Tuesday, June 20, 2006

Apabila Sudah Miskin Hujah

Apabila berhujah, sama ada untuk membuktikan sesuatu mahupun membela sesuatu, kita tidak boleh terlepas daripada landasan ilmu. Ilmu yang jelas dan bersih perlulah menjadi sandaran dengan bermodalkan dalil-dalil dari al-Quran, Hadith yang sahih dan pandangan ulama berautoriti.

Sehubungan itu, webblog ini menyahut aspirasi sunnah ini dengan berhujah berasaskan dalil biarpun dalil itu sedikit bagi menerangkan sesuatu. Kami tidak menggunakan hujah emosi untuk menolak perkara yang kami tidak persetujui. Kami juga tidak meletakkan terlalu banyak dalil dan kupasan ulama dalam sesuatu perbincangan untuk mengelakkan kejemuaan pembaca yang rata-ratanya bertaraf ‘orang awam’ dalam beragama. Hatta, ahli Jemaah Aurad Muhammadiah lebih-lebih lagi sememangnya tidak biasa dengan hujah berbentuk nas. Dos yang sedikit dan bersesuaian amat perlu dalam berdakwah. Bagaimanapun, setiap satu isu akan kami kupas pada masa akan datang dengan menambah hujah dan maklumat.

Memandangkan web ini bertujuan untuk dakwah ilmiah, kami menyeru agar nafas ini terus kekal di bawah lembayung iman dan taqwa.

Antara hujah ahli Jemaah Aurad Muhammadiah yang menolak kandungan dalam web ini ialah:

a. Web ini penuh dengan unsur-unsur wahabi. Mereka ni ulama yang mendapat pendidikan yahudi.
b. Web ini mesti dibuat oleh bekas Arqam atau pernah ikut Rufaqa. Mereka ni sudahlah tidak dapat hidayah, tapi menentang Abuya pula. Nampak sangatlah Allah S.W.T nak zahirkan siapa mereka sebenarnya.
c. Web ini pengecut. Tak berani tunjuk muka. Kami nak kenal dulu, baru boleh terima hujah-hujah ini.

Jawapan:

a. Web ini ditulis bukan dengan sekadar hujah-hujah dari ulama Ahli Sunnah beraliran Salafiyah (Rufaqa melabel ulama ini dengan title ’wahabi’). Malah, kami mengambil pandangan dari ulama-ulama ahli Sunnah beraliran Asya’irah. Ini bermaksud, kesesatan mereka ditentang dan diperjelaskan oleh sepakat semua ulama Ahli Sunnah.

Berikut adalah ulama Ahli Sunnah beraliran Asha’irah yang keras berjuang menentang Aurad Muhammadiah:
i. Al-Ustaz Dato’ Harun Din. Seorang pengamal perubatan Islam. Mendapat pendidikan Islam yang kuat, tuan guru yang mendalam ilmunya dan tidak pernah belajar dari mana-mana yahudi.
ii. Al-Ustaz Dr. Uthman Muhammadi. Seorang alim bersifat akademik tetapi memperjuangkan sistem pendidikan pondok. Ilmunya tentang tasawuf dan tarekat sangat mendalam sehingga Asaari tiada hujah dengannya.
iii. Al-Ustaz Dato’ Ishak Baharom. Seorang alim dan bekas mufti Negeri Selangor.
iv. Al-Ustaz Prof. Hashim Yahya. Pakar dalam syariah dan undang-undang.
v. Al-Ustaz Prof. Zakaria Stapa. Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM yang pakar dalam bidang usuluddin, tarekat dan tasawuf.
vi. Sahibus Samahah Dato' Haji Murtadza Hj. Ahmad (Mufti Negeri Sembilan). Dia seorang pakar dalam bidang tasawuf dan tarekat serta beramal dengannya.

Kalaulah ulama aliran Asy’irah sudah sepakat menentang, apatah lagi ulama yang berpegang dengan manhaj Salafiyah. Ini kerana ulama Salafiah adalah pejuang anshar al-sunnah yang memelihara agama dari kerosakan seperti al-Ustaz Prof. Dr. Abdul Fatah Harun (pakar Akidah dan tarekat), al-Ustaz Prof. Dr. Mohd. Radzi Hj. Othman (pakar hadith) dan al-Ustaz Prof. Dr. Abdul Hayyie Abdul Shukor (pakar hadith).


b. Web ini tiada kaitan dengan mana-mana bekas Rufaqa mahupun Arqam. Kami yang mencari sumber tersebut dan mereka yang memberikannya. Niat kami ikhlas untuk menjelaskan kepada masyarakat awam tentang kesalahan jenayah Akidah yang dipegang oleh Jemaah Aurad Muhammadiah. Kami menyeru kepada Asaari dan pengikutnya, agar bertaubat kepada Allah S.W.T dan kembali kepada Akidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenar.
c. Web ini tidak menzahirkan personaliti kerana itu bukan tujuan kami. Kami tidak mencari makan dalam berdakwah atau ada motif peribadi. Tidak perlu mengenali kami untuk mendapat kebenaran. Apa yang penting, KENALILAH NAS dari al-Quran dan Hadith kerana itulah penyuluh kepada kebenaran.

Sehubungan itu, Sheikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti berkata: "Para ulama telah meneliti lalu menyimpulkan bahawa kemenangan para Nabi terbahagi kepada dua bahagian. Kemenangan yang dicapai dengan hujjah dan keterangan, dan kemenangan jenis ini ada pada semua Nabi. Sedangkan kemenangan yang kedua dicapai dengan pedang dan senjata. Jenis yang kedua ini hanya dikhususkan bagi mereka yang diperintahkan untuk berperang di Jalan Allah S.W.T." (Lihat Adhwaa al-Bayan, I/353).

Kami berjuang memberikan hujah dan penerangan sebagaimana para Nabi melakukannya. Sehubungan itu, kami berpegang dengan jalan para ulama hadith kerana merekalah yang paling banyak memiliki pengetahuan tentang al-Quran. Sebagaimana dikatakan oleh Umar bin al-Khattab r.a.:

Bahawasanya ada sekelompok orang yang akan berdebat denganmu dengan melontarkan syubhat-syubhat dari al-Quran, maka layanilah mereka dengan membawa sunnah-sunnah (hadith) Rasulullah s.a.w., kerana sesungguhnya orang-orang yang menguasai sunnah lebih mengetahui tentang Kitabullah. (Riwayat al-Darimi, I/49)

Maka, sehubungan itu, kami telah menilai semula semua hadith yang menjadi pegangan Jemaah Aurad Muhammadiah. Malangnya, kejahilan mereka telah menghijab mereka daripada kebenaran. Jika tiang hujah tidak bersandarkan pada al-Quran dan Hadith yang sahih, maka runtuhlah agama.

Ingatlah pada sabda baginda Rasul:

"Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara, kalian tidak akan tersesat sesudahnya, iaitu Kitabullah dan Sunnahku, keduanya tidak akan terpisah hingga mendatangi haudh (telaga Rasulullah pada hari Kiamat). (Hadith ini hasan, diriwayatkan oleh al-Hakim dan Malik).

Abu Bakar al-Shiddiq r.a. juga berkata:

"Tidak pernah aku tinggalkan sesuatu yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. melainkan akupun mengerjakannya, kerana sesungguhnya aku khuatir jika meninggalkan sesuatu dari perintah baginda, aku akan menyimpang dan tersesat."

Abu Bakar r.a. merupakan orang yang paling jujur di kalangan umat ini, masih juga merasa khuatir atas dirinya kalau-kalau menyimpang dari jalan yang lurus. Kekhuatiran itu muncul jika dia memandang mudah kepada sesuatu ajaran, tuntutan dan petunjuk Rasulullah, baik yang kecil mahupun yang besar. Maka, bagaimana mungkin para ahli ajaran sesat tetap berasa senang dan tenang?

Padahal telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah, dia bercerita:
"Setelah Rasulullah wafat dan Abu Bakar diangkat menjadi khalifah baginda, maka ada di antara orang Arab yang kembali kepada kekafiran, (tatkala Abu Bakar r.a. hendak memerangi mereka), Umar al-Khattab r.a. berkata kepada Abu Bakar r.a.:

Bagaimana mungkin engkau memerangi manusia, padahal Rasulullah telah bersabda: ”Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka berkata La ilaha illa Allah S.W.T. barangsiapa yang berkata La ilaha illa Allah S.W.T, bererti dia telah melindungi harta dan jiwanya dariku, kecuali dengna haknya, dan perhitungannya diserahkan kepada Allah S.W.T.

Abu Bakar r.a. menjawab:

Demi Allah SWT, aku benar-benar akan memerangi orang yang membezakan antara shalat dan zakat kerana sesungguhnya zakat adalah kewajiban harta. Demi Allah SWT, seandainya mereka enggan menunaikan seekor anak kambing kepadaku yang mana mereka dahulunya menunaikannya kepada Rasulullah, sudah pasti aku akan memerangi mereka kerana keengganannya.

Lalu, ucapan tersebut dipersetujui oleh Umar:

Maka demi Allah S.W.T, tidak lain kecuali aku melihat bahawasanya Allah S.W.T telah melapangkan dada Abu bakar untuk memerangi (mereka), kemudian akupun tahu bahawa dialah yang benar.

Daripada dalil ini, jelaslah pengucapan La ilaha illa Allah tidak mencukupi melainkan dengan dibuktikan dengan mengikut (ittiba’) apa yang Rasulullah wariskan. Apatah lagi, peperangan wajib dilakukan kepada mana-mana individu mahupun kelompok yang melakukan kerosakan Akidah dan pendustaan terhadap Allah S.W.T dan Rasulullah s.a.w.

Jangan jadi orang yang miskin hujah dengan sekadar berhujah secara emosi dan menabur fitnah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home