Friday, July 14, 2006

Kecelaruan Asaari Terhadap Hadith Dhaif dan Maudhu'

Pada artikel kali ini, kami ingin mengulas isu berkenaan kecelaruan Asaari dan pengikutnya terhadap hadith dhaif. Kami mendapati Asaari dalam semua karyanya sangat suka menggunakan dalil-dalil yang terdiri daripada hadith dhaif dan ada juga hadith yang palsu.

Setelah wujudnya web ini, Asaari dan pengikutnya terkejut kerana pegangan hujah mereka berasaskan dalil hadith dhaif (lemah) dan maudhu’ (palsu) telah dicabar oleh kami. Maka, sebagai tindakan mudah untuk menutup pemikiran pengikutnya, Asaari terus menuduh bahawa semua ulama yang mendhaifkan hadithnya adalah ULAMA WAHABI.

Asaari berhujah dengan nada tidak berilmu dan menuduh ulama hadith dengan tuduhan yang tidak berkaitan dan tidak relevan. Alangkah rendahnya pemikiran seorang pemimpin jemaah yang berlagak kononnya dialah seorang yang dijanjikan Allah S.W.T untuk umat akhir zaman ini!

Para ulama hadith telah melakukan penelitian dan menjelaskan keadaan hadith-hadith Rasulullah dengan menghukumnya sama ada sebagai hadith sahih, dhaif dan maudhu’. Mereka juga membuat aturan dan kaedah-kaedah, khususnya yang berkenaan dengan ilmu tersebut. Para ulama hadith telah membuat dan menyusun kitab secara khusus untuk mengenali hadith-hadith Rasulullah s.a.w. dengan menjelaskan kedudukannya. Kitab yang paling terkenal dan paling luas perbahasannya ialah kitab al-Maqashid al-Hasanah fi Bayani Katsirin min Ahadith al-Mustaharah alal Alsinah karangan Imam Hafiz al-Sakhawi. Berikutnya kitab Nashab al-Rayah li Ahaadith al-Hidayah karangan al-Hafiz al-Zayla`i. Kitab ini menjelaskan keadaan atau darajah hadith-hadith yang banyak diutarakan oleh ulama yang bukan pakar hadith, serta menjelaskan mana-mana yang benar-benar hadith dan mana yang bukan. Kitab-kitab lain di antaranya al-Mughni an Hamli al-Asfari di Takhriji ma fi al-Ahya`i min al-Akhbar karangan al-Hafiz al-Iraqi, Talkhis al-Habir fi Takhrij Ahaadith al-Rifi`il Kabiri karangan Ibn Hajar al-Asqalani, Takhrij Ahadith al-Kasysyaf karangan Ibn Hajar dan Takhrij Ahadith al-Syifa’ karangan al-Suyuti. Apa yang disebut ini adalah sebilangan kecil sahaja dan terlalu banyak kitab hadith yang mengumpulkan hadith palsu dan dhaif. Apa yang pasti, para ulama hadith dari Imam al-Bukhari sehinggalah ke hari ini, yang menghukum sesuatu hadith itu dhaif atau palsu bukanlah ULAMA WAHABI sebagaimana dakwaan Asaari. Mereka adalah ulama Ahli Sunnah yang berpegang dengan panji Tauhid yang sahih!

Apakah maksud Hadith Dhaif?

Umum mengetahui bahawa hadith adalah segala perkara yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sama ada kata-kata, perbuatan, perakuan mahupun sifat-sifat Nabi Muhammad s.a.w. (Lihat Ibrahim Dusuki al-Syahawi, 1971, Mustalah Hadith, Syarikah al-Tiba’ah al-Fanniyah al-Muttahidah, hlm. 9)

Hadith dhaif adalah hadith yang tidak memenuhi syarat-syarat hadith sahih dan syarat-syarat hadith hasan. Kedaifan bagi mana-mana hadith berbeza-beza berdasarkan sejauhmana hadith tersebut tidak menepati syarat-syarat hadith sahih dan syarat-syarat hadith hasan. Antara syarat hadith sahih ialah; sanadnya bersambung, seluruh perawinya adalah adil, seluruh perawinya dhabit ingatan yang kuat, tidak ada syaz dan tidak ada illah.

Hadith dhaif terbahagi kepada dua:
a. Hadith dhaif kerana tidak bersambung sanad.
b. Hadith dhaif kerana terdapat perawi yang dipertikaikan daripada sudut dhabit dalam rangkaian sanad.

Apakah Hukum Menyebut @ Meriwayatkan Hadith Dhaif?

Para ulama hadith bersikap tegas dalam perkara meriwayatkan (menulis dan menyebut) hadith-hadith berkaitan akidah dan fiqh. Walau bagaimanapun mereka mengambil sikap yang lebih longgar dalam meriwayatkan hadith-hadith targhib (galakan) dan tarhib (menakut-nakutkan). Al-Khatib al-Baghdadi menegaskan:

“Telah diriwayatkan daripada beberapa orang salaf bahawasanya tidak boleh mengambil hadith-hadith yang berkaitan halal dan haram melainkan daripada perawi yang bersih daripada sebarang tuduhan (sebagai pendusta) dan jauh daripada prasangka sebagi orang yang tidak adil. Manakala hadith-hadith galakan (targhib), menakutkan-nakutkan (tarhib) dan fadilat (fadha`il), maka sedikit sebanyak diberikan kelonggaran.” (Lihat al-Khatib al-Baghdadi, 1357H, al-Kifayah fi Ilm al-Riwayah, tab’u al-Hind, hlm. 212)

Kenyataan ini turut disokong oleh para ulama lain seperti Sufyan al-Thauri yang menegaskan:

“Jangan kamu mengambil ilmu ini (hadith) yang berkaitan dengan halal dan haram melainkan daripada ulama yang termashyur dalam bidang ini serta mampu mengetahui sebarang penambahan dan pengurangan. Manakala perkara fadha`il maka boleh kita ambil daripada mana-mana guru walaupun ia tidak memiliki sifat-sifat seperti tersebut di atas.”

Bagaimana Beramal Dengan Hadith Dhaif

Para ulama berselisih pendapat tentang hadith-hadith dhaif ini. Mereka terbahagi kepada dua kelompok:

1. Tidak harus beramal dengan hadith-hadith dhaif secara mutlak, sama ada hadith-hadith akidah, ahkam (hukum) mahupun hadith-hadith fadhail (keistimewaan mana-mana ibadah). Ibn Sayid al-Nas dalam kitabnya Uyun al-Athar meriwayatkan pendapat ini daripada Yahya bin Ma`in. Manakala dalam kitab Fath al-Mughith menyebutkan bahawa ia merupakan pendapat al-Qadhi Abu Bakar bin al-Arabi. Yang jelas ia merupakan pendapat Imam al-Bukhari dan Muslim seperti yang terdapat dalam kitab Sahih mereka. Demikian juga pendapat Imam Ibn Hazam al-Andalusi.

2. Harus beramal dengan hadith dhaif yang membicarakan tentang fadhail al-a’amal, pengajaran, peringatan, cerita, targhib dan tarhib. Tetapi tidak boleh beramal dengan hadith dhaif yang membicarakan tentang akidah seperti sifat-sifat Allah SWT, perkara ghaib dan yang membicarakan perkara hukum syarak.

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menegaskan dalam kitabnya al-Azkar:

Para ulama yang terdiri daripada pakar fiqh, pakar hadith dan lain-lain menegaskan: harus malah digalakkan beramal dengan al-fadhail, al-targhib dan tarhib menerusi hadith dhaif selagi ia bukan hadith maudhu’ (palsu). Manakala hukum seperti halal, haram, jual beli, nikah, talak dan lain-lain yang berhubung dengannya tidak boleh beramal melainkan menerusi hadith sahih dan hasan.

Al-Imam al-Nawawi menegaskan dalam kitab al-Majmu’:

Para ulama menegaskan: hadith mempunyai tiga bahagian iaitu sahih, hasan dan dhaif. Mereka menegaskan lagi: Sesungguhnya hadith yang harus dijadikan hujah (dalil) dalam bidang hukum ialah hadith sahih atau hasan. Manakala hadith dhaif tidak boleh dijadikan hujah atau dalil dalam bidang hukum-hukum dan akidah, tetapi harus meriwayatkan dan beramal dengannya dalam bidang yang lain daripada hukum-hukum, seperti certa-cerita, keutamaan mana-mana ibadah, targhib dan tarhib. (al-Nawawi, Mahyuddin Yahya bin Syaraf, al-Majmu Sharh al-Muhazzab, Mesir; matba`ah al-Imam, jld. 1, hlm. 59)

Syarat-syarat Beramal Dengan Hadith Dhaif

Para ulama telah menetapkan beberapa syarat untuk beramal dengan hadith dhaif. Syarat-syarat itu dapat dilihat dalam kitab-kitab, ungkapan dan perlaksanaan mereka dalam hukum-hukum fiqh. Al-Shakhawi sebagai seorang murid kepada al-Hafiz Ibn hajar telah mencatatkan kata-kata gurunya (Ibn Hajar) seperti berikut:

1. Hadith dhaif yang hendak diamalkan tidaklah terlalu dhaif. Oleh itu, tidak boleh beramal dengan hadith dhaif yang diriwayatkan oleh mana-mana perawi dusta, perawi yang dituduh sebagai pendusta dan mana-mana perawi yang banyak kesalahan dan kesilapan. Al-Hafiz Solah al-Din al-`Alai menegaskan bahawa para ulama telah bersepakat terhadap syarat ini.

2. Hadith dhaif tersebut termasuk di bawah dasar agama yang umum dari segi maksudnya. Oleh itu, terkeluarlah mana-mana hadith palsu yang sama sekali tidak termasuk di bawah mana-mana dasar agama yang umum.

3. Seseorang yang beramal dengan hadith dhaif tidak boleh beriktikad bahawa hadith tersebut adalah thabit daripada Rasulullah, bahkan dia hendaklah iktikad sebagai berwaspada sahaja, supaya dia tidak menyandarkan kepada Rasulullah s.a.w. tentang perkara yang tidak diucapkan oleh baginda.

Sebagai panduan lagi, kami ingin tegaskan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Barangsiapa dengan sengaja berdusta dalam hadith-hadithku, maka bersedialah tempat duduknya dari api neraka.
(hadith sahih Ashab al-Sunan dan Ashab Shahah)

Kalaupun mereka secara tidak langsung mendustakan hadith-hadith Rasulullah s.a.w., mereka dikategorikan sebagai pengikut dalam menyebarluaskan hadith-hadith yang dhaif atau palsu.

Ibn Hibban dalam Sahihnya mengatakan, wajib masuk neraka bagi sesiapa sahaja yang menisbahkan sesuatu kepada Rasulullah s.a.w., padahal dia tidak mengetahui sejauh mana kebenaran hadith tersebut. Seterusnya Ibn Hibban membawa satu dalil:

Nabi s.a.w. bersabda:

Barangsiapa mengutarakan hadith dariku dan diketahui bahawa ia dusta, ia termasuk dalam golongan pendusta. (Riwayat Imam Muslim dari Samurah bin Jindub dan Mughirah bin Syu’bah)

Sehubungan itu, kami ingin menasihati Asaari agar bertaubat dan berhenti daripada terus menggunakan hadith dhaif dan palsu dalam karya-karyanya terutamanya dalam perkara akidah. Kami amat berharap Asaari menarik semula semua karyanya yang tersalah dan membuat pembetulan bertulis.

Tuduhan Asaari melabel ulama hadith sebagai WAHABI adalah tuduhan tidak berasas kerana ulama hadith sepanjang zaman telah menghukum hadith pegangan Asaari sebagai dhaif dan palsu, malah sebelum kelahiran Sheikh Imam Muhammad bin Abdul Wahab rahimahuLlah lagi.


2 Comments:

At 4:59 PM, Blogger muhammad fakhrul razi said...

macam mana pulak bila waktu yaqazah asaari dakwa didatangi rasulullah.. maknenye asaari dah buat hadis baru.. sbb kata dapat dari rasulullah..

minta webmaster siasat dakwaan asaari mendapat mesej dari rasulullah.

 
At 12:41 AM, Anonymous Anonymous said...

Mesej dari Rasulullah tu.. simple ajer penjelasan nya..

Ikut sorang tokoh yang bersama cuba pulihkan abuya dan pengikut dia masa dibawah ISA dulu.. ada lak sipolan ni menurun...

dan Abuya pon berdailog lah ngan suara jin yang sedang menurun dalam tubuh si polan ni...

Suara jin tadi... mengaku dialah rasululllah .. dan memanggil abuya Tuan... ya Tuaaan...

Ikut tokoh tadi... mender siap direkod guna kaset player.. dan orang tertentu jer leh dengo..

Apanya bangang ... menurun pakai jin diguna cara nak berdailog ngan Rasululllah... udah tentu ler jin dan sekutunya yang datang masa menurun...

Dan yang lebih bangang lagi... konon nya Rasulullah panggil abuya Tuan... sah melawan tokey...

Anyway... jazakaAllah pada webmaster atas kupasan kedudukan dan peranan hadith dhaif... satu penulisan yang saya kira nafas baru dalam berbagai bentuk penjelasan dan olahan yang sedia ada..

Semuga Allah terus melindungi, memimpin dan membantu kita semua

wassalam

 

Post a Comment

<< Home