Monday, June 26, 2006

Bolehkah Menentukan Seseorang sebagai Imam Mahdi?

Asaari telah menetapkan bahawa Jemaahnya berjuangan mengikut skrip Tuhan iaitu kononnya hendak mencari Imam Mahdi dan berjuang untuk menyediakan tapak untuk Imam Mahdi memerintah. Sehubungan itu, Asaari telah mendakwa dirinya sebagai pembantu Imam Mahdi dan ‘akan mengayuh sampan’ walaupun tinggal seorang diri. Daripada konsep Imam Mahdi ini, ia telah mencetuskan pelbagai bentuk kesesatan yang menakutkan dan mencemarkan akidah yang suci yang telah banyak dibincangkan dalam entri sebelum ini.

Tentang kemunculan Imam Mahdi, sebenarnya tidak disebut atau dijelaskan di dalam al-Quran, baik tentang asal keturunannnya, tempat lahirnya, salasilahnya atau tentang tugasnya yang sebenar. Dalam kitab hadith sahih al-Bukhari, Sunan al-Nasa`i dan Sunan al-Darimi juga tidak terdapat satu pun hadith tentang Imam Mahdi. Begitu juga dalam kitab hadith Sahih Muslim, yang ada hanya pada hadith umum sahaja yang memberitahu bahawa pada akhir zaman nanti akan muncul khalifah Islam yang melaksanakan pemerintahannya dengan adil dan saksama. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Akan ada pada akhir umatku nanti seorang khalifah yang mengaut harta dengan banyak (untuk membahagaikan kepada orang ramai) dan tidak mmebilangnya sama sekali. (Muslim, Sahih, Kitab al-Fitan wa Ashrat al-Saah, No. 5191)

Bagaimanapun, terdapat banyak kitab hadith yang memuatkan mengenai kemunculan Imam al-Mahdi. Seperti kitab Sunan Abi Daud, Sunan al-Tirmizi, Sunan Ibn Majah, Musnad Imam Ahmad bin Hambal, al-Mustadrak li al-Hakim dan lain-lain. Kitab-kitab hadith seperti yang telah disebutkan ini meriwayatkan hadith dengan disandarkan kepada para sahabat Nabi.

Hadith yang berkaitan dengan Imam Mahdi terbahagi kepada empat jenis:

1. Hadith-hadith dusta, palsu dan tidak ada asalnya.
2. Hadith-hadith dhaif atau lemah.
3. Hadith-hadith hasan tetapi akhirnya sampai ke darjat sahih iaitu kesahihan yang dicapai kerana adanya hadith-hadith lain yang senada dengannya.
4. Sebahagian ulama ada yang mengatakan bahawa ada hadith yang sahih pada zatnya sendiri.

Antara hadith sahih yang menceritakan tentang Imam Mahdi:

Dunia ini tidak akan berakhir (kiamat), sehingga seluruh Arab dimilikinya (diperintah) oleh seorang lelaki dari kalangan keluargaku, namanya seperti dengan namaku.
(Imam Ahmad, Musnad, J. 4, 126; Abu Daud, Sunan, Kitab al-Mahdi, No. 4282; al-Tirmizi, Sunan, Kitab al-Fitan, No. 2231)

Sekiranya hanya tinggal satu hari sahaja dari umur dunia pasti Allah akan menghantar seorang daripada ahli keluargaku, ia akan memenuhi dunia ini dengan keadilan sebagaimana dunia sebelumnya dipenuhi kezaliman.
(Abu Daud, Sunan, Kitab al-Mahdi, No. 4283)

Meskipun hadith-hadith mengenai kemunculan Imam al-Mahdi itu diriwayatkan dengan sanad-sanad yang lengkap, tetapi ia tidak terlepas daripada kritikan ulama hadith. Sayyid Rasyid Redha menyatakan bahawa riwayat berkenaan dengan kemunculan Imam Mahdi tidak terlepas sanadnya daripada orang Syiah. Sehubungan itu, Imam Bukhari dan Imam Muslim tidak meriwayatkannya kerana mereka begitu tegas dalam menjaga kesahihan hadith.

Sementara itu, Ibn Khaldun pula telah mengumpul sejumlah hadith berkenaan Imam al-Mahdi di dalam kitab Muqaddimahnya dan membahas serta menganalisa hadith berkenaan. Akhirnya beliau mendapati bahawa sanad-sanadnya tidak terlepas daripada bantahan kecuali sedikit sahaja. (Ibn Khaldun, Muqaddimah, hlm. 298). Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa masalah ini adalah mashsyur dan diterima oleh kebanyakan umat Islam bahawa pada akhir zaman nanti akan muncul seorang insan daripada keluarga Nabi Muhammad s.aw. demi memperkuatkan Islam dan menegakkan keadilan dan memerangi dajjal.

Para ulama seperti Ibn Kathir, Imam al-Sayuti, Ibn hajar al-Haitami, Sayyid Sabiq, Daud al-Fatani, Zainal Abidin al-Fatani, alGhazali, semuanya meletakkan masalah kemunculan Imam al-Mahdi ini sebagai tanda besar hampirnya kiamat. Sekiranya pendapat para ulama ini boleh diterima, maka dapatlah dirumuskan bahawa kemunculan Imam al-Mahdi ini bukan masalah yang boleh diijtihadkan, diramal atau didakwa seperti yang berlaku di kalangan sesetengah kumpulan yang menggelarkan diri mereka sufi seperti Rufaqa. Ini kerana ia adalah masalah ghaib yang berkait rapat dengan berlakunya hari Kiamat, yang tidak diketahui hakikat sebenarnya kecuali Allah. Berdasarkan kenyataan ini, dapatlah ditegaskan bahawa konsep Imam al-Mahdi yang diperjuangkan oleh Asaari adalah tidak benar.

Berikut adalah hujah Asaari:

Asaari berpendapat bahawa Imam Mahdi adalah masalah khilafiah yang boleh diijtihadkan, diramal dan boleh ditentukan tarikh kemunculan dan penabalannya.

Asaari juga mendakwa Imam Mahdi telah dilahirkan dan dia ialah Syeikh Suhaimi yang lahir pada tahun 1259 Hijarah dan bakal menjadi Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu. Sheikh Suhaimi diyakini tidak mati, malah masih hidup dengan menghilangkan diri buat seketika, menunggu masa perlantikannya dan akan muncul semula. (lihat Asaari Muhammad, Aurad Muhammadiah Pegangan Darul Arqam, 1986, 170)

Konsep Imam Mahdi yang diperjuangkan oleh Rufaqa dan Asaari seperti yang dinyatakan di atas, sememangnya tidak terdapat dalam mana-mana hadith sahih, malah ia bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Kebanyakan para ulama Ahli Sunnah, mempercayai bahawa Imam Mahdi akan lahir daripada umat ini. Tarikh dan siapa orangnya tidak diketahui oleh sesiapaun, kecuali Allah. Ini kerana ia merupakan perkara ghaib dan berkaitan dengan berlakunya kiamat. Kalaulah tarikh hari kiamat hanya dalam pengetahuan Allah, dan tidak diketahui oleh sesiapaun, maka tarikh kemunculam Dajjal, Yakjuj dan Makjuj, penurunan Nabi Isa, kemunculan Imam Mahdi, yang semuanya ini merupakan tanda-tanda besar berlakunya kiamat juga tidak diketahui oleh sesiapaun walaupun dia seorang wali. Apatah lagi kalau sekadar berlagak seperti wali.

Mengenai kenyataan Rufaqa bahawa Imam Mahdi telah lahir ke dunia ini dan mempercayai bahawa Syeikh Suhaimi yang lahir sekitar 160 tahun yang lalu itu masih hidup dan akan muncul sebagai Imam al-Mahdi adalah tidak benar. Ini kerana kepercayaan bahawa Imam Mahdi sudah lahir, tetapi hilang buat seketika, tidak terdapat dalam akidah ahli Sunnah wal Jamaah. Sebaliknya, ia hanyalah kepercayaan puak Syiah. Kepercayaan seperti ini ditentang dan ditolak sama sekali oleh ulama ahli Sunnah. Ibn Hajar al-Haytami umpamanya, ketika ditanya mengenai satu kumpulan yang mempercayai atau mendakwa bahawa seorang lelaki yang telah manti 40 tahun lalu adalah Imam Mahdi yang dijanjikan akan lahir di akhir zaman. Apakah betul dakwaan itu? Jawab beliau; kepercayaan seperti itu adalah batil, sesat yang keji dan jahil.

Sementara itu, Ibn Kathir pula, ketika mengulas mengenai tajuk berkenaan, menegaskan bahawa orang yang mendakwa atau mempercayai Imam Mahdi itu telah lahir di dunia ini dan mempercayai ia wujud sekarang dan hanya menunggu akan kemunculannya sahaja, adalah dakwaan orang jahil dari kalangan puak Syiah pelampau, ia merupakan kepercayaan karut dan tidak ada dalil yang sahih, sama ada daripada al-Quran, Sunah mahupun logik akal.

Dalam kes ini, tidak keterlaluan dikatakan bahawa Asaari telah terpengaruh dengan ajaran Syiah sama ada secara sedar atau tidak. Terlalu banyak persamaan ajaran Asaari dengan ajaran Syiah walaupun Asaari telah menulis sebuah buku Bahaya Syiah. Hakikatnya, buku itu ditulis bukan dengan ilmunya kerana dia tidak membaca kitab turath Syiah, tetapi dibantu oleh para pemimpin kanannya dahulu. Isu persamaan Syiah dan Aurad Muhammadiah akan kami kupas pada entri yang akan datang.

Puak Syiah Imam Dua Belas mempercayai imam mereka yang ke-12, Muhammad al-Mahdi ibn Hasan al-Askari, yang lahir di Baghdad para 255H itu tidak mati sehingga hari ini, dia hanya ghaib di Gua Samra di Iraq buat seketika sementara menunggu masa kemunculan sebagai Imam Mahdi. Meneurt aqidah mereka, beliau sentiasa berhubung dengan orang Syiah, memberi arahan tentang apa yang mesti dibuat. Dalam kes ini, samalah seperti Asaari yang mendakwa kononnya Syeikh Suhaimi masih hidup dan selalu datang beryaqazah dengannya dan memberi beberapa taklim dan arahan mengenai jemaahnya.

Menurut al-Sihi, berlakunya dakwaan dan konsep mengunggu kemunculan Imam Mahdi di kalangan sesetengah golongan tarekat sufi sememangnya terpengaruh dengan ajaran Syiah. Orang pertama yang mencetuskan falsafah menunggu kemunculan Imam Mahdi dalam ajaran tarekat yang sesat ialah Hussin bin Mansur al-Hallaj (858-921M). Bermula dari itu, falsafah menunggu kemunculan Imam Mahdi tersebar luas dalam kelompok ajaran tarekat yang sesat (Kecuali kumpulan tareqat yang berada di atas turuq sufiyyah yang sahih).

Oleh itu, tidak hairanlah selama 14 abad yang lalu, terdapat berpuluh-puluh orang diramal atau mendakwa sebagai Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu kedatangannya sama ada di kalagnan puak Syiah mahupun yang mengaku dirinya bermazhab Sunni. Sejarah juga menunjukkan bahawa kesemua yang diramal atau yang mendakwa sebagai Imam al-Mahdi itu telah kecundang dan berdusta atas nama rasul.

Dalam hal ini, Ibn Khaldun dan al-Mawdudi amal kesal terhadap sesetengah golongan tarekat sufi yang menanggap bahawa Imam Mahdi itu akan muncul di kalangan syeikh-syiek tarekat mereka. Mereka begitu asyik memikirkan tentang Imam Mahdi sehingga ada di kalangan mereka yang berani menentukan tarikh, orangnya dan tempat kemunculannya dengan hanya berdasarkan teori yang bersumberkan kasyaf palsu tetapi waktu, tempat dan orang yang diramalkan itu tidak pernah berlaku.

Sebenarnya, kenyataan dan ramalan yang dibuat berhubung dengan kemunculan Imam Mahdi ii tidak berdasarkan dalil yang sahih menurut akidah ahli Sunnah wal Jamaah. Malah dakwaan itu berlaku adalah berdasarkan gagasan dan khayalan semata-mata. Banyak waktu mereka dihabiskan untuk perkara ini tanpa sebarang faedah. Ketahuilah bahawa, “Sederhana dalam mengerjakan Sunnah, lebih baik daripada berijtihad dalam berkara bid’ah,” jelas Ibn Mas’ud r.a.

Syeikh Uthaimin menegaskan dalam koleksi fatwanya; Imam Mahdi yang dijelaskan dalam hadith sahih itu adalah manusia dari kalangan anak Adam dan lain-lain, yang diciptakan dan dilahirkan pada waktunya, yang keluar kepada manusia pada waktunya. Itulah dia al-Mahdi, mengingkarinya secara mutlak adalah salah dan menetapkannya secara mutlak adalah salah.dengan demikian, menetapkan seseorang menjadi Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu adalah salah kerana menyakini Mahdi yang tersembunyi itu dengan menunjukkan orang tertntu adalah tidak masuk akal, sesat dalam syariat dan tidak ada sumbernya. Tetapi, meyakini Imam Mahdi yang diberitakan Nabi s.a.w. yang banyak diriwayatkan dalam hadith dan yang dilahirkan pada waktunya dan keluar pada waktunya adalah benar.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home