Monday, July 17, 2006

Asaari: Pengikut Hawa Nafsu Dalam Beragama

Isu akidah Asaari dan jemaahnya sangat banyak untuk diperincikan satu persatu. Ia memakan masa yang lama. Malahan, setiap topik yang pernah kami bahaskan sebelum ini, kami tetap akan membincangkannya semula pada masa akan datang dengan membawa perincian nas yang lain.

Pada kali ini, kami terpanggil untuk menerangkan tentang bagaimana Asaari dan ahli jemaahnya menjadi pengikut kepada hawa nafsu dalam berakidah ataupun dalam beragama. Ini maksudnya, mereka hanya berpegang dengan TAFSIRAN SENDIRI yang digelar MINDA ABUYA, sedangkan terdapat banyak perkara yang bercanggah dengan nas al-Quran dan hadith sahih.

Rufaqa menuduh para ulama dan pihak kami sebagai 'pengikut akal' dan 'menyalah gunakan nas mengikut akal semata-mata'. Kami sangat hairan dan pelik dengan tuduhan mereka sedangkan kami berpegang dengan nas yang sahih. Dan ini sangat menjelaskan (seumpama mentari pada tengahari) bahawa mereka adalah golongan yang jahil lagi sombong. Tuduhan ke atas kami itu dibuat bagi memastikan para pengikut Asaari tidak meninggal dirinya kerana sudah ada pengikutnya yang hendak kembali kepada al-Quran dan Sunnah yang sahih.

Kami tegaskan bahawa, pegangan akidah kami dan apa yang kami hujahkan di sini adalah mengikut kerangka akidah ahli Sunnah wal Jamaah sebagaimana yang diajar Nabi kepada para sahabat, sebagaimana yang dipegang oleh para sahabat, tabien dan para pengikut mereka.

Setelah kami meneliti banyak risalah, buku dan majalah terbitan mereka, kami mendapati bahawa mereka menafikan fungsi akal dan mengikut hawa nafsu dalam berakidah dan beragama. Mereka tidak merujuk kepada nas yang sahih, menolak ulama dan tidak pernah merujuk kitab muktabar.

Berikut adalah bukti-bukti Asaari mengikut hawa nafsu dalam beragama:

a. Tidak merujuk dan berpegang dengan hadith-hadith sahih dalam perkara akidah, tetapi lebih menggemari hadith dhaif dan maudhu’ (palsu).
b. Tidak berupaya memahami nas al-Quran mengikut konteks yang betul dan tepat sebagaimana pemahaman para sahabat, tabien atau salafussoleh.
c. Tidak pernah merujuk dan berpegang dengan sebarang kitab tafsir muktabar sebaliknya mentafsirkan ayat Quran secara sembrono mengikut kefahaman dan hawa nafsu sendiri.
d. Tidak boleh menerima pandangan ulama muktabar yang lebih berilmu, memahami dan mendalami nas al-Quran dan hadith.
e. Merosakkan pemikiran pengikut dengan mencipta pelbagai ajaran baru yang tidak pernah wujud dalam agama.
f. Berdalil dengan kaedah pendalilan yang salah yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana ulama Islam dalam sejarah Islam.
g. Memanipulasi nama ulama tertentu untuk membentuk hujah dalam bukunya sedangkan para ulama tersebut tidak pernah berkata atau menulis sebegitu.

Ulasan Kami:

Islam adalah agama sempurna, lengkap dan komprehensif. Apa yang diajarkan Nabi s.a.w. adalah suatu kesempurnaan dan kita tidak boleh menyimpang dari apa yang telah ditetapkan dalam berakidah dan beragama. Allah Ta`ala telah menegaskan kesempurnaan agama-Nya yang bererti juga kesempurnaan nikmat-Nya kepada kita:

“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kalian agama kalian dan Aku telah sempurnakan pula nikmat-Ku atas kalian dan Aku telah redha bahawa Islam menjadi agama bagi kalian.”
(Al-Ma’idah: 3).

Al-Imam Al-Hafidh Abul Fida’ Isma’il bin Katsir Al-Qurasyi ketika menerangkan ayat ini menyatakan: “Ini adalah nikmat Allah yang paling besar terhadap umat ini. Allah telah menyempurnakan agama mereka sehingga mereka tidak lagi memerlukan agama lainnya, dan tidak pula memerlukan Nabi lainnya selain Nabi Muhammad s.a.w. Oleh itu, Allah jadikan baginda sebagai penutup para Nabi dan Allah utus baginda kepada segenap manusia dan jin. Maka tidaklah dikatakan sesuatu itu sebagai perkara yang halal, kecuali apa yang telah dihalalkan olehnya. Demikian pula sesuatu itu tidaklah dikatakan sebagai perkara yang haram, kecuali apa yang telah diharamkan olehnya. Juga tidaklah dinamakan agama, kecuali apa yang telah disyari’atkannya. Dan segala perkara yang diberitakan olehnya, maka telah pasti dia itu adalah benar dan jujur, serta tidak ada unsur dusta dan tidak pula ada unsur membuat-buat berita tentang apa yang tidak pernah terjadi. Hal ini juga telah diberitakan oleh Allah Ta`ala dalam firman-Nya:

“Dan telah sempurna agama Tuhanmu dengan jujur benar dan adil.”
(Al-An’am: 115)

Iaitu jujur dan benar dalam beritanya dan adil dalam segala perintah dan larangannya. Maka ketika Allah sempurnakan agama mereka, jadilah sempurna kenikmatan-Nya atas mereka.” (Tafsir Ibnu Katsir, jilid 3, hlm. 36).


Daripada kenyataan Ibn Kathir ini, jelaslah bahawa agama Islam telah lengkap dan tidak boleh sesiapapun membuat penambahan dalam beragama. Sehubungan itu, Islam mengkelompokkan orang-orang seperti Asaari sebagai ahlul ahwa’ iaitu pengikut kemahuan hawa nafsu. Ini kerana dalam beragama mereka tidaklah terikat dengan dalil dari Al-Qur’an dan Al-Hadits dengan pemahaman para Shahabat Nabi s.a.w., akan tetapi lebih terikat dengan selera hawa nafsu mereka.

Kami mendapati kewujudan Asaari dan orang sepertinya sudah pun diberitakan oleh Nabi s.a.w. menerusi sabdanya:

"Sesungguhnya Allah tidak mencabut suatu ilmu secara sekaligus setelah dianugerahkan kepadamu. Namun Allah akan mencabutnya dari manusia dengan mewafatkan para ulama berserta ilmunya. Maka yang tersisa hanyalah orang-orang jahil. Apabila mereka diminta fatwa, maka mereka memberi fatwa menurut pendapat mereka sendiri. Maka mereka sesat dan menyesatkan." [Hadits Riwayat Al-Bukhari dalam Kitab Al-I'tisham bil Kitab wa Sunnah 8/282. Hadits ini diriwayatkan juga dengan lafaz yang berbeza oleh Imam Muslim, Ahmad, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Abu Daud]

Daripada hadith tersebut membuktikan lagi bahawa hidup berakidah dan beragama mengikut pendapat atau kepala sendiri adalah salah dan Rasulullah s.a.w. menghukum kelompok ini adalah sesat lagi menyesatkan. Apa yang Rasulullah s.a.w. tegaskan ialah ikutlah ulama kerana mereka membawa ilmu yang diwarisi dari baginda dengan dalil dan tafsiran yang sahih!

Al-Imam Al-Aajurri (Asy-Syari’ah, jilid 5, hlm. 2540 Bab Zikru Hijrati Ahlil Bida’i wal Ahwa’ie) menghimpunkan wasiat-wasiat para Imam Ahli Sunnah wal Jamaah tentang bagaimana menghukum kumpulan ajaran sesat dan pengikut hawa nafsu serta bagaimana menjaga diri dari bahaya mereka. Antaranya sebagaimana berikut:

Abu Qilabah rhm.a. menyatakan: “Sesungguhnya ahlul ahwa’ adalah ahlu dhalalah (orang-orang yang sesat). Dan aku tidak melihat jalan yang mereka tempuh kecuali ke neraka.”

Al-Imam Abu Utsman Isma’il bin Abdurrahman As-Shabuni rhm.a. menerangkan: “Janganlah saudara-saudaraku hairan dengan banyaknya jumlah ahli ahwa’. Kerana banyaknya Ahlul Bathil (pengikut ajaran sesat) itu dan sedikitnya Ahlul Haq (pejuang kebenaran) adalah termasuk dari tanda-tanda dekatnya hari kiamat. Hal ini sebagaimana telah diberitakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabda baginda:

“Sesungguhnya termasuk dari tanda-tanda akan terjadinya hari kiamat dan dekatnya ialah ketika sedikitnya penyebaran Ilmu dan banyaknya kejahilan.” (Hadith Riwayat As-Shabuni dalam kitab Aqidatis Salaf wa Ash-habul Hadits hlm. 124, no. hadits 177 dari Anas bin Malik)


Dan Ilmu yang dimaksud dalam hadits ini adalah As-Sunnah (ajaran-ajaran Nabi Muhammad s.a.w.). Sedangkan yang dimaksud kejahilan itu adalah kesesatan.” (Aqidatus Salaf Ashabil Hadits, Al-Imam Abi Utsman Isma’il bin Abdurrahman As-Shabuni, hal. 124 riwayat ke 177 – 178).


Al-Imam Ibnu Abi Zamanin rhm.a. dalam kitabnya Ushulus Sunnah, meriwayatkan dari Mus’ab bin Sa’ad bin Abi Waqqas r.a., beliau menceritakan:

“Ayahku (Sa’ad bin Abi Waqqas r.a.) berwasiat kepadaku: “Wahai anakku, janganlah engkau duduk bersama-sama dengan orang yang terkena fitnah (fitnah kesesatan). Kerana duduk bersama dengan orang sedemikian, kamu akan terkena salah satu dari dua kemungkinan; iaitu: Kemungkinan dia akan menggelincirkan engkau dari jalan kebenaran, atau kemungkinannya akan menjadikan hatimu dijangkiti penyakit (penyakit ragu kepada kebenaran).” (Ushulus Sunnah, Al-Imam Abu Abdillah Muhammad bin Abdullah Al-Andalusi Ibnu Abi Zamanin, hlm. 302, riwayat ke 235).

Kami mendapati Rasulullah s.a.w. juga bersabda:

“Akan ada di akhir zaman nanti para dajjal dan pendusta, mereka mendatangimu dengan hadits-hadits yang belum pernah didengar oleh kamu dan bapa-bapa kamu. Maka berhati-hatilah kamu dari mereka, jangan sampai mereka menyesatkan kamu dan menimbulkan fitnah terhadapmu.” (Hadith Sahih Muslim dalam Muqaddimah)

Apabila membaca hadith di atas, kami merasa sangat sedih. Betapa banyak hadith palsu yang dipegang oleh Asaari. Betapa banyak 'mesej-mesej' dari 'Rasulullah' yang diperjuangkan oleh Asaari. Semuanya palsu dan berdusta atas nama Nabi s.a.w.

Sehubungan itu, kami menyeru kepada Asaari dan pengikutnya, janganlah mengikuti HAWA NAFSU dalam berakidah dan beragama. Ikutlah nas al-Quran dan hadith yang sahih. Terimalah dakwah kami ini dengan hati terbuka.

1 Comments:

At 7:24 PM, Blogger mfrstudio said...

mungkin webmaster dapat kumpulkan serba sedikit tafsiran asaari terhadap ayat-ayat quran mengikut hawa nafsu.. dan tidak mengikut kaedah mentafsir dalil sepertimana yang diamalkan ulama.. boleh rujuk buku-buku asaari.

ini supaya dapat mengukuhkan lagi hujah entri ini.

 

Post a Comment

<< Home