Thursday, June 01, 2006

SAJAK ASAARI: Sohibuzzaman

Setiap masa ada Sohibuzzaman
Ertinya orang yang menguasai di zamannya
Sebagai rahmat Allah kepada umat khususnya umat Islam
Sohibuzzaman ada dua kategori
Sohibuzzaman di awal kurun adalah mujaddid, laksana kedatangan rasul di zaman adanya rasul
Kalau bukan di awal kurun dia adalah Ghaus; ketua wali di zamannya
Dia adalah laksana nabi di zaman adanya Nabi
Pimpinan mujaddid adalah memimpin lahir dan batin manusia
Pimpinan Ghaus adalah secara batin dari berkatnya
Mujaddid yang menonjol padanya adalah perjuangan, mindanya dan pimpinannya
Tapi Ghaus yang menonjol padanya adalah ibadahnya dan zuhudnya
Apa maksud Sohibuzzaman?
Iaitu orang yang paling arif atau kenal Tuhan di zamannya
Dan yang sangat mendalam rasa bertuhan dan rasa kehambaan
Yang sangat mendalam tentang ilmu hati manusia
Dia dapat ilham dari Tuhan
Sangat faham mendidik manusia dan memberi kesan
Peristiwa-peristiwa di zamannya dia sangat faham
Sekali-sekala mendapat berita ghaib dari Tuhan
Yang diberitakan oleh Nabi kepadanya
Dia sentiasa mendapat petunjuk dari Allah Taala
Bahkan dia adalah orang yang paling bertaqwa di zamannya
Sebagai angerah Tuhan kepadanya
Kedatangan Sohibuzzaman ramai yang tidak kenal
Kecuali sedikit di kalangan umat Islam
Bahkan manusia menimpakan kesusahan kepadanya
Padahal secara tidak disedari dia membawa berkat
Manusia di zamannya mendapat berkat daripadanya
Dengan sebabnya mereka dibantu
Mungkin ada orang dimurahkan rezeki disebabkannya
Mungkin ada orang yang mendapat keselamatan kerananya
Tidak kurang juga ada orang yang mudah mendapat ilmu kerana berkatnya
Ada orang yang dijauhkan bala bencana kerananya
Doanya kabul, orang boleh bertawasul kepadanya
Mereka itu siapa yang menghina akan terhina
Kalau tidak jangka pendek akan berlaku jangka panjang
Begitulah sedikit ilmu atau pengetahuan tentang Sohibuzzaman
Moga-moga kita faham ertinya Sohibuzzaman dan bagaimana sifat-sifatnya
Kerana Allah Taala hendak memperlihatkan kemuliaan kepada manusia
Kedua-dua peringkat Sohibuzzaman itu masing-masing diberi karamah oleh Tuhan
Biasa karamah yang berlaku kepada mujaddid banyak yang bersifat maknawi dan rohani
Seperti mindanya, kesabarannya, keberaniannya, mudah orang jatuh hati, doanya, perjuangan dan strateginya yang tepat
Berlainan sekali karamah-karamah yang berlaku kepada Ghaus
Karamah mereka banyak yang bersifat lahir atau zahir
Seperti berjalan di atas air, duduk di udara, menunggang harimau, makanan terhidang tanpa mengusahakannya, pegang daun jadi duit.

- Asaari Muhammad, 14 Febuari 2000


Berdasarkan sajak di atas, Haji Asaari telah membuat satu doktrin baru dalam memperkenalkan dirinya iaitu sebagai sohibuzaman. Perkara ini tidak pernah tercetus ketika zaman al-Arqam tetapi baru sahaja diperkenalkan pada tahun 2000. Sohibuzaman bermaksud ‘pemilik kuasa pada zaman ini’ merujuk kepada gelaran lain bagi Haji Asaari yang sebelum ini ‘berpangkat’ Pemuda Bani Tamim. Sebagai sohibuzaman, Haji Asaari mendakwa dirinya sering mendapat panduan daripada Rasulullah s.a.w. (secara jaga dan sedar) dan mendapat ilham daripada Allah. Daripada sajak di atas juga, Haji Asaari menampakkan kepada para pengikutnya bahawa dirinya memenuhi ciri-ciri sohibuzaman yang boleh memiliki bermacam-macam kelebihan dan keistimewaan. Haji Asaari mendakwa dirinya mempunyai karamah seperti pemikirannya yang diterima orang, kesabarannya menghadapi tekanan kerajaan, strategi perjuangannya dan ramai orang mudah terpesona dengan karismanya. Proses penanaman doktrin ini berlangsung dengan mudah memandangkan para pengikutnya sudah semakin taksub dan tidak lagi berupaya memikirkan secara rasional. Haji Asaari seringkali mengarahkan pengikutnya agar menghilangkan fungsi akal kerana ideologi yang dibawanya itu tidak dapat difikirkan oleh akal. Ini membuatkan semua pengikutnya bertambah taksub dan rasa terhutang budi kepada Haji Asaari.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home