Monday, July 10, 2006

Bertaubatlah Sebelum Terlambat

Kami amat berterima kasih dengan pihak penerbit al-Kuliyyah TV3 yang telah membawa perbincangan tentang ajaran sesat pada petang Jumaat yang lalu. Alhamdulillah, para penonton turut dibawa untuk menilai kesesatan ajaran Jemaah Aurad Muhammadiah. Ini menunjukkan, seluruh para ulama Ahli Sunnah dari pelbagai aliran sangat memerangi ajaran sesat yang timbul dalam masyarakat demi menjaga Akidah Islamiah.

Sehubungan itu, kami berterusan merasa pelik dan hairan mengapa pihak Asaari dan Jemaah Aurad Muhammadiah masih enggan bertaubat, sombong dan menolak kebenaran, berhujah dengan hujah yang salah, menghina para ulama dan seribu macam lagi tindakan bagi menegakkan benang yang basah.

Kami sangat bersimpati dengan para pengikut Jemaah Aurad Muhammadiah. Kami bermohon dengan sangat, meminta kepada Allah Azza wa Jalla memberikan hidayah dan taufiq kepada semua pengikut Asaari Muhammad agar kembali ke jalan yang mustaqim. Jalan akidah yang diajar oleh Rasulullah, dipegang oleh para Sahabat, diwarisi oleh Tabien dan Tabi’ Tabien. Kami berdoa akan pengikut Jemaah Aurad Muhammadiah terbuka mata hatinya untuk menerima al-Quran dan Sunnah sebagai hujah kebenaran. Dan kami berdoa agar hujah-hujah sahih kami ini dinilai oleh hati dan akal mereka.

Kami tahu, ramai di antara kalian sedang bergelora. Hati sudah mula meragui dan hendak menolak (Haji) Asaari. Kami sudah membau resah di hati kalian kerana selama ini kalian beragama tanpa dalil dan tanpa asas yang kukuh. Kami ingin memberitahu kalian, bahawa Allah S.W.T Maha Pengampun dan Penerima taubat. Kembalilah kepada Akidah Islamiah yang sahih sebagaimana yang diajar oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya.

Kami cuma ingin mengingatkan kalian, bahawa kesesatan akidah tidak akan membawa kalian ke Syurga. Tidak akan menjamin keselamatan dan rahmat Allah S.W.T di Mahsyar nanti. Kami sangat takut dan khuatir, kalian berterusan tersesat akidah sehingga bertemu Allah. Kami sangat berlindung dengan Nama ALLAH...

Kami ingin memberitahu pada kalian, gambaran yang Allah firmankan untuk para pengikut ajaran sesat ketika di hadapan perbicaraan Akhirat. Dapatkah kalian selamat dari keadaan ini:

وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَى يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلا (٢٧)يَا وَيْلَتَى لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلانًا خَلِيلا (٢٨)لَقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلإنْسَانِ خَذُولا (٢٩)

Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: "Alangkah baiknya kalau Aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? "Wahai celakanya aku, Alangkah baiknya kalau Aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! "Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)".
(Surah al-Furqan; ayat 27-29)

يَوْمَ تُقَلَّبُ وُجُوهُهُمْ فِي النَّارِ يَقُولُونَ يَا لَيْتَنَا أَطَعْنَا اللَّهَ وَأَطَعْنَا الرَّسُولا (٦٦)وَقَالُوا رَبَّنَا إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلا (٦٧)

Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): "Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: "Wahai Tuhan kami, Sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar.”
(Surah al-Ahzab; ayat 66-67)


وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُونِ اللَّهِ أَنْدَادًا يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللَّهِ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَشَدُّ حُبًّا لِلَّهِ وَلَوْ يَرَى الَّذِينَ ظَلَمُوا إِذْ يَرَوْنَ الْعَذَابَ أَنَّ الْقُوَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا وَأَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعَذَابِ (١٦٥)إِذْ تَبَرَّأَ الَّذِينَ اتُّبِعُوا مِنَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا وَرَأَوُا الْعَذَابَ وَتَقَطَّعَتْ بِهِمُ الأسْبَابُ (١٦٦)وَقَالَ الَّذِينَ اتَّبَعُوا لَوْ أَنَّ لَنَا كَرَّةً فَنَتَبَرَّأَ مِنْهُمْ كَمَا تَبَرَّءُوا مِنَّا كَذَلِكَ يُرِيهِمُ اللَّهُ أَعْمَالَهُمْ حَسَرَاتٍ عَلَيْهِمْ وَمَا هُمْ بِخَارِجِينَ مِنَ النَّارِ (١٦٧)

(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu). (Iaitu) ketika pemimpin itu berlepas diri dari para pengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka. Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah para pengikut: “Alangkah eloknya kalau kami (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka) sebagaimana mereka berlepas diri daripada Kami (pada saat ini)!" Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa Yang mendatangkan) penyesalan Yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.
(Al-Baqarah; ayat 165 -167)

Mulakan perubahan besar hari ini. Tinggalkanlah Asaari dan jemaahnya. Akidah mereka telah rosak. Pahala yang besar sekiranya kalian meninggalkan jalan kesesatan. Tinggalkanlah. Tidak akan ada bala yang menimpa! Tidak akan ada kesusahan yang datang! Kalian akan semakin dekat dengan Allah!

Marilah bertaubat dengan sebenar-benar taubat...

1 Comments:

At 2:32 PM, Blogger muhammad fakhrul razi said...

oleh itu para daie dan para pejuang sekalian..NGO2..gerakan-gerakan jemaah dakwah yang lain,marilah kita sama-sama bekerjasama dalam berdakwah, menyeru yg makruf mencegah yg mungkar bersama-sama.. mengembalikan remaja dan pemuda yang sesat dan lalai ke pangkuan perjuangan Islam.. marilah kita semua bersepadu dalam RANGKAIAN DAKWAH ISLAMIAH... kita berkasih sayang walaupun berbeza jemaah atau method dakwah.. kita bekerjasama,ada yang berjuang dalam politik,ekonomi,sosial,pendidikan dan tarbiyah, dan lain-lain elemen..dgn adanya kesepaduan ini barulah pejuang-pejuang yang ikhlas berjuang yang telah ditipu mengetahui ke mana arah tuju untuk mereka sumbangkan keikhlasan hati mereka untuk membaiki diri dan berjuang.. wahai para ulama, wahai para daie, wahai para pejuang islam.. marilah kita bekerjasama dalam membawa umat islam Malaysia ke arah kesejahteraan.. hanya dgn kesepaduan ini akan kita buktikan Islam yang berakidah sahih dan lurus ini adalah kebenaran yang sebenar-benarnya.

AYUH!!

 

Post a Comment

<< Home