Tuesday, June 20, 2006

Benarkah Sheikh Suhaimi Masih Hidup?

Sheikh Suhaimi ialah gelaran kepada Muhammad bin Abdullah pengasas kepada ajaran Aurad Muhammadiah iaitu wirid yang diamalkan oleh ahli Jemaah Aurad Muhammadiah (Rufaqa kini) dan sekaligus menjadi dasar perjuangan mereka. Sheikh Suhaimi dilahirkan pada tahun 1295H di Kampung Sudaran, daerah Wonosobo, Jawa dan meninggal dunia pada 1343H bersamaan dengan 1925M, di kampung Teluk Pulai, Kelang, Selangor. Ini bermakna beliau telah meninggal dunia sekitar 70 tahun lebih yang lalu, tetapi bagi Asaari dalam buku-bukunya menyatakan yang Sheikh Suhaimi belum mati, dia ghaib buat seketika sementara menunggu masa kemunculannya sebagai Imam al-Mahdi yang ditunggu-tunggu. (Lihat Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam, hlm 57, 179 dan 182 dan buku Hati-hati Membuat Tuduhan, hlm. 103.)

Dakwaan ini dibuat berdasarkan qias kepada cerita ‘Ashabul Kahfi’ di mana tujuh orang pemuda yang beriman telah ditidurkan oleh Allah dalam gua selama 300 tahun matahari / 309 tahun lunar, kemudian mereka dihidupkan semula sesudah tiga abad. Kisah ini diceritakan oleh Allah menerusi surah al-Kahfi ayat 9-29. Selain itu, diqiaskan juga dengan peristiwa Nabi Isa a.s. yang diangkat oleh Allah SWT ke langit. Peristiwa ini diceritakan oleh Allah menerusi surah an-Nisa’ ayat 155-158. Seterusnya diqiaskan juga dengan cerita Uzair yang telah meninggal dunia dan dihidupkan semula 100 tahun kemudian. Ia juga diceritakan oleh Allah menerusi surah al-Baqarah ayat 259.

Cerita-cerita di atas merupakan nas atau dalil bagi Asaari untuk membuktikan bahawa Sheikh Suhaimi masih hidup. Qiyasnya ialah jika al-Quran telah menunjukkan bahawa ada orang yang disangkakan mati, sebenarnya tidak mati, malah masih hidup. Asaari menegaskan bahawa “perkara ini tidak mustahil pada sisi Allah SWT". Lihat Bukunya, Hati-hati membuat Tuduhan, hlm 51.

Kalaulah kaedah ijtihad atau qiyas yang digunakan oleh Asaari ini boleh diterima dan menjadi dasar dalam tradisi ilmu Islam, bermakna semua orang boleh berijtihad dengan mendakwa bahawa datuk nenek mereka yang telah mati beratus tahun itu masih hidup. Anak cucu Tuk Kenali, Kelantan umpamanya boleh mendakwa datuk nenek mereka yang meninggal dunia pada 1933 yang lalu itu masih hidup. Begitu juga dengan Tuk Sheikh Daud al-Fatani yang meniggal dunia sekitar tahun 1847 yang lalu juga boleh didakwa tidak mati kerana ia juga tidak mustahil di sisi Allah seperti yang dikatakan oleh Asaari di atas.

Daripada kenyataan ini, dapatlah dikatakan bahawa kaedah ijtihad atau qias yang diamalkan oleh Asaari tidak boleh diterima kerana tidak tepat. Nas yang dibawa itu tidak ada kaitan dan tidak ada illat yang munasabah untuk menetapkan bahawa Sheikh Suhaimi masih hidup. Ini kerana peristiwa Uzair, Ashabul Kahfi dan Nabi Isa a.s. itu merupakan dalil khusus dari al-Quran mengenai mereka. Sedangkan dalil yang menjadi kaedah umum yang wajib diimani itu amat kelas menunjukkan tidak ada manusia yang kekal abadi. Sebagaimana Firman Allah:

Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia ini). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya?
Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.

Al-Anbiya’ : 34-35.

Menerusi ayat ini, dapat difahami bahawa pada umumnya tidak ada seorang pun daripada manusia yang pernah hidup sebelum Nabi Muhammad yang dikekalkan hidupnya sampai sekarang. Malah, diri baginda sendiri. Mereka yang hidup tidak akan hidup kekal abadi di dunia ini, malah setiap makhluk Allah yang bernyawa yang hidup di dunia ini pasti akan mati.

Oleh yang demikian, ayat ini bukan sahaja menolak kenyataan bahawa Sheikh Suhaimi masih hidup tetapi juga Naib Khaidir. Menurut Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-Azim, dan al-Qardhawi dalam bukunya Haqiqat Tauhid, Khidir yang hidup pada zaman Nabi Musa a.s. itu, jika dia seorang manusia maka termasuklah pada makna ayat ini yang menegaskan tidak ada manusia yang dijadikan itu kekal tidak mati kecuali dengan dalil yang sahih. Begitu juga dengan Nabi Khaidir, tidak ada nas yang sahih yang menunjukkan dia masih hidup sebagaimana yang disangkakan oleh kebanyakan orang. Menurut Ahmad Hamdani, kalau Kahidir masih hidup sekarang, ia hanyalah terdiri daripada hadith dhaif dan palsu semata-mata.

Oleh yang demikian, kenyataan yang mengatakan bahawa Sheikh Suhaimi masih hidup itu tidak boleh diterima sama sekali. Kerana kalaulah cerita Nabi Khaidir, di kalangan umat Islam ramai mempercayainya masih hidup itu boleh dipertikaikan, malah boleh ditolak kerana tidak ada dalil yang sahih yang menunjukkan dia masih hidup, maka jauh sekalilah dengan Sheikh Suhaimi yang langsung tidak ada nas mengenainya. Yang ada hanyalah dakwaan yang berbentuk khayalan semata-mata, bukan kenyataan.

Memandangkan dalam isu ini Asaari banyak menggunakan konsep Qiyas yang salah, maka perlu dijelaskan kaedah Qiyas serba ringkas agar kekeliruan Asaari dapat diperbetulkan.

Sumber-sumber asas dalam syariat Islam ada empat, iaitu al-Quran, Sunnah, Ijmak serta ijtihad dan Qiyas. Ijtihad atau qias digunakan untuk mendapat sesuatu hukum ketika ketiadaan nas daripada al-Quran dan Sunnah atau ijmak. Kedudukan seperti ini telah menjadi kaedah ilmu usul fiqh dan disepakati oleh para ulama fiqh dengan menyatakan kaedahnya:

Tidak ada ruang untuk berijtihad pada masalah yang ada nas.
(Abdullah Nasih Ulwan, Fiqh dan Sumbernya, 1989, hlm. 82 dan 107)

ijtihad bererti berusaha sepenuh tenaga untuk mengeluarkan sesuatu hukum syarak dengan jalan menyedutnya daripada dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah. Ia juga mencakupi qias, kerana ia adalah salah satu bentuk ijtihad.
(Abdul Hamid Hakim, al-Bayan, hlm. 20)

Sementara Qiyas pula ialah menyamakan peristiwa yang tiada nas atas hukumnya dengan peristiwa lain yang ada nas tentang hukumnya kerana persamaan illat kedua-dua peristiwa tersebut. (Abu Khalil, Shuqi. 1987, Hadarat al-Arabiyat al-Islamiyat, hlm 125.)

Illat dapat diertikan sebagai sesuatu yang wujud dalam suatu perbuatan yang menjadi sebab utama terbitnya hukum yang tertentu untuk perbuatan itu. Umpamanya meminang perempuan yang telah dipinang atau menjual sesuatu yang telah dijual, hukumnya adalah haram kerana ada nas yang jelas daripada hadith yang bermaksud:

Jangan ada salah seorang di antara kamu yang meminang atas pinangan saudaranya, dan jangan ada menjual atas juala saudaranya, kecuali mendapat keizinan daripadanya.
(Abu Daud, Sunan, Kitab al-Nikah, No. 2081)

Hadith di atas ini dengan jelas menunjukkan bahawa Islam melarang atau mengharamkan perbuatan meminang ke atas wanita yang telah dipinang oleh orang lain, begitu juga menjual barangan yang telah dijual kepada orang lain. Daripada nas ini bolehlah diqiaskan dengan menyewakan sesuatu yang telah disewakan kepada orang lain, maka hukumnya juga haram kerana terdapat persamaan pada illat atau sebab pengharaman itu, iaitu melakukan penindasan atau kezaliman ke atas orang lain, kerana ada pihak yang teraniaya.

Bagaimanapun, al-Ustaz Prof. Harun Din (Manusia dan Islam, hlm. 249) menyatakan bukan semua orang boleh berijtihad atau mengeluarkan hukum dengan sewenang-wengannya, malah seseorang itu perlu memiliki syarat tertentu dan diakui orang yang yang pakar dalam bidang ini. Di antara syarat yang membolehkan seseorang itu berijtihad dan mengeluarkan hukum ialah orang yang benar-benar menguasai bahawa Arab, memahami al-Quran dan segala ilmu yang berkenaan dengannya, memahami atau mengenali hadith serta segala ilmu yang berkaitan dengannya. Mengetahui kaedah-kaedah mengambil hukum, mengetahui masalah-masalah yang telah diijmakkan dan sebagainya.

Sekiranya wujud orang yang mengakui sebagai mujtahid atau boleh mengeluarkan hukum, sedangkan dia tidak memiliki syarat di atas, maka tidak mustahil dia akan meletak atau menetapkan hukum bukan pada tempatnya pada bila-bila masa sahaja. Ini kerana dia tidak ada asas yang kukuh dan tidak ada pedoman serta panduan yang cukup bagi membolehkan dia berijtihad mengeluarkan hukum dengan menggunakan qiyas.

Sehubungan itu, Asaari sememangnya tidak layak untuk menjadi mujtahid kerana tidak memenuhi syarat. Maka, qiyas yang dirumus dalam karya-karyanya tertolak dan hujahnya yang mengatakan Sheikh Suhaimi tidak mati dan akan zahir menjadi Imam Mahdi juga tertolak.

Ini sekaligus meruntuhkan seluruh ajaran dan aqidah mereka termasuklah Asaari sebagai pembantu Imam Mahdi = Sheikh Suhaimi.


1 Comments:

At 12:21 AM, Anonymous Anonymous said...

Kadang-kadang saya terfikir, bukan susah sangat kita nak berdepan dengan isu Syeikh Suhaimi ni dah mati ke belum.

Sejarah mengatakan dia dah mati, kuburnya ada, tetapi cucunya kata dia belum mati, malahan ghaib macam Imam Syiah yang ke 12.

Susah-susah sangat, gali aje kuburnya. Kalau jumpa tulang, cuba buat DNA, compare dgn keturunannya. Jika ya- haa, nak kata apa lagi? Tulang-temulang tu ke nak jadi Imam Mahdi. Atau ada yg tak puas hati dan berhujjah, "tak mustahil Allah boleh hidupkan semula tulang-tulang tu" .

Kalau DNAnya negatif, maknanya kuburnya pun dah salah, jadi macamana lah Agama orang Rufaqa nak disandarkan pada fakta yang salah.

Tapi kalau tak ada tulang, itu tandanya kubur itu palsu, atau mayat yang masuk itu ialah mayat palsu (batang pisang). Maknanya masyarakat waktu itu telah ditipu dengan satu kematian olok-olok. Buat susah orang gali kubur aje ! Lagi pun kalau beliau masih hidup, tak ke hukum-hukum fiqh seperti perwarisan dan faraid, perwalian nikah kahwin kaum keluarganya akan terlibat sama?

Rentikanlah. Baik pegang pada ajaran Al Quran dan Hadith sohih lagi tak palsu.

Wassalam
Taliban

 

Post a Comment

<< Home