan dalam aspek bentuk, cara dan kaedah penghidupan semula ajaran al-Arqam antara dua period iaitu period Rufaqa’ (masakini) dan period selepas ISA pertama (1995). Perbezaan tersebut menjelaskan kepada kita tentang perubahan strategi yang sering dibuat oleh Asaari bagi memastikan Jemaah Aurad Muhammadiah beroperasi dan mengekalkan dirinya sebagai pemimpin utamanya (sebagai Amir dan Sheikh).

i. Faktor ajaran dan ideologi.

Dalam konteks Rufaqa’, penghidupan semula lebih tertumpu kepada penerusan dan pengukuhan ideologi dan agenda dalam al-Arqam sebelumnya iaitu dengan penambahan beberapa perkara baru. Ia tidak menjurus kepada pengekalan imej al-Arqam sebelumnya tetapi telah diubah mengikut suasana masyarakat bagi mengekalkan survival organisasi tersebut daripada terus menerima tekanan daripada pihak berkuasa agama dan kerajaan.

Penghidupan semula kali ini banyak didasari dengan keyakinan Haji Asaari terhadap ideologi dan agenda yang diaturnya termasuklah peralihan kuasa di Malaysia dan dirinya adalah pembantu Imam Mahdi. Asaari masih mempertahankan setiap ramalan yang dibuat terutamanya berkenaan pola dan situasi politik dunia semasa. Perkara tersebut menjadi keyakinan dan kepercayaan di kalangan para pengikutnya yang sebahagian besar bukanlah bekas ahli al-Arqam.

ii. Faktor Keluarga

Asaari mempunyai keluarga yang besar dengan anak lebih dari 30 dan cucu seramai lebih 100. Setiap anak lelakinya berpoligami sehingga ke empat isteri. Rufaqa ditubuhkan dengan penglibatan dan sokongan ahli keluarga Asaari. Rantaian itu tidak terhenti di situ. Asaari telah mengikat ahli yang lain dengan ikatan susuan. Setiap anaknya mempunyai keluarga susuan dan kadangkala lebih dari satu keluarga. Ikatan ini mengakibatkan setiap orang yang pernah terlibat dengannya akan terus terikat dalam sistem organisasi mereka. Ini tidak termasuk dengan individu yang berkahwin dalam organisasi tersebut dan Asaari sendiri yang menjadi ’macthmaker’nya.

Asaari seringkali memanipulasi keluarga besarnya untuk menjadi alat penyebaran ajaran sesatnya, pemikiran dan pelaksana agendanya. Kuliah fardhu ain untuk ahli keluarga dibuat setiap hari dan ini tidak memerlukan kelulusan atau tauliah daripada Jabatan Agama Islam Negeri. Sebagai contoh, seksyen 14, Enakmen Jenayah Islam Negeri Selangor 1995
[1] menyatakan pengajaran tanpa tauliah boleh dibuat di kediamannya sendiri dan dengan kehadiran anggota keluarganya sahaja. Peruntukan itu menyebut;

(1) Mana-mana orang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam tanpa tauliah yang diberikan di bawah subseksyen 79(3) Enakmen Pentadbiran adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
(2) Subseksyen (1) tidak terpakai bagi seseorang yang mengajar atau mengaku mengajar apa-apa perkara yang berhubungan dengan agama Islam di kediamannya sendiri dan dengan kehadiran anggota keluarganya sendiri sahaja.


Haji Asaari telah menggunakan kelemahan peruntukan perundangan ini dengan menganjurkan kuliah fardhu ain di dalam rumahnya. Adakalanya kuliah itu diselitkan dengan ajarannya yang menyeleweng dan ulasan tentang politik semasa, ideologi terbaru dan agenda untuk menjayakan cita-cita politiknya.

Pengurusan syarikat Rufaqa’ yang ditubuhkan juga didokongi oleh anak dan menantu Haji Asaari sehingga dapat mengukuhkan lagi kedudukan kepimpinan Haji Asaari. Kekuatan pengaruh keluarga Haji Asaari di kalangan bekas ahli al-Arqam sememangnya tidak boleh dinafikan terutamanya apabila mereka menjadi penghubung dan perantara dengan Haji Asaari.

iii. Faktor Perniagaan

Strategi Haji Asaari menggunakan platform perniagaan bagi mengembangkan ajaran dan melaksanakan agendanya banyak mempengaruhi penghidupan semula al-Arqam. Kebenaran untuk berniaga dieksploitasi sepenuhnya untuk mengembangkan ajarannya. Pembinaan ‘Bandar Rufaqa’ di Country Homes merangsang operasinya sebagai markas yang efektif untuk mengumpulkan pengikut-pengikutnya. Pengembangan perniagaan seringkali dikaitkan dengan doktrin bahawa perjuangan Haji Asaari di pihak yang benar dan mendapat redha Tuhan. Para pengikutnya lebih tersusun melalui organisasi perniagaan Rufaqa’. Selain itu, pengumpulan aset dan keuntungan daipada syarikat yang ditubuhkan banyak menjayakan agenda Haji Asaari bagi merealisasikan cita-cita politiknya. Sebagai contoh lain, Pusat Motivasi Qatrunnada (Kini Pusat Motivasi Harmoni) berperanan untuk menjadi wadah pemimpin lapisan pertama dan kedua untuk bermesyuarat dan merangka perancangan organisasi. Begitu juga syarikat Hawariyun Group of Companies berperanan untuk menyatukan semula bekas pengikut al-Arqam di luar negara dan sentiasa berhubungan dengan individu dan organisasi yang bersimpati dengan perjuangan Haji Asaari.

iv. Faktor Sosial

Selain itu, terdapat faktor sosial yang mempengaruhi penghidupan semula. Majoriti pemimpin dan ahli al-Arqam tidak mempunyai pekerjaan tetap dan bertugas sepenuh masa untuk al-Arqam sebelum ia diharamkan. Sehubungan itu, mereka hidup berasaskan sistem sosial dan ekonomi al-Arqam sebagaimana yang diperincikan sebelum ini. Kehidupan berasaskan sistem ma`asy telah menjadikan kehidupan seluruh ahli al-Arqam begitu bergantung dengan peruntukan daripada organisasi. Sehubungan itu, sepanjang tahun 1996-98, kehancuran struktur organisasi dan sistem al-Arqam benar-benar menjadikan mereka sukar menjalani kehidupan manusia biasa dan hidup miskin kerana tidak memiliki sebarang aset dan mata pencarian. Keadaan yang mendesak inilah menyebabkan mereka begitu menghargai nikmat dan ‘kemewahan hidup’ dalam sistem sosial dan ekonomi al-Arqam. Sehubungan itu, apabila Rufaqa’ ditubuhkan dan mengadaptasi sistem yang sama, maka ramailah bekas ahli al-Arqam (terutamanya pemimpin) menyertainya. Sehubungan itu, para pemimpin tersebut telah mengeksploitasi semula sistem tersebut bagi menyara kehidupan dan berupaya hidup mewah semula. Inilah yang menyebabkan mereka begitu bersungguh-sungguh untuk menubuhkan dan menjalankan pernaigaan menerusi Rufaqa’.

Daripada faktor-faktor ini, Rufaqa’ telah berjaya meneruskan ajaran, ideologi, sistem nilai, dan agenda yang dibawa oleh pengerusi eksekutifnya iaitu Asaari Muhammad. Ini membuktikan dia tidak mengotakan kata-kata pengakuan taubatnya selepas ISA pertama dan kedua.


[1] Enakmen Selangor No. 9 Tahun 1995.
[2]Seksyen 14, Enakmen Jenayah Islam Selangor No. 9 Tahun 1995.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home