Thursday, June 01, 2006

SAJAK ASAARI: Janji Tuhan Untuk Kita

Selama ini kita hanya membaca sejarah
Bagaimana janji-janji Tuhan berlaku kepada jemaah kebenaran di masa yang sudah
Janji itu berlaku, dan bagaimana ia berlaku hanya diketahui di dalam kisah
Seronok kita mendengarnya, iri hati kita dibuatnya
Rupa-rupanya kita juga direzekikan oleh Allah Taala
Bahawa di kurun kita ini ada janji Tuhan kepada umat Islam
Iaitu Islam akan menang dan gemilang sekali lagi
Ini adalah giliran bangsa Timur atau rumpun Melayu
Kita tidak menduga bahawa pembangun kegemilangan itu adalah dari Jemaah Muhammadiah
Kita termasuk orang yang berada di dalamnya
Teraju pemerintahan itu akan diserahkan kepada Jemaah Muhammadiah
Daulah itu akan berlaku di tangan kita, insya-Allah
Tidak lama lagi, ia di ambang pintu
Ia berlaku di alaf 2000
Ertinya tidak lama lagi
Anugerah itu kita akan saksikan
Rupanya apa yang berlaku di dalam sejarah itu akan berlaku di tangan kita
Marilah bersedia kita menerimanya dengan rasa bersyukur
Marilah kita merendah diri di hadapan Tuhan, kerana malu menerimanya
Kita tidak layak tapi sudah ketentuan Tuhan
Maha besar Engkau Tuhan, Maha Agung Engkau ya Rafiqul A’la
Moga-moga kami bersyukur, moga-moga agama-Mu kami junjung
Semoga kami menjadi payung
Untuk semua manusia berlindung

- Asaari Muhammad, 22 November 1999

Setiap sajaknya akan menjurus kepada perkara-perkara yang menjadi agenda utama perjuangan organisasi yang dipimpinnya. Jika dinilai, ia sebenarnya seumpama panduan dan modus operandi kepada para pengikutnya untuk bertindak secara agresif dan radikal bagi memastikan semua yang diramalnya menjadi kenyataan. Perkara ini dinamakan sebagai ‘era pembuktian’, iaitu setiap pemimpin lapisan pertama dan kedua serta para pengikutnya perlu bekerja keras mengikut ‘skrip’ yang telah disebutkan. Berikut adalah elemen atau maklumat berasaskan sajak di atas;

i. Haji Asaari menekankan bahawa organisasi yang dipimpinnya adalah ‘Jemaah Kebenaran’. Dia sering mengkuliahkan ciri-ciri ‘Jemaah Kebenaran’ dan pemimpinnya yang secara sedar dan langsung merujuk kepada dirinya sendiri. Baginya, ‘Jemaah Kebenaran’ akan mendapat kuasa di akhir zaman ini. Dengan itu, semua pengikutnya begitu yakin dan enggan memisahkan diri daripada pertubuhan terbabit.

ii. Haji Asaari juga berkeyakinan kuasa dunia akan didominasi oleh bangsa Melayu. Sehubungan itu, Haji Asaari hanya menumpukan negara-negara yang ramai penduduk Melayu atau pemastautin Melayu sebagai sasaran cita-cita politiknya. Antara negara tersebut ialah Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand, Australia. Kesemua barisan kepimpinan yang dijangka menjadi anggota kabinet Menteri juga terdiri daripada bangsa Melayu. Kelompok sasaran mereka di negara Eropah dan Timur Tengah juga terdiri daripada profesional dan pelajar Melayu.

iii. Haji Asaari seringkali menamakan organsisinya sebagai ‘Jemaah Muhammadiah’ yang berasaskan amalan Aurad Muhammadiah. Walaupun al-Arqam telah berkubur dan kini dirinya menjadi pemimpin organisasi perniagaannya, dia tetap menjadi Amir (ketua) Jemaah Muhammadiah. Inilah faktor yang menjadi ikatan utama mengapa Haji Asaari masih tetap dengan pendirian perjuangan ideologinya. Hakikatnya, al-Arqam hanyalah pada nama. Iakatan mereka ialah atas nama jemaah Aurad Muhammadiah. Ini bermakna ajaran Aurad Muhammadiah masih terus hidup.Haji Asaari seringkali mengekspoitasi ilmu tasawuf untuk kepentingan ideologinya. Dia akan membuat arahan bahawa para pengikutnya perlu memperbaiki diri dan rasa rendah diri kerana mendapat peluang membina ‘Daulah Islamiah’. Elemen ini begitu kuat dimainkan olehnya memandangkan para pengikutnya sememangnya taksub dengan ilmu tasawuf tafsirannya. (Ia dinamakan sebagai ‘minda abuya’).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home