Thursday, June 01, 2006

SAJAK ASAARI: Perjuanganku

Tuhan! Lebih kurang 30 tahun aku berjuang
Menyedarkan dan mengumpulkan umat untuk berada di dalam satu jemaah dan satu barisan
Ia telah berlalu dan berlaku berbagai-bagai tahap dan peringkat
Tahap pertama, berdakwah secara rambang, kedua melalui pendidikan ilmu dan akal, ketiga melalui ilmu dan hati
Sepanjang 30 tahun itu ujian demi ujian telah berlalu dan berlaku
Sama ada secara individu mahupun secara jemaah
Ia berlaku secara kecil-kecilan dan besar-besaran
Yang terbesar berlaku tahun 1994 iaitu pengharaman dan tangkapan
Maka tertapis dan tersaringlah di kalangan anggota jemaah
Yang terpelanting itu termasuk orang-orang penting dan sebahagian pemimpin utama
Bahkan mereka menentang pula dan bekerjasama dengan musuh jemaah
Pernah di suatu masa sekitar setahun aku tinggal keseorangan bersama keluarga di dalam rumah
Bahkan ada di kalangan keluarga yang sudah renggang dan memandang sepi
Tapi aku bersyukur kepada-Mu Tuhan, di waktu itu aku tidak melatah
Aku diberi ketenangan dan mempunyai satu keyakinan, menunggu bahawa ada masa perjuanganku akan bangun kembali kali kedua
Di waktu itu aku berpeluang mendidik anak-anak dibantu oleh para isteri yang setia
Terutama Ummu Jah dan Ummi Nur menjadi orang kananku
Sekarang; Tuhan, Engkau takdirkan aku dapat mengutip semula anak-anak didikan yang telah berpecah-belah
Aku didik mereka melalui ilmu dan hati
Ilmu itu Engkau juga yang memberi dengan berkat Rasul-Mu dan Imam Mahdi-Mu
Rupanya kebangkitan kali kedua ini walaupun nampaknya tidak semeriah dahulu
Tapi ia ‘makan dalam’, kesannya sungguh mengkagumkan
Di dalam ketenangan itu ia berjalan dengan laju
Perpaduan dan kasih sayang lebih erat dan teguh dari dahulu
Rasa bertuhan mula berbunga, sembahyang malam sudah mula menjadi kebiasaan
Pengorbanan anggota lebih laju dan ikhlas dari sebelumnya
Projek-projek telah mula merecup tumbuh bak cendawan di musim hujan
Kelihatan rahmat dan barakah mula melimpah ruah
Para simpati dari hari ke hari bertambah ramai
Yang datang itu berbagai-bagai golongan
Termasuk kaum Cina yang belum Islam
Tuhan, aku harap tahap yang ketiga ini janganlah dipisahkan lagi kami
Biarlah mereka yang ada ini walaupun sedikit termasuk pemimpinnya terus jadi
Aku harap Tuhan, yang ada ini biarlah jadi tapak kepada Daulah
Seterusnya ia akan jadi tapak pula kepada Ummah
Inilah yang aku harapkan wahai Tuhan

- Asaari Muhammad, 6 Januari 2000


Daripada sajak di atas; Haji Asaari telah menceritakan peringkat-peringkat perjuangannya. Ia bermula daripada peringkat pertama; dakwah secara rambang, kedua; pendidikan ilmu dan akal, ketiga; melalui ilmu dan hati. Setiap tahap ini perlu difahami kerana ia akan memudahkan pemerhatian terhadap al-Arqam yang telah berubah daripada institusi dakwah kepada satu pertubuhan radikal yang mempunyai bercita-cita politik tersendiri. Selain itu, Haji Asaari juga menceritakan tentang sekatan perundangan terhadap al-Arqam sehinggalah memberi kesan terhadap perjuangannya. Elemen yang paling utama dalam sajak ini ialah tentang niat peribadinya untuk menghidupkan semula organisasinya, (yang bukan semestinya al-Arqam) bagi mendokong falsafah dan ideologi di fikirannya. Kenyataan ‘Sekarang; Tuhan, Engkau takdirkan aku dapat mengutip semula anak-anak didikan yang telah berpecah-belah’ secara jelas membuktikan bahawa Haji Asaari masih terlibat dalam usaha menghidupkan ajaran yang telah diharamkan oleh Kerajaan melalui Majlis Fatwa Kebangsaan dan mengumpul keahlian. Selain itu juga, Haji Asaari telah menyatakan bahawa dua orang isterinya iaitu Khadijah ‘Aam (Ummu Jah) dan Tengku Noraini (Ummi Nor) telah berperanan membantu perjuangannya. Sehubungan itu, penahanan kedua-dua isterinya di bawah Akta Kediaman Terhad adalah suatu yang wajar memandangkan arahan daripada keduanya lebih ditaati oleh pengikutnya berbanding arahan pemimpin lapisan pertama.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home