Haji Asaari mendakwa dirinya memiliki tongkat Nabi Musa yang pernah menyelamatkan Bani Israel daripada ditelan laut Merah. Haji Asaari meyakini tongkat tersebut akan membantunya. Persoalannya ialah adakah mukjizat Nabi Musa masih ada lagi pada masa kini dan adakah Haji Asaari juga dikurniakan mukjizat seperti Nabi Musa?
Haji Asaari mendakwa dirinya boleh berbincang dengan Malaikat Maut untuk menangguhkan kematian para pemimpin pertubuhannya. Malah, dia mendakwa ajal kematian seseorang boleh ditukarkan kepada orang lain. Dirinya memilik ‘karamah’ sehingga mengetahui tarikh dan detik kematian seseorang. Dia mendakwa, mana-mana individu yang dianggap penting dalam cita-cita politiknya boleh ditangguhkan kematiannya.
Dia sering mendakwa mengadakan mesyuarat di alam ghaib bertemu dengan beberapa individu selain Rasulullah seperti Sheikh Suhaimi, Imam Shafie dan Imam mazhab serta ulama’ terdahulu yang lain. Hasil mesyuarat tersebut akan diberitahu kepada para pemimpin melalui sesi ekspedisi yang dibuat pada selepas subuh setiap hari.
Haji Asaari mendakwa cinta Allah hanya boleh diperolehi dengan mencintai ‘orang Tuhan’ terlebih dahulu. Malah ia menjadi syarat utama mendapatkan cinta Allah. ‘Orang Tuhan’ adalah gelaran khusus untuk dirinya dengan menganggap dirinya wakil Tuhan di akhir zaman ini. Ini bermakna, untuk mencintai Allah dan menjadi orang bertaqwa, seseorang itu perlulah mencintai sepenuh hati terhadap Haji Asaari. Bukti kecintaan itu ialah dengan pengorbanan harta besar-besaran.
Haji Asaaari mendakwa ‘roh’ Kaabah telah berpindah ke dalam dirinya. ‘Roh’ Kaabah yang dimaksudkan di sini ialah ‘sifat Kaabah yang boleh mengubah seseorang menjadi baik dan bertaubat’. Perkara ini timbul apabila seorang wartawan hiburan telah menziarahinya dan menyatakan bau badannya sama seperti bau Kaabah. Sehubungan itu, dia mengulas bahawa ‘roh’ Kaabah sudah berpindah kepada dirinya. Dia berpendapat, orang yang menunaikan haji dan umrah sudah tidak lagi rasa ingin bertaubat dan menjadi baik. Tetapi, dengan berjumpa dengannya, seseorang itu akan mendapat kesedaran dan membuat perubahan ke arah kebaikan.
Haji Asaari juga mendakwa dirinya berupaya untuk memantau para pengikutnya dengan kuasa roh. Dirinya mempunyai ‘kuasa’ boleh mengetahui gerak-geri, perbuatan dan rasa hati para pengikutnya walaupun berada jauh darinya. Perkara ini menjadikan para pengikutnya rasa dikawal oleh Haji Asaari sehingga takut dan tidak pernah mempertikaikan sebarang arahan Haji Asaari. Ketaatan membuta tuli timbul sehingga sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan Haji Asaari.
Pada setiap majlis kuliah ataupun ekspedisi, para pemimpin sering mengatakan ‘roh Abuya’ (Haji Asaari) hadir bersama dalam sesi tersebut untuk memantau dan melihat bagaimana hati-hati para pengikutnya. Para pengikutnya bertambah risau dan gusar kerana mereka berpendapat Haji Asaari mengetahui semua ‘sejarah dosa’ mereka. Dengan itu, penyucian dosa perlu dibuat dengan solat taubat dan memberikan seberapa banyak harta yang boleh kepada Haji Asaari.
Haji Asaari seringkali mendakwa semua arahan yang dikeluarkannya adalah arahan daripada pihak Rasulullah s.a.w. yang bertemu dengannya secara jaga. Ini menjadikan dirinya dianggap mulia oleh para pengikutnya dan mereka sangat taat kerana menganggap Haji Asaari adalah wakil Rasulullah. Sehubungan itu, setiap tindakannya akan disandarkan dengan arahan Rasulullah yang dipanggil ‘mesej’. Setiap ‘mesej’ itu akan menjadi asas kepada ramalan-ramalan yang bakal berlaku di Malaysia terutama dalam konteks politik. Bagaimanapun, penulis mendapati ‘mesej’ itu tidak menjadi kenyataan malahan bertentangan dengan realiti yang berlaku.
Haji Asaari mendakwa dirinya boleh menyelamatkan pengikutnya daripada azab kubur dan ketika menjawab persoalan Malaikat Mungkar Nakir. Ini kerana peranan dirinya sebagai mursyid yang dapat memberi syafaat di akhirat.
Para pengikut didedahkan kepada amalan ‘sunnah Abuya’ yang merujuk kepada amalan ritual yang dibuat oleh Haji Asaari. Sebagai contoh, ‘makan mengikut sunnah Abuya’. Secara tidak langsung, perkara tersebut telah mengikis konsep ‘sunnah Nabi’ di kalangan para pengikutnya. Konsep ini bertujuan untuk meningkatkan lagi rasa taksub di kalangan para pengikutnya dan mengkultuskan peribadinya secara berperingkat.
Dia menganggap dirinya adalah ‘Super Soleh’ iaitu orang yang paling tinggi ketaqwaan di dunia sekarang. Dirinya adalah ulama’ yang bertaraf mujtahid dan mendapat ilmu secara ilham, secara langsung dan terus daripada Allah. Dia mendakwa dirinya boleh menyampaikan kuliah ilmu kepada para pengikutnya berasaskan ilham dan firasat yang Allah kurniakan terhadap dirinya.
Haji Asaari mendakwa dirinya adalah terpelihara daripada dosa, iaitu mahfuz (dipelihara Allah). Walaupun bukan ditahap maksum (terpelihara daripada dosa) sebagaimana Nabi, dirinya tidak akan melakukan maksiat atau kesilapan dan sentiasa dipelihara oleh Allah. Sekiranya melakukan kesilapan, Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang. Dengan itu, segala ajaran dan arahannya tidak mungkin akan berlaku kesalahan dan perlu dipatuhi secara total.
Haji Asaari mendakwa dirinya adalah wali malah berpangkat Ketua Wali pada masa kini. Dirinya boleh memanggil seluruh wali secara ghaib dan membuat perjumpaan secara ghaib. Dia mendakwa, seluruh wali di alam ghaib telah ‘berbai`ah’ (mengikat janji setia) terhadap dirinya. Haji Asaari meminta para pemimpinnya agar mendedahkan kepada masyarakat awam tentang kewaliannya terutamanya ketika program seminar atau kuliah bersama mereka.
Haji Asaari mendakwa bahawa Aurad Muhammadiah akan menjadi ‘mazhab’ rasmi ketika ‘zaman Daulah’ berlaku nanti. Malah, dia berpendapat Imam Mahdi akan menjadikan ajarannya (Aurad Muhammadiah) sebagai mazhab rasmi.
Haji Asaari sering menyifatkan dirinya adalah ulama’ bertaraf Rasul. Dia menamakan dirinya ‘Rasul yang bukan Rasul’. Dia berpendapat, Allah telah menjadikan sifat kepimpinan Rasul ada pada dirinya.
Ketika menjalani tahanan kediaman terhad di Rawang, Haji Asaari tidak menunaikan solat Jumaat atas alasan bahawa khutbah Jumaat masa kini tidak mengikut syariat Islam kerana melibatkan unsur fitnah terhadap orang lain. Dia hanya bersembahyang Zuhur di rumah dan memberi arahan kepada para pengikutnya agar tidak mengikut ijtihadnya. Bagaimanapun, mengikut pemerhatian penulis, ramai di kalangan pemimpin lapisan pertama yang tidak bersembahyang Jumaat kerana mengikut ijtihadnya. Sebagaimana yang dimaklumi, kegagalan seseorang muslim menunaikan solat Jumaat merupakan satu jenayah syariah di semua negeri di Malaysia.
Haji Asaari mendakwa kekhusyukan dalam sembahyang hanya boleh dibuat jika para pengikutnya menyeru namanya (bertawasul) ketika sebelum takbiratul ihram. Dia mendakwa dirinya adalah wakil kepada Tuhan dan boleh membawa sembahyang tersebut ke hadapan Allah. Dengan itu, sembahyang tersebut akan diterima oleh Allah kerana Haji Asaari yang membawa ibadah tersebut kepada Allah. Allah menerimanya kerana kemuliaan dan ketinggian taraf Haji Asaari sebagai pemuda Bani Tamim.
Dia mendakwa memiliki perbendaharaan emas di alam ghaib yang akan keluar ke alam realiti apabila ‘Daulah Islamiah’ berlaku di Malaysia. Dia berkata emas itu akan menjadi ‘rezeki’ untuk membangunkan Malaysia dan negara lain yang menyertai gagasan ‘Daulah Islamiah’. Haji Asaari berkeyakinan bahawa sekiranya Daulah berlaku, Malaysia akan menjadi negara terkaya kerana ‘terbukanya rezeki dari langit’.
Galeri Abuya dibuat secara khusus mempamerkan koleksi peribadi Haji Asaari dan sejarah hidupnya bagi membangkitkan rasa taksub di kalangan para pengikut. Antara koleksi dalam galeri tersebut seperti gigi Haji Asaari, koleksi pakaian, tasbih dan pelbagai lagi.
Berikut disenaraikan pula taktik dan strategi perjuangan terbaru Haji Asaari:
Ekspedisi akan dibuat pada setiap hari selepas subuh sehinggalah jam 11 pagi. Pengisian ekspedisi berkisar dengan kuliah terbaru Haji Asaari, laporan daripada setiap unit Rufaqa (sama ada peringkat negeri ataupun projek ekonomi), ulasan terhadap sajaknya, isu politik semasa, perkara atau peristiwa khawariqul ‘adah,[1] dan berita atau kejayaan projek Rufaqa’. Peserta yang ingin menyertai program ekspedisi perlu mendapatkan kebenaran daripada Haji Asaari melalui setiausaha peribadinya. Pemilihan dibuat berasaskan statusnya dalam organisasi ataupun ahli baru yang diyakini berpotensi besar. Ekspedisi dibuat di dalam kenderaan seperti bas dan van bagi mengelakkan pihak keselamatan menyedari mereka sering berkumpul menjalankan program. Antara strategi yang sering dibuat oleh Haji Asaari ketika bersarapan di restoren ialah membayar keseluruhan bil pengunjung restoren tersebut bagi mempopularkan dirinya di kalangan orang ramai. Selepas ekspedisi dibuat, setiap peserta perlu membuat serahan kewangan daripada unit masing-masing.
Haji Asaari sering membuat rayuan kewangan untuk manfaat peribadinya, ahli keluarga dan pergerakan organisasinya. Rayuan dibuat melalui telefon dan sidang video secara khusus meminta setiap individu ‘berkorban untuk Islam’. Mana-mana individu yang paling banyak membawa masuk sumber kewangan ke dalam organisasi dianggap sebagai ‘orang yang paling bertaqwa’. Selain itu, Haji Asaari juga akan membuat rayuan kewangan khusus untuk individu tertentu yang terlibat dalam cita-cita politiknya seperti Tun Ghafar Baba.
Rayuan kewangan untuk projek ekonomi juga seringkali dibuat dengan mengerahkan seluruh ahlinya mengorbankan aset milik peribadi. Modus operandi yang digunakan ialah pemujukan kata-kata ‘pengorbanan harta akan menghapuskan dosa’. Perkara ini disusuli dengan sesi kuliah yang menghuraikan tentang dosa, syurga dan neraka. Memandangkan setiap pengikutnya begitu mahu ‘mensucikan diri’ daripada dosa, maka mereka sanggup mencari sumber kewangan seperti menjual rumah, giat menghasilkan produk dan menyerahkan gaji bulanan. Setiap pengikutnya akan merasa wajib dan perlu membuat pengorbanan.
Setiap kali di hujung sesi ekspedisi, beberapa barang seperti kain pelikat yang yang pernah digunakan Haji Asaari akan dijual kepada peserta. Barangan ‘wajib beli’ ini dijual untuk tujuan mengambil ‘berkat’. Selain itu, mereka turut bertabaruk[2] dengan benda-benda peribadi Haji Asaari seperti tisu yang digunakan mengelap sisa makanannya, rambut, janggut dan giginya. Setiap barangan tersebut dijual dengan harga yang mahal. Para pengikutnya terpaksa membeli bagi membuktikan kesetiaan terhadap Haji Asaari. Ini merupakan salah satu cara bagaimana para pemimpin mahu menjana kewangan bagi menyara kehidupan eksklusif mereka.
Haji Asaari sering mengarahkan para pemimpin lapisan pertama mengadakan majlis ijazah Aurad Muhammadiah yang bertujuan untuk memperbaharui ‘lesen’ mengamalkan wirid tersebut. Hanya ahli-ahli baru yang telah banyak berkorban harta sahaja yang tersenarai dan dibenarkan masuk. Bagaimanapun, pada setiap majlis, para pengikutnya perlu membayar harga yang tinggi.
Sekiranya ramalan-ramalan yang dibuat tidak berlaku, maka Haji Asaari akan menyalahkan para pengikutnya kerana dosa-dosa yang dilakukan sehingga Allah tidak mengizinkan ‘Daulah’ berlaku. Dia mendakwa, para pengikutnya masih tidak membersihkan diri kerana Allah akan memberikan ‘Daulah’ kepada orang yang suka bertaubat. Selain itu, dia juga sering mengatakan bahawa ia bertujuan untuk menguji tahap keyakinan dan kesetiaan para pengikutnya. Walaupun semua ramalan tersebut tidak berlaku, para pengikutnya tetap mempercayai dan meyakininya kerana kegagalan perkara itu berlaku disebabkan dosa-dosa mereka. Sehubungan itu, mereka perlu lebih banyak berkorban harta dan membawa lebih ramai tetamu bertemu Haji Asaari. Pengeksploitasian rasa bersalah dan rasa berdosa sering berlaku dalam Rufaqa’. Sekiranya sesuatu ramalan Haji Asaari tidak menjadi kenyataan, maka para pengikutnya dipersalahkan kerana masih belum membersihkan diri daripada dosa sehingga kemenangan di pihaknya tergendala. Perasaan tersebut seringkali diperalatkan supaya para pengikutnya dapat mengorbankan harta yang banyak untuk kepentingan Haji Asaari dan organisasinya.
Sesiapapun di kalangan para pemimpin dan pengikutnya tidak dibenarkan mempertikaikan keputusan muktamad Haji Asaari dalam apa jua perkara. Setiap tindakan dan perancangan yang dibuat, perlu mendapat restu dan keizinan daripada Haji Asaari bagi mendapat ‘keberkatan’. Sesiapa yang mempertikaikannya akan dikenakan hukuman berat, dibuang dari jemaah atau diturunkan daripada jawatannya. Mempertikaikan keputusannya dianggap mempertikaikan arahan ghaib daripada ‘Rasulullah’.
Bagi para pengikut yang mempersoalkan sebarang ajaran dan doktrin Haji Asaari akan ‘dibuang’ dan disingkirkan. Laporan biasanya akan disampaikan oleh para pemimpin kepada Haji Asaari dalam ekspedisi dan status keahlian akan ditentukan sendiri oleh Haji Asaari. Dalam beberapa kes, pembuangan dilakukan dengan notis serta merta dan seluruh aset individu tersebut akan ‘dirampas’ kerana dianggap sebagai aset jemaah.
Haji Asaari kerap merombak kepimpinan ‘kabinetnya’ dengan membuat pertukaran jawatan antara mereka. Dia berpendapat arahan tersebut datangnya daripada ‘Rasulullah s.a.w.’ dan Sheikh Suhaimi di alam ghaib.
Daripada perkara-perkara dan dapatan baru yang penulis selidiki, jelaslah ajaran Haji Asaari Muhammad semakin berkembang dan terlalu berbahaya terhadap kesucian ajaran Islam dan akidah ummah. Perkara ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa agama bagi memastikan semua ajaran tersebut tidak mengelirukan umat Islam sehingga boleh membawa perpecahan dan perbezaan pendapat di kalangan Umat Islam. Situasi ini begitu sensitif dan prejudis terhadap keselamatan negara, kehidupan beragama dan kepentingan ummah.
------------------
[1] Khawariqul ‘adah bermaksud cerita yang pelik dan di luar kebiasaan normal. Haji Asaari amat menggemari cerita sebegitu dengan menganggap perjuangannya dibantu Allah .
[2] Tabaruk bermaksud mengambil berkat.
1 Comments:
benar sekali hujah dalam blog ini. teruskan membongkar.
wallahua'lam.
Post a Comment
<< Home