Thursday, July 06, 2006

Hentikan Penggunaan Perkataan ‘Tuhan’

Antara perkara akidah Asaari dan Jemaah Aurad Muhammadiah yang wajib ditegur ialah kegemaran dan ke'obses'an mereka menggunakan kalimah 'Tuhan' sebagai ganti kepada kalimah Azza wa Jalla yang besar lagi hebat iaitu Allah.

Hasil penelitian kami terhadap karya Asaari dalam bentuk manuskrip, buku-buku dan bahan bercetak yang lain, kami dapati Asaari mula menggunakan perkataan TUHAN sebagai ganti kalimah Allah selepas penubuhan Rufaqa. Ia bermula selepas ISA kedua dan sajak Asaari sudah mula menggunakan perkataan TUHAN. Senario ini semakin hebat lagi apabila kumpulan nasyid mereka (Mawaddah), menyanyikan lagu yang hanya menyebut perkataan TUHAN sebagai ganti ALLAH. Tambahan lagi, semua lirik itu ditulis oleh Asaari dan hampir semua artikel, kuliah yang disampaikan dan dalam perbualan harian, mereka menggunakan perkataan TUHAN sebagai ganti kalimah ’ALLAH’. Ramai masyarakat yang terpesona kononnya Asaari dan Jemaahnya sedang MEMPERJUANGKAN TUHAN. Lalu, pelbagai bahan tarbiyah disebarkan kononnya untuk menyebarkan rasa bertuhan dan rasa kehambaan.

Apakah hujah Asaari untuk dia menggunakan perkataan TUHAN sekaligus menggantikan kalimah lafz al-Jalalah iaitu ALLAH?

Asaari berpendapat (tidak layak untuk menggunakan ijtihad), bahawa dia hendak supaya golongan masyarakat BUKAN Islam turut sama merasa bertuhan. Dengan menggunakan perkataan TUHAN, akan turut mendekati lebih ramai orang bukan Islam kerana mereka juga ada agama dan Tuhan. Ini bermakna, dengan menggunakan perkataan TUHAN, orang Islam dan bukan Islam akan dapat menerima MINDAnya.

KEKELIRUAN ASAARI DALAM MEMAHAMI TAUHID

Terdapat beberapa implikasi apabila Asaari dan Jemaahnya menggunakan perkataan TUHAN sebagai ganti kalimah ALLAH:

A. Pengikutnya lebih gemar menyebut perkataan Tuhan dalam kehidupan seharian dalam apa jua keadaan seperti perbualan harian, berdoa dan urusan ibadah lain.
B. Menyamakan konsep Tuhan antara orang Islam dan bukan Islam. Ini kerana Asaari hanya menyebut perkara-perkara yang bersifat Tauhid Rububiyah iaitu pengakuan adanya Tuhan. Sesungguhnya, konsep pengakuan adanya Tuhan ini telah ada dalam setiap individu sama ada beriman atau tidak.

Setakat ini, (Setelah penubuhan RUFAQA) tidak ada bukti masyarakat bukan Islam tertarik memasuki Islam dan beriman kepada ALLAH hanya kerana terpesona dengan kaedah Asaari menggunakan perkataan TUHAN. Kalau setakat datang berziarah dan bersimpati, mereka semuanya mempunyai niat lain seperti prospek perniagaan dan sebagainya.

Untuk membincangkan perkara ini, kami ingin menjelaskan bahawa para ulama Ahli Sunnah seperti Imam Shafie dan Imam Ibnu Abil Izz mengklasifikasikan tauhid kepada 3 iaitu:
1. Tauhid Rububiyyah
2. Tauhid Uluhiyyah
3. Tauhid Asma' wa sifat
(Sila lihat kitab Manhaj Aqidah Imam Shafie; terbitan Pustaka Imam Shafie untuk keterangan lanjut. Inilah pegangan akidah Imam dan mazhab Shafie dan Salafusoleh)

Apakah maksud Tauhid Rububiyah? Iaitu mengEsakan Allah dengan perbuatan-perbuatan-Nya, menyakini bahawa Allah adalah Pencipta seluruh makhluk, Pemberi rezeki, yang menghidupkan dan mematikan. Jika seseorang meyakini tauhid jenis ini, tidak akan menyebabkan seseorang keluar dari keadaan syirik dan masuk ke dalam Islam. Ia juga tidak menjadikan haram darahnya serta tidak menjadikannya selamat dari neraka. Ini kerana Tauhid Rububiyah ini ada pada setiap makhluk, sama ada beriman atau tidak. Lihatlah orang-orang Kristian, buku-buku dan ceramah mereka bercerita perkara yang sama iaitu bercerita tentang kasih sayang Tuhan, Tuhan sebagai pemberi rezeki, Tuhan sebagai pemelihara dan sebagainya. Rasa-rasa ini semuanya telah ada pada setiap manusia. MAKA PERLU APA MEMPERJUANGKAN RASA BERTUHAN? Yang wajib diperjuangkan ialah mengimani Allah S.W.T sebagai Rabb sekaligus menafikan Tuhan selain Allah S.W.T dan pembersihan daripada unsur syirik dan kufur.

Lihatlah dalil berikut yang membuktikan bahawa orang-orang musyrikin juga percaya bahawa Allah S.W.T adalah TUHAN mereka;

"Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka siapakah yang menciptakan langit dan bumi, tentu mereka akan menjawab, "Allah," tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya" (Luqman: ayat 25)

"Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, dan siapakah yang berkuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan siapakah yang mengatur segala urusan, maka mereka akan menjawab Allah, maka katakanlah mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-Nya). Maka (Zat yang demikian) itulah Allah tuhan kamu yang sebenarnya maka tidak ada sesudah kebenaran itu melainkan kesesatan. Maka bagaimanakah kamu dipalingkan(dari kebenaran)" (Yunus : ayat 31-32)

Hujah ini menyanggah pendapat Asaari bahawa perkataan TUHAN digunakan untuk mendekati golongan non-Muslim. Pendapat ini adalah salah kerana TAUHID RUBUBIYAH tidak perlu diperjuangkan. Ia ada pada semua jiwa manusia sama ada beriman atau tidak.

Yang perlu diperjuangkan ialah Tauhid ULUHIYAH. Iaitu tauhid yang menjadikan Allah S.W.T sebagai TUHAN yang sebenar dan yang berhak disembah dan TIDAK BOLEH DISEKUTUKAN. Tidak dikongsi oleh orang Kafir. Kita wajib berdakwah kepada non muslim untuk beriman kepada Allah S.W.T dan membersihkan akidahnya dari kekufuran. Ini kerana dakwah Asaari dengan menyebut TUHAN hanya tertumpu kepada elemen RASA BERTUHAN. BUKANNYA MENYEMBAH DAN MENGESAKAN TUHAN. Ini jelas membuktikan Asaari telah tersalah dan tersasar dan tidak memahami perjuangan dakwah Tauhid Nabi Muhammad s.a.w.

Ini dibuktikan dengan firman Allah S.W.T:

“Dan sungguh Kami telah mengutus para rasul pada setiap umat (untuk menyeru) agar beribadah hanya kepada Allah dan menjauhi thoghut (sesuatu yang disembah selain Allah), maka di antara mereka ada yang mendapatkan petunjuk dari Allah, dan ada pula yang telah pasti kesesatannya. Maka berjalanlah kalian di muka bumi, dan lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (menentang para rasul dan mendustakan Al-Haq)”.( Nahl: 36)”

“Dan tidaklah kami mengutus seorang Rasul sebelum kamu kecuali telah diwahyukan kepadanya bahwa sesungguhnya tidak ada Ilaah (sembahan yang berhak untuk diibadahi) kecuali Aku (Allah). Maka beribadahlah kalian kepada-Ku.” (Al Anbiya’:25)

Inilah bukti jelas bahawa kaedah dakwah Asaari telah tersasar kerana Asaari tidak memahami Akidah Islamiyah yang dipegang oleh para Rasul, sahabat dan tabien dan tabi’ tabien. Kami menyeru supaya Asaari bertaubat dan meningkatkan dakwahnya dari tahap TAUHID RUBUBIYYAH KE TAUHID ULUHIYYAH.

PENGGUNAAN KALIMAH TUHAN SEBAGAI GANTI KALIMAH ALLAH

Seterusnya, kami menyanggah pendapat Asaari dengan hujah-hujah berikut:
1. Allah adalah nama yang paling terkenal bagi Tuhan s.w.t.
2. Allah adalah nama yang paling agung menurut pendapat terkuat.
3. Allah SWT memperkenalkan dirinya dengan nama ALLAH.
4. Allah SWT meminta kita memohon kepadanya dengan menggunakan nama ini (ALLAH)

1. Allah adalah nama yang paling terkenal bagi Tuhan s.w.t.

Prof. Dr. Umar Sulaiman al-Asyqar menyatakan: “Semua orang, dengan perbezaan warna kulit, baik yang pintar mahupun yang bodoh, berbangsa Arab mahupun tidak, pasti mengetahui bahawa ALLAH adalah nama bagi Tuhan semesta alam yang menciptakan langit dan bumi yang memberi kehidupan dan kematian. Tuhan bagi segala sesuatu serta memilikinya. Mereka tidak berbeza pendapat untuk mengakui bahawa nama yang dimaksudkan adalah ALLAH. Nama ALLAH adalah nama yang paling tekenal bagi mereka berbanding setiap nama yang dimiliki Allah SWT. (Lihat al-Asma’ al-Husna, hlm. 21)

Malahan kaum kafir musyrikin turut mengenal nama Allah S.W.T, sebagaimana firman Allah:

Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka, pastilah mereka menjawab: “Allah”, maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah)? (az-Zukhruf: 87)

Imam Khathabi mengatakan: “Nama yang paling terkenal dan luhur di antara nama-nama yang dimiliki oleh Tuhan s.w.t., yang digunakan sebagai doa adalah Allah SWT, yang dijadikan oleh-NYA sebagai pemimpin dari beberapa nama. Dengan nama itu, Dia mengkhususkan akan kalimat ikhlas, persaksian dan menjadi syiar keimanan. ALLAH adalah nama terlarang. Tidak ada seorang pun yang berhak menggunakan nama itu. Telah dicabut oleh-Nya dari beberapa lisan sehingga tidak ada yang diseru dengan ALLAH kecuali DIA.(Lihat Sya’nu al-Du`a; hlm. 31).

2. Allah Adalah Nama Yang Paling Agung Menurut Pendapat Terkuat

Imam al-Qurtubi mengatakan, nama ini adalah nama yang paling besar di antara nama-nama-Nya dan mencakup keseluruhan nama-nama itu, sehingga sebahagian ulama mengkategorikan nama tersebut sebagai nama Allah S.W.T yang paling agung (ismu-llah al-a`azham) yang hanya berhak digunakan oleh ALLAH, sehingga tidak boleh ditathniyahkan (bentuk kata yang menunjukkan erti dua) atau dijamakkan (plural). ALLAH adalah nama yang menunjukkan YANG ADA, YANG HAK, YANG MELIPUTI SEMUA SIFAT KETUHANAN DAN RUBUBIYYAH. YANG SENDIRI, YANG TIADA TUHAN SELAIN DIA. (Lihat al-Qurtubi: 1/102)

Pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w. mendengar para sahabatnya berdoa dengan membaca beberapa doa. Baginda menjelaskan kepada para sahabat bahawa doa yang mereka baca itu adalah doa-doa yang mengandungi nama ALLAH yang paling agung, yang jika diseru dengan doa tersebut maka Allah S.W.T akan memenuhinya, dan jika diminta maka Dia akan memberinya.

Rasulullah pernah mendengar Sahabat berdoa:

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, Aku bersaksi bahawa Engkau adalah ALLAH, tiada Tuhan selain Engkau, Zat yang Esa, tempat bergantung, yang tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tidak ada seorang pun yang menyamai-Nya.” Rasulullah kemudian bersabda: “Demi Zat yang di jiwaku berada dalam genggaman-Nya, dia benar-benar berdoa dengan menggunakan nama ALLAH yang agung, yang jika DIA diseru maka DIA akan menjawab dan jika diminta, maka DIA akan memberi. (Hadith Sahih, Sunan al-Tirmizi, No. 2763, dan Sunan Abu Daud: 1493)

Hal ini menguatkan bahawa ALLAH adalah nama yang agung di antaranya ialah:

a. Nama tersebut adalah nama bagi Zat yang Esa sebagaimana yang terdapat dalam beberapa hadith yang menerangkan tentang nama ALLAH yang paling agung.
b. Nama tersebut banyak sekali disebut dalam al-Quran sebanyak 2724 kali.
c. Nama-nama lain yang dimiliki oleh Allah apabila disebutkan secara bersamaan dengan nama ini (ALLAH), maka kedudukannya hanya sebagai sifat, sehinGga kita akan mengatakan, “Di antara sifat-sifat Allah SWT adalah al-Hakim dan al-Karim.”
d. Nama ALLAH menetapi beberapa makna yang terdapat dalam al-Asma al-Husna, yang dapat menunjukkan terhadap nama-nama tersebut secara global. Setiap nama-nama Allah SWT atau sifat-sifat-Nya adalah penjelas bagi sifat-sifat Allah yang bersifat uluhiyyah (keTuhanan) yang kalimah nama ALLAH diambil dari-Nya. Nama ini juga menunjukkan bahawa ALLAH adalah Zat yang disembah, yang dianggap oleh makhluk sebagai Tuhan yang mereka cintai, tunduk serta segera memohon kepada-Nya atas segala keperluan. (Lihat Madarijul Salikin; jld. 1, hlm. 56)

3. Allah SWT memperkenalkan dirinya dengan nama ALLAH

Allah SWT seringkali mengenalkan diri kepada hamba-Nya dengan nama ALLAH. Di antaranya kepada Nabi Musa a.s. ketika baginda diutus oleh Allah kepada kaumnya. Ketika itu, Nabi Musa kembali dari Madyan untuk menemui keluarganya, maka dalam perjalanannya pada malam yang gelap, tiba-tiba baginda berkata kepada keluarganya:

"Tunggulah di sini. Sesungguhnya aku melihat api. Mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu dari tempat api itu atau membawa seluruh api, agar kamu dapat menghangatkan badan. Maka, tatkala Musa sampai di tempat api itu, diserulah dia dari arah pinggir lembah yang diberkati, dari sebatang pohon kayu, ”Ya Musa, sesungguhnya Aku adalah ALLAH, Tuhan semesta alam.” (Surah al-Qashash: 30)

Allah S.W.T kemudiannya berfirman kepada Nabi Musa a.s.; "dan Aku telah memilih kamu, maka dengarkanlah apa yang diwahyukan (kepadamu). Sesungguhnya Aku ini adalah ALLAH. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain AKU, maka sembahlah AKU.” (Thaha: 13-14).

4. Allah SWT meminta kita memohon kepadanya dengan menggunakan nama ini (ALLAH)

Nama ALLAH, kebanyakkannya diseru dan dipanggil dengan menggunakan kalimah ALLAHUMMA. Makna dari kalimah ini ialah WAHAI ALLAH. Oleh itu, kalimah ALLAHUMMA tidak digunakan selain hanya untuk memohon.(Lihat al-Tafsir al-Qayyim: hlm. 202)

Rasulullah s.a.w. menggunakan kalimah ALLAHUMMA ketika baginda berdoa kepada Allah S.W.T. Di antaranya ialah:

a. Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas yang menceritakan bahawa sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ketika berdoa, baginda mengucapkan:

"Wahai ALLAH, jadikanlah cahaya di hatiku, di sisi kananku, sisi kiriku, di atasku, di bawahku, di belakangku, dan di depanku." (Hadith Sahih Bukhari; No. 3116)

b. Diriwayatkan dari Ubay bin Aufa r.a., Rasulullah suatu ketika berdoa atas sekelompok orang-orang kafir dengan berucap; “Allahumma, Zat yang menurunkan Kitab, yang cepat dalam menghitung amal, hancurkanlah kelompok itu, hancurkan dan porak perandakan mereka.” (hadith Sahih Bukhari, 6392)

Terlalu banyak ayat al-Quran dan hadith dalam bentuk doa yang menyebut kalimah ALLAHUMMA.

Sehubungan itu, kami menyeru kepada Asaari supaya menghentikan penggunaan kalimah TUHAN sebagai gantian kepada lafzul Jalalah iaitu ALLAH. Janganlah perkataan TUHAN dijadikan basahan lidah, kerana ia tidak termasuk zikir yang berpahala. Kalimah TUHAN hanya relevan untuk digunakan pada konteks ayat yang memerlukannya seperti; ”orang-orang kafir menyembah Tuhan mereka yang disangka Tuhan.”

Selain itu, kami nasihatkan agar alasan yang diberikan biarlah berdalil dan ilmiah. Kerana agama itu tertegak dengan nas al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Bukan dengan pendapat peribadi.

1 Comments:

At 2:28 AM, Anonymous Anonymous said...

baguih ah tu guna Tuhan...takyah dia tsabitkan ALLAH dgn perkara yg tidak layak..ALLAH Maha Suci

 

Post a Comment

<< Home