Friday, June 16, 2006

Mengapa Jemaah Aurad Muhammadiah Hidup semula?

Kami sangat berterima kasih kepada TV3 (Buletin Utama; 15 Jun 2006) kerana mendedahkan petikan VCD Kuliah Minda yang disampaikan oleh salah seorang pemimpin Jemaah Aurad Muhammadiah.

Pertubuhan ini telah diharamkan oleh Kerajaan Malaysia menerusi nama al-Arqam dan kini dihidupkan semula dengan nama Rufaqa Corporation Sdn. Bhd. Pertubuhan ini menggunakan platform perniagaan dengan menubuhkan syarikat-syarikat di setiap negeri bagi menggantikan struktur organisasi yang pernah dibina semasa al-Arqam beroperasi.

Hakikatnya mereka adalah ahli Jemaah Aurad Muhammadiah. Nama al-Arqam atau kini Rufaqa, hanyalah tempelan untuk mengelabui mata orang ramai. Ajaran inilah yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994.

Berikut adalah sebab-sebab mengapa Asaari menggunakan platform perniagaan dan syarikat pada masa kini:

a. Pihak Berkuasa membenarkan Asaari berniaga sebagai satu mata pencarian dia bagi meneruskan kehidupan.
b. Asaari mendapati tindakan undang-undang Islam yang berkaitan dengna kesalahan jenayah akidah tidak boleh dikenakan kepada entiti perniagaan.
c. Asaari dapat mengumpulkan semula semua pengikut dan pemimpinnya yang pernah berada dalam al-Arqam.
d. Asaari dapat melaksanakan semula sistem sosial yang pernah diamalkan dalam al-Arqam seperti:
i. Sistem ma’asy: Sistem sara hidup tanpa gaji. Setiap ahli akan mendapat barang keperluan dan asasi seperti makanan dan persekolahan. Setiap pekerja Rufaqa tidak boleh mendapat sebarang pendapatan. Sehubungan itu, mereka tidak boleh lagi lari dari kelompok mereka kerana mereka tidak mempunyai pekerjaan dan tanggungan keluarga yang besar.
ii. Sistem bai’ah: Sistem ini bertujuan untuk mengutip sumbangan dan berbentuk wajib bagi menyara kehidupan mewah keluarga Asaari dan projek ekonomi mereka. Pekerja Rufaqa perlu menyerahkan semua harta yang dimiliki seperti tunai di bank, rumah, kenderaan dan aset lain bagi membuktikan kecintaan kepada Asaari.
e. Asaari dapat meneruskan propaganda tentang ideologinya menerusi perniagaan di peringkat dalam negara dan antarabangsa tanpa gangguan kerajaan mahupun pihak berkuasa agama.

Selepas ISA kedua iaitu pada awal 1997, berlakunya kekosongan kepimpinan hingga mengakibatkan pengikut-pengikut al-Arqam tidak mendapat perkembangan tentang pertubuhan dan keadaan pemimpin mereka. Ini kerana al-Arqam ketika itu sudah tidak berfungsi atau tidak beroperasi dan sebahagian besar bekas pemimpin giat menganjurkan kursus pemulihan akidah dan enggan meneruskan ideologi dan perjuangan al-Arqam. Kerajaan, PDRM dan Pusat Islam (JAKIM) telah berjaya melumpuhkan organisasi kepimpinan dan rangkaian perhubungan ahli-ahli pergerakan tersebut. Dengan keadaan sedemikian, para pengikut telah tidak lagi terikat serta ramai yang telah mengubah cara hidup dengan memasuki arus perdana. Malah, kerajaan secara tegas menyatakan bahawa al-Arqam tidak akan dibenarkan mendaftarkan semula pertubuhan mereka.

Perkara yang sama berlaku di luar negara. Markas al-Arqam di luar negara kecuali Indonesia tidak beroperasi kerana tiada arahan dan pemerhatian secara langsung daripada mana-mana pemimpin terutamanya Asaari. Tambahan lagi tenaga penggerak markas tersebut terdiri daripada pelajar Malaysia yang belajar di sana yang kebanyakannya telah dihantar pulang ke Malaysia dan ditarik biasiswanya.

al-Arqam di Indonesia yang dikendalikan oleh orang tempatan telah bertindak mengubah nama dan pergerakan mereka dengan menubuhkan syarikat yang bernama Hawariyun Group of Companies pada 1997. Penubuhan ini adalah untuk mengelakkan tindakan kerajaan Indonesia dari menyekat ideologi dan pergerakan pertubuhan tersebut. Imej dari segi pakaian (serban, jubah dan purdah) yang menampilkan identiti al-Arqam hanya berubah daripada segi warna iaitu daripada hijau kepada putih. Ahli al-Arqam Indonesia tidak mengalami perpecahan besar kerana strategi wakil pemimpin di sana mengikat keahlian dengan menjadikan mereka kakitangan atau pekerja kepada syarikat yang telah ditubuhkan. Malahan, para pemimpin markaz Indonesia ini kerap mengunjungi Haji Asaari (yang ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad 1933) untuk mendapatkan tarbiah, kuliah, ‘minda’ dan ulasan politik terkini daripadanya. Cita-cita politik global Haji Asaari dapat dilihat apabila dia sendiri memantau markaz di Indonesia memandangkan dia berpendapat Indonesia adalah antara negara yang termasuk dalam kawasan ‘Daulah Islamiah’ yang dia cita-citakan.

Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965 dan diperbadankan pada April 1997 dan diasaskan oleh Asaari Muhammad yang juga merupakan Pengerusi Eksekutifnya. Rufaqa’ tidak mempunyai rangkaian perkhidmatan dan perniagaannya secara undang-undang. Apa yang berlaku, perniagaan kecil bertaraf enterprise telah banyak didaftarkan dengan nama ‘Rufaqa’. Hakikatnya, perniagaan mereka hanyalah berskala kecil dan lebih bertujuan propaganda.

Asaari telah juga menubuhkan satu syarikat motivasi yang bernama Pusat Motivasi Qatrunnada. Kini, syarikat tersebut telah ditukar nama kepada Pusat Motivasi Harmoni. Modul yang digunakan ialah 'Solat Membina Peribadi Agung'. Pada peringakt awal, motif dan strategi utama syarikat ini ialah untuk mengumpul dan menarik semula bekas ahli al-Arqam dengan cara menyertai kursus tersebut dan mendapatkan maklumat latar belakang terkini mereka. Bekas ahli akan dimaklumkan tentang perkembangan terbaru dan memujuk mereka untuk berbai`ah semula dengan Haji Asaari sebagai pemimpin pertama dan menjadi kakitangan Rufaqa’ Corporation. Tambahan lagi, para motivator terdiri daripada bekas pemimpin al-Arqam dahulu dan barisan pemimpin yang terbaru yang dilantik sendiri oleh Asaari. Kaedah ini menyebabkan ramai bekas ahli al-Arqam berminat untuk menyertai semula pertubuhan baru yang dipimpin oleh Haji Asaari.

Memandangkan al-Arqam di Indonesia tidak terjejas, Haji Asaari telah menubuhkan syarikat Zumala’ Group yang sahamnya sebanyak 51% dimiliki olehnya dan 49% pula dibeli oleh Hawariyun Group of Companies. Namun, ia hanyalah di atas kertas dan saham itu hanyalah propaganda. Akibatnya, syarikat ini hanya beroperasi tidak lebih dari dua tahun. Bagaimanapun, syarikat ini telah berperanan mengikat semula semua bekas-bekas markas di peringkat antarabangsa dengan menjalankan projek ekonomi seperti di Australia, Thailand, Jordan, German, United Kingdom, Perancis dan Jepun. Ini bermatlamat membina semula imej al-Arqam di peringkat antarabangsa melalui ekspo perniagaan yang kerap dijalankan di negara-negara tersebut.

Sehubungan itu, al-Arqam @ Rufaqa hanyalah sekadar nama. Keahlian pertubuhan ini diikat dengan amalan kerohanian dan tarekat iaitu Aurad Muhammadiah. Pengamalan wirid ini secara tidak langsung melambangkan ikatan antara ahli dan bertindak sebagai pengenalan kepada al-Arqam @ Rufaqa. Malahan, sebelum pengharaman pertubuhan itu, Haji Asaari sering merujuk nama ‘Jemaah Aurad Muhammadiah’ sebagai gantian kepada nama al-Arqam sebagaimana yang ditulis dalam banyak bukunya. Sehubungan itu, pembubaran al-Arqam tidak memberi kesan kepada sebahagian ahli al-Arqam. Ini kerana ahli al-Arqam beranggapan mereka adalah ahli ‘Jemaah Aurad Muhammadiah’ yang kononnya satu jemaah tarekat yang diiktiraf oleh Rasulullah. Bagi mereka, pengharaman dan pembubaran al-Arqam tidak menjejaskan pengamalan tarekat tersebut yang menjadi ikatan mereka dengan Haji Asaari selaku Amir Muhammadiah.

Dengan itu, apabila Haji Asaari ‘mengajak’ semula bekas ahli menyertai rangkaian Syarikat Rufaqa’, banyak bekas ahli yang masih berpegang teguh dengan amalan Aurad Muhammadiah mudah menerima semula kepimpinannya. Malahan, berlaku pengijazahan semula tarekat Aurad Muhammadiah itu kepada semua kakitangan Rufaqa’. Inilah rahsia tentang persoalan mengapa bekas ahli al-Arqam dapat berkumpul semula dan beroperasi seperti dahulu. Dengan itu, faktor amalan dan ajaran Aurad Muhammadiah yang menjadi pendorong kepada kesetiaan seseorang kepada Haji Asaari.

Maka, saudara pembaca yang budiman. Bacalah artikel dalam web ini kerana ia menerangkan kesesatan Aurad Muhammadiah yang menjadi akidah, pegangan dan amalan Asaari dan semua pengikutnya.

1 Comments:

At 6:33 PM, Anonymous Anonymous said...

Assalamualaikum

Saya membesar tanpa pengaruh ajaran al-arqam, jadi saya tidak dapat menilai siapa sebenarnya al-arqam ni,bila heboh tentang ceritanya, saya berusaha mencari jawapan.

kebetulan ayah saya, ada menyimpan buku2 al-arqam, namun ayah saya bukanlah pengikut kumpulan tersebut, sekadar mengambil tahu sahaja..

Buku2 selepas Ashaari keluar ISA pun ayah saya beli.. saya baca..

Saya baca banyak buku ajaran yang cuba disampaikan al-arqam.. tetapi saya tidak jumpa apa-apa yang berbeza dengan pengajaran Agama Islam di sekolah.. Islam yang cuba disampaikan Ustad tersebut berlandaskan apa yang saya belajar dan tahu selama ini.. pelik bukan?

Ustad Asaari berusaha membangunkan Islam dengan perniagaan, sunnah Nabi lagipun.. tetapi ramai pula yang cuba mematahkan jalannya. Salahkah cuba memimpin segolongan masyarakat ke arah jalan ISLAM yang sebenar??..

Kesian.. Melayu juga yang rugi.

Siapa yang mula mendidik masyarakat Islam di Malaysia memakai tudung kalau bukan Al-Arqam?

Emak saya cerita, dulu kalau pakai tudung kene gelar 'pocong'.. dasyat tu, nasib baik ade kumpulan yang berani buat perubahan

JAKIM berani ke tegur masyarakat?.

erm. pelik. bende yang baik susah pula diteruskan.

Setahu saya penahanan Ustad Asaari disebabkan isu politik, yelar, zaman mahathir macam-macam kemungkinan.. Matlamat menghalalkan cara.. siapa tak tahu.

Saya dibesarkan dengan tidak tertumpu kepada sesuatu,
saya selalu dinasihatkan ayah agar berfikir secara terbuka.. Saya cuba dari pelbagai sumber dalam mencari kebenaran..

antara buku yg saya baca termasuklah 'Rahsia Arqam' oleh Ann Wan Seng.
Pelik, org cina lebih berminat mencari kebenaran berbanding orang melayu yang hanya tahu menerima dan seterusnya menuduh tanpa usul periksa.....

 

Post a Comment

<< Home